Monday, December 14, 2009

Menyingkap Tabir Hikmah Pada Derap Langkah di Ma’had dan di UM…(3)

Apakan daya, tempoh untukku menginap di kolej kediaman ke-11 tidaklah lama, hanya 1 semester sahaja. Aku dibuang kolej disebabkan aku dilabelkan sebagai pembangkang HEP pada ketika itu. Akan tetapi Kuasa Allah Meliputi segala-galanya… Aku berhasil untuk menginap di Bangsar di rumah quarters bapaku yang kebetulan beliau perlu berpindah kerja dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Jadi, aku tidak perlu mengeluarkan sebarang duit untuk membayar rumah sewa, malah harga sewa quarters tersebut tidaklah melebihi RM100, sedangkan bilikku di rumah tersebut agak selesa dan besar. Jarak rumahku dengan UM pula tidaklah begitu jauh, kira-kira hanya memakan masa 10 minit sahaja. Subhana Allah… Dan hal ini tidak menghalangku untuk terus bergaul dan mempraktikkan perbualan bahasa Arab, dan aku sering berkunjung ke kolej 11 hampir setiap hari sungguhpun aku menginap di luar universiti.

Satu perkara lagi yang merupakan suatu mutiara hikmah yang amat berguna buatku ketika menuntut ilmu di UM ialah aku terpilih di kalangan 12 pelajar APIUM yang ditaja oleh UM untuk mengikuti kursus Pengukuhan Bahasa Arab di Universiti al-Qaherah, Mesir. Kalau dulu aku sangat mengidamkan pengajian di uni.al-Azhar sebelum aku melanjutkan pengajian di UM, akhirnya ketika aku berada di UM, aku mendapat peluang juga ke bumi Mesir bertemu dengan sahabat-sahabat di sana selama sebulan. Aku turut dapat merasai sistem pengajian uni.al-Azhar dalam sehari, kerana pernah dalam satu hari di sana, aku mencuri-curi masuk ke dalam dewan kuliah al-Azhar hanya semata-mata ingin merasai pengalaman belajar bersama mahasiswa al-Azhar di dalam kuliah Usuluddin. Apabila direnungi semula, aku tidak pasti sama ada aku akan mendapat peluang sedemikian rupa sekiranya aku melanjutkan pengajian di IPT yang lain selain UM. Sungguh Indah percaturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t kepadaku…

Setelah tamat pengajian di peringkat ijazah di UM, satu persatu peluang dan ruang mula terbentang di hadapanku. Aku ditawarkan menjadi Reseacher Assistant bagi pensyarah Jabatanku Prof. Madya Dr. Ishak selama 4 bulan bermula bulan Jun 2009, di samping menjadi panel penterjemah kitab Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir yang dikarang oleh al-Sabuni. Seterusnya pada akhir bulan Oktober 2009, aku dipilih oleh pihak pengurusan APIUM sebagai salah seorang calon Ph.D tanpa mengambil master di APIUM disertai dengan tawaran biasiswa bulanan UM sebagai galakan menamatkan pengajian secepat mungkin. Seakan-akan biasiswa tersebut merupakan gaji bulanan bagiku, dan apa yang penting ialah aku perlu belajar dan terus belajar kerana UM telah memberikan peluang dan kepercayaan sepenuhnya kepadaku untuk menamatkan pengajian, lalu aku perlu juga memikirkan sumbangan yang perlu kucurahkan kepadanya… Ini belum ditambah lagi dengan imbuhan-imbuhan daripada geran-geran penyelidikan melalui founding terbaru yang dihasilkan dalam team-team penyelidikan seperti program Bright Sparks. Bagiku, UM memiliki banyak peruntukan kewangan yang telah diberikan oleh kerajaan kerana ia diiktiraf sebagai universiti penyelidikan bertaraf antarabangsa.

Aku merasakan bahawa aku telah mengecapi rahsia hikmah yang telah dikurniakan Tuhan kepadaku tentang mengapa perlunya aku menuntut ilmu di universiti perdana, Universiti Malaya. Sasaranku kini adalah aku ingin menguasai pertuturan dan penulisan Bahasa Inggeris, menguasai ilmu Bahasa Arab secara mendalam, menghafal al-Qur’an sebelum usiaku mencecah 30 tahun, menunaikan umrah sebelum bulan Ogos tahun 2010, memantapkan kemahiran menulis dan menyelidik, dan menghafal hadith 40 sebelum aku mengerjakan umrah, serta menamatkan Ph.D sebelum usiaku mencapai 26 tahun. Terdapat juga satu projek kolej kediamanku yang terbengkalai semasa pengajian ijazahku, iaitu kami tidak berkesempatan mengerjakan umrah sungguhpun wang kami telah cukup, malah wang kami telah lesap entah dibawa ke mana. Justeru aku berazam dengan meletakkan cita-cita menggunung tinggi agar aku berhasil menunaikan umrah pada tahun hadapan dengan mengumpulkan wang hasil daripada pendapatan biasiswa bulananku. Tiga perkara utama yang pada persepsiku, aku berjaya mengecapinya dan memberikan kesan yang mendalam kepada penghidupanku khususnya di UM, iaitu menguasai bahasa Arab melalui kejohanan debat, kecemerlangan dalam bidang akademik, dan berintima’ di dalam gerakan Islam. Dapat kusimpulkan bahawa sepanjang kehidupanku khususnya pengajianku di alam universiti, terdapat beberapa hal yang menjadi tumpuanku dan fokus hala tujuku iaitu bersama keluarga, bersama dengan sahabat-sahabiah dan gerakan PMIUM, bersama dengan program AQSA dan jabatan APIUM, bersama dengan pasukan debat Bahasa Arab UM, bersama dengan kumpulan-kumpulan penyelidik dan para pensyarah jabatan APIUM, dan bersama dengan aktiviti Persatuan Bahasa Arab UM.

Tuntasnya, aku begitu bersyukur kepada Ilahi kerana sekiranya aku tidak berada di pentas UM, belum pasti lagi aku dapat merasai kemanisan hikmah yang dikurniakan Tuhan andai aku berada di IPT lain. Antaranya, memperoleh biasiswa JPA, mengenali gerakan Islam terkemuka sekaligus terlibat dengannya, memperoleh anugerah cemerlang universiti, terpilih menyertai rombongan ke Mesir selama sebulan, mewakili pasukan debat Bahasa Arab UM, mempraktikkan perbualan Bahasa Arab, terpilih melanjutkan pengajian Ph.D, menjadi pembantu penyelidik dan panel penterjemah, memperoleh biasiswa UM, merasai suasana kepimpinan Pro-Mahasiswa dan Aspirasi, dan sebagainya... Inilah rahsia ketentuan Tuhan… Fahamilah mutiara hikmah yang telah disemadikanNya bagi setiap insan yang berfikir… Sesungguhnya, hidup kita adalah untuk perjuangan di hari muka… Berjuanglah dan terus berjuang..! Takbir!

2 comments:

  1. salam sahabat,syukurilah nikmat dan ujian bwtmu..tingkatkan diri dgn imlu dan amal,mga dgn ilmu semakin membuatkan diri lbh zuhud dgn dunia..

    ReplyDelete
  2. tahniah akh, dengan apa jua hikmah yang nta peroleh sekarang, semoga Allah sentiasa mengiringi kehidupan nta. barakallahu fik..

    ReplyDelete