Siapakah aku..? (1)

Aku bukan pencinta harta… Bukan pencinta takhta… Bukan pencinta wanita… Bukan pula pencinta dunia… Aku adalah pencinta thaqafah dan cendekiawan agama, pendamba keredhaan-Nya, perindu syahid di jalan-Nya...! Akan tetapi, tatkala kuberusaha menyelami hati ini, mengenal diri, semakin aku mendekati dan cuba memahami, semakin pula aku tidak mengerti… Siapakah, bilakah, apakah, bagaimanakah, mengapakah, diriku berada di sini..? Semacam kepelikan menguasai diri… Tidak kenali manusia yang mengelilingi… Rasa hina dan bersendiri di dunia menerpa. Kerana mati akan menjemput nyawa bila-bila… Firman Allah s.w.t: Al-Naba’, ayat 40, mafhumnya: Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu (hai orang kafir) siksa yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya; dan orang kafir berkata:"Alangkah baiknya sekiranya dahulu aku menjadi tanah".

Namun, aku pastinya tidak akan susah dan gelisah, selagi Islam di sisi dan di hati, kerana kesenangan hakiki ialah apabila Islam masih terpaut di dalam hati sungguhpun diri ini diinjak dan dipijak. Inilah Islam yang kusanjung, inilah Islam yang kujunjung. Jiwaku tidak akan mati dengan Islam. Sungguhpun nyawa melayang, namun Islam pasti nan subur pada suatu hari yang telah dijanjikan kelak bersama roh-roh yang membangkitkan solidariti bertunjangkan manhaj Ilahi dan sunnah Nabi. Buah ketenanganku di masjid, kenikmatanku ketika berdamping denganMu, dan kecintaanku ketika meneroka ilmu. Jiwaku tenggelam lemas di dalam kemerduan alunan Kalam Tuhan yang mu’jiz… Demikianlah solat dan membaca al-Qur’an itu berat, tp lazat bagi orang yang khusyuk. Terasa pula sujud itu berat, tapi nikmat bagi mereka yang tunduk tawadhuk… Begitu juga doa itu seakan tergesa-gesa, tapi bermakna bagi mereka yang bertadabbur menghinakan diri yang sangat kerdil di hadapan Pencipta… Kerana doa senjata mukmin, maka jadikanlah ia sebagai perisai ampuh dalam kehidupan yang sering diawasi.

Risalah...

Terngiang-ngiang risalah yang kudengar dan kubaca daripada suatu kem khas, sungguhpun ia adalah hasil intuisiku sendiri yang diilhamkan oleh Allah `Azza wa Jalla, lalu ia lahir melalui hati dan mindaku. Risalah tersebut mengimbau kembali kenanganku bersama jemaah serta mengingatkan daku semula kepada tanggungjawab dan taklifanku sebagai mata-mata rantai perjuangan risalah nabi. Kandungan risalah tersebut adalah seperti berikut:

Wassini Ya Murabbi…

ADAKAH ENGKAU LUPA?

APAKAH TUJUANMU DIUTUSKAN DI DUNIA?

APAKAH SINAR KEMENANGAN ITU MAMPU DIKECAPI BEGITU SAHAJA?

ADAKAH DIKATAKAN SESEORANG ITU BERIMAN SEKIRANYA DIA TIDAK DIUJI DENGAN CABARAN DAN LIKU-LIKU KEHIDUPAN YANG MENDEWASAKANNYA?

SENTIASALAH SELIDIKI DIRIMU...

KOREKSILAH SEGALA TINDAK-TANDUKMU...

RENUNGILAH SEGALA GERAK-GERIMU DAN SETIAP NAFASMU...

AGAR ENGKAU MENJADI LEBIH BERANI SERTA BERSEDIA MENGHADAPI SEGALA MACAM RINTANGAN,

LALU ENGKAU BAKAL MENJADI INSAN YANG LUAR BIASA UPAYANYA..!

BAHKAN, TIADA YANG MUSTAHIL BUAT DIRIMU WAHAI PEJUANG..!

ASALKAN MENGIMBAS KEMBALI SIRAH NABAWI YANG DITELUSURI OLEH RASULULLAH S.A.W.,

QUDWAH YANG TIADA TOLOK BANDINGAN DAN TANDINGAN..!

KUTITIPKAN SEUNTAI SELAWAT DAN SALAM BUATMU JUNJUNGAN MULIA KEKASIHKU...

SIAPALAH DAKU MESKIPUN PENGEMIS MATA-MATA RANTAI PERJUANGANMU...

KALBUKU GERSANG DENGAN BELAIAN LUNAK DAKWAHMU...

NAMUN... TAKKAN KUBERPALING DARI MEDAN INI...

MEDAN SOLIDARITI ITTIHADI JAMA`I HARAKI YANG MENDIDIK IMAN HAKIKI TANPA NAFSI-NAFSI...

