Umrah Tarbawi Disapa dengan Hujan Rahmat…

Umrah Tarbawi Disapa dengan Hujan Rahmat…

Sering saja dia mengintai-intai waktu yang terluang untuk dipenuhi dengan penulisan blog. Sungguh dia tidak berkesempatan sejak kebelakangan ini kerana satu persatu tugasan harus dipenuhi. Dengan penglibatan diri dalam seminar serantau Usuluddin, penghasilan kertas kerja, dan lain-lain, hal ini sedikit sebanyak tidak memberikan ruang untuknya untuk melayari internet. Kalau punya waktu sekalipun, dia hanyalah berkesempatan membuka internet kejap-kejap saja sejak pulang dari umrah tarbawi. Itu pun hanyalah ingin melihat perkembangan semasa dan membuka e-mel serta menjenguk sebentar sahaja blog sendiri. Alhamdulillah… hari ini barulah dia berhasil mewarnai blognya semula dengan artikel setelah sekian lama kusam. Hari ini barulah dia dapat meluangkan waktunya menghadap laptop untuk menjana idea dan mengatur jari jemari di papan kekunci. Longgokan idea sering saja menerjah kotak fikiran untuk menukilkan travelog pengalaman usai saja pulang dari menunaikan umrah tarbawi pada 26 Mac lalu. Walau bagaimanapun, idea tersebut harus dipadatkan dan diringkaskan untuk dipahatkan dalam entri kali ini sungguhpun dia merasakan ia mampu dicitrakan menjadi sebuah karya novel tarbawi. Program Umrah Tarbawi anjuran DPP Malaysia yang dilaksanakan pada 13 hingga 26 Mac 2011 lalu sangat menggamit kalbunya memandangkan umrah terbabit merupakan umrah yang julung-julung kali buatnya. Alhamdulillah rabbil `alamin… Dia memanjatkan selautan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah s.w.t dengan panggilan-Nya yang Maha Kudus, lalu dia menyahut panggilan tersebut dengan langkahan kakinya yang hina di sisi-Nya menapaki lembah tandus yang penuh barakah diiringi laungan doa Labbaik Allahumma labbaik bersama jemaah umrah yang lain…

Umrah tarbawi ternyata memiliki keistimewaannya yang eksklusif berbanding pakej umrah yang lain. Pengisian-pengisiannya penuh bermanfaat dan setiap masa yang terluang ketika di tanah haramain akan diisi dengan sesi kuliah, usrah, qiamullail, tilawah al-Qur’an, dan liqa’ fikr. Maka tidak hairanlah dia berasa begitu terharu dan terpilih dalam kalangan 60 orang jemaah umrah dengan keterlibatannya dalam Umrah Tarbawi ini lantaran ia merupakan umrah pemuka dan pertama kali buatnya bagi menjejakkan kaki di tanah suci. Sungguh ia lain daripada yang lain… Belum pun sempat mereka menjejakkan kaki di tanah suci, satu persatu cabaran dihadapi oleh mereka yang pada hakikatnya ia merupakan suatu bentuk tarbiah daripada Tuhan. Mereka bertransit di Thailand selama 8 jam. Kemudian bas yang sedang dinaiki di Thailand pula terkandas di pertengahan jalan. Lalu mereka berjalan kaki sejauh hampir 1 km untuk sampai ke Pusat Islam di Thailand dengan membawa bagasi-bagasi yang besar. Begitulah tarbiah… Ketika tiba di Pusat Islam di Thailand, Ust Nik Abduh telah menyampaikan tazkirah mengenai keimanan terhadap Qada’ dan Qadar Tuhan. Antara isi penting yang sangat ditekankan oleh beliau dalam ceramahnya ialah bersangkut paut kebahagiaan. Kebahagiaan hakiki seorang insan ialah apabila dia dapat menerima segala ketentuan Tuhan dengan redha dan berlapang dada, serta tenang dengan segala ujian yang ditempuhi. Ceramah beliau tersebut secara tidak langsung membangkitkan kesedaran dalam kalangan ahli jemaah umrah agar memperbetulkan niat masing-masing tanpa mengeluh panjang. Lalu dia pula teringatkan butiran kata yang telah dilontarkan oleh srikandi sufi, Rabiatul Adawiyah:

“Saat kebahagiaanmu yang hakiki ialah apabila engkau merasakan situasi yang menghimpitmu tetap saja menenangkan jiwamu sebagaimana situasi lapangmu…”

