Laporan Kursus Pengukuhan Bahasa Arab di Mesir

LAPORAN KESELURUHAN PERJALANAN KURSUS PENGUKUHAN BAHASA ARAB SELAMA SEBULAN DI UNIVERSTI AL-QAHERAH, KAHERAH, MESIR.

Seramai 12 mahasiswa telah terpilih untuk mengikuti kursus Bahasa Arab yang dijalankan di Universiti al-Qaherah, Kaherah, Mesir bermula pada 10/12/2008 hingga 7/1/2009. Berikut adalah laporan keseluruhan perjalanan kursus Bahasa Arab:

Rabu (10/12/2008)

06.00 pm : Berkumpul di KLIA.

- Para peserta diberikan taklimat tentang perjalanan kursus yang bakal diadakan di Kaherah, Mesir dalam suatu majlis khas (perasmian) yang dihadiri oleh Yang Dihormati, Tuan Pengarah Akademi pengajian Islam ; Prof Dr. Hidayat Buang dan pensyarah pengiring iaitu ; Prof Madya Dr. Fakhruddin Abdul Mukti)

- Sesi bergambar kenang-kenangan.

10.30 pm : Para peserta berangkat ke Mesir dengan menaiki kapal terbang Egypt Air.

-Perjalanan mengambil masa kira-kira 12 jam.

Khamis (11/12/2008)

03.30 am : Transit di Mumbai.

05.30 am : Tiba di Lapangan Terbang Kaherah (Cairo Airport)

- Para peserta disambut oleh warden Asrama Malaysia Abbasiyyah (ARMA), Ustaz Azhari b. Yaakob dan bergerak ke tempat penginapan dengan menaiki bas mini khas.

07.30 am : Tiba di Asrama Malaysia Abbasiyyah (ARMA) dan bersarapan di Kafeteria ARMA.

09.00 am : Mesyuarat bersama warden asrama, Ustaz Azahari dan pensyarah pengiring, Dr. Fakhruddin Abdul Mukti.

10.00 pm : Majlis makan malam bersama Dato’ Duta (Datuk Zainal Abidin bin Abdul Kadir) dan wakil Malaysian Student Department MSD (Prof. Madya Dr. Jamil)

-Ucapan-Mesyuarat-Bergambar.

11.00 am : Perjumpaan dengan Ketua dan S/U ARMA Ustaz Hafizi dan Ustaz Firdaus dan beberapa AJK asrama.

Jumaat (12/12/2008)

09.00 am : Para peserta Kursus dibawa melawat ke Masjid Sultan Hassan dan Masjid al-Rifa’ie (Makam King Faruq, keluarganya, Yusuf al-Ansari, dan Makam Imama Rifa’ie)

11.45 am : Solat Jumaat di Masjid Sultan Hassan. (Khutbah disampaikan oleh Syeikh Usamah, pensyarah Universiti al-Azhar)

01.00 pm : Talaqqi Kitab daripada Syeikh al-Azhar (Syeikh Muhammad Hajm) mengenai Kitab al-Iqna’ di masjid yang sama.

02.50 pm : Solat Asar.

03.30 pm : Melawat Makam al-Imam Jalaluddin al-Suyuti, al-Imam Waqi’, Syeikh Zakaria al-Ansari dan al-Imam Asy- Syafie.

05.30 pm : Solat Maghrib di Masjid Sayyidah A’isyah serta menziarahi makam beliau, dan pulang ke ARMA.

10.30 am : Imtihan Iktisyaf bagi mengetahui tahap kemahiran Bahasa Arab bagi setiap peserta kursus (2 jam)

02.30 pm : Pertemuan bersama Prof Madya Dr. Hassan Basri, Pengarah MSD dan

Prof Madya Dr. Fakhruddin Abdul Mukti di bangunan MSD

03.10 pm : Pulang ke ARMA

Ahad (14/ 12/2008)

08.10 am : Bertolak ke universiti al-Qaherah

09.15 am : Kelas pertama bermula:

- Kursus Bahasa arab menumpukan kepada empat kemahiran bahasa iaitu, kemahiran membaca, kemahiran mendengar, kemahiran menulis, dan kemahiran berbual. Sesi kelas berjalan kira-kira selama 5 jam termasuk waktu rehat selama setengah jam pada 11.15 pagi hingga 11.45 pagi. Dalam sehari, kursus dijalankan dengan menumpukan dua kemahiran.

02.30 pm : Pulang ke ARMA ( menaiki Metro dan Bas)

Isnin (15/12/2008)

08.10 am : Bertolak ke universiti al-Qaherah

09.15 am : Kelas Bermula

03.00 pm : Para peserta menghadiri muhadharah bersama Prof Madya Dr. Hassan Basri selama tiga jam

Selasa – Khamis (16 – 18/12/2008)

- 9.15 pagi hingga 2.15 ptg – Kuliah seperti biasa.

- 7.30 malam hingga 09.30 malam, para peserta mengadakan group discussion bagi mengulangkaji semula pelajaran dan menyiapkan kerja-kerja rumah yang telah diberikan.

- Selasa, 16/12/2008, jam 7 malam hingga 11 malam – Menziarahi rumah anak negeri Johor, dan Pahang.

