Saturday, July 16, 2011

Lensa AJK Seminar Antarabangsa Sunnah Nabawiyah (MUSNAD)






Seminar Antarabangsa Sunnah Nabawiyah (MUSNAD).
Pada 12-13 Julai 2011.
Tempat: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.


Note: Inilah gambar saya bersama kesemua staf sokongan jabatan al-Qur'an dan al-Hadith (Tutor & Felo SLAB/SLAI), APIUM yang menyambung pengajian di peringkat Master dan Ph.D.

Monday, July 4, 2011

LILLAHI TA`ALA

Segugus idea diilhamkan daripada Tuhan mendetikkan hati ini untuk berkomunikasi maya dalam blog ini. Lintasan hati mengenai perbincangan “LiLlahi Ta`ala” berlegar-legar di kotak minda, mendesak jari-jemari untuk menari bersama papan kekunci laptop, menumpahkan idea-idea yang barangkali semacam satu bentuk koreksi dan muhasabah kita bersama. Nah, hidangan santapan rohani ingin kuhadirkan buat para pembaca. Apatah lagi buat diriku jua, lantaran tidak pernah lekang dari melakukan kesalahan dan noda. Topik “LiLlahi Ta`ala” menjadi puncak inti pati penulisan dalam halaqah taman ilmu kita. Manakala sifat perkongsian kali ini agak santai dan bersahaja...

“LiLlahi Ta`ala”. Apakah yang dimaksudkan dengan “LiLlahi Ta`ala”? Ya, betul, maksudnya “kerana Allah swt”. Namun, apakah pula yang dimaksudkan “kerana Allah swt”? Ketika di sekolah rendah dahulu, ustaz dan ustazah memberitahu kepada kami murid-murid agar melakukan sesuatu perkara kerana Allah swt. Terus terang kukatakan, waktu itu aku masih tidak mengerti. Aku kabur, tidak tahu apa-apa, mungkin kerana fikiranku masih mentah dan kurang matang. Namun begitu, kata-kata tersebut telah terbawa-bawa olehku sehingga kini, dan akhirnya sedikit demi sedikit kuberupaya menyingkap tirai hikmah daripada-Nya mengenai persoalan “LiLlahi Ta`ala”. Segala-galanya berhajat kepada “LiLlah Ta`ala”. Memberi LiLlahi Ta`ala, menerima LiLlahi Ta`ala, berjuang LiLlahi Ta`ala, bersahabat LiLlahi Ta`ala, beribadah Lillahi Ta`ala, berceramah serta berusrah LiLlahi Ta`ala, menulis LiLlahi Ta`ala, bercinta dan berkasih sayang LiLlahi Ta`ala, dan sebagainya, semuanya LiLlahi Ta`ala… Mengapa sedemikian? Kerana sekiranya kita meletakkan batu asas segala tindak tanduk kita kerana Allah swt, LiLlahi Ta`ala, maka kita akan berasa tenang serta tidak akan pernah kecewa dengan segala ketentuan-Nya, kerana Dia Maha Maklum tentang perjalanan kehidupan hamba-hamba-Nya di samping usaha kita. Secara tidak langsung, pada hakikatnya kita telah mempelajari sesuatu dari UNIVERSITI KEHIDUPAN menerusi tarbiyah-Nya… Sebab itulah mengapa ada kalanya perlu kita berdamping dengan orang-orang tua yang soleh, kerana mereka lebih berpengalaman dalam mentaakul susur galur kehidupan… Inilah merupakan pendidikan daripada Tuhan sekiranya kita mencermati potret kehidupan kita, kerana Tuhan telah berfirman:

وَاتَّقُوا اللَّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (282)

Maksudnya:

282. …Dan bertakwalah kamu kepada Allah; Allah memberikan pengajaran kepadamu; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Surah al-Baqarah (2): 282

Rentetan ketaqwaan yang sebenar LiLlahi Ta`ala itulah, maka Tuhan akan mengajarkan kita. Mentarbiyah diri kita akan erti kehidupan seorang hamba melalui anugerah mutiara-mutiara hikmah-Nya merupakan suatu nikmat yang sangat berharga, dan ia hanya diluncurkan oleh Allah swt kepada insan-insan yang dipilih-Nya, iaitu mereka yang berfikir menyoroti kebesaran Tuhan dan kekerdilan makhluk, dalam memburu Ma’rifatuLlah… Akhirnya merasa hina menyedari siapalah kita di sisi-Nya… Allahu Akbar…

