Keenam: Tunaikanlah solat sunat Istikharah tika dibelenggu dengan pilihan, kerana Dia Maha Mengetahui dan Memahami Isi-isi Hati…
Wahai sahabat, bacalah, fahamilah, dan hayatilah doa tawakal di bawah…
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلَا أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي.
Ta’bir di atas merupakan suatu bentuk doa munajat yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya khususnya ketika manusia dibelenggu dengan pilihan. Doa tersebut telah direkodkan di dalam Sahih Bukhari, Sunan Abi Daud, Sunan al-Tirmidhi, Sunan al-Nasa’i, Sunan Ibn Majah, dan beberapa kitab mutun yang lain. Ia adalah rentetan daripada galakan Rasulullah s.a.w pada menunaikan solat sunat dua raka’at (Istikharah), kemudian dibacakan doa munajat di atas ketika sujud terakhir di dalam solat.
Aku masih teringat, pertama kali aku mula mengamalkan doa ini ialah ketika mengikuti Kursus Pengukuhan Bahasa Arab selama 5 bulan di Institut Pengajian Tinggi Islam Johor bermula pada akhir Disember selepas menamatkan pengajian di Ma’had Johor. Aku telah mengemukakan soalan mengenai cara-cara bertawakal dan membuat pilihan kepada seorang pensyarah berbangsa Arab ketika bertandang ke rumahnya, lalu beliau telah memperkenalkan kepadaku doa istikharah tersebut yang ma’thur daripada Nabi s.a.w. Apabila persoalan istikharah ini membabitkan hubungan sesama manusia, maka aku mula terfikir bahawa di sana tentunya terdapat suatu hikmah tersembunyi yang pada hakikatnya tidak dimengertikan oleh ramai manusia…
“Roh saling mengenal…” Ujar bapaku ringkas tanpa menghurai panjang, apabila aku mengajukan soalan secara umum mengenai jodoh pertemuan kepadanya. Ungkapan yang ringkas itu menyebabkan aku semakin teruja untuk lebih memahami dengan lebih lanjut, lalu kumeneliti beberapa bahan bacaan yang menyingkap persoalan roh berasaskan nas-nas al-Qur’an dan hadith. Aku menemui beberapa dalil daripada al-Qur’an dan hadith yang berkaitan hal tersebut, antaranya:
وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ (172)
Maksudnya:
172. Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (Bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)".
Surah al-A’raf (7): 172
Sabda Nabi s.a.w:
قَالَ اللَّيْثُ عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ عَنْ عَمْرَةَ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْأَرْوَاحُ جُنُودٌ مُجَنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ مِنْهَا ائْتَلَفَ وَمَا تَنَاكَرَ مِنْهَا اخْتَلَفَ.
(Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan Sunan Abi Daud)
Terdapat juga satu hadith lain yang menarik perhatianku, berkaitan perihal roh saling mengenal iaitu mengenai orang soleh yang bernama ‘Uwais al-Qarni yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w mengenai akhlaknya, sedangkan Nabi s.a.w tidak pernah menemuinya. Rasulullah s.a.w telah menceritakan bahawa ‘Uwais al-Qarni merupakan seorang tabi’in yang sangat soleh, serta menyarankan para sahabat untuk bertemu dengannya. Malah, kisah Uwais al-Qarni ini telah dibukukan di dalam satu bab khusus (bab: Min Fadha’il Uwais al-Qarni – Bab pada menyatakan beberapa kelebihan Uwais al-Qarni) di dalam Sahih Muslim. Lantas kuberfikir, bagaimana mungkin Rasulullah s.a.w memperkenalkan Uwais al-Qarni kepada para sahabat, sedangkan Baginda sendiri tidak pernah hidup dan bertemu dengannya..? Lalu persoalan ini terjawab apabila mengetahui bahawa para roh khususnya orang-orang yang soleh saling mengenal…
Sebelum roh ditiupkan ke dalam rahim ibu, pada hakikatnya roh-roh telah berhimpun dan menyaksikan keislaman mereka seraya berkata bahawa Allah Tuhan kami… Secara fitrahnya, roh manusia ingin kembali kepada nilai-nilai keislaman sejak kelahiran lagi, hanya saja ibu bapa mereka yang meyahudikan mereka, atau memajusikan mereka, dan sebagainya. Justeru, sebelum ditiupkan roh ke dalam jasad, di antara roh tersebut, mereka telah bersama-sama mengikut kecenderungan masing-masing. Roh yang cenderung ke arah perjuangan dan jihad akan bersama-sama dengan roh yang mempunyai cita rasa yang sama. Begitu juga roh yang berusaha ke arah kesufian, roh yang terjerumus ke arah kealpaan, dan sebagainya, berhimpun dan berinteraksi sesama mereka mengikut keserasian jiwa, dan dari situlah bermulanya perkenalan sesama manusia di alam roh… Ditiupkan roh ke dalam jasad manusia, maka bangkitlah manusia di muka bumi mencari keseimbangan dalam hubungan sesama manusia dengan menemui roh yang mereka ‘kenali’ suatu ketika dahulu. Hal ini bertepatan dengan hadith di atas yang membongkar hikmah bahawa roh merupakan satu barisan tentera yang mencari keseragaman antara satu sama lain. Yang telah ‘berkenalan’ lalu membuahkan kasih sayang, dan yang telah ‘bertembungan’ lalu mengakibatkan perselisihan dan ketidaksesuaian.
