Sukar untuk kulupakan tika daku bergelar naqib… Aku agak sedih apabila tiada seorang pun di kalangan anak-anak usrahku yang berjaya kubimbing mereka dalam menyampaikan kefahaman Islam sebenar di dalam kesatuan jemaah, hatta setelah aku menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda di UM, aku masih gagal. GAGAL… Mungkinkah pendekatanku agak membosankan sehingga mereka kurang berminat untuk berusrah? Mungkinkah juga diriku ini bukan seorang yang mudah memahami jiwa adik-adik? Pelbagai andaian timbul di kotak fikiranku, mencari sebab musabab dari perspektif berbeza… Sering saja inspirasi hati ini berkomunikasi, alangkah baiknya sekiranya aku memperolehi anak-anak usrah yang cintakan ilmu, komited dan gemar berusrah, serta dahagakan pengisian tarbiah… Namun, Allah sahajalah yang Maha Berkehendak dan Maha Memberi Petunjuk. Qaddara Allahu wa ma sya’a fa’ala… Mungkin juga diriku ini hanya bertepuk sebelah tangan… Tidak memahami rahsia bicara Tuhan… Hanya mengharapkan saja komitmen daripada adik-adik tetapi tidak kesampaian… Aku yang suatu ketika kerap melakukan usrah, tetapi jarang bermuhasabah… Hanya melaksanakan amanah, tetapi diri sendiri masih tidak mahu islah… Hanya mengejar silibus usrah, tetapi hati tidak mengikat ukhwah dan wehdah… Maka, aku masih hanya bertepuk sebelah tangan… Tidak memahami rahsia bicara Tuhan…
Aku masih lagi bertepuk sebelah tangan… Masih tidak memahami rahsia bicara Tuhan… Seterusnya aku mendambakan seorang naqib yang mampu mendidikku dan mentarbiah diriku. Namun, aku agak sedih kerana aku seakan tidak mempunyai naqib kini. Yelah… Ramai yang bertanggapan apabila seseorang yang telah bergelar naqib, maka dia tidak perlukan bimbingan naqib. Meskipun diri ini ditaklifkan sebagai naqib, sungguh aku masih memerlukan tarbiah dan bimbingan dari seorang murabbi..!! Namun, siapakah lagi insan yang memahami hati ini…? Abang-abang..!? Sahabat-sahabiah..!? Adik-adik..!? Tiada..! Tiada seorang naqib pun yang menghulurkan tangan, lalu menggenggam hatiku ini dari keciciran… Yang ada hanyalah suatu bentuk perbincangan akademik di kalangan sahabat-sahabat r.a di jabatan. Hakikatnya aku mengidamkan pengisian rohani dan haraki daripada seorang naqib atau murabbi... Usahkan adik usrah tidak kuberjaya mentarbiah, malah aku sendiri terpinga-pinga mengharapkan bimbingan naqib yang lebih senior, yang memahami kondisi hati… Kerana kuimpikan pentarbiahan yang meluluh hatiku yang telah keras akibat dipateri dosa bertimbun! Jiwa, hati, sanubari, naluri… Aku cuba berusaha bersungguh-sungguh menjadi naqib dan menjadi anak usrah yang komited, namun aku merasakan tiada siapa di kalangan warga ahli yang mengerti… Fahamilah gemuruh hatiku ini, wahai seluruh Ansorullah... Manik-manik air ini lalu membasahi pipi, tika melayari ruang muhasabah nafsi di malam yang sunyi… Betapa keras membekunya hatiku ini ya Allah...! Mungkinkah kukekal bertepuk sebelah tangan, hanya kerana idamkan naqib yang bersifat kejiwaan..?? Lalu, berlegarlah di fikiranku nama-nama insan tertentu…
Aku masih lagi bertepuk sebelah tangan… Masih lagi tidak memahami rahsia bicara Tuhan… Aku mengidamkan sebuah pentarbiahan sufi. Namun, hati ini sangat hina untuk melangkah masuk ke pintu gerbang ma’rifat. Aku hanya perasan sendiri menuju ke dimensi tersebut, tetapi kesufian semakin jauh meninggalkanku disebabkan oleh banyaknya kekotoran yang melekat di jiwaku. Sekali lagi kumenggantung impian setinggi langit membiru… Kusangat hajatkan bimbingan tarbiah wisata cinta abang-abang dan teman-teman, dalam menerokai kehidupan hakiki sebagai HAMBA, menyucikan jiwa yang kotor dengan najis dosa. Aku masih tersangat jahil dan gagal untuk memahami ilmu Hikmah yang termaktub di dalam kitab al-Hikam, karya Ibn `Ata’illah al-Sakandari. Aku masih lagi bertepuk sebelah tangan… Tidak memahami rahsia bicara Tuhan… Perasaan `ujub masih menebal di dalam jiwa lantaran melihat kehebatan kedudukan universiti perdana di mata dunia. Tidak di mata agama… Kuhanya melihat sistem merit rekaan manusia, tidak menyingkap hikmah yang menitikberatkan persoalan syakhsiah beragama, praktikaliti melaksanakan tuntutanNya, yang menghimpunkan aspirasi dan falsafah keilmuan, dalam memahami laba berupa syurga, dan kerugian merupakan neraka… Astaghfirullah al-`Azim… Hati ini bersimpuh memohon taufiq dan hidayahMu ya Allah…