Setelah itu, mereka berlepas pula ke Mesir. Di Mesir mereka bertransit selama 10 jam. Sempat juga mereka berjaulah sekitar bandar Kaherah seperti di Masjid al-Azhar, Universiti al-Azhar, Bazar Hussain, Masjid Hussain, Pekan El Khalili, melewati Dataran Tahrir, bergambar di perkarangan Istana Salehuddin al-Ayyubi dan sebagainya. Realitinya, segala permusafiran mereka di Thailand dan di Mesir hanyalah dirancang oleh pengiring Pemuda pada minit-minit akhir perjalanan, dan kesemua peristiwa terbabit pada hakikatnya adalah hasil percaturan Allah s.w.t jua. Cabaran demi cabaran telah dihadapi oleh mereka dalam tempoh hampir dua hari sebelum bertandang ke bumi Allah yang penuh barakah di Mekah dan Madinah. Masih ada lagi cabaran-cabaran tarbiah yang tidak dapat dinukilkan di sini kerana agak banyak untuk dikongsikan. Begitulah tribulasi pembersihan hati yang merupakan satu isyarat tarbiah daripada Tuhan pada saat-saat akhir sebelum tiba di Jeddah, Madinah, dan Mekah. Subhana Allah…

Dalam entri ini hanya dipaparkan jadual rutin ketika berada di bumi Mekah. Secara umumnya, pengisian seharian buat tarbiah dirinya adalah seperti berikut:

3.30 pagi – Bangun tidur

3.45 pagi – Ke Masjidil Haram

4.00 pagi – Qiamullail

5.10 pagi – Azan Subuh

5.30 pagi – Solat Subuh

5.45 pagi – Mengaji al-Qur’an dan zikrullah

6.45 pagi – Pulang ke Hotel

7.00 pagi – Sarapan

7.20 pagi – Kendiri

7.30 pagi – Berkumpul di lobi hotel untuk pergi ke tempat miqat bagi menunaikan umrah / Ziarah / Ke Universiti Ummul Qura dan Kedai-kedai Buku

11.00 pagi – Pulang ke hotel dan berehat / Qailulah

12.15 t. hari – Ke Masjidil Haram

12.30 t. hari – Azan Zuhur

12.50 t. hari – Solat Zuhur

1.00 ptg – Mengaji al-Qur’an dan iktikaf di masjid

1.30 ptg – Pulang ke hotel

1.45 ptg – Makan t.hari

2.00 ptg – Ceramah oleh Ust Nasruddin Tantawi / Ust Nik Abduh / Ust Fadhil Nor / Ustazah Hamidah / Forum Tarbawi

3.00 ptg – Kendiri

3.45 ptg – Ke Masjidil Haram

4.00 ptg – Azan Asar

4.20 ptg – Solat Asar

4.30 ptg – `Ubudiyyah

5.00 ptg – Usrah Takhassus buat Pemuda

6.00 ptg – Mengaji al-Qur’an / Ke Multazam@Hijr Ismail@Solat Sunat / i’tikaf di masjid

6.30 ptg – Azan Maghrib

6.45 ptg – Solat Maghrib

7.00 mlm – Mengaji al-Qur’an

7.20 mlm – Tawaf Sunat / Ke Multazam@Hijr Ismail dan Solat Sunat di sana

8.00 mlm – Azan `Isya’

8.15 mlm – Solat Isya’

8.30 mlm – Solat sunat / Mengaji al-Qur’an

9.00 mlm – Pulang ke hotel

9.15 mlm – Makan malam

9.30 mlm – Liqa’ fikr takhassus bersama mahasiswa Universiti Ummul Qura / Membeli belah di sekitar hotel

11. 00 mlm – Pulang ke hotel

11.30 mlm – Tidur

Ada kalanya dia menjadi kepala talbiah kepada jemaah yang lain. Suatu perkara yang benar-benar tidak diduga olehnya ialah semasa para jemaah umrah tarbawi baru memulakan tawaf qudum dalam pelaksanaan umrah yang pertama ketika waktu malam, tiba-tiba saja tawaf mereka disapa dengan hujan rahmat yang begitu lebat tetapi seketika. Akan tetapi hujan tersebut berhenti serta-merta setelah mereka tamat menghabiskan pusingan tawaf yang pertama. Subhana Allah… Seolah-olah kehadiran mereka di Baitullah disambut dengan limpahan rahmat daripada-Nya lantas Dia menitipkan titisan hujan rahmat yang membasahi kain ihram dan seluruh anggota. Kota Mekah yang merupakan suatu lembah yang kontang yang jarang berlakunya hujan tiba-tiba saja dibasahi dengan manik-manik air yang datang dari ufuk langit tanpa diundang. Peristiwa unik ini sememangnya begitu mengharukan hati mereka. Maka, siapakah pula yang tidak menitiskan air mata apabila melalui peristiwa-peristiwa unik sebegini di samping melihat Kaabah buat pertama kalinya…??? Alhamdulillah rabbil `alamin… Kenikmatan-kenikmatan maknawi yang sukar diungkapkan justeru satu-persatu hadir menyelubungi hatinya kemudiannya, dan Tuhan saja yang Maha Mengetahui naluri dan perasaan cintanya yang membuak-buak tika itu.