Jumaat (19/12/2008)

- 7.00 pagi hingga 2.00 ptg – Kendiri.

- 2.00 ptg hingga 5.00 ptg – Membeli belah di Attaba.

Sabtu (20/12/2008)

- 12.00 tgh hari hingga 4.00 ptg – Program rasmi dan suai kenal (tabadul al-thaqafah)bersama Tuan Haji Abdul Malik bin Kahar (Pegawai Rumah anak Negeri Sembilan) serta anak-anak Negeri Sembilan di Hayyu Sabi’ (7).

Ahad (21/12/2008)

- 9.00 pagi hingga 2.00 ptg – Mengikuti sesi kuliah di Universiti al-Azhar dan berjalan ke sekitar maktabah-maktabah (kedai buku) yang terdapat di masjid al-Azhar. (siswa)

- 12.30 tgh hari hingga 3.00 ptg – Ziarah ke rumah anak negeri Kedah dan melawat sekitar kuliah Banat university al-Azhar bersama pengiring siswi al-Azhar. (siswi)

Isnin – Khamis (22/12/2008 – 25/12/2008)

- 9.15 pagi hingga 2.15 ptg – Kuliah seperti biasa.

- Terdapat seorang daripada peserta lelaki yang tidak dapat menghadirkan diri ke kuliah pada hari selasa kerana demam.

- 7.30 malam hingga 09.30 malam, para peserta mengadakan group discussion bagi mengulangkaji semula pelajaran dan menyiapkan kerja-kerja rumah yang telah diberikan

Jumaat (26/12/2008)

- Mengadakan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat tertentu. Berikut adalah huraian tentatif pada hari tersebut:

8.00 pagi : Para peserta daurah berkumpul dan bertolak dari asrama Abbasiyyah diiringi pelajar senior (Ust. Faisal dan saudara Firdaus) sebagai musyrif.

9.00 pagi : Melawat piramid Giza dan Sphinx.

11.30 pagi : Solat Jumaat di Masjid Amru Ibn al-`As, sebuah masjid terbesar di Benua Afrika.

12.45 t. hari : Ziarah makam Imam Syafi`e dan Imam Waki’, guru kepada Imam Syafi`e.

2.30 ptg : Makan tengah hari.

3.15 ptg : Melawat kubu Salahuddin al-Ayubi, solat Asar di Masjid Muhammad Ali Basha, melawat Istana Jauhar yang terletak berdekatan dengan masjid tersebut, seterusnya ke Muzium Kebangsaan Polis dan muzium tentera.

5.00 ptg : Melawat tugu peringatan Mesir dan makam Anuar Sadat, Mantan Presiden Mesir.

5.20 ptg : Solat maghrib di surau Panorama Oktober 1973 (salah sebuah memorial peperangan Mesir).

5.40 ptg : Melawat Panorama Oktober 1973.

8.15 mlm : Pulang ke Asrama Abbasiyyah.

Sabtu (27/12/2008)

- 9.15 pagi hingga 2.15 ptg – Kuliah seperti biasa.

- 7.30 malam hingga 09.30 malam, para peserta mengadakan group discussion bagi mengulangkaji semula pelajaran dan menyiapkan kerja-kerja rumah yang telah diberikan.

Ahad (28/12/2008)

- Merupakan hari cuti sempena Awal Muharram.

- 10.00 pagi hingga 3.00 petang – Para peserta ke City Star, sebuah pusat beli belah terbesar di Mesir dan di benua Afrika.

- 3.30 petang hingga 9.00 malam – Membeli belah di Bazar Hussein dan menunaikan solat Maghrib dan Isya’ serta menziarahi makam Saidina Hussein di Masjid Hussein, Kaherah.

Isnin – Rabu (29/12/2008 – 31/12/2008)

- 9.15 pagi hingga 2.15 ptg – Kuliah seperti biasa.

- 7.30 malam hingga 09.30 malam, para peserta mengadakan group discussion bagi mengulangkaji semula pelajaran dan menyiapkan kerja-kerja rumah yang telah diberikan.

- Rabu malam, 5.30 mlm – 9.00 mlm: Membeli belah di sebuah kedai Kristal yang terkemuka di Mesir (Asfour) yang terletak di Shubra, utara Kaherah.

Khamis – Jumaat (1/1/2009 – 2/1/2009)

- Pagi Khamis – Kuliah seperti biasa.

- Bermula Khamis malam, para peserta mengadakan lawatan ke destinasi tertentu. Berikut adalah huraian tentatif pada hari tersebut:

Khamis (1/1/2009):

6.00 malam : Bertolak ke Ramsis dari Universiti al-Qaherah.

7.00 malam : Makan malam di salah sebuah restoran yang terletak di Ramsis.

8.00 malam : Solat Isya’ di sebuah masjid yang terletak di Ramsis.

8.20 malam : Bertolak ke Sungai Nil.

9.00 malam : Melayari Sungai Nil dengan menaiki bot pelancong.

10.00 malam : Menaiki van pelancong dan bertolak ke Iskandariah.

12.30 tgh malam : Tiba di Bangunan MARA untuk penginapan siswi manakala penginapan siswa ditempatkan di salah sebuah rumah sewa pelajar.

