Seronoknya… Malam Maulid Nabi di Yayasan al-Jenderami

Kira-kira sebulan yang lalu, saya telah menerima iklan melalui emel daripada adik perempuan saya mengenai program sambutan Maulidur Rasul di Kompleks Yayasan al-Jenderami, Dengkil. Yayasan al-Jenderami sering menjadi sebutan dan buah mulut orang ramai khususnya mengenai pengajian-pengajian pondok dan perhimpunan para haba’ib dan juga tok guru pondok di pelosok dunia, cuma saya belum pernah menjejakkan kaki ke sana lagi. Rasa begitu ingin sekali mendengar kuliah atau menuntut ilmu di sana walau seketika dan Alhamdulillah… Di kesempatan dan kelapangan ruang masa yang Allah kurniakan pada saya, akhirnya saya dapat juga bertandang ke kompleks tersebut bersama adik perempuan saya (al-Munawwarah) pada hari Sabtu malam Ahad, 6/3/2010, yang mana malam tersebut merupakan malam kemuncak bagi menyambut Maulidur Rasul Kubra. Majlis Sambutan Maulidur Rasul Kubra di Yayasan al-Jenderami telah diadakan selama tiga hari, bermula pada Khamis malam Jumaat sehingga Sabtu malam Ahad, 6/3/2010. Program tersebut telah menghimpunkan beberapa tokoh agama dari pondok-pondok Nusantara seperti Indonesia, Malaysia, dan selatan Thailand dan juga mengumpulkan beberapa para haba’ib yang hadir dari seluruh dunia. Saya berasa sungguh bertuah kerana diizinkan oleh Allah s.w.t untuk menghadiri sambutan tersebut yang mana dikatakan ia merupakan sambutan Maulid Nabi yang terbesar di Malaysia, mempertemukan ulama’ dan ribuan para pencinta sunnah.

Inilah kali pertama kehadiran saya… Suasana di yayasan tersebut agak berbeza dengan suasana harian di ibu kota. Penuh dengan ketenangan dan kedamaian, jauh dari hiruk-pikuk bandar, apatah lagi suasana di yayasan tersebut tidak lekang dengan ceramah-ceramah, taujihat tausiah, simfoni senandung qasidah secara langsung oleh penuntut ilmu di situ pada akhir program, juga dipenuhi dengan hadirin yang rata-rata berjubah putih. Mujurlah saya berjubah putih ketika itu… Anggaran saya kira-kira 70% muslimin dan muslimat berpakaian serba putih, serta anak-anak kecil yang berumur 4 hingga 6 tahun sudah dilatih memakai serban, dalam usaha menerapkan amalan sunnah Baginda s.a.w. dan cinta Rasul. Suasana bi’ah Islamiyyah sebegini mengingatkan saya kepada ibadah umrah, menyebabkan saya tidak sabar-sabar lagi menyahut lambaian Ka’bah… Ceramah Maulid berterus-terusan sejak hari Khamis malam sehingga Sabtu malam, dan pengisiannya sangat memberkas hati saya sehingga mampu menitiskan air mata bagi sesiapa yang mengamati dan menghayati pengisian ceramah tersebut. Inilah kekuatan dan roh yang terdapat pada tok guru pondok dan para haba’ib, yang mana beramal dengan ilmu, berbicara dengan mata hati, memandang dengan pandangan basirah… Namun saya hanya sempat mendengar 3 orang tokoh agama pada malam Ahad tersebut, dari jam 9 hingga 10.15 malam.

Asalnya, memang saya ingin pergi ke yayasan tersebut, namun hasrat saya untuk menuju ke sana tidaklah begitu berkobar-kobar jika dibandingkan dengan adik saya yang ingin menyambut ketiga-tiga hari Maulid Kubra di sana. Ini kerana, pada Sabtu pagi hari yang sama, saya diwajibkan menghadiri kuliah Metodologi Penyelidikan bagi mahasiswa ijazah tinggi sehingga jam 1 tengah hari. Setelah menghadiri sesi kuliah pertama, pada jam 11 pagi, saya menghadiri Semiar Bahasa Arab di Fakulti Bahasa pula, dan saya sebenarnya sengaja meninggalkan sesi kuliah kedua Metodologi Penyelidikan semata-mata kerana minatnya saya dalam Bahasa Arab. Pada malamnya pula selepas Maghrib, jika diikutkan, saya perlu menghadiri kuliah talaqqi kitab di Gombak. Namun setelah diajak adik saya berkali-kali ditambah dengan keinginan saya untuk pergi ke Yayasan al-Jenderami bagi menyambut Maulidur Rasul, akhirnya saya tidak menghadiri ke kuliah talaqqi tersebut, sebaliknya saya menuju ke UIA Gombak untuk menjemput adik di sana. Selepas Maghrib kira-kira jam 8 malam, barulah kami bertolak ke Yayasan al-Jenderami. Tidak sia-sia untuk saya menghadiri sambutan tersebut kerana terlalu banyak manfaat dan pengalaman telah saya perolehi. Antara ungkapan penceramah yang memberi kesan yang mendalam pada hati saya pada malam tersebut ialah mengenai soal hati dan cinta kepada Rasulullah s.a.w., iaitu:

“Kita berusaha mengenali seseorang yang kita cintai, tetapi apakah kita benar-benar mengenali Rasulullah, insan teragung yang paling kita cintai..? Sewajarnya kita lebih mengenali Rasulullah dan lebih mencintainya dari insan yang lain… Apakah layak untuk kita lebih mengenali dan mencintai insan lain daripada Rasulullah, sedangkan Rasulullah Pembawa Rahmat seluruh alam sendiri masih belum benar-benar kita kenali dan cintai? Justeru, bajailah Iman kita dengan mendahulukan cinta Allah dan RasulNya melebihi insan yang lain, untuk meraih dan mengecapi kemanisan halawah al-Iman hakiki…”

Kata-kata ini telah mendorong saya untuk menyoroti kembali perjuangan dan sirah Baginda s.a.w. Sepulangnya saya dari Yayasan al-Jenderami, saya langsung mencari dan mengeluarkan kitab-kitab sirah yang saya miliki untuk dibaca dari semasa ke semasa sehingga khatam. Saya ingin menghayati kehidupan sirah Baginda s.a.w dengan sedalam-dalamnya, sehingga saya mampu merasakan bahawa saya benar-benar bersama dengannya, mencintainya melebihi yang lain, dan bukan hanya menutur di bibir semata. Setelah mencapai apa yang saya citakan, barulah saya boleh memikirkan persoalan cinta pada insan-insan yang lain pula… Nabi s.a.w bersabda:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ.

Maksudnya:

Tidak sempurna iman di kalangan kamu sehingga dia lebih mencintai aku daripada ibu bapanya, anaknya dan manusia keseluruhannya.

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al-Nasa’i, dan Ibn Majah)

Terima kasih ya Allah, kerana membuka pintu hati ini agar menyedari hakikat cinta ini adalah lahir daripada kurniaan dan limpahan rahmatMu… Wa Allahu a’lam...

Erti Sekeping Hati di dalam Kerinduan Tanpa Akhir…

Entah mengapa aku merasa sedikit aneh, dalam usaha menyahkan segala perkara yang tidak perlu… Ya Allah… Semakin kubermujahadah mendekatiNya, bertaqarrub kepadaNya, semakin kuterpinga… Aku terpinga-pinga membongkar identiti diri dalam gelita… Semakin pula insan-insan lain cuba men‘jejaki’ diriku pula, sedangkan aku berusaha sedaya-upaya mengemis cinta dan kerinduan padaNya semata… Astaghfirullah… Apakah ini dinamakan ujian mengenali hakikat cinta? Mungkin saja ini satu cubaan buatku… Aku bimbang tidak berdaya ya Allah… Berikanlah daku kesempatan… Kurniakanlah daku kekuatan… Untuk mengemis cinta dan rinduMu yang hakiki, agar bertakhta di sanubari… Aku berusaha menjadi insan kamil ya Allah… Mudah-mudahan Engkau permudahkanlah daku menjejaki tanah suciMu… Kerana di dalam hatiku ini tersimpan suatu hasrat yang sangat menebal, iaitu ber‘uzlah’ di tanah Baitullah… Aku teringin benar…

Berkata soal hati, perasaan, dan cinta, hakikatnya aku enggan memikirkannya melainkan cintaku pada Tuhan, keluarga, sahabat-sahabat, dan para asatizah. Aku sangat tertarik dengan beberapa petikan di dalam karya “Rindu Tanpa Akhir” (Bahasa Arabnya: al-Mahabbah wa al-Syawq wa al-Uns wa al-Rida) yang dikarang oleh Imam al-Ghazali r.a. Meskipun bahan bacaannya agak sedikit berat dan agak tebal, lebih 300 halaman, namun ia sungguh memikat hati, dalam memahami dan menelusuri pengabdian diri yang sebenar-benarnya kepada Ilahi. Juga karya yang mendedahkan kepada kita metodologi mendidik jiwa agar cinta, redha dan damai bersama Allah. Aku semakin tenggelam dalam kenikmatan gaya bahasanya, khususnya ketika mengamati bab akhir dari karya ini, yang mana sangat menekankan cinta dan rindu pada Ilahi semata… Antara petikan-petikan yang membuatku berfikir panjang ialah ketika mana Rabi’ah menegur Sufyan al-Thawri, katanya:

“Apakah kamu tidak malu kepada Allah meminta redhaNya, sedangkan kamu sendiri tidak redha padaNya..?”

Lalu Sufyan al-Thawri mengucapkan Astaghfirullahal `Azim. Maka Rabi`ah menuturkan bahawa seorang hamba itu dikatakan redha kepadaNya ialah ketika kebahagiaannya saat ditimpa musibah sama dengan kebahagiaannya saat diberi nikmat.

Kenyataan di atas menyebabkan daku memikirkan tujuan keberadaan kita di dunia. Subhana Allah… Selain itu, karya tersebut menukilkan perihal riwayat Nabi Daud yang menerima wahyu daripada Allah, iaitu:

“Wahai Daud, sesungguhnya engkau punya keinginan dan Aku punya keinginan. Namun, hanya keinginanKu yang akan menjadi kenyataan. Oleh kerana itu, jika engkau pasrahkan keinginanmu kepada kehendakKu, nescaya Aku cukupi keinginanmu…”

Karya tersebut juga memuatkan pertanyaan Saidina Ali Karramallahu wajhah mengenai sunnah Nabi kepada Nabi s.a.w, lalu Baginda s.a.w menjawab:

“Makrifat adalah harta kekayaanku, akal adalah pangkal agamaku, cinta adalah asasku, kerinduan adalah kenderaanku, zikir mengingati Allah adalah kedamaianku, kepercayaan adalah harta simpananku, kesedihan adalah sahabatku, ilmu adalah senjataku, kesabaran adalah selendangku, redha adalah harta rampasan perangku, kelemahan adalah kebanggaanku, zuhud adalah mata pencarianku, keyakinan adalah kekuatanku, kejujuran adalah penolongku, ketaatan adalah kecintaanku, perjuangan adalah akhlakku, dan solat adalah puncak kesenanganku.”

Pada akhir halaman karya ini, terdapat satu madah yang menarik untuk diperhatikan dan dicermati iaitu:

“Kerinduan adalah bola api yang dinyalakan Allah dalam hati para kekasihNya dan membakar seluruh isi yang ada: Berjuta kecemasan, bermacam keinginan, berbagai rintangan, dan beragam kebutuhan (keperluan)”

Kesemua petikan-petikan di atas secara dasarnya mempunyai perkaitan sebenar dengan pengertian hakiki bagi kalimah 1. cinta (al-Mahabbah), 2. keintiman spiritual (al-Uns), 3. kerinduan (al-Syawq), dan 4. redha (al-Rida). Kupasan segar yang dilakukan oleh Hujjah al-Islam, Imam al-Ghazali r.a yang terdapat di dalam karya ini sangat menarik, yang berkisar keempat-empat item tersebut dalam menyemai cinta hakiki, dan kerinduan tanpa akhir…

Sarananku buat sahabat-sahabat sekalian, ambillah masa untuk berfikir walau sejenak daripada bercakap kosong yang tidak bermanfaat. Berfikirlah pada kejadian alam. Berfikirlah pada kokokan ayam di waktu pagi dan salakan anjing di waktu senja… Nabi s.a.w bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الْحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا

Maksudnya:

Apabila engkau mendengar kokokan ayam, maka mintalah (berdoalah) kepada Allah akan kebaikannya, sesungguhnya ayam tersebut sedang melihat Malaikat (ketika berkokok), dan apabila engkau mendengar salakan anjing, maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada sayaitan, kerana anjing tersebut sedang melihat syaitan (ketika menyalak).

(Muttafaqun `alaih – Sahih Bukhari dan Muslim)

Kokokan ayam melambangkan sumber rezeki kita di pagi hari, adapun salakan anjing memberikan isyarat kepada kita agar tidak merayau-rayau di waktu senja, Dianjurkan kepada kita untuk berdoa sebagai menuruti sunnah Baginda apabila mendengar kokokan ayam dan salakan anjing seperti mana yang terdapat di dalam hadith di atas.