Sebagai langkah permulaan bagi memastikan perjalanan umrah berjalan dengan lancar dan tenteram, dia telah bertafakur dalam sujud buat pertama kalinya di Raudhah agar dikurniakan kesihatan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang umrah… Syukur kepada Allah s.w.t. Sepanjang pelaksanaan umrah di Mekah, dia dikurniakan kesihatan yang baik meski teman-teman serta jemaah umrah tarbawi yang lain sebahagiannya kurang sihat tatkala berada di Mekah. Segala yang terlintas di hatinya ternyata berlaku saja di tanah suci. Ketika ingin berbuka puasa, dia terlintas untuk iftor di dalam Masjidil Haram, maka seorang jemaah Arab di sebelahnya menghidangkan padanya pelbagai juadah setelah menunaikan solat Maghrib. Perkara tersebut sememangnya tidak terjangkakan olehnya kerana pada pengamatannya, tidak ada makanan untuk iftor di Masjidil Haram melainkan air zam-zam. Begitu juga terdapat beberapa peristiwa unik telah berlaku ke atasnya. Segala perjalanan di Mekah secara keseluruhannya dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Dia sempat untuk mengucup Hajarul Aswad, berdoa di seluruh tempat mustajab seperti di Hijr Ismail, Multazam (bersebelahan Hajarul Aswad), Maqam Nabi Ibrahim, Safa dan Marwah. Dia turut berkesempatan menunaikan solat sunat beberapa kali di Hijr Ismail dan di Raudhah, malah seakan semua perjalanannya dipermudahkan tanpa perlu berhimpit-himpit dengan para jemaah yang lain… Sekali lagi dia merasakan kebesaran cinta Tuhan, lalu lidahnya tidak putus-putus melafazkan tahmid yang menggoncang sanubari. Tanpa disedari, air matanya berjurai deras tanpa dapat dikawal lagi… Allahu Akbar…

Mengenangkan `ibrah dari sirah Nabi junjungan dalam perjuangan Baginda mendaulatkan Islam, hatinya sekali lagi sebak. Sebak lantaran merentasi sendiri perjalanan dengan menaiki bas di antara Mekah dan Madinah yang jaraknya tidak kurang 400 km. Sedangkan zaman Rasulullah s.a.w sendiri tidak mempunyai kenderaan bermotor yang canggih. Sebak lantaran melihat ketinggian gua Thur yang didaki oleh Rasulullah s.a.w ketika diburu musuh. Sebak lantaran sa`i di antara Safa dan Marwah, yang mana laluan itulah telah ditapaki oleh Siti Hajar sejauh lebih 3 km. Dia turut mengambil kesempatan untuk mendaki Gunung Thur bersama 2 orang sahabat pemuda yang lain bagi menjiwai sendiri pengorbanan dan mehnah yang diharungi oleh Baginda s.a.w. Sungguh jiwanya begitu tersentuh dengan segunung perjuangan dan selautan pengorbanan yang ditonjolkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa manis yang tidak dapat tertahankan jiwanya ialah pada saat-saat akhir di Masjidil Haram pada pagi Jumaat, 25 Mac. Dia berhasil mengkhatamkan al-Qur’an usai menunaikan solat Subuh di hadapan Ka’bah setelah mentadabbur al-Qur’an bermula pada hari Isnin malam, 14 Mac ketika di lapangan terbang Jeddah. Dia memanjatkan kesyukuran dan bertafakur dalam rindu yang memuncak pada sujud di hadapan multazam dengan bacaan doa khatam al-Qur’an. Dia tenggelam dalam sujud yang tidak terungkapkan kemanisannya sehingga mengalir air mata yang menghapus dosa… Dia bermunajat panjang tatkala sujud tanpa memikirkan langsung insan-insan di sekelilingnya, kerana yang ada pada saat terbabit hanyalah dia dan Cintanya yang abadi, Allah `Azza wa Jalla… Subhana Allah, Alhamdulillah, Allahu Akbar… Setelah beberapa ketika kemudian, barulah dia melakukan tawaf wada’ dalam omongan kerinduan dan kesedihan yang tidak keruan...

Setiba di tanah airnya, Malaysia, dia disambut oleh keluarga tercinta dengan penuh pengharapan, agar dia dan seisi keluarganya kembali kepada fitrah, ibarat kain putih… Sehari kemudian, kifarah dosa mengetuk jasadnya. Dia demam 3 hari. Namun apa yang lahir di bibirnya adalah ucapan tahmid kerana dia mengetahui itulah alamat dari Tuhan bagi penyucian jiwa dan pembersihan hati setelah pulang dari tanah suci. Dia terus saja memanjatkan kesyukuran kerana demamnya hadir di kemudian hari, dan tidak pula menimpanya ketika di Mekah serta di MadinatunNabi… Apa yang menggembirakan hatinya sejurus pulang dari umrah juga ialah apabila mendapat khabar gembira bahawa rakannya, Shahriansyah merangkul johan dalam Akademi al-Qur’an musim kelima. Dia masih ingat lagi ketika dia menjadi pegawai pengiring kepada rakannya dalam musabaqah tilawah al-Qur’an peringkat IPTA di UTM pada tahun lalu... Sungguhpun rakannya tidak mendapat tempat dalam musabaqah terbabit, namun dia sangat memahami bahawa rakannya selayaknya mendapat tempat sebagai johan atau naib johan. Namun, perlunya kesabaran dan redha dengan segala ketentuan Tuhan. Pasti ada hikmahnya. Berkat kesabaran rakannya, subhana Allah, Allah s.w.t memberikan sesuatu yang lebih baik kepadanya dalam pertandingan akhir Akademi al-Qur’an bagi menjulang al-Qur’an sebagai manhaj kehidupan. Peristiwa itulah begitu menggembirakan hatinya dan hati rakannya…