Jumaat (2/1/2009):

8.30 pagi : Sarapan pagi di Bangunan MARA.

9.30 pagi : Melawat kubu Qaitbay, salah sebuah kubu Salahudin al-Ayubi yang terletak di pinggir Laut Mediterranean.

10.30 pagi : Melawat muzium hidupan laut ( mathaf al-Ahya’ al-Maiyyah bi al-Iskandariah)

11.10 pagi : Melawat Marine Aquarium yang memperlihatkan hidupan laut Mediterranean.

11.45 tgh hari : Solat Jumaat di salah sebuah masjid di Iskandariah.

12.45 tgh hari : Menziarahi makam Luqmanul Hakim, Imam Haramain dan keturunannya, dan Imam Syazili.

2.00 ptg : Melawat Muzium Nasional Iskandariah.

3.15 ptg : Melawat sekitar Istana Muntazah iaitu istana Raja Faruq.

3.30 ptg : Makan tengah hari di ruang legar Istana Raja Faruq di hadapan pantai Iskandariah.

4.30 ptg : Melawat Istana Faridah (anak perempuan Raja Faruq).

5.30 ptg : Melawat Perpustakaan Iskandariah, iaitu perpustakaan terbesar di Benua Afrika.

7.00 malam : Pulang ke Bangunan MARA untuk menunaikan solat jama’ ta’khir Isya’ dan Maghrib serta rehat.

8.00 malam : Perjumpaan bersama Tuan Haji Idris, Pegawai Asrama MARA.

9.00 malam : Makan malam di salah sebuah restoran di Iskandariah.

10.00 malam : Bertolak pulang ke Asrama Abbasiyyah, Kaherah.

Sabtu (3/1/2009)

- 9.15 pagi hingga 2.15 ptg – Kuliah akhir bagi kursus pengukuhan Bahasa Arab.

- 7.30 malam hingga 11.30 malam, para peserta mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan penilaian akhir daurah pada keesokan harinya.

Ahad (4/1/2009)

- 10.00 pagi – 11.30 pagi : Peperiksaan kemahiran mendengar.

- 12.00 tgh hari – 2.30 ptg : Peperiksaan kemahiran memahami teks dan kemahiran menulis serta Nahu dan Saraf.

- 8.00 malam : Mesyuarat bagi mengadakan majlis penutup kursus pengukuhan Bahasa Arab.

Isnin (5/1/2009)

- 12.00 tgh hari : Membuat persediaan bagi majlis penutup Kursus Bahasa Arab.

- 8.00 malam – 10.30 malam : Majlis penutup Kursus Pengukuhan Bahasa Arab. Dihadiri oleh wakil kedutaan, Ustaz Zainuddin Abdul Rahman, para pensyarah Universiti al-Qaherah, warden Asrama Abbasiyyah, AJK Asrama Abbasiyyah dan para peserta kursus. Para peserta telah diberi sijil penyertaan dan penilaian pada malam tersebut.

Selasa (6/1/2009)

- 8.30 pagi : Membeli belah sekitar Maktabah dan kedai-kedai buku yang berdekatan Masjid al-Azhar serta di Bazar Hussein.

- 7.00 malam : Bersiap-siap pulang ke Malaysia.

Rabu (7/1/2009)

- 12.00 tgh malam : Bertolak ke Lapangan Terbang Kaherah.

- 2.30 pagi : Menaiki kapal terbang ke Malaysia.

- 9.30 malam (waktu Malaysia) : Tiba di KLIA.

Berhubung perjalanan dan pembelajaran kursus, pada hari pertama, para peserta dikehendaki menduduki satu peperiksaan bagi mengetahui tahap kemahiran Bahasa Arab yang dimiliki oleh setiap peserta daurah. Peperiksaan tersebut berlangsung selama dua jam. Para peserta diuji dari segi kemahiran membaca dan memahami teks, pengetahuan mengenai kaedah-kaedah nahu dan saraf serta kemahiran mengarang artikel pendek berdasarkan tajuk yang diberikan. Setelah selesai menduduki ujian ini, barulah sesi pengajaran dijalankan mengikut tahap kemahiran bahasa yang dimiliki oleh para peserta.

METOD PENGAJIAN

Para peserta telah difokuskan kepada empat kemahiran sepanjang daurah ini berlangsung. Kemahiran-kemahiran ini termasuklah kemahiran membaca, mendengar, menulis dan bertutur di dalam Bahasa Arab. Keempat-empat kemahiran ini telah diajar sendiri oleh profesor-profesor yang mempunyai kepakaran dalam bidang bahasa. Para peserta juga telah diberikan tumpuan yang sepenuhnya oleh profesor-profesor tersebut selama tiga minggu ketika berada di Mesir.

Bagi kemahiran mendengar, para peserta akan didengarkan dengan petikan arab menerusi pita rakaman yang dimainkan atau bacaan secara langsung oleh pensyarah yang bertanggungjawab. Bacaan akan diulang sebanyak dua kali. Kemudian para peserta diberikan soalan-soalan yang berkaitan dengan petikan tersebut. Peserta juga ditayangkan dengan paparan-paparan kisah Arab Fusha menerusi LCD. Kemahiran ini sebenarnya telah dapat menguji sejauh manakah para peserta peka dan faham terhadap teks arab yang telah diperdengarkan kepada mereka. Ini membuatkan para peserta berusaha menumpukan sepenuh perhatian serta menggunakan kemahiran mendengar dengan kadar yang maksimum. Kemudian, para peserta diberikan soalan kefahaman dan mereka perlu menjawab soalan tersebut seterusnya menghantar kertas jawapan kepada pensyarah yang mengajar.

