Wednesday, September 22, 2010

PENGUMUMAN...


Merupakan seminar peringkat kebangsaan yang menampilkan barisan tokoh akademik dari pelbagai lapangan. Seminar tersebut akan membincangkan permasalahan dan kemelut remaja yang semakin meruncing saban hari serta beberapa solusi ditampilkan. Marilah sama-sama kita menimba ilmu pengetahuan dan menghadiri seminar tersebut. Datang jangan tak datang!

Program: Seminar Kemelut Peradaban Remaja: Perspektif al-Qur'an dan al-Sunnah
Anjuran: Yayasan Taqwa dengan Kerjasama Jabatan al-Qur'an dan al-Hadith
Tarikh: 28 & 29 September 2010, 8.30 pagi - 4.30 petang
Tempat: Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (DKU APIUM)

Monday, September 13, 2010

Gambar Raya 2010...









Assalamualaikum... Sedikit perkongsian mengenai gambar raya 2010... Serba maroon dan ungu. Minal `a'idin wal fa'izin... =) Wassalam wal ikram.

Thursday, September 9, 2010

Siapakah Ahlullah itu..? Maka, Ramadhan adalah Teman Akrabnya…

Kehadiran Ramadhan membawa 1001 kegembiraan buat orang-orang beriman… Namun, kehadirannya juga turut membawa semacam 1001 kongkongan dan bebanan buat orang-orang munafiq. Pemergian Ramadhan begitu ditangisi oleh orang yang beriman khususnya dalam kalangan Ahlullah... Namun, pemergiannya turut disambut dengan sorak sorai bagi orang-orang yang tidak menjiwai kemanisan bertaqarrub dalam madrasah tarbiah. Justeru, di manakah kedudukan jaluran kita…? Sejauh manakah kemanisan ber‘bicara’ dengan Allah telah berhasil kita kecapi? Sejauh manakah kita menghargai penganugerahan teman berupa Ramadhan yang berkunjung tiba dan pergi dalam tempoh hanya kira-kira sebulan cuma? Apakah kira-kira kita senantiasa saja mengharapkan redha Allah kepada kita sedangkan kita sendiri tidak berusaha meredhai-Nya? Tidak malukah kita?? Begitu sukar untuk melahirkan rasa syukur dan redha yang benar-benar terbit dari relung hati… Amat sukar sekali… Jika benar kita melahirkan rasa syukur dan redha yang sebenar-benarnya, maka pasti sekali bergenang saja air mata kita menjiwai rahsia kurniaan nikmat yang tidak terhingga dan ujian yang mendewasakan daripada-Nya. Maka, berusahalah untuk berfikir dan menghayati walau sedetik pintu hatimu diketuk dengan Tawfiq Hidayah-Nya, yang menghadirkan rasa penghinaan yang sesungguhnya sebagai hamba, juga menghadirkan rasa keMahaBesaran Allah yang Maha Perkasa… Subhana Allah… Alhamdulillah… Allahu Akbar…!

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar… Takbir raya telah pun mula bergema. Takbir raya mengimbau kembali kesungguhan kita melalui fasa-fasa tarbiah di dalam suatu madrasah. Itulah madrasah Ramadhan. Sesungguhnya madrasah Ramadhan menyediakan satu pengajian dan tamrin khusus bagi meraih ijazah berupa TAQWA. Firman Allah s.w.t:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (183)

Maksudnya:

183. Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.