Begitulah sedikit sebanyak perkongsian yang dapat dicoretkan. Mudah-mudahan ia memberikan manfaat buat kita sebagai insan yang tidak terlepas daripada kesilapan. Mudah-mudahan, kita sentiasa beriltizam dengan kerinduan dan kecintaan untuk bertandang di bumi haramain yang dilimpahi keberkatan, yang mana ganjarannya 1000 kali ganda di Madinah, dan 100 000 kali ganda di Mekah bagi mereka yang dapat menunaikan solat di sana dengan penuh ketundukan. Inni da`iyan ila Allah… Wassalam.

~ribbiyyun~

Jumaat,

8 April 2011,

1915pm

Jabatan Al-Qur’an dan Al-Hadis,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya, KL

Gambar-gambar Umrah Tarbawi: DPP Malaysia (13 - 26 Mac 2011)































Kumulakan nukilan pembuka bicara ini dengan memetik firman Allah s.w.t:

لَقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لا تَخَافُونَ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِنْ دُونِ ذَلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا (27)

Maksudnya:

27. Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam - Insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) - Dalam keadaan aman (menyempurnakan Ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah mengangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana ia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunnya).

Al-Fath (48): 27

Alhamdulillah rabbil `alamin… Allah s.w.t akhirnya memilihku menjadi tetamu-Nya bagi menangguk keberkatan bumi Haram Makkah dan Madinah. Inilah buat pertama kalinya daku menjejakkan kaki di bumi tanah suci setelah melalui beberapa fasa tarbiah daripada Tuhan yang menguji keimanan. Kali pertama, tidak sampai seru (dengan alasan visa tidak dapat oleh travel agency - Bulan Mei, 2007 – Projek Umrah Kolej 8). Kali kedua, tidak juga sampai seru (dengan alasan visa tidak dapat juga oleh travel agency yang sama – Bulan Julai 2007 – Projek Umrah Kolej 8). Kali ketiga, tidak juga sampai seru (Duit kami dilesapkan oleh Travel Agency yang sama – Bulan November 2007 – Projek Umrah Kolej 8). Kali keempat, tidak juga sampai seru (visa tidak dibuka pada bulan Disember 2010 yang dimaklumkan oleh Travel Agency lain). Dan kali kelima, Alhamdulillah… Kuberhasil menjadi tetamu Allah bagi melaksanakan umrah hasil daripada wang simpanan yang telah kukumpul melalui perolehan biasiswa UM (Pada Mac 2011).

Ayat di atas sering saja berlegar di kotak pemikiranku sehingga menjentik hati ini tatkala menjejakkan kaki di tanah suci lalu ada saja bergetar hati ini tatkala melihat Ka’bah… Subhana Allah, Alhamdulillah, Allahu Akbar… Kuterpilih sebagai kelompok pemuda dalam umrah tarbawi yang begitu bermanfaat kerana sela-sela masa yang kosong sepanjang umrah tersebut diisi dengan sesi kuliah, usrah, dan qiamullail anjuran pemuda… Dan dapat juga kumenjejakkan kaki ke Universiti Ummul Qura , Mekah serta mengikuti sesi kuliah pengajian di sana... Moga-moga kepulanganku ini ibarat kain putih yang kembali kepada fitrah dan jauh daripada karat-karat dosa… Amin… Insya Allah, kini aku adalah aku yang baru... Al-Ruh al-Jadid!


~ribbiyyun~

Rabu, 4.01pm, 30/3

Jabatan Al-Qur'an dan Al-Hadith,

APIUM

Beberapa Siri Peristiwa Penting dalam Diari Kehidupanku…

Beberapa Siri Peristiwa Penting dalam Diari Kehidupanku…

Saban hari lalu aku tidak berkesempatan memuatkan blog dengan artikel disebabkan kekangan waktu yang dihadapi. Dengan penulisan kertas kerja di Brunei yang perlu disiapkan, diikuti beberapa siri program jemaah yang berkunjung, aku mengintai-intai saja waktu yang sesuai untuk kunukilkan beberapa perkara. Lantaran keterbatasan waktu, maka aku menghimpunkan beberapa peristiwaku yang terpenting baru-baru ini pada artikel kali ini. Namun, apabila difikirkan semula, ada saja waktu yang lengang tidak kumanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk diisi dengan perkara-perkara berfaedah… Qaddarallah…

11 Februari 2011 (Jumaat): Usrah bersama OKU atau Golongan Istimewa

Menjalankan sesi usrah bersama OKU membuatkan diri ini sering menghitung nikmat kurniaan Allah berupa penglihatan, pendengaran, dan sebagainya. Firman Allah s.w.t:

وَآتَاكُمْ مِنْ كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لا تُحْصُوهَا إِنَّ الإنْسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّار ٌ(34)

Maksudnya:

34. Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya tidaklah kamu dapat menentukan bilangannya (kerana tidak terhitung). Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.