Alhamdulillah… Aku telah menjumpai ‘permata’ yang hilang. Barulah kumerasakan bahawa tidak sia-sia ayahku membela beberapa ekor ayam di belakang rumah sewa kami di Bangsar. Setiap awal pagi fajar kadhib (waktu imsak), waktu akhir subuh, dan waktu dhuha, biasanya ayam akan berkokok di belakang rumahku di dalam reban yang besar. Maka, disunatkan untuk kita berdoa pada ketika itu memohon kemurahan rezeki, dan aku berpandangan bahawa ayam merupakan satu simbol rezeki. Persoalan di dalam fikiranku juga terjawab mengenai mengapa anjing tidak putus-putus menyalak ketika azan maghrib dikumandangkan di kawasan taman perumahan rumahku di Johor. Ini menunjukkan anjing tersebut melihat syaitan-syaitan bertempiaran lari. Mereka (syaitan) berusaha menjauhkan diri mereka daripada mendengar azan yang membakar diri mereka. Maka, turut menjadi sunnah buat kita untuk berdoa pada tika itu memohon perlindungan Allah s.w.t.

Buat saf pimpinan PMIUM, aku mencadangkan agar kalian tidak melanjutkan liqa’, perjumpaan, dan meeting sehingga ke lewat malam jam 3pagi. Adalah lebih awla sekiranya kalian memberikan hak ke atas tubuh badan untuk tidur selewat-lewatnya jam 2pagi, berqiamullail, solat subuh, bacaan al-Qur’an, wirid dan zikir, kemudian menyambung meeting semula jam7-8.30 pagi sekiranya meeting pada lewat malam tersebut belum selesai. Ini untuk mengelakkan rasa mengantuk dan ingin tidur di pagi hari, bahkan punca segala rezeki bertitik tolak daripada pekerjaan kita di waktu pagi. Perbincangan di waktu pagi akan membuahkan idea yang lebih bernas daripada lontaran pendapat di tengah malam ketika fikiran sedang lesu kepenatan… Kalaupun meeting sehingga lewat malam itu merupakan satu tradisi, maka berusahalah untuk pecahkan tradisi tersebut dan islahlah ia kepada perkara yang lebih baik. Sekadar memberikan pandangan... Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Naba’, ayat 9-11:

وَجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًا (9) وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ لِبَاسًا (10) وَجَعَلْنَا النَّهَارَ مَعَاشًا (11)

Maksudnya:

9. dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat.

10. dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi).

11. dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki.

Berfikirlah mengenai penciptaan Allah s.w.t dan ambillah i’tibar daripadanya… Renung-renungkan… Wa Allahu a’lam…

Teruja… Pemangkin Keazaman Diri!

Ingin sekali aku meluangkan masa untuk sentiasa mengarang dan membuat artikel, namun tidak punya kesempatan. Entri pada kali ini lebih bersifat perkongsian. Aku begitu teruja… Aku begitu teruja dengan seorang sahabatku, Zahiruddin yang sangat bersungguh-sungguh menghafal al-Qur’an dan mendalami Bahasa Arab. Zahiruddin merupakan pelajar jurusan Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam UM, juga merupakan salah seorang peserta debat DiRaja IPT kategori Bahasa Arab pada sesi lepas yang telah meraih tempat ketiga (pasukannya) peringkat IPT Malaysia. Namun, perkara yang menyebabkanku sangat teruja dengannya ialah beliau telah menghafal hampir separuh al-Qur’an secara bersendirian. Sangat punya kekuatan dan semangat membara. Malah, beliau telah menghabiskan penghafalan al-Qur’an kira-kira 6 juzu’ dalam tempoh tidak sampai dua bulan secara individu ketika cuti semester pengajian lalu, sedangkan beliau tidak mengikuti kelas tahfiz, atau bertalaqqi dengan mana-mana masyayikh pada waktu itu. Boleh dikatakan hampir setiap hari beliau mengulang penghafannya sebanyak 3 juzu’ meskipun sibuk dengan urusan sebagai seorang mahasiswa. Sungguh mengagumkan dan mengujakan…

