Aku menyepi tidak beraksi di laman blogku hampir tiga minggu… Sekian lama kumeninggalkan catatan sayembara kehidupan kerana tidak punya ruang dan kesempatan yang sesuai untuk kumenukilkan… Post pada kali ini adalah mengenai Pesta Buku Antarabangsa di PWTC, Kuala Lumpur, bermula pada 19 – 28 Mac 2010, menyajikan kepada kita jualan buku terbesar yang berlangsung di tanah air, sekaligus mencacatkan sejarah ulung buat negara di dalam Malaysian Books of Record sebagai sebuah pesta buku antarabangsa terbesar yang pernah diadakan di Malaysia.
Aku telah berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa tersebut sebanyak 3 kali. Iaitu pada hari Jumaat lalu bersama sahabat-sahabat, hari, Sabtu, dan hari Ahad secara bersendirian. Bagiku, berkunjung ke kedai buku secara bersendirian lebih memuaskan daripada berjalan bersama rakan-rakan. Ini kerana, aku dapat menghabiskan masaku dengan meneliti dan membelek buku-buku yang kuinginkan secara satu persatu daripada mengikut kehendak rakan-rakan yang mahu ke sana sini. Tambahan pula, apabila aku berkunjung ke kedai-kedai buku, aku seringkali menghabiskan waktu yang agak lama, sebagaimana pada hari Sabtu yang lalu, aku telah ke pesta buku tersebut dari jam 11 pagi sehingga jam 7 malam. Sekiranya kita memerhatikan gelagat insan yang berkunjung, setiap insan mempunyai tujuan tersendiri apabila berkunjung ke pesta buku sebegini. Alangkah malangnya bagi mereka yang ingin ke pesta buku, tetapi hanya ingin ber‘shopping’ semata-mata, malang juga bagi mereka yang hanya ingin melihat suasana sambil men‘cuci mata’, sehingga ada di kalangan mereka yang meninggalkan solat fardu… Ada juga yang pergi hanya semata-mata ingin berhibur. Aku turut mendapati, booth yang paling digemari dan paling ramai dikunjungi ialah booth Majalah Gempak dan Majalah Ujang. Menurut pengamatanku, ini menunjukkan bahawa mentaliti masyarakat Malaysia masih bergelumang dengan hiburan, kartun dan bahan-bahan bacaan yang tidak mencerna minda.
Kira-kira RM500 telah kubelanjakan untuk membeli buku-buku dan kitab. Buku-buku yang telah kubeli ialah:
1. Al-Milal wa al-Nihal yang membicarakan tentang aliran-aliran aqidah dan teologi,
2. Kamus al-Qur’an hasil penulisan Prof.Dr Zulkifli Yusuf berserta gabungan pensyarah Jabatan al-Qur’an dan Al-Hadith, APIUM, yang mana memaparkan kepada kita mengenai kosa kata al-Qur’an berserta pengertiannya,
3. Al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an karangan al-Imam al-Suyuti mengenai pengajian ‘Ulum al-Qur’an,
4. Al-Kifayah syarh Bidayah al-Hidayah, iaitu sebuah kitab syarah terkini yang dikarang oleh ‘Abd al-Qadir Ahmad al-Fakihi, yang mensyarahkan kitab Bidayah al-Hidayah (Permulaan Hidayah) karangan Imam al-Ghazali,
