Sunday, August 1, 2010

Bicara Lentera Hati, Tertinggal Dua Nama Sahabat…


Aku termenung seketika. Mengingati kembali memori di dalam program reunion batch Assoff yang baru sahaja berlalu pada hari Sabtu dan Ahad (31 Julai & 1 Ogos 2010). Begitu juga terkenangkan gerak kerja jemaah di kampus pada dua tiga tahun yang lalu. Lalu ingin saja kujelmakan ia melalui penulisan blog ini. Pengisian blog kali ini bersifat santai. Mengenai program reunion batch… Sungguhpun aku tidak menghadiri 100% pada kesemua slot program reunion baru-baru ini, namun aku boleh berpuas hati. Aku teringat pada satu slot reunion tersebut yang dipanggil sharing moment. Satu slot yang kukira agak baik dan perlu dirancakkan di dalam mana-mana program pada sesi-sesi akan datang. Slot di mana kita berusaha meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Meluahkan rasa ukhuwwah dan persahabatan kepada sahabat seangkatan dalam erti kata yang sebenar. Meluahkan rasa suka dan duka tika berpartisipasi dalam gerak kerja. Hatta meluahkan rasa kesal dan tidak puas hati, lalu dineutralkan kembali melalui slot ini. Maka, sesiapa saja di kalangan peserta boleh melontarkan bicara hati…

Akulah antara orang yang berkata-kata pada hari itu di hadapan para sahabat satu batch kira-kira 50 orang. Namun, aku masih belum puas membicarakan, lalu terpaksa juga kumeringkaskan kata-kata tawsiahku tika itu, gara-gara ruang masa yang begitu cemburu. Jutaan kemaafan untuk kukatakan… Seingatku, aku memang bercakap panjang lebih 20 minit pada waktu itu, berbanding sahabat-sahabatku yang lain, hanya kerana ingin mengingatkan kembali konsep ukhuwwah fillah yang sebenar, konsep pengorbanan dan persahabatan. Syukran jazilan buat sahabat-sahabat kerana memberikanku kesempatan… Antara nama-nama sahabat yang telah kusebut ialah akh Badrunnaim, dan akh Norazali. Namun, persahabatanku yang kumaksudkan di sini ialah cebisan kata-kata mereka yang sangat menyentuh hatiku sehingga bertemu jalan perjuangan ini, untuk mengenal pahit maung dalam berukhuwwah. Tidak ketinggalan juga nama akh Aizuddin turut kunyatakan. Yang membezakan dia dengan sahabat-sahabatku yang lain ialah, akh Aizuddin satu-satunya sahabat yang sering menemaniku ke mana saja aku pergi.

Ingin saja aku memanjangkan perkongsian pada waktu itu, namun masa sememangnya begitu singkat. Tambahan pula aku berasa agak kerdil untuk berkongsi muhasabah di hadapan sahabat-sahabatku yang rata-ratanya tua setahun daripadaku. Ingin saja aku menyebut dua orang lagi sahabatku yang kutertinggal untuk mengungkapkan. Iaitu akh Hafez Sabri dan akh Sobri Ellias. Oleh sebab itulah kumenamakan tajuk pada entri pada kali ini “Tertinggal Dua Nama Sahabat”. Aku tidak menyebutkan nama mereka kerana mereka tidak hadir di dalam slot sharing moment tersebut. Hanya akh Aizuddin saja yang kusebut kerana aku begitu mengingatinya. Akh Hafez Sabri mula kukenali dengan lebih akrab apabila kami sering berusrah bersama-sama dengan naqib kami, Abang Azlan Zainal. Akh Sobri pula melalui kolej 8 ketika tahun satu dalam beberapa projek kolej dan juga persaingan sihat dalam bidang akademik. Jutaan terima kasih buat sahabat-sahabatku, akh Aizuddin, akh Badrunnaim, akh Hafez Sabri, akh Sobri, dan akh Norazali… Melalui kalian, aku semakin mengenali erti pengorbanan dan perjuangan… Tidak lupa juga kepada sahabat-sahabat seangkatan yang lain, aku begitu terhutang budi…

Daya ukhuwwah akh Hafez Sabri sangat kuat. Kerana aku langsung termimpikan dia di dalam tidurku selepas menunaikan solat maghrib, hari Ahad (1Ogos), sejurus setelah tamat program reunioun batch. Subhana Allah… Entah mengapa aku terus terlena dari jam 8.15 malam sehingga jam 10 malam dan bermimpi mengenainya. Namun aku tidak menyebutkan namanya ketika slot sharing moment petang ahad yang baru sahaja berlalu, cuma saja namanya sering berlegar di dalam blogku… Entah dia tahu atau tidak… Biarlah ia menjadi suatu rahsia buatku… Pada pandanganku, tanggapan bahawasanya kesemua ikhwah punya malu menonjolkan jalinan ukhuwwah adalah kurang tepat. Namun perasaan ego memang tidak dapat disangkal lagi dan sememangnya wujud pada kebanyakan ikhwah termasuk aku, tidak mahu menonjolkan rasa cinta dan ukhuwwah yang sebenar di antara ikhwah muslimin, apatah lagi berada di hadapan akhawat. Ya benar, sukar untuk para ikhwah membicarakan dari hati ke hati. Aku pun, entahlah…