Berlainan pula dengan kemahiran membaca, setiap peserta perlu membaca petikan Bahasa Arab yang telah diberikan sambil disemak oleh profesor yang mengajar. Teguran secara terbuka akan diberikan terhadap bacaan yang menyalahi kaedah nahu dan saraf. Kemudian sesi perbincangan berlaku di antara para peserta dan pensyarah di sekitar petikan tersebut. Fokus utama yang diberikan menerusi kemahiran ini adalah kebolehan membaca serta memahami teks secara menyeluruh. Para peserta juga dikehendaki menjawab soalan-soalan kefahaman berdasarkan teks tersebut.

Bagi kemahiran menulis pula, para peserta didedahkan dengan cara-cara penulisan yang betul. Antara lain yang telah diajar oleh pensyarah ialah; hukum hamzah wasl dan qat’, cara menggunakan tanda baca, serta uslub-uslub atau gaya penulisan Bahasa Arab yang sebenar. Natijahnya, para peserta akan mampu menulis karangan yang sarat dengan istilah-istilah serta uslub-uslub yang diguna pakai dalam penulisan Bahasa Arab di samping menitik beratkan kaedah-kaedah tatabahasa Arab. Pensyarah juga akan memberi tajuk-tajuk tertentu yang perlu disiapkan oleh para peserta daurah dalam tempoh masa tertentu. Setelah hasil penulisan para peserta selesai ditashih, pensyarah akan mengembalikan semula hasil kerja tersebut kepada para peserta dan mengadakan perbincangan khusus yang berkait dengan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh para peserta dalam menyiapkan latihan tersebut.

Mengenai aspek kemahiran bertutur pula, para peserta dikehendaki bersedia dengan tajuk yang telah diberikan untuk mengadakan proses perbualan di antara pensyarah dan para peserta. Setiap soalan yang ditanya perlu dijawab secara spontan. Pensyarah sering mengatakan kepada para peserta agar jangan takut melakukan kesalahan dalam bertutur, kerana ia akan menghalang kelancaran sewaktu bertutur. Namun, sebelum sesi perbualan bermula, pensyarah akan mengajar kaedah-kaedah nahu dan saraf terlebih dahulu. Kesemua pensyarah yang terlibat secara langsung dalam menjayakan daurah ini telah membuka ruang untuk para para peserta mengajukan soalan seluas-luasnya. Ini telah membuka peluang kepada pelajar untuk lebih memahami sesuatu yang berkaitan dengan Bahasa Arab.

Sebelum pulang ke tanahair, para peserta dikehendaki menduduki peperiksaan akhir bagi menentukan serta menilai tahap prestasi setiap peserta setelah menjalani kursus intensif bahasa selama hampir sebulan ini. Peperiksaan ini merangkumi keempat-empat kemahiran dimana kemahiran menulis, membaca dan bertutur berlaku serentak selama dua jam, manakala untuk kemahiran mendengar, terdapat peperiksaan lain yang perlu diduduki oleh para peserta daurah. Rata-rata peserta yang mengikuti kursus selama sebulan ini telah berjaya dalam peperiksaan tersebut. Namun tidak dinafikan bahawa tempoh masa lebih kurang sebulan itu sebenarnya tidak memadai untuk seseorang itu betul-betul mampu menguasai sesuatu bahasa.

Syair persahabatan...

Sering kali aku mendengar bahawa syair Arab sangat sukar untuk dihafal dan difahami. Sungguhpun begitu, satu syair yang benar-benar kuhafal sewaktu daurah pengukuhan Bahasa Arab dan masih kuingat sehingga kini ialah syair mengenai persahabatan. Syair tersebut sangat memberi erti yang mendalam buatku................wallahul musta'an

يا رفيق الدرب إني أذكر الفضلى وأثني

إنها لحظة شكر وامتنان لك مني


كم حملت الهم عني عندما كلت يميني

ولكم آزرتني في أمر دنياي وديني


إنما يجنى الهدى من صحبة الخل الأمين

من يسير بالروض يستنشق عبير الياسمين


يوزن المرء بمن صاحب واختار ولياّ

وأنا اخترتك فارددت رقيا ورقيا


أنت لي نبع من الإخلاص يبقى أبدياّ

لم أزل أحمد ربي أنّ لي خلاّ وفياّ

Mengapa Perlunya Kita Belajar..?

لماذا نتعلم؟

v إن الشرط الأساسي للدراسة النافعة هو:

- وجود الباعث والحافز.

- وجود الرغبة والإرادة الصادقة والقوية في التعلم والإنجاز.

- وجود الاهتمام بتطوير العقل وتنمية قدراته.

- وجود الشوق إلى العمل الدراسي والعلمي.

v فقبل الدراسة أخي الطالب لا بد أن:

- تجعل في نفسك شعورا قويا بأنك راغب رغبة شديدة في الدراسة.

