Wednesday, March 31, 2010

Ya Rabbana…

1. رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ. (الأعراف: 23)

Maksudnya:

23.“Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari kalangan orang-orang yang rugi.”

Surah al-A’raf, (7): 23

2. رَبَّنَا افْتَحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ قَوْمِنَا بِالْحَقِّ وَأَنْتَ خَيْرُ الْفَاتِحِينَ. (الأعراف: 89)

Maksudnya:

89.“Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik hakim”.

Surah al-`Araf, (7): 89

3. رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ. (البقرة: 250)

Maksudnya:

250.“Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Surah al-Baqarah, (2): 250

4. رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ. (ال-عمران: 147)

Maksudnya:

147.“Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.”

Surah ali `Imran, (3): 147

5. رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا. إِنَّهَا سَاءَتْ مُسْتَقَرًّا وَمُقَامًا. (الفرقان: 65 – 66)

Maksudnya:

65.“Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksa-Nya itu adalah mengertikan,

66. Sesungguhnya neraka jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk.”

Surah al-Furqan, (25): 65 – 66

6. رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا. (الفرقان: 74)

Maksudnya:

74.“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami Imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan, (25): 74

7. رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا. (الكهف: 10)

Maksudnya:

10.“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

Surah al-Kahfi, (18): 10

8. رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ. رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ. (البقرة: 127 – 128)

Maksudnya:

127.“Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui;

128.“Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Surah al-Baqarah, (2): 127 - 128

9. رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلإخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإيمَانِ وَلا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ. (الحشر: 10)

Maksudnya:

10.“Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan Rahmat-Mu.”

Surah al-Hasyr, (59): 10

10. رَبَّنَا لا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ. رَبَّنَا إِنَّكَ جَامِعُ النَّاسِ لِيَوْمٍ لا رَيْبَ فِيهِ إِنَّ اللَّهَ لا يُخْلِفُ الْمِيعَادَ. (ال-عمران: 8 – 9)

Maksudnya:

8.“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

9.“Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya.” Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya.

Surah ali-`Imran, (3): 8 – 9

11. رَبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلإيمَانِ أَنْ آمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَآمَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الأبْرَارِ. رَبَّنَا وَآتِنَا مَا وَعَدْتَنَا عَلَى رُسُلِكَ وَلا تُخْزِنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّكَ لا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ. (ال-عمران: 193 – 194)

Maksudnya:

193.“Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mendengar seorang penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: “Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu”, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;”

194.“Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.”

Surah ali-`Imran, (3): 193 – 194

12. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. (البقرة: 201)

Maksudnya:

201. “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah, (2): 201

Ø Amalkanlah doa-doa yang ma’thur daripada al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi s.a.w… Hayati dan tadabburlah makna bagi doa-doa yang sering kita baca dan lafazkan agar beroleh sentuhan di hati… Wa Allahu a’lam…

Monday, March 29, 2010

Sekitar Pesta Buku Antarabangsa, dan Qudwahku, al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna.


Aku menyepi tidak beraksi di laman blogku hampir tiga minggu… Sekian lama kumeninggalkan catatan sayembara kehidupan kerana tidak punya ruang dan kesempatan yang sesuai untuk kumenukilkan… Post pada kali ini adalah mengenai Pesta Buku Antarabangsa di PWTC, Kuala Lumpur, bermula pada 19 – 28 Mac 2010, menyajikan kepada kita jualan buku terbesar yang berlangsung di tanah air, sekaligus mencacatkan sejarah ulung buat negara di dalam Malaysian Books of Record sebagai sebuah pesta buku antarabangsa terbesar yang pernah diadakan di Malaysia.