Jika kita memberi sesuatu kepada seseorang LiLlahi Ta`ala, maka kita tidak akan kecewa seandainya kita tidak memperoleh apa-apa imbalan daripada insan tersebut, kerana kita tetap tenang dan tenteram dengan rezeki yang hakikatnya datang daripada Allah jua, kerana kita yakin Allah akan memberikan sesuatu yang terbaik buat kita. Namun sekiranya kita memberikan sesuatu kepadanya kerana kita kasih dan cinta padanya, tatkala dia pergi meninggalkan kita, kita akan kecewa, kita akan menghukumnya, bahkan memfitnahnya. Jika kita menerima sesuatu LiLlahi Ta`ala, kita akan sentiasa menjadi insan yang bersyukur kepada-Nya, kerana kita memahami bahawasanya segala pemberian hakikatnya datang daripada-Nya. Namun sekiranya kita menerima sesuatu kerana kita ingin menjaga hati seseorang semata, kita akan menunggu-nunggu pemberiannya, bahkan meminta-minta. Lalu kita akan kecewa padanya seandainya si dia tidak memberikan apa yang kita pinta… Maka, memberi dan menerimalah seadanya LiLlahi Ta`ala… Subhana Allah…

Jika kita berkasih sayang kepada seseorang LiLlahi Ta`ala, maka kasih sayang kita pasti tidak pernah pudar, kerana kita memahami tuntutan agama bahawasanya pastinya Allah swt mengurniakan kasih sayang dan rahmat-Nya kepada insan yang berkasih sayang kerana-Nya. Maka kasih sayang itu akan kekal, kerana kita mendamba rahmat Allah swt, dan kasih sayang-Nya itulah yang tertinggi jua. Namun sekiranya kita berkasih sayang kerana kelebihan dan rupa paras seseorang, tatkala walau satu kelebihan

itu hilang, tatkala rupa parasnya pula berubah disebabkan faktor kemalangan atau usia, maka kita akan menjauhinya, kita akan mengabaikannya, bahkan akan memperlekehkannya. Jika kita bersahabat dengan seseorang LiLlahi Ta`ala, maka persahabatan tersebut tetap juga akan membuahkan kemanisan dalam suka dan duka, susah dan senang, gembira dan sedih, dan sebagainya. Kerana kita memahami bahawa segala ketentuan Allah dalam erti persahabatan sejati mengharungi arena kehidupan pasti ada hikmahnya dalam mendewasakan kita, lantaran kita berusaha mendamba redha Allah semata dalam erti sebuah jalinan persahabatan yang begitu indah dan manis. Namun sekiranya kita bersahabat dengan seseorang kerana kehebatan dan kemuliaan yang ada pada dirinya, tatkala kehebatan dan kemuliaan itu kian hilang darinya, kita akan meminggirkannya, kita tidak akan mempedulikannya, kerana apa yang kita harapkan daripadanya sudah tiada, iaitu kehebatan dan kemuliaan. Sedangkan kemuliaan itu hanyalah terletak pada Islam, bukan pada batang tubuh individu terbabit. Hanya saja kemuliaan yang ada pada seseorang itu, disebabkan perjuangannya menegakkan syiar Islam LiLlahi Ta`ala. Maka, berkasih sayang dan bersahabatlah LiLlahi Ta`ala, pastinya kasih sayang dan persahabatan itu akan kekal hingga ke syurga... Subhana Allah…