Ibrahim (14): 34

Buat pertama kalinya aku dijemput untuk melaksanakan usrah mingguan berkala bersama OKU di kolej 7 dari semasa ke semasa pada setiap hari Jumaat. Alhamdulillah… Banyak sungguh kukongsi dan kupelajari daripada mereka. Apabila kuperhatikan, sungguhpun terdapat kekurangan mahupun keistimewaan daripada mereka, mereka mengharungi kehidupan dengan hati yang berkaca-kaca berbanding manusia biasa. Tidak pernah pun kelihatan di raut wajah mereka kesedihan, sentiasa ceria walau diuji dengan kecacatan, malah keputusan peperiksaan mereka lebih baik daripada mahasiswa-mahasiswa yang lain, dan mereka membuktikan bahawa mereka juga mampu bersaing. Sesi usrah disudahi dengan bacaan tarannum al-Qur’an oleh seorang anak usrah yang cacat penglihatan. Beliau memperdengarkan bacaan al-Qur’an dengan menggunakan al-Qur’an Braille, dan bacaannya sungguh baik sekali sehingga menitiskan air mata. Apabila ditanya, rupanya beliau pernah merangkul anugerah Johan Tilawah al-Qur’an peringkat Kebangsaan, dan pernah juga terpilih sebagai peserta Akademi al-Qur’an TV9. Hanya saja tidak ada kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi, maka penyertaannya ditolak oleh pihak juri Akademi. Dari hal ini, ia menghambat diriku untuk menghitung dan memuhasabah diri, sejauh mana kugunakan segala nikmat yang dikurniakan Allah di jalan yang benar dan diredhai… Nikmat penglihatan, nikmat pendengaran, dan segala macam nikmat… Sungguh, nikmat yang dikurniakan Allah tidak terhitung, hanya saja aku bersyukur atau tidak, serta menggunakan nikmat tersebut pada jalan yang sepatutnya... Alhamdulillah ya Allah dengan segala nikmat yang Engkau kurniakan…

11 Feb – 18 Feb 2011: Revolusi Mesir

Revolusi Mesir menyaksikan kebangkitan rakyat Mesir berjaya membuka mata dunia. Hosni Mubarak akhirnya berjaya digulingkan. Tarikh keramat 11 Februari secara sedar atau tidak, bertepatan dengan tarikh kemenangan revolusi Islam Iran yang berlangsung pada 11 Februari 1979 tatkala Dinasti Pahlavi yang merupakan sekutu kuat AS dan barat berjaya diruntuhkan. Tarikh 11 Februari ini juga menyamai tarikh kesyahidan al-Imam Hasan al-Banna pada tahun 1949. Imam Hasan al-Banna telah syahid ditembak oleh suatu konspirasi politik di tengah malam, tanpa disedari oleh masyarakat Mesir, sehinggalah selepas seminggu pemergian al-Imam al-Syahid, kelihatan esak tangis rakyat jelata mula membasahi bumi Mesir meski sorak sorai disambut angkuh oleh dunia Barat. Pada 18 Februaari 2011, sekali lagi Mesir menyaksikan rakyat jelata mengadakan himpunan besar-besaran di Dataran Tahrir melebihi 3 juta penduduk bagi meraikan seminggu perletakan jawatan Hosni Mubarak. Apa yang menarik ialah himpunan terbesar dalam lipatan sejarah negara Arab pada tarikh tersebut diimami oleh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi ketika menunaikan solat Jumaat. Setelah lebih 30 tahun beliau diusir dan diharamkan daripada menjejakkan kaki di bumi Mesir, siapa sangka akhirnya pada tarikh keramat tersebut, beliau telah berkhutbah di hadapan khalayak rakyat yang merindui perjuangan Islam dan kebenaran. Sila lihat video klip:

Itulah tokoh yang kukagumi selain al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna, al-Ustaz Ismail Haniah (Perdana Menteri Palestin – Sahabat-sahabat bolehlah melihat penyampaian pidatonya yang cukup membakar semangat di Youtube), dan al-Imam Sa`id Hawwa. Firman Allah s.w.t:

وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ (30)

Maksudnya:

30. Dan ingatlah (Wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.

Al-Anfal (8): 30

Perjuangan Islam pasti akan menang, meski menghadapi pelbagai cubaan seperti dibuang negeri, dibunuh, dan dipenjarakan… Takbir..! Allahu Akbar!

