Khabar yang Menyedihkan… Jahiliyah Moden Semakin Bermaharajalela…

Terkesima sungguh saya apabila membaca akhbar terkemuka BH, tarikh 30 November di MUKA HADAPAN mengenai topik “500 000 Murid Tahun Satu Sesi 2011 Diajar Pendidikan Seks”. Berulang-ulang kali saya membelek ruangan tersebut untuk lebih mengenalpasti sistem pendidikan KSSR. Apa jenis rasional lagi yang ingin diketengahkan bagi membendung gejala sosial, dan kancah zina ini..? Menggeleng kepala kami dibuatnya tatkala kami mendiskusikan polemik tersebut bersama sahabat-sahabat R.A jabatan. Sebelum ini dengan idea penubuhan baby hatch, Festival Fesyen Islam, pemberian kondom percuma, dan lain-lain, kesemua paradigma tersebut ternyata menjadi umpan menangguk gejala maksiat yang lebih besar. Ingin mencantas ranting, tetapi masih hilang waras untuk mencabut akar. Masih meraba-raba bayang-bayang sendiri, tetapi alpa dengan batang tubuh kepada imej bayang-bayang terbabit yang dianugerahkan Tuhan. Kembalilah kepada Allah s.w.t… Laksanakanlah hukum Allah… Itulah jawapan tuntas bagi menyelesaikan kemelut yang melanda. Firman Allah s.w.t:

وَمِنْ كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (49) فَفِرُّوا إِلَى اللَّهِ إِنِّي لَكُمْ مِنْهُ نَذِيرٌ مُبِينٌ (50)

Maksudnya:

49. Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, agar kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).

50. (Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): “Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), Sesungguhnya Aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.”

Al-Dhariyat (51): 49-50

Gandingan ayat di atas memaparkan Islam sememangnya menitikberatkan persoalan sosial. Lalu dijalinkan ayat pertama di atas dengan ayat kedua bagi mengemukakan satu indikator terunggul dalam hubungan sosial manusia, iaitu kembali kepada Pencipta yang menciptakan makhluk. Menyandarkan segala-gala percaturan kepada Pencipta bermaksud tunduk dan patuh kepada perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Tunduk dan patuh kepada perintah-Nya dijelmakan dengan perlaksanaan HUKUM Allah secara holistik dalam arena kehidupan manusia, lantaran Islam merupakan satu manhaj hidup yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana sistem rekaan manusia. Firman Allah s.w.t:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنزلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ(47)

Maksudnya:

47. …dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Al-Ma’idah (5): 47

Implikasi buruk begitu besar akan berlaku sekiranya dilaksanakan pendidikan seks pada hemat saya. Pendidikan seks seolah-olah mendoktrin pelajar bagaimana melakukan hubungan seksual secara selamat agar tidak melahirkan anak luar nikah. Pendidikan seks seolah-olah mendedahkan garis panduan dan strategi bahkan menggalakkan perlakuan zina menular sungguhpun pada zahir perlaksanaannya seakan tidak kelihatan. Seawal umur tujuh tahun..?? Sungguh dangkal idea-idea sebegini. Sedangkan sekiranya kita mengimbau kembali susur galur usia ketika 7 hingga 12 tahun di alam persekolahan pada era 80-90-an, kita sendiri tidak mengerti apakah seks itu. Astaghfirullah… Di sini saya ingin memaparkan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, yang dipetik dari akhbar BH, sebagai bukti: (untuk pembacaan lebih lanjut, sila klik:

Enam tunjang menjadi teras pengisian pendidikan seks yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Tahun Satu hingga Enam mencakupi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya. Perkembangan manusia mendedahkan murid mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia, manakala perhubungan pula menjurus mengenai kasih sayang dan persahabatan. Murid turut didedahkan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa, manakala kebolehan dalam membuat keputusan menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri. Turut diberi penekanan adalah kesihatan dan tingkah laku seksual yang membicarakan amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelakkan hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan Aids, manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh mengenai isu seks dan masyarakat dan perundangan,”

Jika dilihat kepada sukatan pendidikan sekolah rendah, subjek pendidikan Islam seolah-olah dianaktirikan dan diperkecilkan skop pengajiannya. Hanya saja ia distuktur menjadi sebahagian Modul Teras Asas Tahap Satu yang terakhir selepas subjek PJ, BM, BI, BC, BT, dan Matematik. Ini berdasarkan kepada kenyataan:

“…selain Pendidikan Kesihatan, subjek lain di bawah Modul Teras Asas murid Tahap Satu termasuk subjek Pendidikan Jasmani, Bahasa Malaysia (BM), Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina (BC), Bahasa Tamil (BT), Matematik serta Pendidikan Islam/Moral.”