Jika kita melakukan sesuatu amalan LiLlahi Ta`ala, mendamba rahmat dan redha-Nya, maka amalan tersebut tetap jua membuahkan kemanisan dan ketenteraman hati, walau amalan tersebut seakan berat pada penglihatan orang awam seperti solat tasbih setiap hari, walau manusia di sekeliling kita tidak mengetahui apakah amalan kita. Kerana ketenteraman kita yang hakiki hanyalah bersama dengan-Nya. Namun sekiranya kita beramal kerana mengharapkan gaji atau ganjaran pahala, maka amalan kita pada hakikatnya tidak dipandang oleh Allah sebagai suatu amalan yang mulia di sisi-Nya, sungguhpun kita bersungguh-sungguh melaksanakan amalan terbabit lalu dipandang mulia oleh makhluk. Tatkala gaji daripada amalan tersebut tidak diberikan kepada kita, kita akan menghina orang yang membayar gaji, sedangkan hakikat segala rezeki datang daripada-Nya jua. Jika kita menuntut ilmu LiLlahi Ta`ala, maka secara tidak langsung kita akan bersungguh-sungguh meneroka ilmu Allah, tidak pernah kenal erti penat dan jemu, tidak pernah kecewa sungguhpun natijah imtihan akhir kita tidaklah seberapa. Kerana kita melihat keberkatan menuntut ilmu yang memberikan cahaya kepada penuntutnya, bukan kecemerlangan dan mata ganjaran duniawi menjadi matlamat kita. Seterusnya Allah membukakan jalan pada pencinta ilmu-Nya. Namun sekiranya kita menuntut ilmu kerana ingin bekerja mewah, inginkan sijil, bergaji besar, dan cemerlang di dalam peperiksaan, pada hakikatnya niat tersebut telah menyimpang dari tujuan asal kita. Kerana seandainya kita cemerlang dalam peperiksaan, namun tiba-tiba kita tidak dapat memperoleh pekerjaan serta gaji yang lumayan, kita akan menyalahkan takdir Tuhan. Kita akan tertipu dengan dunia, kita tidak memahami sunnatuLlah, kita dibutakan mata hati menyingkap hikmah, sedangkan matlamat kita adalah Allah. Segala-galanya adalah Allah. Maka, lakukanlah sesuatu amalan serta menuntut ilmu LiLlahi Ta`ala, kelak ketenteraman hakiki bakal menjelma walau dalam suka dan duka, kerana Allah tidak pernah mengecewakan hamba-hamba-Nya… SubhanaLlah…

Sahabat-sahabatku sekalian… Demikianlah sedikit bingkisan rohani buat kita semua dalam menuju redha-Nya, mudah-mudahan hal ini menjadi suatu bentuk mutiara berhikmah serta mimbar muhasabah buat kita semua. Maka, kesemua inilah pada hakikatnya ia merupakan ujian Allah, tarbiyah Allah. Inilah yang dipanggil sebagai manhaj rabbani, memahami hakikat berTuhan, menelusuri kehidupan dalam SunnatuLlah. Senangnya kita, tetap juga ia sebagai ujian. Susahnya kita, tetap juga ia sebagai ujian. Gembiranya kita, tetap juga ia sebagai ujian. Sedihnya kita, tetap juga ia sebagai ujian. Subhana Allah… Rupa-rupanya kita sedang diuji dalam setiap detik masa, dan inilah ujian terbesar buat kita sebagai seorang hamba. Iaitu ujian sejauh mana kita benar-benar mengabdikan diri kepada Tuhan serta melaksanakan amanah-Nya. Lalu aku teringat kepada firman Tuhan:

تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (1) الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ (2)

Maksudnya:

1. Maha Suci Allah yang Menguasai (segala) kerajaan, dan Dialah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu;

2. Dialah yang telah menciptakan kematian dan kehidupan, untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun.

Surah al-Mulk (67): 1 – 2

Sememangnya tika mati dan tika hidupnya kita adalah ujian. Segala-galanya adalah ujian Tuhan, sejauh mana kita beramal kerana-Nya menuju pengabdian yang hakiki. Maka, disebutkan kalimah “kematian” terlebih dahulu dalam ayat di atas, kerana Tuhan ingin mengingatkan bahawa kehidupan selepas kematian itu adalah kehidupan yang sebenar, hakiki, dan abadi, manakala kalimah “kehidupan” disebutkan kemudian dalam ayat kedua di atas selepas kalimah “kematian” kerana kehidupan kita di dunia ini tidak lain hanyalah ujian buat kita, dan kehidupan tersebut hanya sementara. Tempoh kehidupan di dunia pastinya tidak dapat dibandingkan dengan tempoh kehidupan di akhirat, kerana kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang ABADI setelah diuji hanya beberapa detik di dunia. Berasaskan kepada dalil di atas, kita pasti bahawa bahawa matlamat menuju akhirat setelah kematian jauh lebih utama berbanding kehidupan dunia. Namun ramai manusia yang terpedaya, merasakan dunia itulah syurga buat dirinya, seakan mereka hidup selama-lamanya… Allahu Rabbi… Na`udzubiLllah… Ya Allah selamatkanlah kami ya Allah… Maka, sewajibnya segala tindakan dan perilaku kita di atas dunia, hanyalah berpaksikan kepada-Nya semata, demi-Nya, untuk-Nya, kerana-Nya…