- أن تضع لنفسك أهدافا عليا تريد الوصول إليها بدراستك وعملك الجاد.

- أن تجعل تَعَلّمك حسب منهج علمي تربوي صحيح للتعلم.

تَعَلَّم التَّعَلًّـم

v إن طريقك إلى تعلم أكثر فائدة وتأثيـرا يتم من خلال:

- معرفتك لنفسك...

- معرفتك لطاقاتك وقدرتك على التعلم...

- الاهتمام والمعرفة الأولية بالعلم الذي ترغب في تعلمه...

- التخلص من الإيحاءات النفسية السلبية... فلا تقل:

§ أنا فاشل في الدراسة.

§ المادة صعبة جدا، لهذا فلا يمكن أن أنجح فيها.

§ ليس عندي أساس قوي في هذه المادة ولذلك لن أنجح.

§ لا يمكن أن أحصل على أكثر من مقبول.

§ تنقبض نفسي عندما أذاكر هذه المادة.

§ هذه المادة صعبة جدا... الـخ.

Antara sahabat dan Bahasa Syurgawi yang kudambakan...


Hati ini membungkam rindu dan sayu, pada keindahan kalam wahyu... Sering kuamati hikmah yang menjadi i'jaz kepada syair-syair jahili suatu ketika dahulu... Bahkan, diskripsinya yang mu'jiz pastinya berkekalan sehingga hari perhitungan tanpa sebarang karya lain yang mampu menggugatnya... Subhana Allah... Al-Qur'an, menjadi sinar mentari umat dari kegelapan nyata. Aku telah menjadi saksi pada kebenaran firman Tuhan dari surah al-Isra', ayat 88 mafhumnya: "Katakanlah, sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat serupa dengan al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain."

Uslub dalil yang begitu anjal dan pragmatik, sesuai dengan mana-mana peradaban sehingga hari kiamat ini lalu memberkas jiwaku, memberi satu paradigma baru buat mana-mana pejuang yang berhempas-pulas mendaulatkan kalam Allah di samping berusaha menguasai Bahasa Syurgawi ini. Khayalanku terhadap keunikan dan keindahan kosa kata, keseimbangan frasa, dan tawazun di antara kalimah-kalimah, yang mana ia terdapat di dalam kitab suci ini membuatkanku merasa jahil yang bersangatan pada diri ini. Keindahan ayat suci al-Quran membuahkan momentum yang cukup menggetarkan jiwaku apatah lagi ketika meniti ayat-ayat azab dan tarhib... Bahkan ia semakin menyaksikan kekerdilan diri ini dalam penguasaan bahasa Arab, dan hal ini menjadikanku semakin meletakkan impianku setinggi melangit untuk mahir berbahasa Arab. Ya Allah, mudahkanlah hamba ini menguasai Bahasa al-Quran...


Aku ingin benar bertutur di dalam Bahasa Arab dengan fasih sekali. Kerinduanku dan keazamanku yang begitu menebal untuk menguasai bahasa ini adalakanya sehingga menitiskan air mata kerana kedhaifanku sebagai hamba yang tidaklah pandai berbahasa. Siapalah aku di sisi sahabat-sahabatku yang mampu menuturkan bahasa nabi s.a.w dengan fasih... Siapalah diri ini yang hanya bertukus-lumus mendalami dan menjiwai kelazatan bahasa Arab, tetapi aku bukanlah anak kelahiran bangsa Arab atau lahir di negara timur tengah... Perasaan sedih, dan cemburu justeru berkecamuk dalam diri, hanya kerana melihat sahabat lain mampu pergi dengan lebih jauh dalam menelusuri keagungan bahasa syurgawi ini...


Terus terang sahaja kukatakan, bahawa aku sangat iri hati kepada sahabat pasukan debat bahasa Arab UM yang lalu. Aku berusaha dan terus berusaha mendalami bahasa Arab untuk mengatasi mereka, namun apa yang kuperhatikan, semakin kuberjihad menyaingi mereka, semakin jauh pula aku ditinggalkan... Aku teruja melihat artikel dan emel berbahasa Arab, dan aku sendiri sering membacanya, lalu ia menggerakkan naluriku untuk menghasilkan karya berbahasa Arab untuk disebarkan. Apakan daya... Aku masih tidak cekap untuk menaip huruf jawi yang terdapat pada papan kekunci laptop. Hal ini adakalanya menyebabkanku berasa sukar untuk menaip di dalam blog atau emel, apatah lagi ia memakan masaku... Namun, dari semasa ke semasa, aku tetap juga menyesuaikan diri menaip jawi...


Apa yang menarik minatku pada artikel bahasa Arab ialah, kelunakan bahasanya sangat berbeza dengan bahasa-bahasa lain, malah tidak setara langsung sekiranya kita bisa mengamati intonasi dan konotasinya. Apatah lagi, bahasa Arab sering bersangkut paut dengan dalil dari al-Alquran dan hadith... Aku bertukus-lumus, menguasai bahasa ini, selagi nyawa dikandung badan. Di samping itu, aku berhasrat untuk menghafaz seluruh al-Quran, dan dengan itu aku mampu mengaplikasikan uslub ayat tersebut dengan komunikasi harian. Ya Allah, kurniakanlah daku kemudahan.. Sesungguhnya, di sebalik kesusahan, di sana terdapat kemudahan...