Maka tidaklah menjadi keanehan apabila Rasulullah s.a.w menyebut nama Uwais al-Qarni kerana barangkali Rasulullah telahpun ‘berkenalan’ dengannya di alam roh… Wa Allahu a’lam. Begitu juga, para ulama’ sufi mampu menyebut nama-nama individu tertentu apabila bertemu dengan mereka sedangkan mereka baru pertama kali bersua. Ada juga di antara mereka yang menangis kerinduan sesama mereka seolah-olah sudah lama berpisah, kemudian dipertemukan juga di dalam pelukan ukhwah di dalam pertemuan kali pertama di alam musyahadah. Agak aneh pada pandangan orang awam, yang barangkali hanya dimengertikan oleh orang-orang soleh dan para wali Allah, juga golongan muqarrabin. Ini hanyalah andaianku yang mungkin benar dan mungkin salah, kerana pada pengamatanku tidak terdapat satu sumber atau dalil yang benar-benar jelas dan qat’i mengenai situasi tersebut kerana persoalan roh hanyalah di dalam urusan Allah s.w.t. semata-mata. Aku memohon keampunan Allah s.w.t sekiranya terdapat kesilapan dalam mengemukakan pandangan.
Seterusnya jasad dan roh yang bersatu di alam musyahadah (dunia) akan bertemu dengan manusia yang mana jiwa-jiwa mereka saling bertambatan, mencari suatu ‘fikrah’ yang bersefahaman antara satu sama lain. Manusia yang cintakan ilmu akan bersua dengan manusia yang cintakan ilmu, manusia yang sukakan hiburan dan kelalaian akan berhimpun sesama mereka yang serasi dengan jiwa mereka, manusia yang cenderung ke arah kesufian akan bertemu dengan mereka yang mendambakan penyucian jiwa, manusia yang cenderung ke arah perkembangan semasa dan siasah akan serasi dengan ahli-ahli politik dan pmimpin negara, dan kesemuanya mengikut kecenderungan masing-masing. Namun, kecenderungan mereka tidaklah menunjukkan bahawa mereka menolak bidang-bidang lain yang tidak sebati dengan jiwa mereka, akan tetapi, kecenderungan mereka adalah merupakan suatu anugerah dan kelebihan yang terdapat pada diri mereka, tidak terdapat pada orang lain yang mempunyai kecenderungan yang lain pula.
Bermula daripada pemahaman inilah, maka usah dikhuatirkan soal jodoh pertemuan, ajal maut, perpisahan, ujian, dan sebagainya kerana hal-hal tersebut telah termaktub pada Lauh al-Mahfuz. Kerana roh telah pun ber‘taaruf’ terlebih dahulu apatah lagi hubungan yang membabitkan persoalan persabahatan, ukhwah, kekeluargaan, jodoh, dan hal-hal yang berkaitan dengan muamalah sesama manusia. Justeru Allah s.w.t akan mempertemukan seseorang dengan seseorang yang lain yang sememangnya sudah pun di‘kenali’nya yang serasi dan sebati dengan ketenangan dan ketenteraman jiwanya dan sememangnya dia akan hadir dengan sendirinya apabila tiba pada masanya… Maka, terjawablah lagi persoalan mengenai ayat yang terdapat di dalam ayat al-Qur’an:
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ أُولَئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ (26)
Maksudnya:
26. Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki- laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).
Surah al-Nur (24): 26
Hal ini juga sekaligus merungkai hadith nabi s.a.w, mafhumnya: “Berbuat baiklah kepada ibu bapamu, maka anak-anakmu akan berbuat baik kepadamu,” dan juga peribahasa Arab yang menyatakan bahawa ‘Sahabat itu merupakan cerminan dirinya’.