Satu kenyataan yang begitu membentak lalu membelai jiwaku tatkala kumengamatinya, iaitu tawsiah dari seorang cendekiawan agama dari kalangan para sahabat agung Nabi saw, Saidina Ali KarramaLlahu Wajhah:

“Apabila kamu merasa letih berbuat kebaikan, sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu merasa seronok melakukan dosa, sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal...”

Allahu Akbar…! Ya Allah, peliharalah hati-hati kami, perkukuhkanlah hati-hati kami di atas landasan agama-Mu, di atas ketaatan kepada-Mu… Aku juga teringat kepada suatu doa yang telah kupetik dari sebuah karya sufi agung al-Hikam, namun kutidak pasti, apakah doa itu hasil penulisan Ibn `AtaiLlah al-Sakandari, atau ia merupakan doa yang diselitkan oleh orang yang mensyarahkan oleh kitab tersebut, iaitu Dr. Zulkifli al-Bakri…. Apa pun, doa tersebut begitu menusuk kalbu, menjentik hati nuraniku tatkala daku mencermatinya dalam-dalam, iaitu:

اللهم اجعل غاية قصدي إليك ما هو لك. ولا تجعل قصدي إليك ما أطلب منك.

Maksudnya:

Ya Allah… Jadikanlah kemuncak matlamat dan niatku kepada-Mu ialah apa yang menjadi hak-Mu, dan janganlah Engkau jadikan matlamat dan niatku pada-Mu ialah apa yang daripada-Mu menjadi permintaanku…”

Allah.. Allah… Allah… Sungguh dalam pengertian doa ini… Begitu menyentuh hati… Renung-renungkan… Buat akhirnya, inginku mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan tahniah kepada PAS, kerana telah berjaya menubuhkan Jabatan Tarbiyah PAS Pusat, kemudian disusuli perancangan bagi menubuhkan Jabatan Tarbiyah PAS Negeri. Mudah-mudahan, usaha terbabit sedikit sebanyak menguak kesedaran kepada para pejuang agama akan matlamat hakiki penghidupan kita di dunia… Sekali gus memadamkan fitnah bahawa PAS bukanlah sebuah parti politik semata, kerana PAS adalah sebuah Harakah Islamiyyah, PAS tidak berpencak di medan politik sahaja, bahkan PAS terus memacu dan memperkasa aspek tarbiyah dan pembangunan jiwa seorang JunduLlah rabbani dalam perjuangan yang tidak pernah padam menuju Redha-Nya yang hakiki… Itulah perjuangan ISLAM. Ya Allah, jadikanlah aku seorang JunduLlah Rabbani… Sekian…


~ribbiyyun~

Seri Perdana, KL,

Selasa, 5 Julai 2011, 12.51am.

Sunday, June 26, 2011

Kuatkan Daku ya Allah...







Sungguh nasyid yang begitu meruntun hati... Alhamdulillah...

~ribbiyyun~

Kampung Dusun Tua, Hulu Langat,
Ahad, 26 Jun 2011, 4.21pm.

Romantiknya Kekasihku… Namun, Apakah Layak bagiku Berada Dekat di Hatinya..?