Aku masih lagi bertepuk sebelah tangan… Tidak memahami rahsia bicara Tuhan… Aku gagal menjalankan amanah Allah secara kamil dan sempurna, tetapi aku sangat mendambakan jauhari keredhaanNya. Walau bagaimanapun, kuyakin dan pasti bahawa aku tidak bertepuk sebelah tangan dalam memilih teman hidup seperjuangan… Aku tidak bertepuk sebelah tangan dalam percintaan Adam dan Hawa, kerana hatiku masih belum mengatakan Ya, dan kakiku masih belum melangkah ke dunia mihrab percintaan Islami manusiawi, kerana kumasih langsung tidak bersedia, dan kumasih langsung tidak ingin memikirkannya, melainkan setelah merentasi matlamat terdekat yang ingin kukotakan… Iaitu perjuangan di institusi pengajian menatang tinta ilmu kefaqihan… FATTAQUD DUNYA WAT TAQUN NISA’(Maka, takutkanlah dunia, dan takutkanlah fitnah wanita – mafhum hadith sahih dari kitab sahih Muslim, sunan al-Tirmidhi, dan sunan Ibn Majah)… Aku berusaha memadamkan permainan gelojak jiwa, kerana kupunya gagasan impian menyulam yang lebih utama. Hati ini ingin sekali melihat umat akhir zaman bersatu, namun realitinya aku sendiri seakan berada di pinggiran dan di persimpangan... Aku masih tidak mengerti akan diri ini. Siapakah aku..!? Mengobarkan semangat juang, namun aku yang kecundang… Perasaan sedih menyelubungi diri menikam hati. Wahai para muslimin, bersatulah atas panji La ilaha illa Allah, Muhammadur Rasul Allah..! Usah berbalah sehingga berpecah-belah! Justeru, fahamilah rahsia bicara Tuhan, agarku kelak tidak bertepuk sebelah tangan lagi…
Sudah sekian lama aku tidak memuatkan entri di dalam blogku. Ada saja fikiran ini dibelenggu dengan idea dan ilham yang pelbagai untuk ditafsirkan dalam bentuk untaian kalimah-kalimah penulisan, namun aku tidak punya masa untuk menukilkannya… Ikutkan saja, kalau dihitung-hitung, maka terdapat lebih 10 topik makalah yang ingin kukarang, antaranya:
1.Hembusan Sufi & Titisan Embun Pagi
2.Aku Bangga Menjadi Pelajar APIUM!
3.Kamar Rahsia ungkapan: Qaddara Allah wa ma Sya`a Fa`ala
4.Andalus
5.Perbezaan biografi ulama’ yang sering menjadi kekeliruan masyarakat – 1. Ibn Qayyim al-Jauziyyah/ Ibn al-Jauzi/ Ibn Juzzai, 2. Jalaluddin al-Mahalli/Jalaluddin al-Suyuti, 3. Ibn Rusyd al-Jad/ Ibn Rusyd al-Ab/ Ibn Rusyd
7.Tawaqqufkan sementara cinta ‘ana & enti’, waqafkan diri pada cinta Rabbul `Izzati…
8.Kalimah “Hikmah” yang memiliki hikmah!
9.Menyelongkar Rahsia Linangan Air Mata…
10.Apakah hati ini telah terkunci??
11.Bagai langit dengan bumi… Ya Rasulullah…
12.Biografi Para Ulama’ Tafsir al-Qur’an
13.Bedah buku: “50 Kata-kata Tokoh Berpengaruh… Oleh Ust Dzulkhairi Md. Noor”
Semacam blog ini menjadi medan pena,ku menginterpretasi apa yang terpendam di hati, di samping mengkoreksi diri ini, sekali gus ia menjadi satu destinasi bagi penggemar-penggemar blog untuk berdakwah dan berdiskusi. Memang benar… Lazimnya bagi penuntut ilmu yang suka membaca, apabila tiba di suatu marhalah atau peringkat, hati-hati ini secara tidak langsung mendorong mereka untuk berkarya dan mengarang. Maka sudah pastinya telah terbukti bahawa para cendekiawan-cendekiawan agama serta para sarjana tidak lekang dengan penerbitan karya-karya yang melimpah ruah lantaran sikap mereka yang ingin berkongsi ilmu serta melontarkan idea-idea baru yang terbuku di kalbu. Aku pernah berazam untuk menghasilkan beberapa buah karya buku untuk diterbitkan di pasaran sebelum umurku menjangkau 23 tahun, namun apakan daya, ilmu di dada ini masih terlalu cetek dan masa cukup terbatas. Kadang kala, pernah juga terlintas di jendela hatiku untuk berhenti daripada bekerja dan berprogram, lalu menumpukan perhatian kepada penghasilan makalah ilmiah, jurnal kehidupan, diari, cerpen, dan artikel tazkiatun nafs. Aku turut gemar menghasilkan artikel berbentuk tarbiah dan penyucian jiwa, namun tidaklah menggunakan gaya bahasa yang begitu tinggi dan berfalsafah sehingga sukar difahami oleh orang lain. Kecenderunganku dalam menghasilkan karya berbentuk kejiwaan ialah, aku gemar mengharmonikan dan mengadunkan versi di antara sufi dengan salafi, yang mana pendedahan mengenai penyucian jiwa tidak lari daripada konteks al-Qur’an dan sunnah… Begitulah pandanganku…
