Melayari suasana sepi setelah menunaikan solat maghrib di rumah mengembalikan ingatanku kepada seseorang. Kini (Sabtu, 24 Oktober, jam 7.30malam), aku hanya bersendirian di rumah, dan sudah menjadi kelaziman bagiku yang apabila bersendirian dan tidak mempunyai sebarang urusan, maka hati dan fikiranku ini mulalah bermonolog. Aku masih tidak puas seandainya ia berkomunikasi tidak berteman, lalu aku menterjemahkan ia ke dalam bentuk makalah penulisan.
Dia begitu memberi kesan kepadaku. Mengingati kenangan bersamanya menjadikan diri ini lebih bersemangat untuk berjuang meniti liku-liku kehidupan meninggikan agama. Tidaklah perlu untuk kunyatakan siapakah namanya, kerana kuyakin bahawa kalian akan dapat meneka siapakah gerangan empunya nama. Aku dan dia bukanlah seorang sahabat lama, malah perkenalan kami sehingga kini hanyalah kira-kira tiga tahun sahaja. Justeru, perlulah difahami bahawa erti sebuah persahabatan bukanlah terletak kepada tempoh masa perkenalan seseorang, sebaliknya erti persahabatan sebenar ialah sejauh mana kita dapat membimbing jiwa-jiwa ini menjadi ibadur rahman hakiki dalam menelusuri perjuangan mendaulatkan agama…
Dia seorang yang sangat menjaga hati rakan-rakannya dan sangat setia. Aku sangat mudah untuk mendekatinya disebabkan sifatnya yang mudah mesra. Ukhwah kami yang mula terbina pada akhir bulan Julai 2006 menjadi semakin erat apabila kami mengenal pasti beberapa titik persamaan yang wujud di antara kami. Sangat banyak untuk kunukilkan ciri-ciri sepunya yang menyebabkan kami lebih mengenali antara satu sama lain, dan di kesempatan ini, aku mengambil beberapa titik persamaan yang ketara untuk dimuatkan di dalam entri kali ini. Aku memaparkan hal ini kerana mendapati bahawa dia seorang sahabat yang begitu istimewa…
Persamaan pertama, aku dan dia sangat berminat mempelajari Bahasa Arab dengan lebih mendalam. Aku sangat obses pada ketika itu untuk berbual di dalam Bahasa Arab. Pantang sahaja melihat orang Arab di UM, maka aku terus saja bercakap Bahasa Arab dengan mereka. Ini kerana, aku sangat-sangat bimbang sekiranya Bahasa Arab pergi meninggalkanku, kerana kumenyedari bahawa sesuatu bahasa itu semakin ber‘nyawa’ sekiranya kita sering mempraktikkannya, dan semakin ‘layu’ sekiranya kita membisu. Mungkin juga dia sedikit teruja apabila sering melihatku berbual di dalam Bahasa Arab, dan kemudiannya perkenalan kami mula berputik memandangkan kami sering berjumpa di surau kolej 8 usai solat. Barulah aku mengetahui bahawa dialah satu-satunya mahasiswa tahun 1, Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa UM yang menginap di kolej 8. Maka, aku sering memberi perangsang kepadanya untuk sama-sama bersaing menguasai Bahasa Syurga ini sungguhpun aku bukanlah dari Jabatan Bahasa Arab, kerana dia seorang sahabat yang begitu bermakna…
Persaingan sihat di antara kami menyebabkan kami tidak pernah ketinggalan menyertai arena kejohanan debat Bahasa Arab peringkat IPT. Sepanjang pengajian, aku dan dia memperkasakan bahasa Arab ini melalui empat kejohanan debat, bermula pada bulan Julai 2007, ketika awal-awal pengajian tahun 2, sehingga pertengahan tahun 3. Di samping itu, setelah mengakhiri pengajian tahun 1, aku dan dia berpakat untuk menginap di kolej 11 disebabkan kami mengetahui bahawa kolej tersebut merupakan satu-satunya kolej yang menghimpunkan mahasiswa-mahasiswa dari luar negara khususnya negara Arab. Alhamdulillah… Kami terpilih menjadi warga kolej tersebut, maka dalam sela-sela waktu yang kosong di kolej, kami akan terus ke blok mahasiswa Arab untuk berkenalan dengan mereka seterusnya mempraktikkan perbualan Bahasa Arab bersama mereka.