15 Februari 2011 (Selasa): Maulidur Rasul (12 Rabiul Awwal 1432H) dan Hari Lahir Abah

Alhamdulillah… Berbetulan dengan sambutan kelahiran Nabi s.a.w adalah berkunjungnya tarikh lahir abah pada 15 Februari. Banyak sekali program-program sempena Maulidur Rasul telah dianjurkan di masjid-masjid dan beberapa persatuan, namun tidak juga dapat kupergi kerana mengawlakan urusan kekeluargaan bersama abah, sempena ulang tahun hari lahirnya yang teristimewa… Akhirnya genap jubli emas umur abah. Banyak sekali kupelajari daripada tarbiah abah. Abah sangat mementingkan program-program keluarga dan suka merancang sesuatu untuk mengikat ukhwah yang erat bersama keluarga seperti pergi berkelah di pantai dan air terjun, balik kampung di Muar, dan sebagainya, apatah lagi kini rumah kami agak berhampiran dengan air terjun Hulu Langat. Boleh dikatakan tidak lebih dua bulan, pasti ada saja program gathering keluarga dilaksanakan. Alhamdulillah, kami adik-beradik tidak pernah merasakan adanya jurang antara satu sama lain hasil didikan abah. Di sebalik usaha abah, aku faham bahawa abah ingin melihat dan membimbing anak-anaknya agar sentiasa mementingkan semangat/hubungan kekeluargaan baitulmuslim atas dasar Islam, tidak mengabaikan adik-adik, tolong-menolong, dan sentiasa
berkongsi masalah untuk diselesaikan secara bersama. Abah bersikap adil dalam memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Abah mendidikku untuk berfikiran secara global dan universal, dan daku sedang berusaha ke arah itu... Alhamdulillah… Aku bersyukur kerana memperoleh keluarga yang dapat memahami kondisi, membenarkanku dan menyokong keterlibatanku dalam beberapa program jemaah sungguhpun waktu cuti berkunjung, dengan syarat tidak mengabaikan program-program keluarga, juga tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan adik-adik. Aku begitu bersyukur pada-Mu ya Allah atas nikmat kefahaman ini. Selamat Hari Lahir dan terima kasih tidak terhingga buat abah. Firman Allah s.w.t:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

Maksudnya:

6. Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala),

Al-Tahrim (66): 6

Sempena Maulidur Rasul, maka aku mengesyorkan kepada sahabat-sahabat sekalian agar mengamalkan doa-doa tersebut demi melambangkan cinta kita kepada sunnah Nabi s.a.w:

اللّهمّ اجعل ديننا دين النبى صلى اللّه عليه وسلّم
Ya Allah, jadikanlah agamaku ini benar sebagaimana yang dibawa Nabi s.a.w
وإسلامنا إسلام المسلمين
Dan Islamku ini sebagaimana Islamnya Muslimin yang sebenar
وإيماننا إيمان المؤمنين
Dan imanku ini sebagaimana berimannya orang Mukminin
وصلاتنا صلاة الخاشعين
Dan solatku seperti solat orang-orang yang khusyu’
وقيامنا قيام الخائفين
Dan berdiriku spt berdirinya orang-orang yang takut kepadaMu
وركوعنا ركوع المتورّعين
Dan ruku’ku spt ruku’nya orang-orang yang wara’
وسجودنا سجود المتضرّعين
Dan sujudku spt sujudnya orang-orang yg tawadu’ merendahkan diri
وأعمالنا أعمال الصالحين
Dan amalanku seperti amalan orang-orang soleh
ونيّتنا نيّة المخلصين
Dan niatku seperti niat orang-orang yang ikhlas
وذنوبنا ذنوب المستغفرين
Dan jika aku berbuat dosa, maka dosaku diampunkan sebagaimana orang yang bertaubat kepadaMu
وأحينا بحياة العلماء
Dan hidupkanlah aku sebagaimana Ulama’
وأمتنا بموت الشهداء
Dan matikanlah aku sebagai seorang Syuhada’
وأدخلنا الجنّة مع الأنبياء
Dan masukkanlah aku ke dalam syurga bersama para Nabi-nabi-Mu

عليهم الصلاة والسلام...

Dan juga doa ini:

اللهم ارزقنا متابعة النبي محمد صلى الله عليه وسلم أولا وآخرا وظاهرا وباطنا وقولا وفعلا وعبادة وعملا صالحا

“Ya Allah, kurniakanlah kepada kami ikutan jejak langkah junjungan Nabi Muhammad s.a.w, sama ada permulaan , penghabisan, zahir, batin, perkataan, perbuatan, ibadat dan amalan yang soleh