Slot sharing moment ini mengembalikan memoirku kepada rakan-rakan menengahku. Ini kerana, pada setiap tahun persekolahan, kami akan mengadakan satu program yang dipanggil ribat di surau sekolah menengahku. Cuma perbezaannya ialah, program tersebut memberi kesempatan kepada semua rakan-rakan satu batch untuk melontarkan ketidakpuasan hati dalam usaha menjernihkan kembali ukhuwwah, bukan menceritakan kemanisan jalinan ukhuwwah di antara sahabat-sahabat. Namun, ia sesuatu yang positif bagiku daripada seseorang memendam rasa dan berkata belakang sehingga keadaan menjadi lebih keruh. Kerana ia akhirnya berhasil menyucikan kembali hubungan yang dijalin di antara sahabat-sahabat satu batch. Kemudian dilaungkan doa rabitah. Ada saja di kalangan rakan-rakan menengahku yang mengalirkan air mata ketika itu…

Dari pengamatanku, maka slot-slot tersebut memberikanku satu ilham. Ilham untuk mengadakan program ukhuwwah atau boleh juga dinamakan tamrin ribatul ukhuwwah bagi para ahli jemaah. Cukup hanya dalam sehari dua, namun ia memberkas. Pada awal-awal paginya dimulakan dengan pengisian tazkiyatun nafs dan qiamullail. Kemudian disusuli dengan dua pengisian berupa ceramah mengenai ukhuwwah Islamiyyah dalam berjemaah sehingga waktu zohor. Satu pengisian dengan menyorot sirah nabawiyyah dan kupasan tafsir al-Qur’an/hadith, dan satu lagi pengisian menyentuh aspek praktikaliti dan aplikasi ukhuwwah dalam berjemaah, dan juga aplikasi ukhuwwah terhadap mad`u. Pada petangnya selepas Zohor sehingga Asar bolehlah diadakan slot sharing moment, meluahkan perasaan masing-masing sama ada berbentuk persahabatan, perkongsian pengalaman silam, dan sebagainya. Barangkali bagi sahabat-sahabat yang melontarkan cetusan hati tersebut boleh diberikan saguhati oleh penganjur program. Akhirnya slot sharing moment berkesudahan dengan tazkirah dan muhasabah, dan penutup bagi program ribatul ukhuwwah diakhiri dengan doa wehdah serta salam dan pelukan ukhuwwah. Dan bolehlah diadakan masakan BBQ bersama-sama kemudiannya. Maka, wujudkanlah rasa kebersamaan dalam berjemaah…

Percayalah bahawasanya dengan pengisian-pengisian sebegini, ia akan mempertautkan hati-hati kita dengan lebih erat di atas panji Islam. Berlapang dada, berbaik sangka, dan ithar. Barangkali pengisian kita kurang dari sudut itu pada program-program sebelum ini, tetapi yakinlah bahawa pengisian sebegitu merupakan satu mekanisme terbaik bagi membina kebersamaan dan keyakinan dalam berjemaah. Saling lengkap-melengkapi dan bahu-membahu antara satu sama lain. Begitulah fikirku… Buat adik-adikku, sekiranya punya kesempatan dan kelapangan masa khususnya pada hujung minggu dan masih di alam universiti, mungkin saja boleh dianjurkan program sebegini di dalam satu batch. Kerana kalian masih lagi bergerak kerja di lapangan universiti dan perlukan persefahaman yang sangat jitu. Jangan hanya mengetengahkan pendekatan pengisian bersifat membakar semangat semata-mata, perlu juga di sana elemen “touching” dan bisikan hati. Wujudkanlah ukhuwwah Islamiyyah sebagaimana ukhuwwah yang dibangunkan oleh Nabi s.a.w kepada para sahabat, kerana ukhuwwah melahirkan rasa thiqah. Terapkanlah ukhuwwah yang sangat intim di kalangan anak usrah, kerana ia merupakan aspek fundamental dalam memikat anak usrah untuk bersama dalam jemaah. Mudah-mudahan kita beroleh ketenangan hakiki dalam menjalin ukhuwwah dan persahabatan… Sekian untuk perkongsian kali ini… Salam ukhuwwah fillah

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا

Maksudnya:

“29. Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya…”

Surah al-Fath, (48): 29

Buah fikiran pada:

Isnin, 2 Ogos 2010,

1.15 pagi,

Kira-kira 6 ½ jam selepas tamat program reunion Batch Assoff…

##ribbiyyun##


No comments:

Post a Comment