Aku telah berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa tersebut sebanyak 3 kali. Iaitu pada hari Jumaat lalu bersama sahabat-sahabat, hari, Sabtu, dan hari Ahad secara bersendirian. Bagiku, berkunjung ke kedai buku secara bersendirian lebih memuaskan daripada berjalan bersama rakan-rakan. Ini kerana, aku dapat menghabiskan masaku dengan meneliti dan membelek buku-buku yang kuinginkan secara satu persatu daripada mengikut kehendak rakan-rakan yang mahu ke sana sini. Tambahan pula, apabila aku berkunjung ke kedai-kedai buku, aku seringkali menghabiskan waktu yang agak lama, sebagaimana pada hari Sabtu yang lalu, aku telah ke pesta buku tersebut dari jam 11 pagi sehingga jam 7 malam. Sekiranya kita memerhatikan gelagat insan yang berkunjung, setiap insan mempunyai tujuan tersendiri apabila berkunjung ke pesta buku sebegini. Alangkah malangnya bagi mereka yang ingin ke pesta buku, tetapi hanya ingin ber‘shopping’ semata-mata, malang juga bagi mereka yang hanya ingin melihat suasana sambil men‘cuci mata’, sehingga ada di kalangan mereka yang meninggalkan solat fardu… Ada juga yang pergi hanya semata-mata ingin berhibur. Aku turut mendapati, booth yang paling digemari dan paling ramai dikunjungi ialah booth Majalah Gempak dan Majalah Ujang. Menurut pengamatanku, ini menunjukkan bahawa mentaliti masyarakat Malaysia masih bergelumang dengan hiburan, kartun dan bahan-bahan bacaan yang tidak mencerna minda.

Kira-kira RM500 telah kubelanjakan untuk membeli buku-buku dan kitab. Buku-buku yang telah kubeli ialah:

1. Al-Milal wa al-Nihal yang membicarakan tentang aliran-aliran aqidah dan teologi,

2. Kamus al-Qur’an hasil penulisan Prof.Dr Zulkifli Yusuf berserta gabungan pensyarah Jabatan al-Qur’an dan Al-Hadith, APIUM, yang mana memaparkan kepada kita mengenai kosa kata al-Qur’an berserta pengertiannya,

3. Al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an karangan al-Imam al-Suyuti mengenai pengajian ‘Ulum al-Qur’an,

4. Al-Kifayah syarh Bidayah al-Hidayah, iaitu sebuah kitab syarah terkini yang dikarang oleh ‘Abd al-Qadir Ahmad al-Fakihi, yang mensyarahkan kitab Bidayah al-Hidayah (Permulaan Hidayah) karangan Imam al-Ghazali,

5. Akidah Salaf dan Khalaf oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qardawi,

6. Sistem Politik Islam yang dikarang oleh Khalil Ali Muhammad al-Anbari,

7. Jatuhnya Sebuah Tamadun oleh Muhammad Nurhakim,

8. Cinta di Rumah Hasan al-Banna oleh Mohammad Lili Nur Aulia,

9. Persembahan Cinta Isteri Hasan al-Banna juga oleh Mohammad Lili Nur Aulia,

10. Harun al-Rasyid, karya yang ditulis oleh Dr. Syauqi Abu Khalil,

11. Umar bin Abdul Aziz, sebuah buku yang dikarang oleh Abdullah bin Abdul Hakam,

12. Syuhada Gaza karangan Dr. Ahmad Muhammad Mujahid,

13. Novel Cinta Granada oleh Radwa Ashour,

14. Novel Rindu Andalusia, juga dikarang oleh Radwa Ashour,

15. Al-Qur’an dan Terjemahnya diterbitkan oleh Khazanah Rabbani,

16. Dan dua kad manila yang memaparkan Atlas Dunia.

Novel berkaitan Andalus dan Granada telah kubeli kerana aku ingin menghayati dan menyelami kehidupan masyarakat Andalus di era pemerintahan kerajaan Islam serta penindasan yang telah dilakukan oleh golongan Kristian terhadap umat Islam ketika itu, secara tidak langsung ia memberikan sedikit sebanyak idea dan suasana Andalus kepadaku berkaitan penyelidikanku di universiti. Aku ingin merasakan suatu ‘sentuhan azimat’ seakan-akan aku berada di dalam spektrum dunia Andalus. Kad manila Atlas Dunia menjadi sumber inspirasi dan pembakar semangatku dalam menyoroti kembali kegemilangan empayar ketamadunan Islam yang pernah dikuasai khilafah Islamiyyah lebih 2/3 dunia suatu ketika dahulu dari Nusantara hingga ke semenanjung Iberia. Aku seringkali mengidamkan kegemilangan Islam seperti dahulu kala dan aku gemar memerhatikan peta dunia, justeru seringkali kusematkan azam dan tekad untuk memiliki ruh al-Jadid bersama kader-kader dakwah bertunjangkan agama…