KUPASTI! KUYAKINI! LANTAS KUHARUNGI..!

BERBEKALKAN SUJUD PADAMU RABBUL IZAATI, TUHAN PEMILIK HATI,

DI KEHENINGAN DINIHARI...

KAMI MENYAHUT SERUANMU... TAKBIR!

Bicara Azimat Sang Mujahid

· Ya Allah… Engkau telah Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun dalm cinta kepadaMu, telah bertemu dalam ketaatan kepadaMu, telah bersatu dalam dakwah padaMu, telah berpadu dalam membela syariatMu… Kukuhkanlah Ya Allah ikatannya, kekalkanlah cintanya, tunjukilah jalan-jalannya… Penuhilah hati-hati ini dengan NurMu yang tidak kunjung malap, lapangkanlah dada-dada ini dengan limpahan keimanan kepadMu, suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat tentangMu, dan matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agamaMu… (Al-Syahid Sayyid Qutb)

· Andai Islam seperti bangunan usang yang hampir binasa, maka akanku berjalan ke seluruh dunia, mencari jiwa-jiwa muda… Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan jiwa-jiwa yang ikhlas membantuku bersama, membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah dengan nilai taqwa… (Al-Syahid Imam Hasan al-Banna)

P/S: Simpan risalah ini dengan baik. Sentiasalah amati butir-butir mutiara kata yang terbit daripadanya, mudah-mudahan ia menjadi pembakar semangat bagi jiwa yang semakin layu dengan dosa dan noda…

Al-Quran: Penyuluh umat dari kegelapan

Al-Quran merupakan asas pegangan umat Islam yang mengandungi segala perlembagaan hidup manusia. Penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W. sekaligus memadamkan api kejahilan yang menyelinap di segenap pelosok manusia seterusnya membawa cahaya yang menyinari manusia ke jalan kebenaran, kesejahteraan, dan kebahagiaan abadi. Manusia perlu menyedari dan beriman bahawa tiada satu kitab atau mana-mana rujukan yang dapat menandingi kemurnian dan keagungan al-Quran daripada dicemari oleh tangan-tangan golongan yang memusuhi Islam. Ini terbukti dengan sorotan sejarah silam yang menyaksikan bahawa pengajian, pengumpulan, dan pembukuan al-Quran tidak dapat disekat dan diganggu gugat, malah usaha untuk memelihara Kalam Allah semakin bercambah bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Kebenaran al-Quran sememangnya terbukti dengan perkembangannya yang begitu pesat semenjak kehidupan Rasulullah S.A.W. lagi sehingga sekarang bahkan hingga ke hari kiamat ekoran sejumlah besar umat manusia khususnya umat Islam berusaha tanpa jemu untuk memahami serta menghayati intipati yang terkandung di dalam al-Quran. Tidak kurang juga ramai manusia yang menyedari akan kemuliaan dan kehebatan kalam Allah ini berusaha untuk memeliharanya sama ada melalui hafazan dan penulisan zaman-berzaman. Rentetan ia dipelihara dan dijaga oleh sejumlah besar umat manusia di setiap era, maka pastinya ia mustahil untuk didustakan dan diselewengkan. Keunikan yang terdapat pada al-Quran pastinya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana makhluk atau peradaban, bertepatan dengan firman Allah S.W.T. mafhumnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".[1]
Menyorot kembali sirah Baginda S.A.W., madrasah al-Quran yang telah dibina oleh Nabi Muhammad S.A.W. tidak tenggelam dek hanyut dimamah waktu begitu sahaja, bahkan para sahabat meneruskan agenda perjuangan Nabi S.A.W. dalam usaha untuk menyampaikan dakwah Islamiyyah ke seantero dunia melalui pemahaman dan garapan yang terkandung di dalam al-Quran. Usaha memelihara kalam Allah di samping mengembangkan skop perbahasan yang berkaitan al-Quran memberikan anjakan kepada kewujudan madrasah tafsir di Mekah, Madinah, Syam, dan Iraq. Sehingga pada abad ketiga Hijrah, dalam tempoh yang begitu singkat sahaja, pengajian al-Quran dari segenap aspek terus bercambah hingga merentasi sempadan Arab menuju ke wilayah Andalus dan wilayah-wilayah lain.
Lipatan sejarah mengenai pengajian tafsir al-Quran di Andalus pada awal-awal pemerintahan Islammya telah berjaya memikat hati pencinta al-Quran ketika itu. Pencetusan kepada penghasilan karya tafsir al-Quran oleh Baqiy bin Makhlad pada awal abad ketiga Hijrah telah menghembuskan nafas kebangkitan dan satu paradigma baru kepada ulama’-ulama’ tafsir selepasnya untuk meneruskan perjuangan meneroka segala ilmu pengetahuan yang bersangkut paut dengan al-Quran. Pola perkembangan ini disaksikan dengan kemunculan tokoh-tokoh tafsir tersohor dunia seperti Ibn al-`Arabi, Ibn `Atiyyah, al-Qurtubi, dan Abu Hayyan al-Andalusi. Keempat-empat tokoh ini telah berjaya membuka dimensi baru peradaban dunia melalui pentadbiran di Andalus yang berorientasikan pengamalan yang jitu menurut landasan yang berpaksikan al-Quran dan sunnah.
Pelbagai indikator dan metodologi yang telah digunapakai oleh ulama’-ulama’ Andalus dalam proses menghasilkan karya tafsir mereka. Tumpuan yang berbeza kepada penghasilan sesebuah karya tafsir al-Quran di Andalus menjadi faktor pelengkap sebagai panduan kepada kehidupan masyarakat majmuk di Andalus. Umpamanya Ibn al-`Arabi dan al-Qurtubi memberi tumpuan kepada aspek perbahasan fiqh, manakala Ibn `Atiyyah dan Ibn Hayyan memberikan penekanan terhadap aspek bahasa di dalam penulisan karya tafsir mereka. Tidak ketinggalan juga, Ibn `Arabi yang juga merupakan tokoh besar di dalam aliran sufi falsafi telah menghasilkan satu karya tafsir al-Quran lengkap yang memberi tumpuan terhadap perbahasan tasawuf dan falsafah. Kepelbagaian aliran pemikiran serta metodologi yang mewarnai madrasah tafsir di Andalus ini nyata membuktikan bahawa pengajian ini sudah berada pada tahap yang cukup terbilang suatu ketika dahulu.
Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan hamba Allah yang meyakini serta mengimani segala ajaran yang terdapat di dalam al-Quran, seterusnya memartabatkannya daripada diinjak oleh golongan-golongan yang memusuhi Islam.