Ameen ya Rabbal `alamin…

18 – 20 Feb 2011: Ijtima’ Pemuda 30 K di Kedah

Pada malam 18 Februari, aku bersama lebih 20 sahabat-sahabat lain telah bertolak ke Kedah dengan menaiki bas yang telah disewa. Alhamdulillah, kami telah berhimpun di Kota Sarang Semut dalam suatu himpunan mega yang melebihi 30 ribu pemuda Islam di seluruh negara. Subhana Allah, begitu ramai sekali… Dengan berlangsungnya Ijtima’ Pemuda pada 19 Februari, ia sedikit sebanyak dapat menambahkan kefahamanku mengenai perjuangan Islam dan realiti yang berlaku di Malaysia, di samping menyemai roh perjuangan dan ta’abbud kepada Allah s.w.t. Sesi ceramah berantaian diadakan dari jam 10 pagi sehingga jam 12 tengah malam, antara penceramahnya ialah Ust Nasharuddin Mat Isa, Ust Nasruddin Tantawi, Tuan Guru Hadi Awang, Ust Abu Bakar Chik, dan Ust Wan Azizan. Kesemua ucapan mereka sangat-sangat bernas belaka. Aku begitu tertarik dengan ucapan yang disampaikan oleh Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, yang begitu sekali menekankan aspek tarbiah sebagai tunjang dalam kehidupan berjemaah. Antara point penting yang ditekankan dalam Ijtima’ Pemuda ialah mengenai jiwa seorang murabbi sebagaimana yang disampaikan oleh Ust Tuan Ibrahim. Seorang murabbi akan memastikan anak buah dan kepimpinan selepasnya lebih baik dari kepimpinannya sendiri, bahkan apabila melihat mutarabbinya lebih hebat daripadanya, tidak pun terdetik di jiwanya rasa cemburu dan iri hati terhadap anak buahnya serta pastinya dia merasa berbangga dengan tarbiah yang dimiliki oleh mutarabbi tersebut, lalu dia sentiasa memberikan kata-kata tawjihat kepada mutarabbinya itu agar berjiwa besar dan bersifat murabbi juga. Inilah jiwa tarbawi yang dipupuk oleh murabbi, sehingga terzahir dari kata-kata dan tindakan mereka: Ana ramyun min rimayatil Islam, farmi ma syi'ta (Aku adalah satu panah dari panah-panahan Islam, maka lemparkanlah aku ke mana saja yang engkau kehendaki).

Ijtima’ Pemuda kali ini bagiku begitu unik, kerana menghimpunkan beberapa selebriti yang secara terang-terangan mengisytiharkan diri mereka melibatkan diri dalam Harakah Islamiyyah Malaysia seperti Bob Lokman (bekas juri Raja Lawak), dan Pak Long. Mereka mendedahkan situasi yang sebenar mengenai senario politik negara yang agak meruncing yang akhirnya membuka hati mereka untuk menjadi ahli dan penyokong Harakah Islamiyyah. Melalui wasilah inilah, ternyata gerakan Islam Malaysia telah membuktikan bahawa Islam adalah untuk semua. Alhamdulillah, kerana Engkau telah memilihku untuk berada di jalan ini ya Allah… Melalui Ijtima’ Pemuda ini juga, aku berhasil menemui ramai sahabat lamaku di Maahad Johor dan di sekolah menengah agama tanpa disangka-sangka memandangkan rata-rata di kalangan mereka menuntut di Universiti al-Azhar Mesir. Ekoran pergolakan yang berlaku di Mesir pada beberapa minggu yang lalu, mereka kini pulang ke tanah air dan masih berada di Malaysia, seterusnya mereka mengisi kelapangan masa untuk menghadiri Ijtima’ Pemuda. Subhana Allah, indahnya hidup berukhuwwah fillah.. Aku begitu terharu sekali apabila dapat bertemu dengan sahabat-sahabiah yang sangat akrab denganku sewaktu di alam persekolahan dahulu setelah sekian lama tidak bertemu… Sabda Nabi s.a.w:

الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Maksudnya:

Seseorang itu (dilihat agamanya) menerusi agama sahabat/temannya, maka lihatlah dalam kalangan kamu siapa yang saling teman-menemani dan bersama denganmu…

(Diriwayatkan oleh Abu Daud, dan al-Tirmidhi)

Penilaian garis kasar seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w terhadap keperibadian seseorang ialah menerusi siapa yang mereka berteman serta bersahabat… Kerana sahabat merupakan biasan perwatakan kepada individu yang bersahabat terbabit. Begitulah kepentingan persahabatan, mencari teman-teman yang baik, dalam berukhwah Islamiyyah fillah menurut anjuran Rasulullah s.a.w…

17 – 21 Feb 2011: PRK Uni Malaya

PRK Kampus UM kembali mewarnai kampus pada 17 – 21 Februari. Banyak sekali aduan-aduan ketidaktelusan dan ketidakadilan yang dikhabarkan oleh adik-adik junior kepadaku, termasuk juga isu pembuangan undi oleh mahasiswa Pascasiswazah UM. Alhamdulillah, aku agak mudah mendapatkan berita perkembangan pilihanraya dari sumber primer memandangkan ketua jentera PRK bagi Pro-M sendiri merupakan junior sejabatan denganku. Perencanaan dan tipu helah manusia pastinya tunduk kepada perencanaan Allah jua, kerana Allahlah yang berhak memberikan kuasa dan kerajaan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Ini ditambah pula dengan keberkatan menghormati, menuruti dan mengambil pandangan ahli syura dalam merencanakan gerak kerja jemaah pada pandanganku. Ketaatan dan wala’ kepada pucuk pimpinan tertinggi dalam sistem syura adalah sangat penting. Inilah amal jama`i, mendahulukan keputusan jemaah melebihi pandangan peribadi yang adakalanya kurang tepat bagi menggapai matlamat perjuangan.