Aku begitu teruja… Aku turut teruja apabila mendapati bahawa ust Murshidi, pensyarah hadith di jabatanku, telah berjaya mengkhatamkan pembacaan tafsir Al-Azhar karangan Prof. Dr Hamka sebelum usianya menjangkau 25 tahun. Dalam tempoh tidak sampai 2 tahun, beliau mampu membaca karya Buya Hamka yang mana tebalnya lebih 1/2 meter sehingga habis secara konsisten dan fokus. Dua insan yang kusebutkan di atas sangat memberi kesan yang mendalam kepadaku untukku bersaing dengan mereka, apatah lagi pengkhususan pengajianku adalah pengajian tafsir. Aku masih belum menghafal al-Qur’an, aku masih belum mengkhatamkan pembacaan mana-mana karya turath ulum al-Qur’an, aku masih belum mengkhatamkan pembacaan mana-mana tafsir, malah aku masih belum khatam pembacaan terjemahan al-Qur’an. Rasa sedih dan malu adakalanya menyelimuti diri ini kerana pengajianku adalah PENGAJIAN AL-QUR’AN… Hanya saja kusemat azam begitu membara untuk kubuktikan kepada mereka bahawa aku juga mampu bersaing dengan mereka. Akan kuBUKTIkan dalam masa terdekat ini, insya Allah… Ya Allah… Permudahkanlah urusanku…

Aku turut begitu teruja… Teruja apabila mendapati sahabatku, Aizuddin telah menghafal beberapa kitab turath Bahasa Arab di Lubnan. Kitab Matn Ujrumiyyah, Mukhtasar Jiddan, al-Kawakib, Qatrunnada, kesemua kitab-kitab kaedah bahasa Arab yang berperingkat-peringkat tersebut telah beliau hafal. Sememangnya kitab-kitab tersebut sering digunakan di pondok-pondok pengajian non-formal di Malaysia untuk dihafal serta dipraktikkan. Malah, beliau sendiri telah melalui sesi pengajian kitab syarah bagi kitab matn Qatrunnada di Lubnan. Boleh dikatakan karya Qatrunnada tersebut merupakan karya tertinggi dalam bidang Nahu. Keberadaan beliau di sana baru saja kira-kira 6 bulan, namun beliau telah mengaji dan menghafal sejumlah karya dengan begitu cepat sekali. Sedangkan aku pula bagaimana..? Tidak menghafal sebarang karya… Agak menyedihkan…

Aku juga teruja dengan Ust Amin, seorang calon Ph. D Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith di bawah seliaan Prof. Dr. Zulkifli. Beliau telah berjaya menghafal kebanyakan kitab-kitab kuning yang digunakan di pondok-pondok, di samping telah menghafaz keseluruhan hadith di dalam karya Bulugh al-Maram karangan Ibn Hajar al-Asqalani. Bahkan beliau telah memperoleh natijah Mumtaz dari Universiti al-Azhar ketika pengajian Ijazah Sarjana Muda. Subhana Allah..! Begitu juga aku teruja apabila mendapati bahawa terdapat beberapa pelajar dari fakulti kejuruteraan UM telah menghafaz kira-kira 10 juzu’ al-Qur’an, sedangkan mereka hanya menghafal secara bersendirian dan mereka bukanlah pelajar APIUM. Namun, kesungguhan mereka mendalami ilmu agama mengatasi pelajar-pelajar APIUM. Subhana Allah…

Hal ini secara tidak langsung mencabar dan menyentakkan daku dari lamunan, kerana aku adalah pelajar jabatan al-Qur’an dan al-Hadith, APIUM. Mana mungkin aku tidak berupaya menjadi seperti mereka, malah seharusnya aku perlu lebih mendahului mereka. Entahlah… Tiba-tiba saja hati ini agak tersentuh, namun diiringi suntikan semangat yang sangat berkobar-kobar untuk mendalami ilmu serta menghafal, secara tidak langsung ia menjadi satu batu asas dan pemangkin kepadaku sebelum bertemu denganNya di Tanah Suci, Masjidil Haram, ataupun bertemu denganNya pada bila-bila masa apabila tiba waktunya… Aku perlu menyucikan diriku yang hina, kotor dengan dosa, sebelum menjejakkan kakiku di tempat paling suci dan mulia. Tekadku, pembacaan al-Qur’an berserta terjemahan perlu kuhabiskan di samping mengeluarkan beberapa gaya bahasa Arabnya yang sangat indah sebelum bulan 12 ini. Kerana azamku selewat-lewatnya pada bulan 12 ini juga akan kumengerjakan umrah dengan hasil wang biasiswa yang telah kukumpul. Insya Allah, pada hujung bulan 3 ini, sumber kewanganku untuk menyahut lambaian suci sudah mencukupi, hanya tarikh kepergian sahaja masih belum ditentukan lagi.