Namun, dari kesemua bahan yang telah kubeli, karya Cinta di Rumah Hasan al-Banna telah berjaya mempesonakan naluriku, membina karakteristikku, membangkitkan semangat perjuangan, dalam mengusung panji kesarwajagatan Islam di segenap aspek penghidupan. Subhana Allah… Sehingga aku tidak terungkap dan tidak tahu hendak menuturkan apa mengenai karya ini, kerana ia begitu NIKMAT sekali sungguhpun ringkas, namun tuntas. Karya tersebut tidaklah begitu tebal, hanya kira-kira 80 halaman sahaja, namun berupaya menggugah hatiku yang terkesima dengan bait al-Muslim mengikut acuan Islam hakiki, lantas ia telah berhasil menonjolkan ketokohan al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna dalam membentuk sebuah institusi keluarga Islam, menjadi idaman sang pencinta Ilahi. Subhana Allah…

Langsung saja aku menjadikan beliau sebagai qudwah kontemporariku, AL-IMAM AL-SYAHID HASAN AL-BANNA RAHIMAHULLAH, setelah aku meneliti untaian kata di dalam karya di atas. Seorang tokoh yang sangat unggul dalam segala aspek kehidupan, dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara. Subhana Allah… Dengan umur yang begitu singkat, beliau berupaya membina jaringan kader-kader dakwah yang FAHAM, berjumlah kira-kira 70 000 orang semuanya, untuk menyusun atur masyarakat Mesir pada ketika itu berjumlah 70 juta orang. Bermula dari hal rumah tangganya, sehingga hal-hal yang membabitkan persoalan dan isu dunia, maka beliaulah yang menjadi front hadapan dalam memahami realiti.

Di dalam karya yang kunyatakan di atas, ia memfokuskan perbincangan mengenai peranan al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna sebagai seorang bapa yang paling cemerlang. Sangat cantik sekali… Berumah tangga dengan si isteri yang begitu solehah selama kira-kira 18 tahun sahaja, dan telah dikurniakan Allah 6 orang cahaya mata. Dua daripadanya telah meninggal dunia sewaktu kecil, tiga orang daripadanya menjadi pensyarah universiti bergelar Dr., dan seorang lagi sebagai peguam. Seorang yang sangat menekankan ilmu pengetahuan dan tarbiah anak-anak, sehingga memiliki perpustakaan dan ruang solat sendiri untuk ahli keluarga di rumah. Sekiranya aku mengisahkan kembali intipati-intipati di dalam karya tersebut, maka aku pasti para sahabat begitu kagum dengan keperibadian al-Imam Hasan al-Banna, namun aku merasakan tidak sesuai untuk kunukilkan kerana sangat banyak. Justeru, aku mengesyorkan kepada sahabat-sahabat sekalian khususnya kaum Adam, untuk membaca dan memiliki karya yang bermanfaat ini.

Pembacaan karya ini amat menyentuh hatiku, sehingga terdetik di fikiranku untuk menghasilkan satu karya berjudul Sebuah Catatan Biografi Sang Murabbi: Al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna. Ingin sahaja aku mengisahkan kembali al-Imam al-Syahid Hasan Al-Banna melalui penulisanku dan dibukukan menjadi satu karya yang sangat detail. Boleh jadi karya tersebut merangkumi tiga hingga empat jilid, hanya berkisar mengenai keperibadian Hasan al-Banna secara mendalam. Antaranya Hasan al-Banna dan Fard al-Muslim, Hasan al-Banna dan Bait al-Muslim, Hasan al-Banna dan Mujtama’ Muslim, Hasan al-Banna dan Daulah Islamiyyah, dan sebagainya. Betapa aku begitu tertarik dengan keperibadiannya meskipun tidak pernah kubersua dengannya. Entahlah, bilakan pula aku akan dapat menerbitkan karya yang kuimpikan itu… Mungkin sahaja aku boleh berganding bahu bersama sahabat-sahabat ijazah tinggi untuk menerbitkan sebuah karya yang bagiku tidak ternilai manfaatnya sekiranya berhasil menerbitkannya, untuk rujukan para nuqaba’ dan pendakwah… Aku yakin dan pasti, ia sangat bernilai!