Berdasarkan kepada senario dunia mutakhir ini, di satu pihak yang lain, golongan yang mendokong ideologi liberal mendabik dada dengan wawasan liberal yang dicanangkan. Dogma sekularisme dan hidonisme diagungkan oleh para pengusung ideologi, sementara fikrah Islamiyyah masih tersepit bahkan dihimpit dengan pelbagai tohmahan liar. Mengapa ini berlaku..? Sifirnya mudah. Sebahagian besar umat Islam yang merupakan umat kedua tersebar selepas penganut kristian itu sendiri tidak yakin dengan sistem Islam, masih tersipu-sipu dan merasa kerdil untuk beramal dengan amal Islami secara kaffah. Langsung tidak merasa BANGGA dengan Islam yang merupakan manhaj wahyu daripada Allah s.w.t, mengatasi segala macam ideologi manusia yang sangat terbatas. Inilah JAHILIYYAH moden yang menghantui umat Islam hari ini. Tatkala umat Islam sendiri melihat saudara seagamanya memakai jubah dan kopiah di warung atau di tempat-tempat awam, mereka merasa jengkel dan pelik dengan pemakaian sedemikian seolah-olah orang yang menuruti ajaran Islam dan sunnah Baginda s.a.w telah ketinggalan zaman. Ketika mana manusia merasa aneh dengan busana muslimah bertudung labuh dan berjubah kerana menganggap pakaian terbabit seolah-olah tidak menepati kehendak semasa, lalu memperkenalkan fesyen yang kononnya menuruti acuan Islam, berpakaian nipis, jarang, dan ketat sungguhpun bertudung, maka saat itulah jahiliyyah moden telah berputik.

Saya menyedari, ada juga dalam kalangan mujtama’ muslim merasakan kebenaran agenda yang diperjuangkan oleh gerakan Islam, tetapi mereka (masyarakat) masih berasa takut untuk menonjolkan pengamalan Islam, serta berasa rendah hati untuk menguak pemahaman Islam dalam bingkai kehidupan yang sebenar. Maka, perasaan-perasaan sebegini perlu dikikiskan, malah pemanifestasian Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna wajar diperkasakan, bagi mengatasi ideologi-ideologi lain yang kian meracuni pemikiran umat, lantaran manusia dimuliakan oleh Allah s.w.t dengan Islam itu sendiri sebagai rahmatan lil `alamin. Teringat saya kepada kata-kata Saidina `Umar r.a ketika membuka kota Palestin:

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام، فإذا ابتغينا العزة بغيره أذلنا الله.

Maksudnya:

“Kita merupakan sebuah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam, sekiranya kita mendambakan kemuliaan selain Islam, maka Allah menghinakan kita…”

Keizzahan kita adalah pada Islam. Maka pengamalan Islam tentunya menjadi syiar keizzahan seseorang yang benar-benar bertapak dalam rangka kehidupan Islami. Memberi salam, mengucapkan takbir, melaksanakan sesuatu perkara secara berjemaah, berjabat tangan, etika berpakaian muslim, seruan azan, kesemuanya merupakan syiar Islam yang menjulang Islam sebagai suatu agama yang ideal. Realititi masa kini memaparkan bahawa umat Islam masih terpinga-pinga menyingkap kebenaran lantaran kejahilan telah menutupi sisi pandang mereka. Muhammad Qutb turut mengarang sebuah buku berjudul “Jahiliah Abad 20” yang menyaksikan bentuk-bentuk jahiliah yang masih wujud bahkan terus wujud dalam era mutakhir ini. Begitu juga Ustaz Abdullah al-Qari yang telah mengarang sebuah buku berjudul “139 Amalan Jahiliah dan Perbandingan Manusia Kini” yang memberikan tasawwur amalan jahiliyyah yang berlaku pada masa kini.

Justeru, dalam isu yang membabitkan pembinaan minda murid-murid tahap satu, penerapan elemen-elemen Islam wajib didahulukan berbanding pendidikan seks. Secara lumrahnya, pendidikan seks secara tidak langsung akan “dipelajari” dengan sendirinya setelah merentasi usia remaja, dan hal ini merupakan suatu fasa perkembangan kognitif yang akan dilalui oleh setiap manusia. Penerapan pendidikan Islam sebagai Modul Kurikulum Bersepadu perlu dikembangkan secara menyeluruh sejak di awal usia 5 tahun lagi dan hal ini sebagai satu esensi kepada pembangunan jati diri dan prinsip Islam dalam pemikiran dan tingkah laku harian murid-murid yang masih suci dari pencemaran minda. Begitulah buah fikiran saya… Sekian.


##ribbiyyun##

1 Disember 2010
4.00 ptg
Jabatan Al-Qur'an dan Al-Hadith,
APIUM