Namun, kuyakin, meskipun diri ini bukanlah berasal-usul dari negara Arab atau bukan anak kelahiran dari timur tengah, aku mampu menguasainya. Lipatan sejarah telah membuktikan bahawa, kebanyakan ulama' hadith yang bukanlah berasal dari negara Arab mampu menguasai malah memilki lidah yang lebih fasih daripada bangsa Arab itu sendiri. Imam Bukhari umpamanya, mampu menghasilkan karya berbahasa Arab berjudul-judul khususnya dalam bidang hadith sungguhpun beliau bukanlah berbangsa Arab. Kebanyakan ulama' hadith yang berasal dari negara India, mahir berbahasa Arab, meskipun mereka berbangsa India. Aku mengintepretasi semula ayat yang terdapat pada ayat yang kusudah lupa dari surah dan juz' mana, namun dari ayat tersebut dapatlah kuambil istinbat bahawa bahasa Arab bukanlah hanya semata-mata untuk bangsa Arab, akan tetapi untuk sekalian manusia yang menuturkan bahasa tersebut. Terlintas di fikiranku juga kepada wasiat al-syahid Imam Hasan al-Banna iaitu: “Tuturkanlah dengan bahasa Fusha..." Kata-kata al-Syahid itu sering menjadi perangsang kepadaku untuk menjadi pejuang yang memartabatkan bahasa Arab...


Duhai sahabatku yang mahir berbahasa Arab, aku teringin benar menjadi seperti kalian... Bahkan, daku seringkali berazam untuk mendahului kalian... Mudah-mudahan, ini menjadi suatu persaingan buat kita.... Fastabiqul khairat.... Tidak mengapa sekiranya kita cemburu dan bersaing pada dua perkara, iaitu ketika menginfaqkan harta, dan ketika menuntut ilmu.. Demikianlah mafhum daripada hadith junjungan besar Nabi s.a.w.... Wahai ustaz dan ustazahku, para pensyarahku, didiklah diriku ini menjadi generasi pencinta bahasa al-Quran, seterusnya menjadi pejuang yang mendaulatkan al-Quran daripada diinjak dan dipijak.. Ya Rabb wa ya Fadli wa al-In`am... kurniakanlah daku kekuatan dan kefahaman yang tinggi seperti mana kefahaman di dalam doa Nabi s.a.w kepada Ibn `Abbas yang dikenali sebagai tarjuman al-Quran, yang mana doa Baginda berbunyi: "Allhumma faqqihhu fi al-Din, wa `allimhu al-Takwil... " Amin ya rabbal `alamin... Wallahu A'lam...

Sejarah Pemerintahan Mesir dan Perjanjian Damai di antara Mesir dengan Israel

1. Sistem pemerintahan Mesir: Diktator.

2. Kepimpinan Mesir (Presiden) abad ke-20 : 1. Jamal Abdul Nasir – 2. Anuar Sadat – 3. Hosni Mubarak.

3. Perjanjian damai Israel-Mesir berlaku pada zaman pemerintahan Anuar Sadat ketika Mesir dapat menawan semula wilayah Sinai yang sebelumnya dijajah oleh Israel.

4. Negara Mesir sebuah negara yang sangat menitikberatkan aspek ketenteraan sehingga perlantikan jawatan presiden perlulah di kalangan ahli yang berjawatan di dalam barisan ketenteraan.

5. Wilayah Sinai merupakan wilayah jajahan takluk Mesir ketika era awal-awal pemerintahan Mesir dan Mesir diiktiraf sebagai Negara Islam. Namun, lembah Sinai telah dijajah oleh Israel ketika zaman pemerintahan Jamal Abdul Nasir. Namun, tentera Mesir telah berjaya menawan semula Sinai dengan ketumbukan tentera yang telah dibangkitkan roh-roh perjuangan kebangsaan dan nasionalisme Mesir.

6. Pada era pemerintahan Jamal Abdul Nasir juga, disebabkan kemenangan yang diperolehi oleh tentera Mesir untuk mengembalikan semula wilayah Sinai, maka rakyat dan pemimpin Mesir dibuai dan ditenggelami dengan nafsu, hiburan yang melalaikan, kuasa yang menindas, kezaliman yang berleluasa, dan sebagainya. Perjuangan pemerintahan Mesir pada ketika itu adalah perjuangan berasaskan bangsa Arab, maka sudah tentu Islam dipinggirkan begitu sahaja. Anggota Ikhwan Muslimun dipenjara, pendakwah-pendakwah ditindas dan dibunuh, gerakan Islam diharamkan, dan hilang hak-hak bersuara. Kezaliman yang telah dilakukan oleh Jamal Abdul Nasir yang juga merupakan jeneral tentera Mesir tidak dapat dibendung dan dipertikaikan lagi apabila beliau menggunakan kuasa memenjara dan membunuh sejumlah besar anggota Ikhwan Muslimun. Anggaran bilangan anggota Ikhwan Muslimun yang dipenjara dan dibunuh pada zaman tersebut melebihi 40000 ahli. Jamal Abdul Nasir juga pernah menyatakan: “Palestin adalah Negara Palestin, dan wilayah Mesir adalah wilayah Mesir, maka tiada hubungan di antara Palestin dan Mesir”. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa perjuangan di bumi Mesir merupakan perjuangan yang berasaskan bangsa dan nasionalisme sahaja dan tidak ada kena mengena dengan Islam.