5. Akidah Salaf dan Khalaf oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qardawi,
6. Sistem Politik Islam yang dikarang oleh Khalil Ali Muhammad al-Anbari,
7. Jatuhnya Sebuah Tamadun oleh Muhammad Nurhakim,
8. Cinta di Rumah Hasan al-Banna oleh Mohammad Lili Nur Aulia,
9. Persembahan Cinta Isteri Hasan al-Banna juga oleh Mohammad Lili Nur Aulia,
10. Harun al-Rasyid, karya yang ditulis oleh Dr. Syauqi Abu Khalil,
11. Umar bin Abdul Aziz, sebuah buku yang dikarang oleh Abdullah bin Abdul Hakam,
12. Syuhada Gaza karangan Dr. Ahmad Muhammad Mujahid,
13. Novel Cinta Granada oleh Radwa Ashour,
14. Novel Rindu Andalusia, juga dikarang oleh Radwa Ashour,
15. Al-Qur’an dan Terjemahnya diterbitkan oleh Khazanah Rabbani,
16. Dan dua kad manila yang memaparkan Atlas Dunia.
Namun, dari kesemua bahan yang telah kubeli, karya Cinta di Rumah Hasan al-Banna telah berjaya mempesonakan naluriku, membina karakteristikku, membangkitkan semangat perjuangan, dalam mengusung panji kesarwajagatan Islam di segenap aspek penghidupan. Subhana Allah… Sehingga aku tidak terungkap dan tidak tahu hendak menuturkan apa mengenai karya ini, kerana ia begitu NIKMAT sekali sungguhpun ringkas, namun tuntas. Karya tersebut tidaklah begitu tebal, hanya kira-kira 80 halaman sahaja, namun berupaya menggugah hatiku yang terkesima dengan bait al-Muslim mengikut acuan Islam hakiki, lantas ia telah berhasil menonjolkan ketokohan al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna dalam membentuk sebuah institusi keluarga Islam, menjadi idaman sang pencinta Ilahi. Subhana Allah…
Langsung saja aku menjadikan beliau sebagai qudwah kontemporariku, AL-IMAM AL-SYAHID HASAN AL-BANNA RAHIMAHULLAH, setelah aku meneliti untaian kata di dalam karya di atas. Seorang tokoh yang sangat unggul dalam segala aspek kehidupan, dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara. Subhana Allah… Dengan umur yang begitu singkat, beliau berupaya membina jaringan kader-kader dakwah yang FAHAM, berjumlah kira-kira 70 000 orang semuanya, untuk menyusun atur masyarakat Mesir pada ketika itu berjumlah 70 juta orang. Bermula dari hal rumah tangganya, sehingga hal-hal yang membabitkan persoalan dan isu dunia, maka beliaulah yang menjadi front hadapan dalam memahami realiti.
Di dalam karya yang kunyatakan di atas, ia memfokuskan perbincangan mengenai peranan al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna sebagai seorang bapa yang paling cemerlang. Sangat cantik sekali… Berumah tangga dengan si isteri yang begitu solehah selama kira-kira 18 tahun sahaja, dan telah dikurniakan Allah 6 orang cahaya mata. Dua daripadanya telah meninggal dunia sewaktu kecil, tiga orang daripadanya menjadi pensyarah universiti bergelar Dr., dan seorang lagi sebagai peguam. Seorang yang sangat menekankan ilmu pengetahuan dan tarbiah anak-anak, sehingga memiliki perpustakaan dan ruang solat sendiri untuk ahli keluarga di rumah. Sekiranya aku mengisahkan kembali intipati-intipati di dalam karya tersebut, maka aku pasti para sahabat begitu kagum dengan keperibadian al-Imam Hasan al-Banna, namun aku merasakan tidak sesuai untuk kunukilkan kerana sangat banyak. Justeru, aku mengesyorkan kepada sahabat-sahabat sekalian khususnya kaum Adam, untuk membaca dan memiliki karya yang bermanfaat ini.
Pembacaan karya ini amat menyentuh hatiku, sehingga terdetik di fikiranku untuk menghasilkan satu karya berjudul Sebuah Catatan Biografi Sang Murabbi: Al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna. Ingin sahaja aku mengisahkan kembali al-Imam al-Syahid Hasan Al-Banna melalui penulisanku dan dibukukan menjadi satu karya yang sangat detail. Boleh jadi karya tersebut merangkumi tiga hingga empat jilid, hanya berkisar mengenai keperibadian Hasan al-Banna secara mendalam. Antaranya Hasan al-Banna dan Fard al-Muslim, Hasan al-Banna dan Bait al-Muslim, Hasan al-Banna dan Mujtama’ Muslim, Hasan al-Banna dan Daulah Islamiyyah, dan sebagainya. Betapa aku begitu tertarik dengan keperibadiannya meskipun tidak pernah kubersua dengannya. Entahlah, bilakan pula aku akan dapat menerbitkan karya yang kuimpikan itu… Mungkin sahaja aku boleh berganding bahu bersama sahabat-sahabat ijazah tinggi untuk menerbitkan sebuah karya yang bagiku tidak ternilai manfaatnya sekiranya berhasil menerbitkannya, untuk rujukan para nuqaba’ dan pendakwah… Aku yakin dan pasti, ia sangat bernilai!
