Hati ini membungkam rindu dan sayu, pada keindahan kalam wahyu... Sering kuamati hikmah yang menjadi i'jaz kepada syair-syair jahili suatu ketika dahulu... Bahkan, diskripsinya yang mu'jiz pastinya berkekalan sehingga hari perhitungan tanpa sebarang karya lain yang mampu menggugatnya... Subhana Allah... Al-Qur'an, menjadi sinar mentari umat dari kegelapan nyata. Aku telah menjadi saksi pada kebenaran firman Tuhan dari surah al-Isra', ayat 88 mafhumnya: "Katakanlah, sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat serupa dengan al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain."
Uslub dalil yang begitu anjal dan pragmatik, sesuai dengan mana-mana peradaban sehingga hari kiamat ini lalu memberkas jiwaku, memberi satu paradigma baru buat mana-mana pejuang yang berhempas-pulas mendaulatkan kalam Allah di samping berusaha menguasai Bahasa Syurgawi ini. Khayalanku terhadap keunikan dan keindahan kosa kata, keseimbangan frasa, dan tawazun di antara kalimah-kalimah, yang mana ia terdapat di dalam kitab suci ini membuatkanku merasa jahil yang bersangatan pada diri ini. Keindahan ayat suci al-Quran membuahkan momentum yang cukup menggetarkan jiwaku apatah lagi ketika meniti ayat-ayat azab dan tarhib... Bahkan ia semakin menyaksikan kekerdilan diri ini dalam penguasaan bahasa Arab, dan hal ini menjadikanku semakin meletakkan impianku setinggi melangit untuk mahir berbahasa Arab. Ya Allah, mudahkanlah hamba ini menguasai Bahasa al-Quran...
Aku ingin benar bertutur di dalam Bahasa Arab dengan fasih sekali. Kerinduanku dan keazamanku yang begitu menebal untuk menguasai bahasa ini adalakanya sehingga menitiskan air mata kerana kedhaifanku sebagai hamba yang tidaklah pandai berbahasa. Siapalah aku di sisi sahabat-sahabatku yang mampu menuturkan bahasa nabi s.a.w dengan fasih... Siapalah diri ini yang hanya bertukus-lumus mendalami dan menjiwai kelazatan bahasa Arab, tetapi aku bukanlah anak kelahiran bangsa Arab atau lahir di negara timur tengah... Perasaan sedih, dan cemburu justeru berkecamuk dalam diri, hanya kerana melihat sahabat lain mampu pergi dengan lebih jauh dalam menelusuri keagungan bahasa syurgawi ini...
Terus terang sahaja kukatakan, bahawa aku sangat iri hati kepada sahabat pasukan debat bahasa Arab UM yang lalu. Aku berusaha dan terus berusaha mendalami bahasa Arab untuk mengatasi mereka, namun apa yang kuperhatikan, semakin kuberjihad menyaingi mereka, semakin jauh pula aku ditinggalkan... Aku teruja melihat artikel dan emel berbahasa Arab, dan aku sendiri sering membacanya, lalu ia menggerakkan naluriku untuk menghasilkan karya berbahasa Arab untuk disebarkan. Apakan daya... Aku masih tidak cekap untuk menaip huruf jawi yang terdapat pada papan kekunci laptop. Hal ini adakalanya menyebabkanku berasa sukar untuk menaip di dalam blog atau emel, apatah lagi ia memakan masaku... Namun, dari semasa ke semasa, aku tetap juga menyesuaikan diri menaip jawi...
Apa yang menarik minatku pada artikel bahasa Arab ialah, kelunakan bahasanya sangat berbeza dengan bahasa-bahasa lain, malah tidak setara langsung sekiranya kita bisa mengamati intonasi dan konotasinya. Apatah lagi, bahasa Arab sering bersangkut paut dengan dalil dari al-Alquran dan hadith... Aku bertukus-lumus, menguasai bahasa ini, selagi nyawa dikandung badan. Di samping itu, aku berhasrat untuk menghafaz seluruh al-Quran, dan dengan itu aku mampu mengaplikasikan uslub ayat tersebut dengan komunikasi harian. Ya Allah, kurniakanlah daku kemudahan.. Sesungguhnya, di sebalik kesusahan, di sana terdapat kemudahan...
Namun, kuyakin, meskipun diri ini bukanlah berasal-usul dari negara Arab atau bukan anak kelahiran dari timur tengah, aku mampu menguasainya. Lipatan sejarah telah membuktikan bahawa, kebanyakan ulama' hadith yang bukanlah berasal dari negara Arab mampu menguasai malah memilki lidah yang lebih fasih daripada bangsa Arab itu sendiri. Imam Bukhari umpamanya, mampu menghasilkan karya berbahasa Arab berjudul-judul khususnya dalam bidang hadith sungguhpun beliau bukanlah berbangsa Arab. Kebanyakan ulama' hadith yang berasal dari negara India, mahir berbahasa Arab, meskipun mereka berbangsa India. Aku mengintepretasi semula ayat yang terdapat pada ayat yang kusudah lupa dari surah dan juz' mana, namun dari ayat tersebut dapatlah kuambil istinbat bahawa bahasa Arab bukanlah hanya semata-mata untuk bangsa Arab, akan tetapi untuk sekalian manusia yang menuturkan bahasa tersebut. Terlintas di fikiranku juga kepada wasiat al-syahid Imam Hasan al-Banna iaitu: “Tuturkanlah dengan bahasa Fusha..." Kata-kata al-Syahid itu sering menjadi perangsang kepadaku untuk menjadi pejuang yang memartabatkan bahasa Arab...
Duhai sahabatku yang mahir berbahasa Arab, aku teringin benar menjadi seperti kalian... Bahkan, daku seringkali berazam untuk mendahului kalian... Mudah-mudahan, ini menjadi suatu persaingan buat kita.... Fastabiqul khairat.... Tidak mengapa sekiranya kita cemburu dan bersaing pada dua perkara, iaitu ketika menginfaqkan harta, dan ketika menuntut ilmu.. Demikianlah mafhum daripada hadith junjungan besar Nabi s.a.w.... Wahai ustaz dan ustazahku, para pensyarahku, didiklah diriku ini menjadi generasi pencinta bahasa al-Quran, seterusnya menjadi pejuang yang mendaulatkan al-Quran daripada diinjak dan dipijak.. Ya Rabb wa ya Fadli wa al-In`am... kurniakanlah daku kekuatan dan kefahaman yang tinggi seperti mana kefahaman di dalam doa Nabi s.a.w kepada Ibn `Abbas yang dikenali sebagai tarjuman al-Quran, yang mana doa Baginda berbunyi: "Allhumma faqqihhu fi al-Din, wa `allimhu al-Takwil... " Amin ya rabbal `alamin... Wallahu A'lam...
No comments:
Post a Comment