7. Rentetan peristiwa tersebut, kaum Yahudi Israel menyedari akan kelemahan ketara umat Islam di bumi Mesir. Maka mereka mengambil kesempatan untuk menyerang kembali Negara Mesir dan tidak sampai seminggu, mereka telah berjaya menawan kembali lembah Sinai dan telah memusnahkan beberapa kota di Mesir seperti Kaherah dan Iskandariah. Rentetan kemenangan Yahudi Israel tersebut, sejumlah besar menteri-menteri Kabinet Mesir meletakkan jawatan sehingga wujud di kalangan menteri tersebut membunuh diri kerana mendapat malu yang sangat besar. Bahkan, presiden Mesir dan jeneral tentera Mesir sendiri, Jamal Abdul Nasir mengisytiharkan dirinya sendiri bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai presiden Mesir. Namun, atas desakan rakyat agar beliau tidak meletakkan jawatan, dan belas kasihan rakyat yang mengagung-agungkan Jamal Abdul Nasir yang suatu ketika dahulu telah berjaya memerdekakan wilayah Mesir (Sinai) dari belenggu penjajahan, maka Jamal Abdul Nasir telah menyandang jawatan presiden tersebut sehingga beliau meninggal dunia.

8. Era pemerintahan diktator nasionalisme yang digagaskan oleh Jamal Abdul Nasir akhirnya semakin malap dengan kematian Jamal Abdul Nasir. Jawatan presiden yang sebelum ini dijawat oleh beliau telah diganti Anuar Sadat yang juga merupakan anggota tertinggi dalam barisan ketenteraan Mesir. Pertukaran jawatan presiden kepada Anuar Sadat sedikit sebanyak telah memberikan kebebasan kepada rakyat-rakyat yang memperjuangkan agama Islam tercinta khususnya Ikhwan Muslimun. Era kezaliman Jamal Abdul Nasir bertukar corak apabila sejumlah besar anggota Ikhwan Muslimun dibebaskan dari penjara tentera, ceramah-ceramah agama dan dakwah Islam semakin berkembang tanpa sekatan. Akan tetapi, terdapat suatu makna yang tersirat di sebalik pembebasan anggota Ikhwan Muslimun dan pendakwah-pendakwah Islam. Anuar Sadat mempunyai visi dan orde yang tersendiri dalam proses untuk mendapatkan semula wilayah Sinai yang telah sekian lama ditawan oleh Yahudi. Pada zahirnya, Anuar Sadat disifatkan sebagai seorang pejuang Islam dan pejuang keamanan di media-media massa Mesir memandangkan beliau memberikan kebebasan kepada pejuang-pejuang Islam, namun pada hakikatnya, beliau telah mempergunakan anggota-anggota Ikhwan untuk menakluk kembalik wilayah Sinai yang telah dijajah oleh Israel. Beliau mengetahui bahawa dengan kekuatan JIHAD umat Islam sahajalah dapat mengembalikan semula keizzahan Islam dan wilayah Sinai dalam menghadapi golongan Yahudi dan kuffar kerana beliau merupakan salah seorang anggota Ikhwan suatu ketika dahulu. Begitulah apa yang dikatakan orang munafik, ketika mana mereka di dalam kesusahan, barulah mereka meminta bantuan pejuang-pejuang Islam untuk membantu mereka, dan ketika mana mereka di dalam kesenangan, mereka menindas pejuang-pejuang Islam sendiri. Inilah apa yang dilakukan Anuar Sadat terhadap pejuang-pejuang Islam.

9. Setelah anggota Ikhwan dibebaskan daripada penjara, Anuar Sadat memberikan sokongan padu kepada Ikhwan menubuhkan satu pasukan tentera bagi memerangi Yahudi Israel. Kem-kem tentera digiatkan dengan latihan jihad dan semangat juang menegakkan agama Allah yang tinggi. Kira-kira enam tahun kemudian, sejumlah besar ketumbukan Ikhwan Muslimun telah dihantar ke wilayah Sinai untuk mendapatkan semula wilayah tersebut yang telah dijajah oleh Yahudi laknatullah. Berbekalkan keimanan dan semangat juang yang tinggi, Ikhwan Muslimin berjaya menembusi kubu pertahanan yang dikatakan kubu yang paling kukuh di dunia. Kubu tersebut terletak di timur Sinai, dan akhirnya Ikhwan Berjaya menawan kembali wilayah Sinai yang telah sekian lama dirampas oleh Yahudi Israel.