Ilmu pelita hati

Sejarah perkembangan ilmu amat penting didedahkan kepada seluruh masyarakat memandangkan ia merupakan suatu peringatan berkenaan perjuangan dan pengorbanan para ilmuan Islam mengembangkan ilmu mereka. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan rasa cinta seseorang terhadap segala cabang ilmu pengetahuan serta ulama’-ulama’ setelah mengetahui pengorbanan ulama’-ulama’ terdahulu yang tidak terhitung, sehingga kadang kala usaha mereka terhadap ilmu ini seolah-olah hampir-hampir tidak dapat diterima akal, bukan kerana terdapat penipuan atau pembohongan dalam penghasilan karya mereka, akan tetapi dengan melihat kepada perjuangan mereka yang sangat menggunung tinggi sehingga mengorbankan segala harta benda, nyawa, dan sebagainya demi menggarap dan mengembangkan ilmu Allah untuk kemudahan dan manfaat yang tidak ternilai bagi generasi-generasi seterusnya sehingga kini dan akan datang.

Agak sukar untuk dibayangkan jika terdapat penuntut ilmu yang berjalan kaki berbatu-batu jauhnya, dan berhari-hari lamanya demi hanya untuk berjumpa guru dan syeikh bagi memperolehi sekelumit ilmu yang sangat bernilai. Agak sukar diterima akal jika terdapat ulama’-ulama’ yang menghasilkan karya-karya ilmiah pada waktu malam sehingga buta mata mereka disebabkan kegelapan malam yang hanya ditemani oleh sebuah pelita… Agak sukar dijelaskan kepada masyarakat sekiranya terdapat ulama’-ulama’ yang sanggup dipenjarakan seumur hidup dan mati di tali gantung hanya semata-mata untuk melihat generasi-generasi seterusnya menikmati penghasilan karya mereka… Agak sukar digambarkan andai di sana terdapat ulama’-ulama’ yang dapat menghasilkan sejumlah karya sehingga melebihi 300 judul kitab yang berjilid-jilid, sedangkan hayat mereka tidak menjangkaui 45 tahun! Sedangkan, kita sendiri seakan tidak mampu mengkhatamkan bacaan karya seorang ulama’ sahaja, namun beliau mampu menghasilkan karya yang bertimbun-timbun.. Inilah lakaran sejarah yang telah dibuktikan oleh ulama’-ulama’ terdahulu berkenaan kecintaan mereka terhadap ilmu.

Maka persoalannya, bagaimana pula dengan kita yang hanya bergoyang kaki, menangkuk dagu, tidak memikirkan sebarang sumbangan kepada orang lain!!!??? Mana letaknya seruan haya `alal falah’ yang sering dilaungkan di corong-corong pembesar suara masjid dan surau..? Adakah kita masih tidur, tidak sedarkan diri? Ayuh, bangkit wahai pejuang-pejuang sekalian! Ngorak langkahmu, hayun penamu, jadilah pejuang ILMUAN ISLAM terbilang..!