Aku melihat kesungguhannya yang begitu tinggi. Bahkan aku melihat perubahannya begitu ketara dalam usaha menguasai Bahasa Arab. Perubahannya begitu drastik, daripada tidak tahu bertutur, sehingga fasih bertutur. Namun bagiku, hal ini tidaklah menjadi aneh kerana dia begitu obses dan berkobar-kobar dalam persaingan kami. Pada semester 3 dan 4 pengajian, hampir setiap hari kami menghabiskan masa bermu`amalah dengan rakan-rakan berbangsa Arab di bilik mereka. Tetapi, sedikit perbezaan di antara kami ialah, dia bukan sahaja berjumpa dengan rakan-rakan Arab, malah, seakan-akan bilik rakan-rakan Arab di kolej 11 menjadi bilik tidurnya sendiri! Jarang sekali dia pulang ke bilik kami yang terletak di blok lain. Kesemua peralatan hariannya dibawanya ke bilik rakan Arabnya, tidur di sana, mengulangkaji pelajaran di sana, bersolat jemaah di sana, mandi dan membasuh baju di sana, dan lain-lain lagi. Aku semakin teruja apabila dia banyak memenuhi masa cuti semesternya untuk bersama-sama rakan-rakan Arab, sedangkan aku pula pulang ke kampung halaman selama lebih sebulan. Mungkin juga kampung halamannya hanyalah terletak di Selangor, justeru dia lebih mudah untuk pulang ke kampung pada bila-bila masa. Dia melatih dirinya seperti seolah-olah berada di dalam kursus pengukuhan Bahasa Arab selama sebulan lebih di blok mahasiswa Arab. Persaingan sihat ini bagiku sangat membuahkan hasil. Kami sedikit sebanyak dapat meningkatkan kemahiran bertutur Bahasa Arab apatah lagi memperoleh bimbingan menerusi murabbi Ust Rosdi… Aku agak rapat dengan Ust Rosdi, memandangkan beliau sering membangkitkan semangat aku dan sahabatku untuk menguasai Bahasa Arab, di samping beliau sering menerapkan kefahaman Islam dan tarbiah kepada kami berdua.
Persamaan kedua, mungkin juga perkenalan aku dan dia lebih erat berbanding dengan sahabat-sahabat yang lain kerana umur kami adalah sebaya dan kami dari lulusan STAM, kemudian kami terpilih untuk menyambung pengajian di UM. Disebabkan kami berkelulusan STAM yang mana subjek-subjeknya di dalam Bahasa Arab, sememangnya kami sangat-sangat mencintai Bahasa Arab. Setelah aku memerhatikan kebanyakan rakanku yang terdapat di Akademi Pengajian Islam dan dari fakulti lain, maka kebanyakan mereka lebih tua setahun (lulusan dari Nilampuri) atau dua tahun (lulusan Diploma) daripada kami. Aku agak merendah diri disebabkan sebilangan besar daripada rakan-rakanku lebih tua berbanding denganku, dan mungkin juga disebabkan aku sebaya dengan kebanyakan rakan-rakan yang merupakan batch di bawahku, maka aku mudah intim dengan mereka.