Penulisan artikel kali ini agak panjang. Mungkin sudah lama saya tidak memenuhi entri blog ini dengan bingkisan perkongsian, jadi seakan penulisan artikel kali ini mengqadha’kan penulisan-penulisan yang tertangguh pada sesi lalu. Tiba-tiba hati saya terlintas untuk memaparkan keperibadian kekasih saya dan keindahan akhlaknya. Saya maksudkan insan terbabit ialah Rasulullah s.a.w. Kita sering melihat ketokohan, dan keperibadian Rasulullah s.a.w sebagai seorang pemimpin negara serta keindahan akhlak Baginda, namun saya merasakan kita masih belum mengenali secara lebih rapat pergaulan Rasulullah s.a.w bersama para isteri Baginda. Apabila kita menelusuri sirah Baginda bersama-sama para isteri, pastinya kita akan mengagumi keperibadian Rasulullah s.a.w, qudwah terunggul kita. Kerana Rasulullah s.a.w merupakan contoh teladan yang terbaik dalam segala sisi yang wajib kita ikuti. Subhana Allah… Apabila saya menganalisis beberapa fakta sirah mengenai Rasulullah sebagai nakhoda dalam pelayaran bahtera rumah tangganya dengan melihat kepada hadis-hadis terpilih serta Sirah Nabawiyyah, hati saya menguntum senyum, dan langsung saja ia membisikkan, RASULULLAH SEORANG SUAMI YANG BEGITU ROMANTIK!

Justeru, pada entri kali ini, saya mengemukakan 25 ciri dan peristiwa contoh yang boleh dijadikan ikutan buat para suami, para bapa, juga para lelaki yang bakal bergelar suami. Sebenarnya ada banyak lagi contoh dan ciri-ciri yang menggambarkan Rasulullah s.a.w seorang suami yang begitu romantik, namun saya hanya memuatkan 25 ciri / peristiwa penting sahaja yang mudah-mudahan ia dapat memberikan dampak yang besar kepada erti sebuah kehidupan berkeluarga dengan menerapkan nilai-nilai Islam serta cinta tertinggi hanya kepada-Nya. Dengan dapatan point-point mengenai keperibadian Rasulullah terhadap para isterinya, ia membuatkan saya teruja untuk mendapatkan penulisan buku-buku/kitab/karya yang berkaitan "keperibadian Rasulullah yang ROMANTIK" sebagai bahan bacaan tambahan saya. Sekiranya para pembaca sekalian tahu di mana dan bagaimana boleh mendapatkan bahan bacaan tersebut, maklumkan pada saya ye kerana saya ingin membelinya… Jazakumullah khairal jaza’. `Ala kulli hal, inilah hasil himpunan point-point penting yang telah saya dapati sepanjang pencermatan saya terhadap keperibadian “romantisme” Rasulullah saw menerusi kisah Sirah Nabawiyyah serta Hadis-hadis terpilih… Subhana Allah… Selamat membaca!

1. Rasulullah saw merupakan sebaik-baik insan yang membina rumah tangga dalam membimbing para isterinya. Sabda Nabi s.a.w:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Maksudnya:

Daripada Aisyah r.a berkata, Rasulullah saw bersabda: "Sebaik-baik kamu adalah sebaik-baik kamu dalam berbut baik kepada keluargamu. Dan aku adalah paling baik di antara kamu dalam urusan keluargaku..."

(Hadis riwayat al-Tirmidhi dan Ibn Majah dalam Sunannya)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ خُلُقًا.

Maksudnya:

Daripada Abi Hurairah berkata, Rasulullah saw bersabda: “Yang paling sempurna Iman di kalangan orang mukmin ialah mereka yang paling baik akhlaknya, dan sebaik-baik kamu ialah orang yang paling berakhlak baik kepada isteri-isteri kamu.”

(Hadith riwayat Tirmidhi dalam Sunannya)

2. Rasulullah saw minum satu cawan dengan isteri Baginda, saidatina Aisyah di tempat letak mulut Aisyah pada gelas terbabit. Daripada Aisyah r.a. dia berkata:

“Saya pernah minum daripada cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda minum. Kemudian saya mengambil cawan tersebut lalu menghirup airnya, kemudian Baginda mengambilnya daripada saya, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda pun menghirupnya.”

(Riwayat Abdurrazaq dan Sa’id bin Manshur)

3. Baginda saw menemani isterinya hingga ke pintu, ketika isteri Baginda hendak keluar rumah sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya, Safiyyah binti Huyay. Nabi saw berkata:

“Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu).”

(Hadis Bukhari dan Muslim)

4. Nabi saw sering berpegangan tangan dengan isteri, antaranya dengan Aisyah ketika di dalam rumah. Sabda Nabi saw:

"Apabila pasangan suami isteri berpegangan tangan (dengan menyelitkan jari-jemari mereka), maka dosa-dosa akan keluar melalui celah-celah jari mereka".