Renungan sebagai hamba...

Janganlah kagum dengan ilmumu, mungkin ia adalah penghijabmu. Janganlah kagum dengan ibadahmu, mungkin ia akan membinasakanmu…
Kesombongan adalah jalan kebinasaan, merasa faqir dengan Tuhan adalah kunci keselamatan…
Walau banyaknya ilmumu, ia hanyalah setitik dari lautan ilmuNya… Walau banyak manapun ibadahmu, ia tidak akan mampu membayar harga walaupun satu zarah ciptaanNya dalam tubuhmu…
Mengapa perlu mengembangkan dadamu sedangkan nasibmu di dalam rahsiaNya? Kerdilkan dirimu dalam lautan kebesaranNya, fanakan dirimu dalam lautan kewujudanNya…

Sekian lama kumeninggalkan engkau...

Sunyi... Sepi... Begitulah yang mampu kuungkapkan pada si dia... Disebabkan aku bukanlah seorang yang beristiqamah dalam melaksanakan sesuatu perkara, melainkan perkara tersebut menjadi hobiku yang paling utama... Itulah dia, melayari BLOGku yang sudah sekian lama menyepi, tidak berteman..

Kumasih lagi bingung dan terpinga-pinga... Kira-kira 2 bulan berbaki bagi semester terakhir pengajianku di peringkat ijazah sarjana muda sudah memadai bagiku untuk bermuhasabah semula apakah yang telah kulakukan dan kusumbangkan pada Islam... Bagaimanakah pula dengan kertas projekku (disertasi) yang masih lagi di dalam lamunan mimpiku... Kumasih tidak memulakannya, walhal detik dan waktu sangat mencemburuiku... KuWAJIB kerahkan tenagaku lakukan apa yang sepatutnya, tinggalkan perkara yang tidak perlu dan sia-sia... Apakah dua bulan yang berbaki ini memadai bagiku bergelar ustaz yang padanya tersemat ilmu yang ampuh di dada... Apakah kubersedia menghadapi mad`u yang sering mengintai peluang menangguk ilmu daripada ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang merupakan produk APIUM, lantas kumampu mengamalkan ilmu yang kupelajari dan kusampaikan pada mereka...?

Dua bulan ini sememangnya tidak memadai bagiku untuk mengaut seluruh ilmu yang ada di alam universiti di samping menjadi seorang da`ie yang memerlukan ketabahan hati dan jiwa dalam pengurusan masa dan etika... Namun, dua bulan yang berbaki inilah sudah cukup bagiku untuk merenung semula, bermuhasabah dan berkoreksi memikirkan kembali, bertanya kepada sanubari., "adakah engkau bersedia??? Apakah engkau pasrah, atau engkau seharusnya memerlukan suatu momentum buru dan anjakan paradigma baru sebelum menghadapi realiti semasa... ?" Jadi, kufikirkan, kerenung, kuperlu berubah, kuperlu jelas akan masa hadapanku.... Agar kutidak tenggelam dengan budaya hedonisme yang memakan diri kebanyakn remaja kini, serta nafsu yang membuai manja, namun menikam serta menipu daya sesiapa sahaja yang termakan dengan hasutannya... Mudah-mudahan kita dipelihara Allah hendaknya, dunia dan akhirat... Amin...

Islam dihina..!

Bahang pilihanaraya kampus Universiti Malaya semakin hangat. Kehangatan yang dirasai bukan hanya kepada mahasiswa bahkan juga Umat Islam yang mana Istitusi mulia umat Islam iaitu masjid dihina. Kepala babi dibelah dua dan diletakkan di dalam Masjid Akademi Pengajian Islam. Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 5.00 pagi yang mana disedari oleh dua orang mahasiswa Univerisiti Malaya. Tindakan telah diambil oleh pihak Keselamatan Uiniversiti Malaya dan juga pihak berkuasa Polis berhubung dengan kejadian yang menghina institusi Umat Islam tersebut. Kejadian ini merupakan kejadian yang pertama kali berlaku di dalam Universiti Malaya, justeru itu Mahasiswa Universiti Malaya khususnya yang beragama Islam merasakan bahawa kejadian tersebut merupakan suatu sabotaj yang berkait rapat dengan pilihanraya kampus. Mohd Aziezul Abdullah dan Mohd Rahimie P. Ramlee menyatakan bahawa Pilihanraya Kampus Universiti Malaya tidak wujudnya ketelusan sebagaimana yang dijanjikan oleh En. K. Puniamurty selaku pengarah pilihanaraya kampus Universiti Malaya sewaktu sidang dialog bersama mahasiswa pada 14 Januari yang lalu. Mahasiswa akan membawa perkara ini kepada pihak yang berwajib berhubung ketelusan pilihanaraya kampus Universiti Malaya dan menunggu jawapan berhubung siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.