Persamaan ketiga, dia juga merupakan sahabat yang sama-sama berada di dalam landasan yang sama di dalam gerakan. Maka, sememangnya apabila kami bersama-sama dalam gerak kerja, kami akan lebih memahami antara satu sama lain, sama ada dari segi kekangan masa, pengorbanan dan perjuangan, cabaran dan ujian, dan lain-lain. Tidak cukup untuk kuungkapkan di sini akan kenangan berjemaah kerana terlalu banyak. Ini kerana, aku dan dia banyak mempelajari erti kehidupan yang mendewasakan setelah berintima’ di dalam gerakan. Boleh kukatakan bahawa segala macam perasaan, suka, duka, gembira, sedih, bersemangat, lemah, dan sebagainya mewarnai hati kami dalam kehidupan berjemaah. Maka, perasaan sebegini rupa tidaklah dapat dikongsikan bersama-sama dalam erti kata yang sebenar melainkan berada di dalam satu jemaah yang sama, gerak kerja yang sama, matlamat yang sama, dan sebagainya, meskipun kami bukanlah di kalangan pimpinan tertinggi gerakan…
Memandangkan aku dan dia sering bersama-sama dalam usaha meningkatkan kefahaman Islam melalui wasilah jemaah, kami sangat gemar meningkatkan nilai-nilai ubudiyyah bersama-sama khususnya di dalam bulan Ramadhan. Hatinya sangat lembut dan mudah dilentur dengan amalan-amalan penyucian jiwa. Apabila aku atau dia dibelenggu sebarang masalah umum apatah lagi masalah khusus, maka kami sentiasa meluahkan permasalahan di antara kami berdua untuk diselesaikan bersama. Aku sangat memahami sekiranya dia berdiam diri seribu bahasa atau menyendiri, maka biasanya dia sedang menghadapi masalah rumit. Adakalanya beliau tidur begitu lama kerana tidak mahu memikirkannya. Aku dan dia sering bersama sekiranya terdapat program-program jemaah, kuliah-kuliah agama, himpunan aman, kelas-kelas Bahasa Arab, kem-kem, dan sebagainya sehingga pernah sahabatku yang lain mengatakan kepadaku bahawa kalau dia ada di dalam sesebuah program, mesti aku pun turut ada bersama dengannya, atau kalau aku ada di dalam sesebuah program, mesti dia juga turut bersama denganku. Mungkin juga terdapat kekurangan dan kepincangan di antara kami, tetapi kami tidak menyalahkan antara satu sama lain. Malah kami saling menghargai… Kerana dia seorang sahabat yang begitu istimewa…
Kini… Dia telah melanjutkan pengajian ke luar negeri, kerana dia memiliki kesungguhan yang begitu menyemarak, lalu membakar jiwanya untuk menguasai Bahasa Arab di Timur Tengah. Tempoh pengajiannya di luar negeri pula memakan masa tidak kurang lima tahun. Entah bilakah lagi dia akan pulang ke tanah air, ibarat sirih pulang ke gagang… Kerana setahu aku, dia hanya akan pulang setelah menamatkan pengajiannya di sana. Aku pasti menunggunya dan menyambut ketibaannya di Malaysia kelak... Namun, aku tidak pasti bilakah lagi aku akan bersua dengannya kerana hidup dan mati seseorang hamba itu telah ditakdirkan olehNya. Mungkin juga sedikit kesunyian melanda diri disebabkan ketiadaannya kini, kerana dahulunya dialah merupakan satu-satunya sahabat yang sering berdamping denganku dan sering berada di sisiku selain keluarga yang memahami. Aku telah mempelajari pelbagai perkara daripadanya dalam menyemai erti persahabatan hakiki. Aku mempelajari erti persaingan, ketekunan, dan kesungguhan. Aku mempelajari erti berjimat-cermat, dan hidup ini tidak harus dimanja-manjakan. Aku mempelajari erti kehidupan berjuang, dan penyelesaian masalahnya adalah secara bersama… Aku mempelajari bahasa syurgawi yang seharusnya perlu dikuasai oleh mereka yang ingin berjuang, apatah lagi mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan agama dan bahasa Arab…
Buat akhirnya, kumengambil kesempatan ini untuk mengungkapkan madah alf alf syukri buatnya… Moga engkau sentiasa di bawah payungan rahmat Allah, duhai sahabatku… Wassalam.
No comments:
Post a Comment