Pada entri kali ini, aku tertarik untuk mengulas persoalan DAKWAH. Namun kupasan ini bukanlah berbentuk fakta yang berat, akan tetapi aku ingin menyorot kembali pengalaman serta alkisah yang adakalanya kupendamkan ia sahaja di dalam benakku tanpa diluahkan. Ilham ini sering berlegar mencari ruang tinta untuk dilabuhkan, maka sedikit sebanyak kumelabuhkan ia di dalam entri kali ini. Kadang kala, aku menyendiri dan berfikir sendirian, merenung realiti kehidupan yang dilalui oleh insan-insan hari ini. Frasa ayat yang terkadang bersarang dan bermundar-mandir di fikiranku ialah, “ALANGKAH INDAHNYA…”. Maka apakah sebenarnya yang dimaksudkan? Fikiranku ini tidak lain hanyalah merupakan salah satu proses muhasabah buatku yang kerap alpa dengan pandangan nista yang membutakan hati. Aku meluahkan ia di dalam hati serta menimbulkan persoalan itu kepada diri sendiri, bertanya dan terus bertanya…
Sekiranya ungkapan tersebut hanyalah membuahkan angan-angan semata-mata, maka hatiku mengatakan “Tidak”. Namun, sekiranya ia merupakan satu cita-cita tertinggi buatku, maka hatiku masih berat untuk mengatakan “Ya” kerana aku sendiri masih tidak bergerak dan bertindak. Apa dia..? Aku berfikir bahawa ALANGKAH INDAHNYA sekiranya setiap manusia yang bergelar muslim menyedari bahawa mereka itu mempunyai peranan sebagai FARD AL-MUSLIM… Sekiranya mereka menyedari dan memahami nilai Islam, pastinya mereka akan berusaha memelihara Islam serta mendaulatkannya, kerana Islam merupakan gugusan nikmat terbesar yang dikurniakan Allah, maka pastinya Allah Maha Mengetahui bahawa Islam merupakan agama fitrah bagi sekalian manusia. Islam untuk semua… Aku melihat kepada batang tubuhku, menilai kembali sejauh manakah kefahamanku terhadap al-Din. Aku ingin melihat kegemilangan Islam, namun aku sendiri tidak melaksanakan perintah-perintah yang terkandung di dalam ajaran Islam secara sempurna… Masih banyak kekhilafan menggunung terdapat pada diri ini, akan tetapi sampai bila aku ingin bersikap sedemikian..? Menginsafi diri, merenung, dan berusaha memperbaiki diri, tetapi tiada usaha untuk membina roh-roh Islam di dalam jiwa masyarakat lain yang memerlukan. Maka, aku beranggapan bahawa sudah tiba masanya untuk aku berdakwah, seiring berusaha memperbaiki diri dari semasa ke semasa… Bukan hanya semata-mata memperbaiki diri, kemudian mengabaikan tanggungjawab kepada mad’u yang pada hakikatnya berhajat menemukan kefahaman Islam di dalam pentas realiti kini. Bahkan dakwah perlu dimulakan semenjak kecil lagi. Bayangkanlah sekiranya sejumlah besar para da’i hanya memikirkan usaha untuk mengislah diri, maka siapakah lagi insan yang akan berhadapan dengan realiti..? Siapakah lagi yang akan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan nur kebenaran. Kalau bukan kita, siapakah lagi yang memberikan kefahaman kepada mereka… Jawapannya kita... Seandainya hal tersebut berlaku, maka yang baik akan terus berusaha menjadi baik, dan yang jahat akan terus menerus menjadi jahat serta mereka kian terabai. Hal ini tidak mungkin berlaku, kerana Tuhan menjanjikan bahawa pastinya terdapat di sana satu kaum yang akan berusaha untuk melakukan amar ma’ruf nahi munkar. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan kaum yang terpilih tersebut… Hal ini telah termaktub di dalam surah al-Ma’idah, ayat 54:
54.Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.
