GHAYATUNA...

IMPIAN, MATLAMAT, CITA-CITA, DAN PERJUANGAN…


Pencapaian impian dan cita-cita bertitik tolak daripada:

1. Hidup di luar zon selesa – Contoh: Kurangkan tidur. Tidur tidak melebihi 6 jam sehari dan sentiasa melibatkan diri dalam gerak kerja Islam.

2. Bertindak di luar kotak pemikiran manusia – Contoh: Membaca bahan ilmiah tidak kurang 100 halaman setiap hari.

3. Laksanakan sesuatu yang luar biasa – Contoh: Sentiasa menginfaqkan sejumlah harta di jalan Allah kerana Allah tanpa diketahui orang ramai.

4. Amalkan perkara (ibadah) yang jarang dilakukan oleh individu lain – Contoh: Qiamullail setiap hari.

5. Lakukan sesuatu yang disukai Allah, namun ia adalah sesuatu yang agak dangkal pada pandangan makhluk. Utamakan pandangan Allah, sungguhpun ia berada di lembah kehinaan manusia… Kerana hidup perlu berusaha semata-mata mengharapkan keredhaanNya. Contoh: Sentiasa membawa al-Quran ke mana sahaja sebagai sahabat karib serta teman sejati dan sentiasa membacanya sungguhpun masyarakat merasa dangkal dengan perlakuan tersebut.

Justeru, yakin dan percayalah bahawa hadiah di dalam Pengetahuan Allah menanti di hadapan kita tanpa kita sedari, meskipun di belakang kita musuh sentiasa mengekori.. Kejayaan untuk meraih impian dan cita-cita tidak akan tercapai seandainya kita masih lagi berada di takuk yang lama, tidak berusaha memperbaiki diri dalam memperkaya paradigma… ALLAH MATLAMAT KAMI!!!

Tadabburlah...


162. Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.
163. Tiada sekutu bagiNya; Dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)".
(Al-An`am: Ayat 162 – 163)

2. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?
3. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah Mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia Mengetahui orang-orang yang dusta.
(Al-`Ankabut: Ayat 2 – 3)

...والله ولي التوفيق

Saturday, November 8, 2008

Jihad Menuntut Ilmu...!

Sejarah perkembangan ilmu amat penting didedahkan kepada seluruh masyarakat memandangkan ia merupakan suatu peringatan berkenaan perjuangan dan pengorbanan para ilmuan Islam mengembangkan ilmu mereka. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan rasa cinta seseorang terhadap segala cabang ilmu pengetahuan serta ulama’-ulama’ setelah mengetahui pengorbanan ulama’-ulama’ terdahulu yang tidak terhitung, sehingga kadang kala usaha mereka terhadap ilmu ini seolah-olah hampir-hampir tidak dapat diterima akal, bukan kerana terdapat penipuan atau pembohongan dalam penghasilan karya mereka, akan tetapi dengan melihat kepada perjuangan mereka yang sangat menggunung tinggi sehingga mengorbankan segala harta benda, nyawa, dan sebagainya demi menggarap dan mengembangkan ilmu Allah untuk kemudahan dan manfaat yang tidak ternilai bagi generasi-generasi seterusnya sehingga kini dan akan datang.
Agak sukar untuk dibayangkan jika terdapat penuntut ilmu yang berjalan kaki berbatu-batu jauhnya, dan berhari-hari lamanya demi hanya untuk berjumpa guru dan syeikh bagi memperolehi ilmu yang sangat bernilai. Agak sukar diterima akal jika terdapat ulama’-ulama’ yang menghasilkan karya-karya ilmiah pada waktu malam sehingga buta mata mereka disebabkan kegelapan malam yang hanya ditemani oleh sebuah pelita… Agak sukar dijelaskan kepada masyarakat sekiranya terdapat ulama’-ulama’ yang sanggup dipenjarakan seumur hidup dan mati di tali gantung hanya semata-mata untuk melihat generasi-generasi seterusnya menikmati penghasilan karya mereka… Agak sukar digambarkan andai di sana terdapat ulama’-ulama’ yang dapat menghasilkan sejumlah karya sehingga melebihi 300 judul kitab yang berjilid-jilid, sedangkan hayat mereka tidak menjangkaui 45 tahun! Sedangkan, kita sendiri seakan tidak mampu mengkhatamkan bacaan karya seorang ulama’ sahaja, namun beliau mampu menghasilkan karya yang bertimbun-timbun.. Inilah lakaran sejarah yang telah dibuktikan oleh ulama’-ulama’ terdahulu berkenaan kecintaan mereka terhadap ilmu.
Maka persoalannya, bagaimana pula dengan kita yang hanya bergoyang kaki, menangkuk dagu, tidak memikirkan sebarang sumbangan kepada orang lain!!!??? Mana letaknya seruan haya `alal falah’ yang sering dilaungkan di corong-corong pembesar suara masjid dan surau..? Adakah kita masih tidur, tidak sedarkan diri? Ayuh, bangkit wahai pejuang-pejuang sekalian! Ngorak langkahmu, hayun penamu, jadilah pejuang ILMUAN ISLAM terbilang..!