Berbalik semula kepada pesta buku Antarabangsa, fikiranku mula menerawang semula mengenai kehebatan dan ketekunan ulama’ terdahulu dalam menghasilkan karya apabila daku melihat karya-karya mereka dijual di sekitar booth-booth jualan kitab. Sukar untuk kuungkapkan dan kubayangkan kerana aku sangat-sangat mengagumi mereka. Kerana para ulama’ terdahulu menghasilkan sejumlah karya yang begitu besar dan begitu bermakna lalu digunakan secara terus-menerus tanpa putus, dan sampai kepada kita. Umpamanya Tafsir Hada`iq al-Rauh wa al-Raihan, sebuah kitab tafsir yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Amin al-Harari al-Syafi’i, memuatkan 32 jilid kitab setebal kira-kira 1 meter. Begitu juga Kitab Tafsir al-Sya’rawi sebanyak 22 jilid, setebal hampir satu meter, yang dikarang oleh Syeikh Mutawalli Sya’rawi, seorang ulama’ Mesir Kontemporari, kitab al-Badr al-Munir fi Takhrij Ahadith al-Syarh al-Kabir, sebuah kitab Takhrij Hadith yang dikarang oleh Ibn Mulaqqan sebanyak 28 jilid, juga setebal hampir 1 meter. Dan akhir sekali, kitab Musnad Ahmad bin Hanbal, yang mengandungi 52 jilid, setebal hampir 2 meter. Subhana Allah… Sangat tebal. Mereka semuanya mengarang secara individu sahaja, namun berupaya menghasilkan karya-karya yang begitu besar, bermakna, dan sangat tebal untuk kegunaan pencinta-pencinta ilmu seterusnya. Sungguh aku ingin menjadi seperti mereka semua. Aku juga sangat tertarik dengan karya-karya Syeikh Sa’id Hawa, yang merupakan seorang tokoh sufi haraki kontemporari Ikhwan al-Muslimin. Begitu banyak sekali karya-karya yang dihasilkan olehnya sungguhpun beliau tidak lekang dengan aktiviti dakwah, siasah, dan tarbiah. Antara karyanya yang terkenal ialah al-Islam, al-Rasul, al-Asas fi al-Tafsir, al-Asas fi al-Hadith, al-Mustakhlas fi Tazkiayah al-Anfus, dan sebagainya. Bahkan, karya-karya yang dihasilkan oleh beliau agak tebal. Subhana Allah… Masih memiliki kesempatan berkarya sungguhpun bergelumang dengan perjuangan dan pengorbanan yang tidak terhingga… Ya Allah, jadikanlah aku seperti mereka yang memperjuangkan ilmu dan amal…