Aku berfikir kembali… ALANGKAH INDAHNYA sekiranya kita berjaya mendirikan BAIT AL-MUSLIM di kalangan ahli jemaah atas fikrah dan perjuangan yang jelas dan benar… ALANGKAH INDAHNYA sekiranya terbina MUJTAMA’ MUSLIM hasil daripada bait al-muslim yang kian berkembang… Dan ALANGKAH INDAHNYA sekiranya kita berjaya membina sebuah DAULAH ISLAMIYYAH yang padanya terdiri daripada masyarakat yang memahami Islam… Maka, aku berasa sungguh terharu dan gembira apabila kita berjaya mendominasi dewan parlimen dalam erti kata mentadbir negara menurut acuan Islam, dan aku sering mengingatkan bahawasanya Islam adalah untuk semua. Tiada unsur-unsur penindasan yang terdapat pada Islam, dan Islam sangat menekankan prinsip keadilan sejagat. Maka, ALANGKAH INDAHNYA sekiranya kita mampu meluaskan empayar Islam, mengembalikan semula peradaban Islam yang telah runtuh kepada kebangkitan semula Islam di seantero dunia, membina sebuah KHILAFAH ISLAMIYYAH daripada gabungan negara-negara Islam… Subhana Allah..! Dan hal ini tidak akan berjaya diriealisasikan melainkan kita perlu menyedari semula akan kepentingan berjemaah, di samping meningkatkan kefahaman yang jitu mengenai apakah tujuan kita berada di muka bumi yang sementara ini. Sesungguhnya, Allah s.w.t bersama-sama orang yang berjuang… Firman Allah s.w.t di dalam surah Muhammd, ayat 7:
7.Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.
Hakikatnya, aku mengimpikan semua itu, tetapi aku sangat lemah… Entahlah… Aku masih tidak punya kekuatan untuk mencegah kemungkaran. Aku masih tidak berani menegur kesilapan orang lain, hanya semata-mata ingin menjaga hati mereka, sedangkan kemungkaran terpampang di depan mata…! Adakah hanya cukup sekadar benci di dalam hati, dan pasrah dengan selemah-lemah Iman di dalam diri..? Tanggapan itu sememangnya silap..! Aku perlu berusaha meletakkan diri di dalam ‘lembayung’ kemuliaan Allah s.w.t, sungguhpun aku berada di dalam ‘lembah’ kehinaan makhluk… Aku perlu berani, kuat, dan tabah… Sememangnya perasaan sedih menerpa di hati apabila melihat masyarakat terjerat dengan perangkap syaitan, melekakan, mendustakan, malah melelapkan roh mereka daripada menggapai nur keimanan… Salah siapa? Aku… Aku tidak menyampaikan dakwah kepada mereka… Aku tidak menegur kelalaian mereka… Aku hanya berdiam diri melihat perwatakan mereka… Sedangkan maksiat di depan mata… Lalu aku pula yang tertipu dan berdusta! Aku pula yang ‘terkesan’ dengan mereka, bukannya ‘memberi kesan’ kepada mereka… Aku pula yang ditegur, dan bukannya menegur… Aku punya banyak kesalahan… Namun, Engkau Ya Allah, mengingatkan daku melalui teguran orang-orang yang berdamping denganku… Alhamdulillah… Ya Allah, berikan ku kekuatan… Ampunilah dosa-dosaku… Kasihanilah daku… Allahumma adrikni… Kurniakanlah taufiq dan hidayah kepadaku dan kepada mereka agar berpegang teguh dengan agama-Mu…
Tuntasnya, kebangkitan Islam pada persepsiku memiliki hieraki tersendiri. Bermula dengan diri, kemudian keluarga, komuniti masyarakat, seterusnya negara, dan akhirnya membentuk khilafah. Inilah sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Syahid Hasan al-Banna di dalam karyanya, Bingkisan untuk Pemuda Islam. Karya tersebut tidaklah begitu tebal, malah ringkas dan padat dengan maklumat, bersifat al-Jami’ wa al-Mani’. Sememangnya perlaksanaan dinul Islam memerlukan saff kepimpinan berkarisma dan berjiwa waja, tidak mudah goyah dengan sebarang ugutan, tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang menyekat dan mengganggu-gugat, dalam masa yang sama kita memerlukan ‘kuasa’ untuk mentadbir, iaitu ‘kuasa’ yang pada hakikatnya dipertanggungjawabkan oleh Allah di atas pundak kita… Nahnu fi al-Tafkir, wa Allahu fi al-Tadbir… Aku yakin dan percaya, persoalan “ALANGKAH INDAHNYA…” ini akhirnya dapat terlaksana seandainya kita memahami erti perjuangan dan kehidupan sebenar kita sebagai HAMBA dan DA’I di muka bumi. Untuk akhirnya, daripada penghuraian dan kupasan di atas, aku merangkumkan perbincangan tersebut dengan menghubungkan ia kepada suatu hadith nabi s.a.w yang berbunyi:
“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah. Dan pada setiap kebaikan, berusahalah kepada apa yang memberikan manfaat ke atas dirimu, dan mintalah pertolongan Allah dan janganlah lemah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau mengatakan: “Sekiranya aku melakukan begini, maka akan jadi begini”, akan tetapi katakanlah, “Sesungguhnya Allah telah menentukannya, dan apa yang dikehendaki-Nya, Dia lakukannya”. Sesungguhnya (sekiranya manusia mengelu), hal tersebut membuka amalan syaitan (agar manusia berpaling daripada ketentuan Allah).”
(Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sahihnya, dan Ibn Majah di dalam Sunannya – Hadith Sahih)
Daripada hadith di atas, dapat diambil istinbat bahawa kita perlulah menjadi individu yang kuat jasmani dan rohani, bersungguh-sungguh melakukan kebaikan, memohon pertolongan kepada Allah s.a.w, bersabar di atas ujian yang menimpa, tidak merungut tentang perkara yang telah lalu, redha dengan segala ketentuan-Nya, tidak mengungkit peristiwa yang telah terjadi dengan ungkapan ‘kalau’ dan seumpamanya, dan sebagainya…. Maka, merujuk kepada hadith di atas, kumengambil kesempatan ini, menyeru kepada sahabat-sahabiah sekalian agar melazimkan lidah menyebut qaddara Allah wa ma sya’a fa’al apabila ditimpa sesuatu perkara yang tidak diduga, sesungguhnya setiap ujian pasti ada hikmahnya tersendiri… Wa Allahu A’lam…
Assalamu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh… Setinggi-tinggi pujian dipanjatkan ke hadrat Allah s.w.t, seuntai selawat buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, dan juga kepada ahli keluarga serta sahabat-sahabat Baginda… Warkah ini dikirimkan khusus buat sahabat-sahabat sekalian daripada ana yang serba dhaif bahkan sangat melimpah kekurangan yang terdapat pada diri ini… Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian… Ana mengambil kesempatan ini untuk berbicara melalui tinta ini tanpa kata, secara ringkas, namun mudah-mudahan ia dapat memberkas di jiwa lantas ia menjadi satu proses muhasabah buat kita dalam menyemai ukhwah yang tidak pernah pudar. Malah, boleh jadi, titik perkenalan dan persahabatan kita yang hakiki baru mula berputik di sini setelah kalian mengamati warkah ini. Kita tidak pasti sama ada dipertemukan Ilahi pada masa akan datang kelak… Kita tidak pasti sama ada apa yang akan berlaku pada peristiwa-peristiwa mentadang kerana hal-hal tersebut di dalam kunci rahsia keagungan-Nya. Barangkali juga ana akan pergi menghadap Ilahi terlebih dahulu daripada kalian, lalu pemergian ana mudah-mudahan membawa pertemuan suci kita di taman syurga abadi… Justeru warkah yang tidaklah seberapa ini menjadi pengubat di hati di kala ana sudah tiada di sisi, apatah lagi tempoh untuk kita bersua semula di dunia tidaklah pasti entah kan bila…
Wahai sahabat-sahabat seaqidah sekalian… Penilaian erti sebuah persahabatan bukanlah diukur dari kaca mata tempoh kita bersama ataupun sifat luaran individu itu, akan tetapi sejauh manakah kita berjaya meruntun hati sahabat ini menjadi `ibadur Rahman yang sama-sama mengerti, memahami, lalu meredah erti perjuangan Islam hakiki. Kita berusaha membantu sahabat ini daripada tergelincir dengan tipu daya dunia, takhta, wanita; Kita menyemai roh Islam di dalam jiwa-jiwa ini agar menjadi pendokong al-Din; Kita menggarap selautan ilmu dengan sesungguhnya; Namun, kita tidak akan pernah melupakan dia untuk menelusuri bersama-sama berjuang di dalam medan ini, melalui fasa demi fasa tarbiah yang mendewasakan. Kita mampu menguntum senyum andai sahabat ini menjadi tiang yang utuh dalam membina mahligai kegemilangan Islam yang gah, lantaran berhasil membawa si dia bersama-sama kita menelusuri perjuangan menaiki bahtera bergelombang meski pertemuan ini seakan-akan sekelip mata. Kini, kalian memanjangkan permusafiran… Alhamdulillah… Namun, kita sedikit bersedih andai kalian pergi meninggalkan kita tanpa sebarang khabar berita, apatah lagi lalu meninggalkan mata-mata rantai perjuangan ini… Kesedihan yang adakalanya tidak tertahankan ini lalu menggenangkan air mata, menikam hati, menggetarkan jiwa, namun siapalah yang dapat membaca naluri hati yang sering berbisik ini melainkan si Dia, Sang Pencipta… Sesungguhnya, naluri hati tidak dapat berbohong… Justeru, kita bingkas bermunajat kepada-Nya agar dipertautkan hati-hati ini di keheningan malam hari di atas sejadah cinta… Menitis air mata gugur menyembah bumi… Sebak menerpa di rona-rona hati… Ia datang tanpa dijemput hanya kerana lahirnya keikhlasan di hati ini mengadu serta merintih kepada-Nya demi sebuah ikatan persahabatan yang tulen atas dasar perjuangan meninggikan kalimah-Nya… Sahabat-sahabat, fahamilah kemilau hati ini...
Duhai sahabat sehaluan sekalian… Apakan daya, sifat malu masih menebal di dalam diri ini lantaran kerana kerdilnya ana untuk berdamping dengan insan yang begitu hebat seperti kalian. Siapalah ana yang sering mengguris hati sahabat-sahabat di kala sedar atau tidak sedar, tidak menjalankan amanah dan taklifan dengan baik, dan sering bertangguh-tangguh melakukan pekerjaan. Siapalah ana yang tidak menepati masa, suka berbangga diri, dan gagal menyemai erti persahabatan dan ukhwah sebenar kepada sahabat-sahabiah. Siapalah ana dan siapalah ana yang begitu melimpah kelemahannya, ibarat pepasir di tepian pantai… Oleh hal yang demikian, persahabatan bukanlah dalam erti kata mencari sahabat yang benar-benar sempurna dan terbaik, tetapi persahabatan sebenar ialah menerima seadanya kekurangan yang terdapat pada sahabat itu lalu membimbingnya ke jalan yang benar, mengislahnya ke arah sinar Islam untuk digamit, saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain, dan menutup keaibannya serta menjaga harga dirinya... Perhatikan dan hayatilah puisi di bawah:
Apabila kau ingin berteman,
Janganlah kerana kelebihannya,
Kerana mungkin dengan satu kelemahan,
Kau mungkin akan menjauhinya....