Sebelum mengerjakan umrah juga, aku berazam untuk mengkhatamkan bacaan al-Qur’an secara bertalaqqi dan musyafahah dengan pensyarahku, Ust Sedek. Ust Sedek merupakan penyarah jabatan al-Qur’an dan al-Hadith yang memiliki kepakaran di dalam bidang tahfiz, tartil dan qira’at al-Qur’an. Beliau turut memiliki lembaran sanad bacaan yang mutawatir yang telah diijazahkan oleh pensyarah tahfiz beliau yang mana sanadnya bersambung kepada Rasulullah s.a.w. Beliau juga pernah mewakili negara Malaysia dalam perujian hafazan al-Qur’an peringkat antarabangsa. Justeru, aku mengambil kesempatan bertalaqqi dengannya dalam proses mentahsinkan bacaanku dari semasa ke semasa. Sekiranya aku dapat menghabiskan bacaanku dengan jayanya, insya Allah, beliau akan mengijazahkan sanad bacaan al-Qur’an kepadaku pula. Amin…

Adakalanya, aku merasa rendah diri… Kerana aku berpengkhususan pengajian al-Qur’an, namun aku sendiri masih belum menghafal al-Qur’an dan belum habis membaca tafsir al-Qur’an. Aku belum menguasai ilmu yang berkaitan al-Qur’an… Aku masih belum mencapai darjat Ahlullah, yakni ahli yang mendalami ilmu al-Qur’an. Aku belum menggapai martabat Jil al-Qur’an al-Farid (Generasi al-Qur’an yang unik)… Hanya saja hati ini sentiasa berdoa, berusaha, dan berjihad agar kumendapat limpahan ilmu, kekuatan, dan rahmat dariNya untuk mendalami pengajian al-Qur’an.

Lalu kuterfikir sejenak… Kita melihat sahabat-sahabat kita di luar sana mampu menguasai ilmu agama dan beramal dengan ilmu tersebut, namun mereka bukanlah berlatarbelakangkan pengajian Islam. Sedangkan, aku sendiri masih belum berjaya meskipun aku berlatarbelakangkan pendidikan agama… Kita sering melontarkan idea-idea dan gagasan Islam yang autentik, namun aku selaku pelajar APIUM sendiri masih gagal membudayakan ilmu dengan sebenar-benarnya. Kita sering idealistik menjalankan kegiatan, aktiviti, dan perjuangan, namun perkara-perakara asas Islam masih lagi gagal disemai dalam diri, seperti solat berjemaah awal waktu di masjid. Oleh hal yang demikian, hatiku semakin berkocak… Berkocak kerana pilu memikirkannya, dan berkocak kerana hal tersebut membakar semangatku untuk lebih bertukus-lumus. Aku tidak tahan lagi, tidak tahan untuk berada di belakang… Aku perlu bangkit! Perlu bersaing dengan mereka. Aku punya misi pada tahun ini, dan misi tersebut tidak perlu kunyatakan di sini…

Satu ilmu yang sangat berguna telah kupelajari daripada ayahku… Begitu bermakna sekali. Iaitu kaedah fokus dan konsentrasi 100%, dengan menggunakan aplikasi “Dua Jarum Peniti”. Caranya ialah dengan menggunakan dua jarum. Lalu kita berusaha menghubungkan satu bucu jarum yang halus (tajam) dengan bucu jarum (tajam) yang satu lagi dengan sedikit menekan ketika menghubungkan antara keduanya. Satu jarum di sebelah tangan kanan kita, dan satu lagi di sebelah tangan kiri kita. Apabila kita benar-benar FOKUS dan menumpukan perhatian, kita mampu untuk melakukannya tanpa tergelincir sungguhpun di hujung jarum tersebut agak halus dan tajam. Namun, apabila kita sedikit leka, maka jarum tersebut akan tergelincir, malah ia boleh mengenai jari kita menyebabkan luka. Aku telah mencuba kaedah tersebut, dan telah berjaya. Asasnya adalah fokus, maka kita mampu melakukannya. Analoginya ialah, apabila kita melakukan sesuatu tindakan dengan fokus tanpa memikirkan perkara lain, maka kita mampu meraihnya dengan cemerlang dengan masa yang singkat. Hal tersebut perlu kuaplikasikan di dalam ibadahku, pengajianku, taqarrub kepada Allah, dan sebagainya… Bertafarrudlah… Kata kunci segala kualiti tindak tanduk kita ‘berdiri’ di atas dua perkataan, iaitu FOKUS dan KONSISTEN… Barulah kita berhasil mencapai apa yang kita citakan dengan jayanya…