Pesta buku pada kali ini memberikan signifikannya yang tersendiri kepada diriku. Aku membayangkan selepas aku menamatkan pengajianku, aku ingin saja terus-menerus menulis dan menulis buku. Adakalanya, aku mengimpikan satu realiti perjuangan Islam melalui garapan dan sentuhan tinta penulisan ber‘bisa’ sehingga aku berjaya menubuhkan syarikat buku tersendiri yang dipelopori oleh ahli keluargaku. Syarikat tersebut merupakan satu mekanisme dakwahku bersama keluargaku kepada masyarakat keseluruhannya. Ertinya, kesemua karya-karya terbitan syarikatku merupakan hasil penulisan ahli keluargaku sendiri yang mana kesemua karya tersebut akan mengembalikan kita kepada kesedaran, keinsafan kehidupan beragama dan wehdatul ummah. Subhana Allah… Ayahku akan menerbitkan karya-karya yang kesemuanya berkaitan dengan sejarah Tanah Melayu, gerakan Islah, Kesultanan Melayu, Ulama’ Melayu, Politik Malaysia, dan sebarang perkara yang berkaitan Arkib Negara Malaysia. Ibuku pula menerbitkan karya-karya seperti Pengajian Bahasa Melayu, Tarbiah Anak-anak, Isu Pendidikan, dan seumpama dengannya. Aku mungkin saja mampu menghasilkan karya yang berkaitan Tafsir dan Ulum al-Qur’an, Tazkiyah al-Nafs, Karya-karya Haraki, Catatan Biografi Ulama’, Tamadun dan Empayar Islam di Andalus, dan sebagainya. Adikku, Im boleh menumpukan penghasilan karya mengenai Pengenalan Alam Bina, Architecture, Manhaj Haraki dan Gagasan ABIM, dan seumpama dengannya. Diana pula mungkin saja memiliki kepakaran dalam menghasilkan karya-karya motivasi Islam, psikologi, tarbiah Islam dan Persolan Hati Anugerah Ilahi, manakala Ifin pula menerbitkan karya-karya berkaitan Kejuruteraan Awam dan Ilmu Kira-kira Al-Khawarizmi. Hafiz pula boleh saja menghasilkan karya yang bersangkut paut dengan Tajwid, Tartil, Tilawah, Tahfiz, dan Ilmu Qira’at al-Qur’an… Dan sebagainya… Sekiranya berjaya, maka aku yakin bahawasanya inilah merupakan satu-satunya syarikat komuniti keluarga yang berjaya menerbitkan sejumlah karya daripada hasil kreativiti dan penulisan keluarga itu juga. Dan aku begitu yakin, bahawa penubuhan syarikat keluargaku ini secara tidak langsung menjadi pelopor dan contoh kepada penubuhan syarikat-syarikat buku yang lain yang ingin mengasaskan pembinaan Bait al-Muslim, penjanaan thaqafah, dan kecintaan ilmu bagi ahli keluarga tersebut sebagai kelangsungan dakwah dan perjuangan Islam hakiki. Takbir..!

Aku hanya tersenyum, entahkan jadi, entahkan tidak… Agak kelakar. Namun sekurang-kurangnya aku memaut harapan dan menyulam impian yang menggunung tinggi, untuk membina satu tiang asas Bait al-Muslim yang kukuh cemerlang selaras dengan tuntutan Islam. Wa Allahu a’lam… =)

Sunday, March 28, 2010

Adi Putra dan Kerajaan Islam Andalus Bukti Maha Hebatnya Allah s.w.t!


Pada minggu yang lalu, saya berpeluang menziarahi seorang kanak-kanak pintar atas pelawaan Ust Dzulkhairi M.Noor untuk bersama dengannya. Kepintarannya diiktiraf dunia sebagai salah seorang daripada lima orang kanak-kanak terpintar dunia. Turut bersama kami ialah Ust Radhi dan Ust Latif. Kanak-kanak pintar yang dimaksudkan ialah adik Adi Putra. Mungkin saja boleh saya katakan bahawa Adi Putra mempunyai satu ciri yang dipanggil sebagai progeny. Saya berserta abang-abang senior yang lain telah menemu ramah ayahnya dan juga berbual seketika mengenai perancangan program bersama dengannya, serta bergambar bersama adik Adi di rumahnya yang terletak di Taman Berlian, Greenwood, Gombak dari jam 2.30 petang hingga 5.30 petang. Ayahnya begitu asyik sekali dan obses menceritakan keperibadian dan kelebihan anaknya, dan saya kira, sedikit sebanyak daripada kata-kata ayahnya ada kebenarannya jua. Adi telah menghafal al-Qur’an 30 juzuk, menguasai 7 bahasa, memperkenalkan 228 formula baru matematik yang berteraskan formula al-Khawarizmi, dan memiliki syarikat dan kelas pengajian tersendiri sebagai guru matematik, dan menjadi guru al-Qur’an kepada anak Sultan, sungguhpun beliau kini baru berusia 11 tahun. Saya agak terkejut apabila ayahnya menyatakan bahawa setiap satu kaedah matematiknya bernilai lebih RMsatu juta! Ini kerana, ayahnya berkata bahawa di dunia ini masih kurang pakar-pakar matematik yang mampu mengemukakan walau satu formula atau teori matematik baru yang ringkas, cepat, dan mudah sebagaimana yang dikemukakan oleh adik Adi Putra.