Andai kau ingin berteman,
Janganlah kerana kebaikannya,
Kerana mungkin dengan satu keburukan,
Kau akan membencinya....
Andai kau inginkan sahabat yang satu,
Janganlah kerana ilmunya,
Kerana apabila dia buntu,
Kau mungkin akan memfitnahnya....
Andai kau inginkan seorang teman,
Janganlah kerana sifat cerianya,
Kerana andai dia tidak pandai menceriakan,
Kau mungkin akan menyalahkannya....
Andai kau ingin bersahabat,
Terimalah dia seadanya,
Kerana dia seorang sahabat,
Yang hanya manusia biasa....
Jangan diharapkan sempurna,
Kerana kau juga tidak sempurna,
Tiada siapa yang sempurna...
Allah dan Para Rasul-Nya sahaja yang sempurna…
Maka…
Bersahabatlah kerana Allah…
Kelak… Bahagia hakiki kan hadir menjelma di jiwa…
~~Salam Ukhuwwah Fillah~~
Wahai sahabat-sahabat sehidup semati sekalian… Sebelum ana mengakhiri tinta bicara ini, harapan ana mudah-mudahan persahabatan kita tidak pernah luntur, sorotilah kembali kenangan dan perjuangan kita bersama, mudah-mudahan ukhwah kita kian bersemi lebih utuh dari sebelum-sebelumnya dengan kenangan berguna tersebut… Tuntutlah ilmu seoptimum mungkin, ikhlaskan niat lil Allahi Ta`ala mudah-mudahan kalian memperolehi ilmu yang berkat dan berguna. Pasakkan jati diri yang kukuh serta usah mudah terpengaruh dengan mana-mana doktrin tanpa penelitian terlebih dahulu. Semarakkan nilai-nilai `ubudiyyah pada diri kalian dengan sentiasa mengasah basirah agar ia mampu menikam dan menusuk kalbu yang tidak sunyi daripada gelumang noda dan dosa… Ya Allah, ampunilah kami… Moga-moga, kita menjadi pejuang yang thabat di dalam medan jihad… Wa akhiran, salam juang!
Pada awal Ramadhan 1430 H lalu, saya agak tergamam apabila menerima khabar berita bahawa seorang sahabat saya akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bahkan, yang lebih mengejutkan ialah beliau akan bertolak ke luar negara pada 28 Ramadhan tanpa sempat menyambut kedatangan Syawal untuk berHari Raya bersama keluarga. Saya perlu menerima hakikat bahawa setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Mudah-mudahan perpisahan tersebut berakhir dengan pertemuan semula yang hakiki, kekal abadi di taman Firdausi. AIZUDDIN… Nama gerangan yang diberi, telah pun pergi membuka lembaran baru bagi dimensi ilmunya untuk menjelajah serta meneroka pengetahuan yang lebih luas terbentang di luar negara, iaitu di Lubnan yang berpusat di Universiti al-`Alamiyyah, Beirut. Pengajiannya pula di dalam bidang Syariah dan Bahasa Arab. Tambahan pula, pastinya beliau memperoleh bonus yang berlipat ganda berbanding saya tatkala beliau menuntut ilmu di rantau orang. Penguasaan Bahasa Arab sudah tentunya lebih terkehadapan, bertalaqqi dengan para ulama’ pula menjadi keutamaan… Manakala di Malaysia, kebarangkalian untuk bertemu serta bermulazamah dengan para masyayih thiqah agaklah sukar.
Manakah jiwa yang tidak tersentuh apabila seorang pendamping setia pergi memanjangkan permusafiran ilmunya, sedang saya masih berada di Universiti Malaya… Sama-sama bergerak kerja dan berorganisasi dalam jemaah, seiring bersama memartabatkan Bahasa Arab melalui Persatuan Bahasa Arab UM khususnya dalam kejohanan Debat Bahasa Arab, sentiasa bersama sepanjang pengajian di UM meskipun berada dalam fakulti yang berbeza, bergerak kerja bersama-sama dalam projek umrah, dan lain-lain lagi... Malah, kami sering bersaing dan cabar mencabar secara positif lebih-lebih lagi hal yang berkaitan Bahasa Arab. Oleh hal yang demikian, sebelum beliau berlepas ke luar negara, saya telah menemaninya sehingga 28 Ramadhan jam 3 pagi di KLIA sungguhpun keluarga saya telahpun pulang ke kampung terlebih dahulu daripada saya... Kerana beliau amat bermakna buat saya...