Hati yang tidak mati akan mudah sebati dengan roh melalui segala perilakunya. Hati dan roh yang sentiasa dihidupkan dengan zikrullah akhirnya akan sebati dengan zikir tersebut. Ingin mengetahui sama ada ia telah sebati dengan zikir, maka ketahuilah bahawa seseorang akan melafazkan apa yang kerap ia lafazkan ketika ia berefleksi dengan sesuatu yang mengejutkan ia tanpa disedari. Orang yang sering menyebut nama Allah akan menuturkan kalimah Allah apabila sesuatu yang mengejutkan berlaku ke atas dirinya. Begitu juga ketika di saat-saat akhir hayatnya. Manakala orang yang sering berkata lucah, mencarut, atau menjerit, akan melafazkan apa yang kerap mereka lafazkan ketika dalam situasi demikian… Wal `iyadhu billah min dhalik...
Tanda roh dan hati yang ‘hidup’ juga dapat diketahui ketika hendak tidur. Roh dan hati yang hidup akan mudah bangun pada masa yang ditentukan oleh minda mereka tanpa memerlukan jam pendering. Bahkan jasad akan bangkit daripada tidur betul-betul tepat pada masa yang ditentukan oleh kehendak hati mereka, sebagai contoh mereka ingin melaksanakan qiamullail pada jam 4 pagi, maka tepat pada jam 4 pagi, mereka akan bangun dengan sendirinya tanpa perlu menggunakan jam loceng, dan tanpa perlu dikejutkan. Subhana Allah… Inilah rahsia penciptaan manusia… Roh dan hati yang ‘hidup’ juga turut berasa tidak senang dan gementar apabila nafsu mengarah kepada melakukan kemungkaran. Bahkan jasad akan menggigil dan kedinginan apabila nafsu membuai dengan bisikan-bisikan yang boleh menjerumuskan diri ke lembah kemaksiatan. Hati turut tidak berasa tenteram dan panas apabila melihat apatah lagi berada di lorong dan corong yang menjadi pusat dan sumber keseronokan, fitnah dan gosip, kefanakan menggila, dan seumpamanya seperti berada di kelab-kelab malam, pusat beli belah, kasino dan disko, konsert-konsert nyanyian hedonisme, stesen-stesen bas yang penuh sesak, dan lain-lain.
Seterusnya, hati dan roh yang benar-benar ‘hidup’ akan berasa tidak tenang apabila meninggalkan kewajipan yang diamanahkan sebagai seorang hamba meskipun tidak sengaja seperti solat lima waktu, dan puasa. Bahkan, tidak mesti tidak mereka akan berusaha solat di awal waktu kerana tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan Pemilik hati, Allah s.w.t. Adakalanya, boleh jadi hati ini tidak semena-mena berasa gundah sungguhpun mereka telah melakukan kewajipan sebagai seorang muslim kerana Allah, dan apabila mereka bermuhasabah dan menyelidiki semula punca berlakunya keresahan hati, barulah mereka menyedari bahawa terdapat suatu amalan sunat yang telah mereka tinggalkan tanpa disengajakan… Ini kerana, amalan tersebut telah sebati dengan jiwa mereka yang mana ia telah menjadi suatu rutin harian buat mereka, menjadi 'makanan' hati buat mereka, seperti qiamullail atau membaca al-Qur’an satu maqra’... Hati-hati yang ‘hidup’ juga akan bergetar apabila menyebut dan mendengar kalimah ALLAH, semacam satu ketenangan embun pagi menjernihkan jiwa-jiwa mereka… Ilahi Anta maqsudi wa ridhaka matlubi… Sungguhpun begitu, pengistilahan qalb adalah lebih tepat berbanding ‘hati’ dari awal perbincangan blog sehingga kini mengenai sebarang artikel yang bersangkut paut dengan penyucian jiwa…
Setelah panjang lebar kumenghuraikan keenam-enam nasihatku buat pemuda-pemudi Islam, ayuh kita ngorak langkah menuju ke dimensi realiti seorang hamba dan khalifah dalam mencapai maksud hidup!! Tadabburlah hadith di bawah:
من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ
Maksudnya:
"Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati "
(Sunan al-Tirmidhi, Hadith Hasan Sahih)
Akhir kata, sebutlah lafaz ‘Allah’ dalam-dalam, dengan mata hati, dengan penuh kekhusyukan… Sekiranya tidak merasakan getaran, koreksi diri… Apakah benar hati ini telah terkunci? Apakah kita telah jauh dari rahmat Ilahi..?? Renung-renungkanlah…
No comments:
Post a Comment