5. Saling memakaikan minyak wangi antara Baginda dengan isteri. Aisyah berkata:

“Sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyakkan badannya, Baginda akan memulakan dengan auratnya, menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri Baginda meminyakkan bahagian lain daripada tubuh Rasulullah s.a.w.”

(Riwayat Ibnu Majah)

6. Berbaring di pangkuan/ribaan isteri, daripada Aisyah r.a. berkata:

“Nabi s.a.w. meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian Baginda membaca al-Quran.”

(Riwayat Abdurrazaq)

7. Mencium isteri sekalipun sedang berpuasa. Daripada Hafsah, puteri Umar r.a berkata:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa.”

(Riwayat Ahmad)

8. Memanggil mesra isteri dengan panggilan manja, sebagai contoh, Baginda memanggil Aisyah dengan panggilan Humaira’, Aisyah r.a berkata:

"Ya Rasulullah, apa dia sesuatu yang tidak halal disekat (daripada diberikan kepada orang yang memerlukannya)?" Baginda menjawab: "(Benda itu adalah) air, garam dan api." Aisyah berkata: “Aku bertanya lagi (dengan berkata): "Ya Rasulullah, mengenai air, kami telah pun mengetahuinya, apa pula halnya garam dan api?" Baginda menjawab: "Wahai Humaira'… Sesiapa yang memberi api, maka seolah-olah dia telah bersedekah dengan segala makanan yang dimasak oleh api itu dan sesiapa yang memberi garam, maka seolah-olah dia telah bersedekah dengan segala makanan yang disedapkan oleh garam itu…”

(Hadis riwayat Ibn Majah)

9. Membelai setiap isteri sehingga tiba di rumah isteri yang digilirkan oleh Rasulullah saw:

“Adalah Rasulullah s.a.w. tidaklah berlalu setiap hari melainkan Baginda mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama (bersetubuh) sehingga Baginda singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran Baginda, lalu Baginda bermalam di sana.”

(Riwayat Ahmad)

10. Bersiar-siar bersama isteri. Direkodkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim:

“Rasulullah apabila datang waktu malam, Baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”

11. Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra. Rasulullah saw memicit hidung Aisyah ketika Saidatina Aisyah dalam keadaan yang marah, kemudian Baginda menyarankan Aisyah ra membaca doa yang diajarkan Baginda:

Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan.”

12. Tidur bersama isteri dalam satu selimut. Daripada Atha’ bin Yasar berkata:

“…Dan pernah suatu ketika Baginda tidur dengan Aisyah dalam satu selimut, tiba-tiba Aisyah bangun. Baginda kemudian bertanya, “Mengapa engkau bangun?” Jawab Aisyah, “Kerana saya haid wahai Rasulullah,” Sabda Rasulullah, “Kalau begitu, pergilah dan pakaikan kain dan dekatlah kembali kepadaku.” Aisyah pun masuk, lalu berselimut bersama Baginda.”

(Riwayat Sa’id bin Mansur)

13. Berlemah lembut dengan isteri. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. bahawa pada suatu hari salah seorang isterinya datang dengan membawa makanan untuk dikirimkan kepada Rasulullah yang sedang berada di rumah Aisyah. Tiba-tiba Aisyah dengan sengajanya menjatuhkan makanan itu sehingga piring tersebut pecah dan makanannya jatuh berderai. Melihat sikap Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w. tidak berkasar dengan Aisyah sebaliknya dengan lemah lembutnya Baginda meminta Aisyah menggantikan makanan tersebut.

14. Meletakkan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada isteri serta menyayangi isteri sepenuh hati. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Dia, Khadijah beriman denganku ketika orang ramai mengkufuriku, dia mempercayaiku ketika orang ramai mendustakanku, dia berkongsi denganku harta bendanya ketika orang ramai menghalangku.”

(Riwayat Ahmad bin Hanbal dalam Musnadnya)

15. Membantu isteri menaiki unta, (zaman kini bolehlah diaplikasikan dengan membuka pintu kereta buat isteri). Nabi saw turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim telah direkodkan:

“Nabi Muhammad saw duduk di sisi unta Baginda. Kemudian Baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri Baginda, Sofiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad saw hingga naik atas unta.”