Surah al-Baqarah (2): 183

Nyatanya, ijazah berupa Taqwa tersebut sekaligus membezakan martabat kemuliaan seseorang mukmin di sisi Allah s.w.t., dan bukanlah harta, pangkat, keturunan, dan sebagainya sebagai kayu pembeda di antara golongan manusia. Maka, apakah kira-kira kita benar-benar optimis telah meraih ijazah taqwa tersebut setelah mengikuti tamrin tarbawi di dalam madrasah Ramadhan? Marilah sama-sama kita memikirkan kembali, dan memuhasabah semula, sejauh manakah kita berusaha memanfaatkan setiap detik masa yang ada di dalam era pentarbiahan Ramadhan dengan memusatkan niat hanya kerana-Nya, dan sama-samalah kita memanjatkan doa bersungguh-sungguh agar dipertemukan lagi dengan tamrin tarbawi di dalam bulan Ramadhan pada sesi akan datang. Allahumma ballighna Ramadhan…

Sesungguhnya, si dia yang bernama Ramadhan pastinya menjadi teman akrab bagi golongan Ahlullah. Kita tertanya-tanya, siapakah Ahlullah itu?? Sabda Nabi s.a.w:

إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنْ النَّاسِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ قَالَ هُمْ أَهْلُ الْقُرْآنِ أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ

Maksudnya:

Sesungguhnya Allah s.w.t memiliki ahli-ahli-Nya dalam kalangan manusia. Maka para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah mereka? Rasulullah menjawab: Mereka itulah Ahli al-Qur’an, iaitu Ahlullah, dan mereka yang mendalami bidang al-Qur’an tersebut.

(Direkodkan oleh Ibn Majah di dalam Sunannya, Hadith Sahih)

Golongan Ahlullah pastinya akan mengambil peluang keemasan di dalam bulan Ramadhan untuk memperbanyakkan tilawah, tadarus, dan hafazan al-Qur’an. Golongan Ahlullah pastinya berusaha untuk mengkaji rahsia-rahsia dan hikmah yang terdapat di dalam Kalamullah yang bermukjizat. Golongan Ahlullah nyatanya gemar membongkar tafsiran-tafsiran al-Qur’an yang berupaya menggetarkan jiwa mereka. Justeru, seharusnya kita mananamkan cita-cita yang tinggi untuk meraih maqam Ahlullah yang dijanjikan Allah s.w.t, apatah lagi tatkala Ramadhan bertandang tiba. Subhana Allah… Walau bagaimanapun, meski saya sempat mengkhatamkan al-Qur’an dua kali di dalam Ramadhan kali ini, satunya bacaan al-Qur’an secara secara bersanad bersama Ust Sidek (pensyarah Jabatan al-Qur’an dan Hadith, APIUM), dan satu lagi secara bersendirian, namun martabat Ahlullah tersebut kelihatannya masih begitu jauh dari lubuk hati ini, hanya kerana melihat pengertian sebenar Ahlullah, iaitu mereka yang benar-benar menghafal dan memelihara al-Qur’an, seterusnya menuruti segala ajaran yang terkandung di dalamnya, bahkan tidak mendustakannya. Pengertian inilah sebagaimana yang telah dihuraikan di dalam kitab Hasyiah al-Sundi yang merupakan kitab Syarah bagi hadith-hadith yang terkandung di dalam Sunan Ibn Majah. Justeru, sekurang-kurangnya, perlulah juga kita membulatkan tekad dan azam yang melangit tinggi, untuk berusaha menghafal 30 juzu’ al-Qur’an serta mengamalkan dasar-dasar yang terkandung di dalam kitab suci tersebut… Ayuh sahabat-sahabatku… Sama-samalah kita berdoa dan berusaha sehabis baik untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Allah sw.t di Akhirat nanti sebagai Ahlullah selagi nyawa dikandung badan ketika di dunia… Ya Allah yang Maha Pemurah, permudahkanlah kami menjadi Ahli-Mu yang hakiki…

Kita masih punya kesempatan untuk menebus sedikit kecacatan pada masa yang lalu di dalam bulan Ramadhan. Alangkah Maha Pemurahnya Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya… Dia telah mengurniakan peluang kepada umat akhir zaman sebagai pakej lengkap ibadah dengan menyediakan ganjaran berupa pahala seumpama setahun berpuasa sekiranya kita susuli puasa Ramadhan dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal. Bahkan, terdapat juga riwayat lain yang menyatakan bahawa ganjarannya seolah-olah kita berpuasa seumur hidup. Justeru, ayuh kita menggarap peluang tersebut, dan memanfaatkannya sebaik mungkin, kerana hikmah merupakan barang keciciran buat orang mukmin, barangsiapa yang menjumpainya, maka dia berhak mengambil dan memilikinya…