Walau bagaimanapun, saya tidaklah menyanjungi Adi, akan tetapi Maha Suci Allah yang memperlihatkan KuasaNya kepada insan yang dipilihNya… Allah sahajalah yang Maha Hebat. Allah sahajalah yang Maha Pengurnia Nikmat dan Allah sahajalah yang berhak menarik kembali pemberian berupa anugerah kecerdikan dan kepintaran. Kepintaran Adi Putra merupakan nikmat daripada Allah, dan ia pada hakikatnya juga merupakan ujian daripada Allah buatnya dan keluarganya. Antara formula matematik terkenal Adi ialah formula al-Khawarizmi. Dikatakan bahawa para sarjana Barat telah mengeksploitasi formula al-Khawarizmi tersebut menjadi formula yang kurang efisien, kemudian formula Barat ini telah diserapkan ke dalam sistem pendidikan Malaysia di dalam subjek Matematik secara beransur-ansur sehingga mengakibatkan para pelajar menjadi lesu. Sesungguhnya, formula matematik al-Khawarizmi pada hakikatnya sangat mudah sekiranya diamati dan formula inilah yang ingin ditonjolkan semula oleh adik Adi di dalam subjek matematik. Bayangkan, dengan bilangan angka yang besar seperti (326788 X 35469), ia mampu dijawab dengan pantas (tidak sampai 10 saat) dan mudah dengan menggunakan formula al-Khawarizmi tanpa menggunakan kalkulator. Jawapannya pula hanya memerlukan satu baris daripada beberapa baris buku tulis sahaja. Hal ini telah dibuktikan oleh adik Adi sendiri di hadapan kami.

Apa yang menarik ialah, Adi cuba memperkenalkan kaedah-kaedah tersebut dan menghubungkannya kepada kebesaran Tuhan. Subhana Allah… Antaranya, kaedah alam semesta, kaedah penelitian ayat al-Qur’an, kaedah alam semulajadi (nature), kaedah orbit, kaedah keesaan Allah, dan sebagainya yang kesemuanya terangkum di dalam formula al-Khawarizmi. Dikatakan bahawa idea mengenai formula al-Khawarizmi ini sememangnya dianugerahi Ilahi yang mana ia bertepatan dengan formula yang digagaskan oleh tokoh Matemetik Islam tersohor silam, iaitu Imam al-Khawarizmi. Kepintaran Adi ini juga mengembalikan memori saya kepada tokoh-tokoh kesarjanaan Islam terdahulu sama ada ketika empayar Umayyah, Abbasiyyah, mahupun Turki Uthmaniyyah, khususnya ketika Adi menyatakan bahawa kaedah-kaedah matematiknya bersangkut-paut dengan formula yang diperkenalkan oleh al-Khawarizmi, tokoh sarjana Islam terbilang. Ingin pula saya menyoroti kembali kegemilangan Andalus yang mampu melahirkan tokoh-tokoh sarjana dari pelbagai disiplin ilmu dan aliran. Setelah saya membaca beberapa karya historiografi Islam di Andalus seperti Sejarah Bani Umayyah di Andalus, dan Andalus, Semarak Tamdun di Eropah, saya berasa begitu takjub dengan pemerintahan Islam di wilayah tersebut, yang menjadi pusat segala percambahan intelektual di serata dunia.

Kemudian, Saya melakukan analisis ringkas mengenai tokoh-tokoh intelektual Andalus dalam segenap bidang. Berikut merupakan bidang keilmuan yang diceburi di Andalus dan tokoh-tokoh sarjana yang berkaitan:

1. Tafsir dan ‘Ulum al-Qur’an – Ibn `Atiyyah, al-Qurtubi dan lain-lain (p/s: lebih 70 orang tokoh tafsir terdapat di Andalus!)