16. Isyarat mengenai galakan Nabi saw untuk saling menyuapkan makanan suami isteri. Nabi saw bersabda:

“Sesungguhnya apa pun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.”

17. Mandi bersama isteri. Daripada Aisyah r.a. beliau berkata:

“Aku pernah mandi bersama Nabi s.a.w., menggunakan satu bekas. Kami bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bekas tersebut).”

(Riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)

18. Menambat hati para isteri Baginda dengan pemberian hadiah serta menjaga hati para isteri dengan sifat yang romantik Baginda yang sangat penyayang kepada para isteri:

Disebutkan satu kisah pada suatu hari isteri-isteri Baginda berkumpul di hadapan Baginda lalu bertanya siapakah di antara mereka (isteri-isteri) Baginda yang paling disayangi. Rasulullah saw hanya tersenyum lalu berkata, "Aku akan beritahu kamu kemudian."

Selepas daripada pertemuan itu, Rasulullah saw telah memberikan setiap seorang daripada isteri-isteri baginda sebentuk cincin. Baginda berpesan supaya tidak memberitahu kepada isteri-isteri yang lain. Lalu suatu hari mereka berkumpul lagi dan bertanyakan soalan yang sama. Rasulullah saw lalu menjawab, "Orang yang paling aku sayangi ialah yang kuberikan cincin kepadanya". Isteri-isteri baginda tersenyum puas kerana menyangka hanya diri mereka sahaja yang mendapat cincin dan merasakan bahawa diri mereka tidak terasing.

19. Nabi saw memasukkan kedua-dua belah tangan di celahan pinggang Aisyah dari belakang ketika isteri melakukan kerja-kerja memasak, dengan membantu isterinya, memegang tangan bersama. (Seperti menguli tepung bersama, memotong sayur dan lain-lain…)

20. Nabi saw membantu isteri-isteri Baginda melakukan kerja-kerja rumah. Para sahabat mendapati kesan tepung di tangan Nabi saw tatkala Nabi bertemu dengan mereka.

21. Nabi berlari anak bersama isteri, seperti Aisyah.

22. Nabi tidak berkasar dengan isteri (memarahi isteri) melainkan digantikan olehnya dengan berwuduk serta menunaikan solat sunat dua rakaat bagi menenangkan hati. Begitu juga apabila Baginda tersentuh dengan sikap para isterinya, Baginda akan mengambil wudhuk dan menunaikan solat sunat.

23. Baginda acap kali memotong kuku isterinya.

24. Baginda mengajak salah seorang dari isteri Baginda bermusafir (mengikut undian) untuk menambahkan lagi kasih sayang di antara mereka.

25. Nabi saw bermunajat kepada Allah agar diberi ketetapan hati bersama para isteri. Doa munajat yang dipanjatkan Baginda ialah agar Allah swt mengurniakan kecenderungan hati secara adil kepada para isteri Baginda, sedangkan Baginda juga pernah terdetik di dalam hati kerana melebihkan cintanya kepada isteri tertentu. Lalu Baginda memohon kepada Allah swt agar tidak membolak-balikkan hatinya untuk mencitai isteri-isteri Baginda secara adil dan harmoni. Firman Allah swt:

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا (110)

Maksudnya:

110. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku Bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Esa; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadahnya kepada Tuhannya".

Surah Al-Kahfi (18): 110

Subhana Allah… Alhamdulilllah… Allahu Akbar… Nabi saw yang begitu romantik dan halus budi pekertinya… Ya Rasulullah saw… Usah tinggalkan daku… Aku ingin sekali menjejakimu… Firman Allah swt:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ (128)

Maksudnya:

128. Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, (dan) ia penyantun dan penyayang kepada orang-orang yang beriman.