Sememangnya pemergian beliau amat dirasai, namun saya amat berbangga mempunyai sahabat-sahabat yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu seperti beliau, menyahut cabaran untuk lebih berdiri di atas kaki sendiri apabila menetap di luar negara yang tempohnya tidak kurang dari lima tahun. Cabaran demi cabaran pastinya mendewasakan kita, jadi apakah kita hanya ingin melarikan diri dan bersila di dalam zon yang selesa…? Tidak sama sekali... Langkah perlu dimulakan, bahkan perlu dirancakkan bagi menggilap permata ilmu yang hakiki, memahami siapalah kita yang tersangatlah cetek ilmu yang dikurniakan Ilahi… Memahami apakah peranan kita di muka bumi Allah ini… Kerana perjuangan memerlukan pengetahuan dan pengorbanan… Semakin belajar, terasa diri ini semakin jahil, kerana melihat ilmu yang semakin kompleks dan tidak pernah tepu!
Seorang sahabat pergi… Saya berbangga di sebalik kesedihan yang menimpa, menjadi satu cabaran serta persaingan buat saya. Dua hari selepas 28 Ramadhan, seorang lagi kekasih saya pula meninggalkan saya… Saya tidak pasti sama ada saya akan menemuinya lagi pada tahun hadapan. Kehilangan Cinta saya ini sangat-sangat memberkas jiwa kerana merasakan jiwa ini mulai kontang ibarat tin kosong. Kontang dengan nilai `ubudiyyah, kontang dengan amalan rohani, kontang dengan kedamaian sebenar seorang hamba… Subhana Allah… Itulah dia roh yang dibawa oleh kekasih saya yang diberi nama RAMADHAN. Bagi mereka yang menyelami erti Ramadhan sebenar, pastinya lambaian Ramadhan di saat-saat akhir sebelum bergema takbir raya sangat memilukan hati mereka sehingga mampu menitiskan air mata... Sesungguhnya, tiada satu tempoh pun yang dapat membangkitkan bi’ah tarbiah dan korohanian yang begitu menebal, sehingga berjaya memikat jiwa bertaqarrub kepada Allah dengan sesungguhnya, melainkan tempoh di kala Ramadhan…
Pemergian kekasih ini sudah tentunya menyayat hati saya, namun, berakhirnya Ramadhan bukanlah membawa makna bahawa berakhirnya tempoh tahannuth kita kepada al-Khaliq, sebaliknya Ramadhan ini sekali gus memberikan satu anjakan dan momentum padu kepada kita untuk beristiqamah menjalani ibadah pada bulan-bulan seterusnya… Ketiadaan Ramadhan di sisi adakalanya membuatkan saya bermonolog sendirian, memikirkan dosa yang tidak terhitung, sekaligus mendambakan seinfiniti keampunan daripadaNya, sesungguhnya Dialah Maha Pengampun dan Penyayang… Saya tidak boleh berputus asa dengan pemergian Cinta, saya perlu memegang janjinya dengan penuh rasa amanah dan dedikasi, iaitu beristiqamah dan iltizam dalam menjalani ibadah serta melakukan amalan agar dipertemukan jua dengan kekasih hati olehNya pada musim-musim akan datang… Aku menantimu wahai Cintaku, Ramadhan… Allahumma Balighna Ramadhan…3x
Penyucian jiwa selepas melalui fasa tarbiah bersama Cinta saya setelah dia berlalu pergi diiringi dengan sesi bermaaf-maafan dan ziarah-menziarahi sanak-saudara, sahabat handai, teman-teman, dan sebagainya, mengeratkan tali persaudaraan sesama manusia pada bulan berikutnya. Selang beberapa hari, tanggal 10 Syawal pula seorang lagi sahabat saya melangkah dengan lebih jauh meninggalkan saya dan tanah air Malaysia. HASBULLAH. Nama yang tidak asing lagi bagi pelajar-pelajar Ma`ahad Johor batch kami disebabkan sifat rendah dirinya, namun tinggi keluhurannya serta budi pekertinya… Pada jam 9 pagi hingga jam11 pagi, bersamaan 10 Syawal, kami bersemuka semula di KLIA setelah sekian lama kami menyepi tidak ketemu selama kira-kira 3 tahun. Lalu beliau pula yang menghadiahi saya senaskhah al-Qur’an dan sehelai baju kemeja kepada saya, walhal beliau yang melanjutkan pelajaran. Sewajarnya, sayalah yang perlu memberikan buah tangan kepadanya, tetapi berlaku pula sebaliknya. Seorang yang berkelulusan Diploma Tahfiz Darul Qur’an, terpilih menjadi Hamilul Qur’an, dan kini sedang melanjutkan pelajaran ke Mesir peringkat Ijazah.