2. Hadith dan Ilmu Rijal – Baqi bin Makhlad, Ibn `Abd al-Bar, Qadi `Iyad

3. Feqh – Ibn al-‘Arabi (mazhab Maliki), Ibn Hazm al-Andalusi (Pengasas Mazhab Zahiri), al-Awza’i (Pengasas mazhab Awza’i)

4. Sufi – Muhyiddin Ibn `Arabi

5. Bahasa Arab – Abu Hayyan al-Andalusi, Ibn Malik

6. Ilmu Qira’at – Abu Hayyan al-Andalusi, Abu Amru al-Dani

7. Sasterawan – Ibn Hazm al-Andalusi, Ibn Sa’id al-Maghribi

8. Falsafah – Ibn Masarrah, Ibn Rushd, Ibn Tufail

9. Ketamadunan dan sosiologi – Ibn Khaldun

10. Kedoktoran dan pembedahan – Ibn Bajjah, Ibn Haitham, al-Zahrawi, Ibn Zuhri, Ibn Nafis

11. Pelayaran dan pengembaraan – Ibn Batutah

12. Pemerintahan dan siasah Islam – Abd al-Rahman al-Dakhil, Yusuf bin Tashfin, dan lain-lain

13. Panglima perang – Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusayr

14. Astronomi – al-Majriti, al-Zarqali

15. Kimia – Jabir bin Hayyan, Ibn Firnas

16. Ilmu Botani – Ibn Bassal, Ibn al-Wafid, Ibn Hajjaj, Ibn Sidah, Ibn Baitar, al-Biruni

17. Fizik – Ibn Bajjah, Ibn Maimun

18. Dan lain-lain…

Ironinya, sekiranya kita menggambarkan kehidupan kita pada era tersebut, alangkah kagumnya kita apabila melihat si anak kecil sudah dilatih membaca buku dan cintakan ilmu, golongan pertengahan di kalangan masyarakat sering kali menuturkan perkara-perkara yang bersifat ilmiah dengan cetusan idea dan pandangan masing-masing tanpa beromong kosong, para sarjana tidak putus-putus berdiskusi dan mengadakan kuliah-kuliah ilmu di masjid-masjid, universiti, dan madrasah, golongan pemerintah meggalakkan perkembangan intelektual yang drastik dengan memberikan biasiswa dan ganjaran kepada para pencinta ilmu, aliran pemikiran tidak dikongkong dan disekat, malah perdebatan ilmiah secara terbuka adakalanya dijalankan secara harmoni di dewan persidangan, manakala di setiap penjuru kawasan perumahan, kelihatan anak-anak muda menghafal al-Qur’an dan hadith, pembinaan sistem pengairan, bangunan, dan ukiran yang mempunyai nilai estetika tersendiri, elemen-elemen kerohanian Islam dipraktikkan secara konsisten, masjid-masjid diimarahkan dengan pengamalan ‘ubudiyyah dan sebagainya… Subhana Allah… Boleh jadi kita kan terduduk, berasa canggung kerana bingung ditambah dengan keanehan berupa kekaguman apabila diberi keizinan untuk merasai dan melihat penghidupan pada era tersebut… Nah, kita dapat perhatikan bahawa demokrasi intelektual di Andalus telah mencapai satu tahap yang membanggakan apabila dikatakan bahawa tiada seorang penduduk Andalus yang buta huruf pada era tersebut, malah Andalus telah disaksikan sebagai wilayah ketamadunan dan keintelektualan manusia sejagat yang paling gemilang di seantero dunia yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana peradaban.

