Adakalanya, rasa malas dan letih mula membelenggu diri ini. Justeru, apabila hal sebegini berlaku pada diri saya, saya perlu mencari semangat untuk memberikan satu empower dan mengecas semula diri ini agar istiqamah melayari kehidupan sebagai Talib al-‘Ilmi. Beberapa mekanisme telah saya gunakan, antaranya menyelami kembali biografi ulama’ terdahulu dalam menuntut ilmu, bersaing dengan sahabat-sahabat yang cintakan ilmu, membaca karya-karya yang bersifat taujihat dan pembakar semangat, dan tidak lupa juga saya bermunajat kepada Allah s.w.t saban hari.
Baru-baru ini pada hari Ahad yang lalu, sahabat saya Aizuddin telah menghubungi abangnya dan mengkhabarkan perkembangannya di Lubnan. Perkembangannya di sana sungguh memberangsangkan, dan membuatkan saya tidak senang duduk disebabkan perkembangan pembelajarannya yang begitu drastik. Saya ingin bersaing dengannya. Namun faktor persekitaran juga sangat mempengaruhi perkembangan keintelektualan seseorang, dan hal ini menyukarkan saya menjadi sepertinya dalam menelaah dan menghafal bahan-bahan bacaan. Barangkali pengajian di sana lebih menerapkan pengajian hafalan secara bertalaqqi, manakala pengajian di APIUM lebih tertumpu kepada aspek penyelidikan dan penulisan. Bayangkan bahawa beliau merasakan setiap hari-hari yang dilalui olehnya adalah perjuangan yang sedikit memberikan tekanan padanya. Ini kerana, pada setiap hari, beliau perlu menghafal dan mentasmi’ hafalan yang telah berjaya dihafal olehnya di dalam kitab-kitab tertentu mengikut peringkat. Gambaran pembelajaran di sana yang diceritakannya adalah seolah-olah kita akan menghadapi peperiksaan akhir semester pada keesokan hari, dan situasi inilah yang diharungi olehnya pada setiap hari melainkan sehari sahaja (hari cuti) pada satu minggu. Subhana Allah… Bagi saya, sistem sebegini agak memeritkan pada sesi pengajian, namun sangat membuahkan kemanisan apabila tamat menuntut ilmu, dalam proses menghasilkan sarjana Islam yang sebenar.
Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah sekiranya beliau telah berjaya menghabiskan pembacaan dan hafalan beberapa kitab turath dalam tempoh yang agak singkat. Antara kitab-kitab yang telah dihafal olehnya dalam tempoh tidak sampai 6 bulan ialah Matn Ujrumiyyah, Mukhtasar Jiddan, al-Kawakib, dan Qatrunnada. Kitab-kitab tersebut merupakan kitab di dalam bidang pengajian nahu dan saraf. Di dalam pengajian Dirasat al-Islam pula, beliau telah menghafal Mukhtasar Syeikh `Abd Allah al-Harari, al-Sirat al-Mustaqim, Bughyah al-Talib, dan kini sedang menghafal kitab `Umdah al-Talib fi Syarh Bughyah al-Talib. Kitab `Umdah al-Talib merupakan kitab syarah bagi Bughyah al-Talib yang mana ketebalannya melebihi 300 halaman dan ia menghimpunkan bidang pengajian Islam seperti aqidah Ahl Sunnah wal Jama`ah, feqh menurut mazhab Syafi’i, dan sebagainya. Subhana Allah! Mahu tidak mahu, beliau perlu menghabiskan penghafalan kitab tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Peningkatannya yang mendadak di dalam pengajian menyebabkan semangat saya kian membara dalam menuntut ilmu untuk bersaing dengannya. Jika tidak, saya akan ketinggalan berbanding sahabat-sahabat saya yang lain. Saya juga berasa kagum dengan seorang senior saya, abang Hasrul dari Jabatan Aqidah, yang sangat tekun menuntut ilmu, membaca dan menulis. Setiap hari, boleh dikatakan rutin hariannya adalah membaca, menyelidik, dan menaip sahaja, tanpa mengenal erti penat dan jemu, sehingga beliau sering balik ke rumah sewanya lewat malam. Secara tidak langsung, hal ini memberi perangsang kepada saya untuk menjadi seorang yang tekun menuntut ilmu.
Di kesempatan ini juga, saya mengesyorkan kepada sahabat-sahabat sekalian untuk memperbanyakkan pembacaan buku-buku yang bermanfaat. Saya sangat tertarik membaca sebuah buku berjudul Sunnah-sunnah yang Dilupakan yang mana buku tersebut mengemukakan kepada kita beberapa hadith-hadith sahih mengenai amalan Baginda Rasulullah s.a.w yang sering dilupakan oleh umatnya yang sewajarnya perlu kita amalkan. Saya kira, daripada kita melabelkan sesuatu amalan ini adalah bid’ahlah, tiada di dalam sunnahlah, Nabi tidak lakukanlah, adalah lebih baik untuk kita memperkenalkan dan mengamalkan sunnah-sunnah yang sungguh banyak yang mana kita sendiri tidak mengetahui dan terlepas pandang untuk melakukannya. Perkenalkan sunnah kepada orang ramai, dan jangan mudah menghukum serta membid’ahkan amalan seseorang…
Saya juga agak tertarik dengan sebuah karya berjudul 12 Peribadi Cemerlang IbadurRahman yang dikarang oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, sebuah karya berupa kupasan dan tafsiran tematik dari surah al-Furqan, ayat 63 – 76, iaitu penekanan dan pendedahan mengenai 12 akhlak dan peribadi yang seharusnya digalas oleh fard al-Muslim. Pembacaan karya tersebut sedikit sebanyak telah mendorong saya untuk menekuni dan mentadabbur ayat-ayat Allah, dalam memahami erti sebuah mahkota kehidupan beragama, juga ia telah memberikan momentum padu kepada saya untuk lebih bersungguh-sungguh dalam meredahi kehidupan sebagai penuntut ilmu, hamba dan da’i… Saranan saya buat sahabat-sahabat sekalin, ambillah walau sedikit masa yang terluang untuk menambah ilmu pengetahuan, membaca, dan berfikir. Firman Allah s.w.t:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (1) خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ (2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ (3) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (5)
Maksudnya:
1. Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan (sekalian makhluk),
2. Ia menciptakan manusia dari segumpal darah beku,
3. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah,
4. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,
5. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Al-`Alaq (96): 1-5
Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w memberikan satu bentuk justifikasi pembudayaan ilmu dan galakan pembacaan. Seharusnya, kita menyahut seruan tersebut serta mengetahui bahawa segala sesuatu itu adalah kembali kepadaNya serta milikNya jua. Ilmu juga adalah kurniaan Allah s.w.t kepada kita, dan ia juga merupakan pinjaman daripadaNya, maka perbanyakkanlah bersyukur dan bertahmid kepada Allah atas perolehan ilmu daripadaNya yang hakikatnya ilmu kita lebih kecil daripada sebesar zarah… Sesungguhnya Ilmu Allah tidak terbatas, dan pengetahuanNya meliputi segala sesuatu… Wa Allahu a’lam.
No comments:
Post a Comment