10. Kekuatan tentera Ikhwan dan semangat yang terdapat pada setiap hati-hati pejuang merancakkan lagi wilayah taklukan Islam, dan pada ketika itu, Ikhwan Muslimun hampir-hampir berjaya menawan Jerusalem al-Quds (Palestin) dari penguasaan Yahudi. Namun, satu arahan dan orde baru telah dikeluarkan oleh Anuar Sadat dengan perintah kuasa-kuasa Dunia seperti Amerika untuk menghentikan peperangan atas alasan misi keamanan dunia. Suatu perjanjian damai telah termeterai di antara Anuar Sadat (Mesir) dengan Yahudi Israel dengan sokongan Dunia Barat khususnya Amerika. Perjanjian tersebut dinamakan perjanjian Camp David. Di sebalik perjanjian tersebut, orang-orang Yahudi ingin menyekat kemaraan pejuang Islam untuk menawan Jerussalam. Kononnya perjanjian tersebut atas dasar untuk menjaga keamanan negara dan misi keamanan dunia, namun pada hakikatnya, perjanjian tersebut menyekat Ikhwan muslimun dari berkuasa dalam usaha untuk menyebarkan Islam.

11. Antara isi perjanjian damai tersebut, Yahudi Israel serta Amerika akan membekalkan segala bentuk ekonomi seperti bekalan roti harian secara percuma kepada Mesir, namun mereka meletakkan syarat bahawa negara Mesir tidak boleh berkompromi dan tidak mempunyai sebarang perkaitan tentang segala isu yang berlaku di Palestin. Perjanjian tersebut telah dipersetujui oleh Anuar Sadat dan telah dimeterai. Impaknya, wilayah Sinai akhirnya dapat ditawan semula oleh Mesir, dan Mesir mendapat bekalan makanan, dan ekonomi dari kuasa besar dunia seperti Amerika. Di sebalik perjanjian damai tersebut, hakikatnya umat Islam telah ditindas sekali lagi kerana tidak diberi kebebasan memberikan kemerdekaan kepada Palestin dan Islam itu sendiri. Anggota Ikhwan telah diperalatkan hanya semata-mata untuk kepentingan pemerintah Anuar Sadat untuk mengembalikan semula wilayah Sinai yang telah dirampas. Ini membuktikan bahawa orientasi perjuangan Anuar Sadat hanya berasaskan kebangsaan dan kepentingan peribadi semata-mata bagi mendapat kemegahan dan nama di mata masyarakat, walhal beliau mempergunakan tentera Islam untuk menakluk kembali lembah Sinai tersebut.

12. Natijah daripada peperangan di lembah Sinai dan perjanjian Damai yang telah termeterai tersebut, Mesir telah memperoleh kembali hak wilayahnya (Sinai) dan kesenangan demi kesenangan telah diperoleh di Mesir yang dibekalkan oleh negara-negara Barat. Bahkan, perjuangan membebaskan Palestin dari cengkeraman Barat dan Yahudi telah disekat disebabkan termeterainya perjanjian tersebut dan sehingga kini, ekonomi Mesir sangat bergantung kepada wilayah Barat. Presiden Mesir Anuar Sadat telah diagung-agungkan sebagai pejuang Islam, walhal pada hakikatnya beliau mempergunakan nama Islam dan pejuang Islam untuk menawan kembali wilayah Sinai. Beliau tidak lebih hanya untuk mendapat nama di mata masyarakat bahawa beliaulah pejuang Islam yang telah mati ditembak ketika Hari Pahlawan (Tentera) yang berlangsung sekitar tahun 1970-an. Namanya disemadikan sebagai pejuang syahid, namun pada hakikatnya beliaulah menyekat kemaraan Islam. Rakyat-rakyat Mesir pula telah digembar-gemburkan dengan kepimpinan beliau yang berjuang untuk Islam, tetapi hakikatnya mereka telah ditipu. Sehingga kini, makam Anuar Sadat yang terletak di Kaherah bersama tugu peringatan tentera Mesir diagung-agungkan, sedangkan Anuar Sadat hanyalah boneka Amerika dan Yahudi. Jasanya diagung-agungkan di muzium kebangsaan Mesir, dan kepimpinannya diuar-uarkan bahawa beliau seorang pejuang mati syahid yang telah ditembak ketika Hari Pahlawan. Wallahua’alm.

13. Kini, tampuk pemerintahan Mesir telah dijawat oleh Presiden Hosni Mubarak. Hosni Mubarak juga mempunyai pemikiran yang tidak jauh berbeza dengan Anuar Sadat dan Jamal Abdul Nasir, bahawa perjuangannya hanyalah berasaskan kebangsaan atau bangsa dan wilayah Arab semata-mata. Disebabkan terikat dengan perjanjian damai yang telah termeterai di antara Yahudi (Israel) dengan Mesir pada zaman pemerintahan Anuar Sadat, Mesir tidak membuka sempadannya bersebelahan dengan Negara Palestin di Rafah bagi pelarian Palestin memasuki Mesir di situ kerana terikat dan sangat bergantung kepada Amerika khususnya dalam sektor ekonomi negara Mesir... Wallahua’alam.

-P/S: Artikel ini adalah hasil karya dan pengamatan penulis setelah melancong ke Mesir selama sebulan… Perbincangan penulis bersama pimpinan mahasiswa Melayu Mesir yang berkisar mengenai sejarah pemeritahan Mesir juga turut diketengahkan di dalam artikel di atas. Sebarang kesilapan dan kekurangan, penulis memohon kemaafan. Wa Allahu A’lam.