Begitulah imaginasi saya mengenai perihal empayar ketamadunan Islam pada masa dahulu khususnya Andalus, jauh sekali dengan kondisi orang-orang muslim kini yang semakin tenggelam dek tipu daya hiburan, media massa, nafsu, dan sebagainya yang akhirnya meruntuhkan sebuah peradaban terulung suatu ketika dahulu. Kalaulah ingin saya ibaratkan, boleh jadi golongan cendekiawan pada masa kini hanyalah setaraf dengan golongan kelas pertengahan (iaitu masyarakat) pada era kegemilangan Islam yang silam, malah barangkali lebih rendah lagi… Kita masih gagal dalam menangani perang saraf Yahudi dan Nasrani, kita masih gagal dalam menghayati dan merenungi peradaban Islam untuk dikembalikan semula pada kedudukan yang sewajarnya pada masa kini, dan kita masih gagal lagi menyemai roh-roh jihad, suara kebangkitan, dan kesedaran penghidupan di muka bumi sebagai satu amanah Allah yang wajib dilaksanakan… Al-Islamu ya’lu wa la u’la ‘alaih..!

Namun, kita masih punya masa dan kesempatan untuk melakukan satu revolusi. Iaitu revolusi mengembalikan Islam ke pundaknya yang sebenar. Tanggungjawab ini bukanlah hanya digalas oleh golongan pemimpin, malah ia menjadi satu amanah yang BESAR bagi setiap fard al-Muslim dalam mengusung panji Ilahi. Kadang kala saya terfikir, kelulusan Ph.D hanyalah merupakan mekanisme pengaruh kita sahaja untuk menghadapi mad’u, namun ia bukanlah penanda aras keintelektualan yang sesuai jika dibandingkan dengan ulama’ al-Amilin yang lampau dan juga kontemporari. Jauh sekali… Kerana itulah kita dapati bahawa kebanyakan para ulama’ tidak pun memiliki pengiktirafan Ph.D, namun mereka memiliki selautan ilmu yang berlipat kali ganda daripada graduan lulusan kedoktoran. Para lulusan kedoktoran hanyalah menganalisis, menyelidik, mengumpulkan data, dan mensintesis hasil analisis tersebut bagi menghasilkan teori baru, manakala para ulama’ bukan sekadar melakukan aktiviti tersebut, malah mereka berdakwah, menghafal al-Qur’an dan kitab-kitab, menjadi pejuang agama, serta menyimpan ilmu di dada untuk beramal dengannya. Inilah perbezaan ketara di antara pensyarah (penyelidik) dan ulama’, yang akhirnya boleh saya konklusikan graduan Ph.D hanyalah dipanggil sebagai penyelidik, manakala para ulama’ dipanggil sebagai golongan rabbaniyyin `amilin. Renungilah ayat 79 dari surah Ali-‘Imran:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِي مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ (79)

Maksudnya:

79. Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sewajarnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah Ta’ala - Dengan ILMU dan AMAL yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

Kadang kala juga, saya memikirkan bahawa setelah saya menamatkan pengajian, langsung saja saya ingin menjadi pendakwah bebas, menghasilkan karya, berceramah, turun ke lapangan ummah, membina jaringan organisasi, hatta menjadi ahli parlimen sekalipun kerana bagi saya hal ini lebih praktikal dan lebih mendepani realiti perjuangan menegakkan syiar Islam. Saya melihat hal tersebut bukan atas dasar untuk menonjolkan diri, tapi hal tersebut menjadi satu amanah yang seharusnya perlu dikemudi bagi setiap pejuang… Semua umat Islam wajib memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai orang Islam, bukan hanya bertaqlid buta dan mengikut-ikut sahaja. Umat Islam perlu memiliki idealisme tersendiri untuk membina ummah, menyemai ukhwah, dalam menegakkan kalimah Allah…

Konklusinya, saya betpandangan bahawa kunci asas perjuangan yang berterusan adalah dua perkara, iaitu: 1. KEIKHLASAN dan 2. PENGORBANAN… Inilah dua item yang sangat ditekankan dan dipraktikkan oleh al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna di dalam orientasi gerakan beliau, Ikhwan al-Muslimin setelah saya membaca dan mengamati karya mengenai keperibadian beliau yang berjudul Cinta di Rumah Hasan al-Banna. Justeru, perlu juga kita yakini janji Tuhan adalah benar tanpa bergantung kepada makan gaji, dan perlu juga berfikir untuk menjadi lebih independent, kerana kesemua rezeki datang daripadaNya dan kembali kepadaNya jua… Wa Allahu waliyyu al-Tawfiq…