Untuk akhirnya, marilah kita bersama-sama berusaha meningkatkan kualiti diri dalam penghidupan kita… Perubahan ini memerlukan satu momentum yang dipanggil MUJAHADAH, dan yakinlah, kita mampu melakukannya, insya Allah… Wa Allahu a’lam…

Buat Pimpinan ‘Ribbiyyun’ PMIUM: Batu Asas Gerakan Terpadu Adalah TARBIAH…(2)

Firman Allah s.w.t:

وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا مُفْتَرُونَ (50) يَا قَوْمِ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى الَّذِي فَطَرَنِي أَفَلَا تَعْقِلُونَ (51) وَيَا قَوْمِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَى قُوَّتِكُمْ وَلَا تَتَوَلَّوْا مُجْرِمِينَ (52)

Maksudnya:

50. Dan kepada kaum `Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. kamu hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta (terhadap Allah).

51. Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu, upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan daku; maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal (untuk mengetahui kebenaran)?

52. dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!

Surah Hud (11): 50-51

Allah s.w.t turut berfirman:

وَكَأَيِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ (146) وَمَا كَانَ قَوْلَهُمْ إِلَّا أَنْ قَالُوا رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (147) فَآَتَاهُمُ اللَّهُ ثَوَابَ الدُّنْيَا وَحُسْنَ ثَوَابِ الْآَخِرَةِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (148)

Maksudnya:

146. Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

147. Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.

148. Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat syurga yang tidak ada bandingannya). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.

Ali `Imran (3): 146-148

Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan bahawa elemen tarbiah merupakan elemen asas dan ia merupakan usul jemaah. Sememangnya terlalu banyak dalil yang menunjukkan peri pentingnya tarbiah di dalam berdakwah dan di dalam harakah. Dapat saya simpulkan di sini bahawa SETIAP daripada ahli gerakan sekalian sewajarnya mengambil inisiatif untuk memantapkan tarbiah. Percayalah bahawa sesuatu gerakan akan sukar bergerak kerja sekiranya kefahaman dan aplikasi ini tidak diserapkan di dalam gerakan. Mereka akan semakin alpa untuk melihat hakikat penghidupan dan perjuangan seandainya mereka hanya sering kali berkonfrantasi dan berdemonstrasi. Mereka akan kecundang sekiranya hanya berlegar-legar dengan politik, sehingga usrah, pengisian rohani dan kuliah-kuliah ilmu diabaikan. Mereka akan merasa berat hati untuk melakukan amal jama`i sekiranya hanya ingin membentuk kader-kader dan mata-mata rantai yang baru dalam entiti ini, namun hakikat diri mereka masih belum dimengerti. Mereka akan terkebil-kebil sekiranya mengimpikan generasi-generasi seterusnya menjadi pejuang agama yang beramal dengan al-Din, padahal mereka masih lagi meninggalkan amalan-amalan penyucian jiwa dan makanan rohani. Hidupkan hati ini dengan ilmu dan amal, untuk diaplikasikan dalam gerakan. Nilailah kembali kegemilangan gerakan Islam kampus dahulu dengan gerakan Islam kampus kini dan lakukanlah analisis komparatif, justeru kita pasti mendapati bahawa kejatuhan sesuatu gerakan Islam adalah bertitik tolak daripada kekontangan tarbiah Islam…