Hakikatnya, asal tujuan saya ialah ingin melanjutkan pelajaran ke Darul Qur’an selepas menamatkan pengajian di Ma’ahad Johor, namun Allah Maha Berkehendak. Saya telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke UM, dan saya memikirkan bahawa saya perlu menamatkan pengajian secepat mungkin di UM. Saya memikirkan tanggungjawab sebagai anak sulung di samping ingin menjadi tauladan kepada adik-beradik. Walau bagaimanapun, menjadi seorang Hamilul Qur’an pastinya menjadi impian dan cita-cita saya semenjak di bangku sekolah lagi. Mudah-mudahan, Allah memilih saya di kalangan hambaNya yang memelihara KalamNya sebelum saya meninggalkan dunia dan sebelum usia menjangkau 30 tahun. Amin…
Hasbullah telah meninggalkan satu diskriptif hikmah yang sungguh bermakna buat saya, ketika mana beliau menghadiahi saya senaskhah al-Qur’an. Ini kerana al-Qur’an kecil saya telah hilang pada akhir Ramadhan di Masjid Wilayah, dan hal ini sedikit mendukacitakan saya kerana al-Qur’an tersebut telah saya beli di Mesir. Namun saya pasrah dan redha, dan sungguh Allah Maha Adil… Dia telah menggantikan sesuatu yang lebih baik dengan pemberian al-Qur’an kecil yang baru daripada sahabat saya, Hasbullah sebelum beliau beransur pergi. Hampir-hampir saja saya hendak membeli al-Qur’an yang baru dalam masa terdekat, namun Hasbullah telah menghadiahkan ia terlebih dahulu kepada saya. Terima kasih Hasbullah… Alhamdulillahi Rabbil `Alamin…
Di celah ruang kesedihan yang menimpa hati, disebabkan pemergian sahabat-sahabat dan kekasih saya, saya berbangga memiliki sahabat-sahabat yang memahami perjuangan Islam serta bertukus-lumus meneroka ilmu Allah seperti mereka. Hati ini juga sedikit terubat apabila mengetahui sedikit sebanyak khabar Aizuddin yang telah dikirimkannya melalui emel. Saya juga perlu mengorak langkah, agar tidak ketinggalan daripada mereka, malah perlu memasakkan tekad dan semangat, menjadi orang yang luar biasa, sementara menunggu surat tawaran menyambung pengajian yang akan dikirimkan kepada saya beberapa hari sahaja lagi…Insya Allah dalam minggu ini juga… Saya mengukir senyum sendirian dan menjerit di dalam hati dengan sepenuh qutrat batini yang ada tanpa lontaran suara: AKU BOLEH 3x, Insya ALLAH..! Saya berfikir, berfikir, dan terus berfikir……. Fa inna ma`al `usri yusra… Fikir dan terus fikir, dalam mencari makna hidup…
Salamullahi `alaikum... Untaian madah syukran wa `afwan dititipkan buat teman-teman seangkatan daripada empunya diri ini yang masih memikul kekhilafan menggunung, masih bertatih di lembah samudera yang gelita, mencari pancaran sinar hakiki, ibarat kemilau jiwa `ibadur Rahman yg merintih sayu, menghinakan diri, di kesyahduan malam hari yang berlabuh, mengasah pedang basirah ini, agar berhasil menggamit mutiara ma`rifat yang tajam daripadaNya, lantas menusuk rona-rona hati...
Meruntun relung hati ini, tika meniti tinta kalimah-kalimah bicara sufi tanpa lafaz kata-kata, apatah lagi menyoroti ayat-ayat azab dan tahzib yang menggetar, yang berupaya mengusap jiwa nurani ini bertaqqarrub munajat kepadaNya, lalu tenggelam dalam lautan kenikmatan insan ber`uzlah. Tatkala bermujahadah, ia menitiskan manik-manik air mata tawbah dan mawaddah, yang gugur menyembah di hamparan sejadah cinta, menyahkan amarah, menghiris titik-titik hitam noda dan dosa… "Ya Allah, kurniakanlah daku taufiq dan hidayahMu... Ya Allah, aku insan yang sangat kerdil dan hina... Allaaah... Allaaah... Allaaah... Allaaah... Allaaah... Allaaah... Allaaah..." Bergenang linangan membasahi pipi, diiringi sayup-sayup getaran suara tersedu-sedan yang kian tenggelam, hanya kerana takut dan harap kepadaNya, dengan 1001 harapan agar tidak terpalit dengan tipudaya harta, dunia, takhta, hawa, dan wanita... Kerana ia adalah Fitnah..! Ia lahir dari keinsafan hakiki yang terbit dari luahan sekeping hati nurani... Ilahi.... Anta maqsudi wa ridhaka matlubi.......................
Cebisan tafakur ini membasahi lidah, merentasi riadah zikrullah di keheningan dinihari, memberkas sanubari, menatijahkan jejak jundi, menuju dimensi kedamaian hakiki mekar mewangi seorang mutarabbi bergelar HAMBA yang hina, mengemis cinta dari sifat al-RahimNya, sementara menghitung saki-baki masa yang masih tersisa, menanti lidah yang kian terkelu jua... Kerana ajal bertandang tanpa diundang...
Marilah mengkoreksi diri, menginsafi, menatapi, serta mentadabbur kembali kalam Allah pada ayat 7-10 dari surah al-Syams:
7. Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaanNya), 8. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasiqan dan ketaqwaannya. 9. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, 10. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.
Salam Kemaafan di hari Lebaran... Salam Lebaran pengikat jalinan persaudaraan... Syukran jazilan melayari sisipan blog ana yang tidaklah seberapa mapan... Kullu `aam wa antum bikhair... Minal `a'idin wal fa'izin... `Id Mubarak!