Berbalik semula kepada pesta buku Antarabangsa, fikiranku mula menerawang semula mengenai kehebatan dan ketekunan ulama’ terdahulu dalam menghasilkan karya apabila daku melihat karya-karya mereka dijual di sekitar booth-booth jualan kitab. Sukar untuk kuungkapkan dan kubayangkan kerana aku sangat-sangat mengagumi mereka. Kerana para ulama’ terdahulu menghasilkan sejumlah karya yang begitu besar dan begitu bermakna lalu digunakan secara terus-menerus tanpa putus, dan sampai kepada kita. Umpamanya Tafsir Hada`iq al-Rauh wa al-Raihan, sebuah kitab tafsir yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Amin al-Harari al-Syafi’i, memuatkan 32 jilid kitab setebal kira-kira 1 meter. Begitu juga Kitab Tafsir al-Sya’rawi sebanyak 22 jilid, setebal hampir satu meter, yang dikarang oleh Syeikh Mutawalli Sya’rawi, seorang ulama’ Mesir Kontemporari, kitab al-Badr al-Munir fi Takhrij Ahadith al-Syarh al-Kabir, sebuah kitab Takhrij Hadith yang dikarang oleh Ibn Mulaqqan sebanyak 28 jilid, juga setebal hampir 1 meter. Dan akhir sekali, kitab Musnad Ahmad bin Hanbal, yang mengandungi 52 jilid, setebal hampir 2 meter. Subhana Allah… Sangat tebal. Mereka semuanya mengarang secara individu sahaja, namun berupaya menghasilkan karya-karya yang begitu besar, bermakna, dan sangat tebal untuk kegunaan pencinta-pencinta ilmu seterusnya. Sungguh aku ingin menjadi seperti mereka semua. Aku juga sangat tertarik dengan karya-karya Syeikh Sa’id Hawa, yang merupakan seorang tokoh sufi haraki kontemporari Ikhwan al-Muslimin. Begitu banyak sekali karya-karya yang dihasilkan olehnya sungguhpun beliau tidak lekang dengan aktiviti dakwah, siasah, dan tarbiah. Antara karyanya yang terkenal ialah al-Islam, al-Rasul, al-Asas fi al-Tafsir, al-Asas fi al-Hadith, al-Mustakhlas fi Tazkiayah al-Anfus, dan sebagainya. Bahkan, karya-karya yang dihasilkan oleh beliau agak tebal. Subhana Allah… Masih memiliki kesempatan berkarya sungguhpun bergelumang dengan perjuangan dan pengorbanan yang tidak terhingga… Ya Allah, jadikanlah aku seperti mereka yang memperjuangkan ilmu dan amal…
Pesta buku pada kali ini memberikan signifikannya yang tersendiri kepada diriku. Aku membayangkan selepas aku menamatkan pengajianku, aku ingin saja terus-menerus menulis dan menulis buku. Adakalanya, aku mengimpikan satu realiti perjuangan Islam melalui garapan dan sentuhan tinta penulisan ber‘bisa’ sehingga aku berjaya menubuhkan syarikat buku tersendiri yang dipelopori oleh ahli keluargaku. Syarikat tersebut merupakan satu mekanisme dakwahku bersama keluargaku kepada masyarakat keseluruhannya. Ertinya, kesemua karya-karya terbitan syarikatku merupakan hasil penulisan ahli keluargaku sendiri yang mana kesemua karya tersebut akan mengembalikan kita kepada kesedaran, keinsafan kehidupan beragama dan wehdatul ummah. Subhana Allah… Ayahku akan menerbitkan karya-karya yang kesemuanya berkaitan dengan sejarah Tanah Melayu, gerakan Islah, Kesultanan Melayu, Ulama’ Melayu, Politik Malaysia, dan sebarang perkara yang berkaitan Arkib Negara Malaysia. Ibuku pula menerbitkan karya-karya seperti Pengajian Bahasa Melayu, Tarbiah Anak-anak, Isu Pendidikan, dan seumpama dengannya. Aku mungkin saja mampu menghasilkan karya yang berkaitan Tafsir dan Ulum al-Qur’an, Tazkiyah al-Nafs, Karya-karya Haraki, Catatan Biografi Ulama’, Tamadun dan Empayar Islam di Andalus, dan sebagainya. Adikku, Im boleh menumpukan penghasilan karya mengenai Pengenalan Alam Bina, Architecture, Manhaj Haraki dan Gagasan ABIM, dan seumpama dengannya. Diana pula mungkin saja memiliki kepakaran dalam menghasilkan karya-karya motivasi Islam, psikologi, tarbiah Islam dan Persolan Hati Anugerah Ilahi, manakala Ifin pula menerbitkan karya-karya berkaitan Kejuruteraan Awam dan Ilmu Kira-kira Al-Khawarizmi. Hafiz pula boleh saja menghasilkan karya yang bersangkut paut dengan Tajwid, Tartil, Tilawah, Tahfiz, dan Ilmu Qira’at al-Qur’an… Dan sebagainya… Sekiranya berjaya, maka aku yakin bahawasanya inilah merupakan satu-satunya syarikat komuniti keluarga yang berjaya menerbitkan sejumlah karya daripada hasil kreativiti dan penulisan keluarga itu juga. Dan aku begitu yakin, bahawa penubuhan syarikat keluargaku ini secara tidak langsung menjadi pelopor dan contoh kepada penubuhan syarikat-syarikat buku yang lain yang ingin mengasaskan pembinaan Bait al-Muslim, penjanaan thaqafah, dan kecintaan ilmu bagi ahli keluarga tersebut sebagai kelangsungan dakwah dan perjuangan Islam hakiki. Takbir..!
Aku hanya tersenyum, entahkan jadi, entahkan tidak… Agak kelakar. Namun sekurang-kurangnya aku memaut harapan dan menyulam impian yang menggunung tinggi, untuk membina satu tiang asas Bait al-Muslim yang kukuh cemerlang selaras dengan tuntutan Islam. Wa Allahu a’lam… =)
No comments:
Post a Comment