Saya tidak bias pada mana-mana lajnah. Saya juga tidak mengasingkan atau melakukan compartment di antara tarbiah dengan siasah mahupun yang lainnya. Pemahaman saya ialah setiap ahli wa’imma dari siasah wa’imma dari tarbiah, maka mereka tidak mesti tidak perlu memiliki tarbiah-tarbiah asas sebagai ahli gerakan. Semua da’i perlu memelihara amalan fardu dan sunat, meningkatkan thaqafah melalui seminar dan kuliah, memelihara akhlak, dan sebagainya. Kalaulah pimpinan sekalipun menunaikan solat subuh akhir waktu di rumah sewa, maka fikir-fikirkanlah… Bagaimana pula ahli gerakan di bawah kepimpinan mereka yang lain..?? Kadang-kala kita terlalu memikirkan suatu perkara yang ideal, sehingga tanpa disedari perkara-perkara ASAS FARDU AIN pun semakin dikesampingkan dan terkikis… Sekadar muhasabah buat diri saya jua… Maka tidak hairanlah sekiranya terdapat ahli yang kurang selesa dengan keberadaan dan misi gerakan sehingga ada yang ingin berhenti daripada bergerak kerja, lalu menumpukan kepada elemen pembangunan rohani, pemantapan aqidah, serta kuliah-kuliah ilmu. Itulah tarbiah asas bagi mana-mana ahli dalam proses melahirkan pendakwah yang berkarisma dan berwibawa. Tambah kefahaman, tambah pengetahuan, tambah kerohanian, tambah perjuangan. Maka, sekiranya ahli telah berupaya melaksanakan hal ehwal tersebut, saya begitu yakin dan percaya kita berhasil membina satu angkatan yang benar-benar utuh, sama ada dari segi politik, dakwah, dan sebagainya, seterusnya berupaya membuahkan satu gerakan Islam yang syumuliyyah dari segenap aspek. Jentera siasah pastinya lebih kukuh daripada yang sebelumnya apabila kita berjaya melangkaui marhalah tersebut. Namun, bagi mereka yang bergerak di atas platform lajnah tarbiah, tarbiah kalian seWAJIBnya jauh lebih tinggi daripada ahli yang lain. Sekiranya kalian sendiri memiliki tarbiah pada unjuran yang rendah atau seperti ahli yang lain, maka saya menjangkakan bahawa tarbiah bagi ahli-ahli lain yang bukan dari platform lajnah tarbiah pasti akan lebih merundum. Wa Allahu a’lam...

Saya ingin sekali membakar semangat sahabat-sahabat dan adik-adik sekalian, kerana saya optimis dan menaruh kepercayaan yang begitu tinggi kepada pimpinan, bahawa kalian mampu melakukan bahtera perubahan. Saya cintakan organisasi dan gerakan Islam, maka ingin sekali saya melihat sahabat-sahabat menggalas tanggungjawab dengan begitu baik. Saya sering mendoakan agar kalian dipermudahkan segala urusan, thabat di dalam gelora perjuangan. Ingin sekali saya melihat kemunculan Ust Ramadhan Fitri 2 atau Ust Zulkifli Yusuf 2 pada kali ini. Saya bersedia untuk menyumbangkan kerjasama dan komitmen sekiranya diperlukan sama ada melalui usrah, kuliah, dan sebagainya. Allah s.w.t pasti memberikan kemudahan dalam pelajaran dan pengajian lota sekiranya kita mendekatiNya dan memahami sunnatullah sungguhpun suasana sibuk sering bergelumang di dalam masa dan waktu kita. Apa yang penting, bijak mengurus. Realitinya, sensitiviti terhadap elemen tarbiah sangat menebal dalam diri ini kerana saya telah merasai kemanisannya pada episod perjuangan dan pengalaman lalu. Kemanisannya sama ada berbentuk kejayaan dalam akademik, mahupun pembinaan jati diri dan sahsiah… Tidak hairanlah sekiranya kita mendapati bahawa pimpinan-pimpinan terdahulu cemerlang dalam segala aspek kerana mereka mendapati bahawa batu asas dalam meredah liku-liku perjuangan adalah pembinaan kekuatan rohani melalui elemen tarbiah. Maka, percayalah, anda kan mampu mengecapinya! Tuntasnya, suka saya memetik kata-kata al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna, yang telah dinukilkan oleh Syeikh Fathi Yakan di dalam karyanya, “Apa Ertinya Saya Menagnut Islam”:

“Kalian adalah satu roh baru yang mengalir dalam urat nadi umat ini, lantas kalian menghidupkannya dengan sinaran al-Qur’an. Kalian adalah satu cahaya baru yang memancar, yang akan menghancurkan kegelapan fahaman kebendaan dengan ma’rifatullah. Kalian adalah suara-suara lantang yang melaungkan kembali da’wah Rasulullah s.a.w.”

Dengan konotasi ayat yang dilontarkan oleh tokoh gerakan Islam tersebut, ayuh kita merealisasikannya dengan wadah perjuangan jemaah Islam sebenar… Tarbiah Ma’rifatullah… Jihad fi sabilillah… Akhir sekali, saya memohon ampun dan maaf kepada sahabat-sahabat seandainya terdapat kekasaran bahasa dan ketidaksesuaian penggunaan frasa ayat di dalam entri pada kali ini. Mudah-mudahan, usaha murni kita dalam menegakkan panji Ilahi diredhaiNya serta di bawah payungan rahmatNya jua... Wa Allahu waliyyu al-Tawfiq…