Surah al-Tawbah (9): 128

Ketokohan Rasulullah saw memimpin para isteri dan keluarganya sememangnya menjadi contoh, apatah lagi dalam soal mengendalikan hubungan bermadu dan poligami. Sedikit cetusan pendapat mengenai poligami. Suatu ketika, acap kali merenungkan kata-kata abah mengenai poligami, saya tersenyum simpul kerana abah berpandangan bahawa kunci ketaatan tidak berbelah bahagi seorang isteri yang solehah kepada sorang suami yang soleh ialah dia sanggup bermadu meskipun si suami tidak berhajat kepada memadukan isteri tersebut… Subhana Allah… Lalu abah menyarankan saya untuk meninjau calon isteri yang berperwatakan sedemikian sekiranya saya sudah mula meninjau-ninjau untuk mencari calon pasangan… Saya terdiam, entahlah, mengenai pencarian bakal zawjah… Apatah lagi bakal zawjah yang sanggup berpoligami. Sedangkan saya sendiri masih belum BENAR-BENAR bersedia untuk ber‘dua’, apatah lagi hidup bermadu lantaran masih banyak lagi ilmu yang perlu saya terokai, dalam masa yang sama saya begitu menekankan erti “ketulusan”, “kepercayaan” dan “kesetiaan”, tanpa memikirkan persoalan poligami, kerana saya menyedari bahawa saya masih belum masak serta tidak bersedia untuk menuju ke gerbang per‘madu’an itu. La Hawla Wa La Quwwata Illa BiLlah…

Dalam hal mencari calon ini, saya beranggapan bahawa pemikiran abah sedikit menongkah arus. Namun dalam hati ini, saya berkata ada benarnya juga falsafah pemikiran abah, kerana cinta hanyalah HAK MILIK ALLAH, manakala si isteri menjadikan si suami sebagai wasilahnya menyempurnakan ibadah sepertiga agama mendekatkan diri kepada Allah, menuju mardhatillah, selain mengemis CINTA TERAGUNG, iaitu ALLAH semata… Cinta dia kepada suaminya dan cinta suaminya kepadanya adalah sebagai jejambat buatnya menggapai cinta teragung, dan bukanlah cinta suami itu menjadi hak milik mutlaknya, kerana semua penciptaan hakikatnya adalah hak milik Allah… Bila memahami konsep demikian, maka para wanita akan merasakan poligami itulah merupakan suatu jalan bagi mengeratkan ukhwah, serta mengembangkan tali persaudaraan Islam atas landasan perjuangan. Inilah cinta bernuansakan keTuhanan… Meletakkan cinta Allah dan RasulNya di hadapan, bermatlamatkan Allah dan perjuangan Islam, rasionalis Islamis serta tidak bersalut emosi dalam membuat keputusan lantaran mendahulukan AGAMA… Namun, berdasarkan pemerhatian saya, hatta di kalangan ahli jemaah muslimat sekalipun, tidak ramai yang menyedari hakikat ini, apatah lagi membenarkannya. Kerana Saydatina Khadijah tidak dimadukan bukan atas keengganannya, tetapi atas keengganan Nabi… Mohon maaf sekiranya pandangan saya tidak sependapat dengan para pembaca. Pada pengamatan saya, begitulah Rasulullah s.a.w mendidik para isterinya… Subhana Allah… Alhamdulillah… Allahu Akbar…

Suka saya bermuhasabah buat diri saya dan para pembaca sekalian. Buat akhirnya, mengenai proses ke arah pembinaan baitul muslim, suka saya mengetengahkan konsep "JADI' dan "CARI". Jika seseorang ikhwah mahu mendapatkan yang solehah, kurangkan sedikit agenda menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh. Jika akhawat inginkan yang soleh, janganlah terlalu berusaha menCARI yang soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Bertemu yang solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya juga boleh berubah… Kerana si soleh dan si solehah adalah insan biasa, tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Maka, seseorang fard al-Muslim yang sedang menuju ke gerbang perkahwinan, ia merupakan sebahagian proses untuk menJADI, bukan menCARI. Dalam hal ini, proses menJADI adalah lebih diutamakan daripada proses menCARI. Sekadar pandangan sebagai suatu mimbar muhasabah buat saya dan kita semua… Buat akhirnya, saya memohon maaf atas salah dan silap sekiranya terdapat kata-kata di dalam entri blog kali ini mengguriskan hati beberapa pihak… Wassalam.


~ribbiyyun~

Kampung Dusun Tua, Hulu Langat,

Ahad, 26 Jun 2011, 4.01 pm.