Seperkara lagi, suka saya menyoroti kembali sunnah Baginda s.a.w dan para sahabat apabila berada di penghujung Ramadhan dan ketika menyambut ketibaan awal Syawal. Para sahabat tidak putus-putus mengucapkan taqabbalallahu minna wa minkum saliha a’malina (Mudah-mudahan Allah s.wt menerima amal salih kita) dari pintu ke pintu rumah sahabat-sahabat yang lain. Maka, hal yang demikian seharusnya kita teladani. Kita juga bolehlah megucapkan Kullu `am wa antum bikhair sebagai salah satu ucapan rasmi yang sering digunakan oleh bangsa Arab apabila menyambut kedatangan perayaan-perayaan atau hari-hari kebesaran Islam.

Menelusuri madrasah Ramadhan mengingatkan saya kepada solat sunat tarawih di Masjid Negara. Saya agak berdukacita apabila dimaklumkan bahawa terdapat ahli jemaah Masjid Negara memberi komentar negatif mengenai solat tarawih menerusi akhbar rasmi negara. Beliau menyatakan bahawa solat tarawih di Masjid Negara menyebabkan ramai para jemaah merasa penat dan menggigil kerana mengambil masa yang agak lama untuk berdiri. Pandangan sebegini saya kira agak dangkal dan menyimpang daripada tujuan sebenar perlaksanaan tarawih. Hakikatnya, perlaksanaan tarawih yang lebih panjang dengan bacaan al-Qur’an yang begitu mengubat jiwa, serta dengan bilangan rakaat yang lebih banyak ternyata lebih mendamaikan hati bagi mereka yang menumpukan sepenuh perhatian, dalam membina kekhusyukan, dan ketawadhukan. Malah, semakin panjang sesuatu perlaksaan tarawih tersebut, maka semakin manislah penghayatan cinta untuk bersama dengan Allah Jalla Jalaluh dalam tempoh yang lebih lama… Subhana Allah… Maka, tidak hairanlah terdapat warga emas begitu bersungguh-sungguh memenuhi saf pertama di Masjid Negara, mengikuti tarawih sebanyak 20 rakaat dalam tempoh yang agak panjang bagi menghabiskan 30 juzu’ bacaan al-Qur’an, sungguhpun mereka bukanlah dalam kalangan orang yang begitu bertenaga seperti golongan pemuda. Ini ditambah pula dengan bacaan qunut pada solat witir 15 hari yang terakhir yang memakan masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk berdiri, namun ia sungguh menyentuh dan menggamit hati bagi yang dahagakan pengabdian hakiki kepada Sang Pencipta. Maka, pengabdian diri kepada Allah sememangnya tiada nilaian masa yang khusus dan ia memiliki kemanisannya yang luar biasa tanpa menyedari berlalunya masa, dan sewajarnya setiap detik masa yang dilalui oleh setiap insan merupakan suatu ibadah yang mendidik jiwanya untuk menggapai ketenangan hakiki. Wa lillahil Hamd…

Untuk akhirnya, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada sahabat-sahabat… Salam lebaran wa siiru `ala barakatillah… Wassalam.

تقبل الله منا ومنكم صالح أعمالنا...

كل عام وأنتم بخير...

الله أكبر، الله أكبر, الله أكبر...

ولله الحمد.

Dikarang pada,

Jumaat, 1 Syawal 1431H,

Bersamaan 10 September 2010,

3.30 pagi,

Kg. Parit Jawa, Muar, Johor.

~ribbiyyun~