Alhamdulillah… Sungguhpun dihujani dengan kepelbagaian ketidakadilan yang menimpa Ansorullah, namun percaturan Allah jua yang Maha Mengatasi segala-galanya. Sesi berkempen yang hanya dijalankan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad (ramai pelajar balik cuti/kalau di kolej kediaman pula, sukar untuk pro-M berkempen kerana disekat oleh pentadbiran kolej), terdapat ramai calon pro-M yang tidak dibenarkan bertanding, sistem 4 E yang sangat meragukan, kebebasan bersuara disekat di kolej-kolej kediaman, dan sebagainya merupakan antara contoh ketidaktelusan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Namun, Allah s.w.t begitu menilai usaha hamba-hamba-Nya yang berjuang. Pro-M UM berjaya menyapu bersih kesemua 9 kerusi Umum dan 14 kerusi Fakulti dari jumlah 41 kerusi yang dipertandingkan, seterusnya berjaya menubuhkan kabinet Majlis Perwakilan Pelajar UM, mengulangi kembali kejayaan dan kemenangan Pro-M UM saat-saat kepimpinan batchku pada dua tahun yang sudah. Kemenangan tersebut belum lagi dicampur dengan dua kerusi calon Bebas yang hakikatnya menyebelahi Pro-M. Terus terang kukatakan bahawa aku sendiri langsung tidak menjangkakan hal ini berlaku setelah melihat kepada sistem perjalanan pilihan raya yang begitu bias dan tidak demokratik. Alhamdulillah rabbil `alamin dengan kemenangan ini… Firman Allah s.w.t:

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا (104)

Maksudnya:

104. Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan, dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Al-Nisa’ (4): 104

Tahniah diucapkan kepada sahabat-sahabat dan adik-adik seperjuanganku sekalian… Dan takziah dengan kehadiran taklifan yang lebih besar yang wajib digalas oleh kalian. Kemenangan juga merupakan suatu ujian buat kalian, sama ada kalian benar-benar mengisi kemenangan tersebut dengan manhaj perjuangan Islam yang sebenar atau tidak. Maka, tetapkanlah kebergantungan dan taqarrub kita kepada Allah s.w.t berasaskan kepada firman Allah s.w.t di atas. Buat Syahid, anak usrahku yang berkemungkinan bakal menerajui tampuk kepimpinan sebagai YDP MPPUM, optimiskan dirimu, jagalah hubunganmu dengan Allah s.w.t. sehingga berjaya memburu SYAHID bertepatan dengan namamu. Buat Bukhairi adik jemaah yang kukasihi, insan yang kuTAARUF pada saat-saat akhir sebelum ku‘pencen’ dari menjadi pentaaruf, jadilah pendokong yang thabat dan tegar dalam perjuangan ini… Pastinya di sana mehnah dan tribulasi akan menjengah bila-bila masa, dan kekuatan ruhiyy adalah sejata ampuh kalian… Inilah asam garam dalam perjuangan… Jika diikutkan hati, ingin saja aku menapaki kembali PRK bersama adik-adik, namun duniaku kini berhajat kepada perjuangan di lapangan sebenar. Ingin juga aku bersama-sama berkempen di universiti pada Sabtu dan Ahad yang lalu, namun aku perlu mendahulukan program Ijtima’ Pemuda yang tarikhnya adalah sama dengan tarikh berkempen, juga aku perlu menyiapkan penulisan kertas kerja penyelidikanku secepat mungkin. Hanya sekalung doa dan beberapa pengorbanan saja mampu kusalurkan untuk perjuangan kalian di bumi Malaya tercinta ini…

21 Feb – ????? : Kebangkitan rakyat Libya dan lain-lain…

Tanggal 21 Februari memaparkan berita amarah rakyat Libya kepada pemerintahan kuku Besi Ghadafi di Libya. Pembunuhan tanpa perikemanusiaan terhadap insan yang tidak berdosa telah diganyang oleh regim taghut di Negara Libya sehingga mengakibatkan hampir 1000 penunjuk perasaan pro-demokrasi mati dibunuh. Prof Dr Yusuf al-Qardhawi turut mengeluarkan fatwa membenarkan keharusan membunuh pemerintah regim Ghadafi. Himpunan dan demonstrasi besar-besaran bakal menyusul dengan suara kebangkitan rakyat Libya melebihi jutaan penduduk akan bergema menentang penjajah yang terdiri daripada tali barut pemerintah negara sendiri. Ghadafi sebagai ketua negara telah memerintah secara rakus memakan harta rakyat selama lebih 40 tahun. Rakyat dunia kini sedar, gerakan Islam semakin bangkit, demonstrasi semakin membiak dan menjalar ke negara-negara Arab berjiran. Tunisia sudah, Mesir pun sudah, kini terhangat di Libya, disusuli Yaman, Jordan, Algeria, Maghribi, dan beberapa negara yang lain khususnya di utara benua Afrika. Kebangkitan Islam merupakan sesuatu yang pasti! Firman Allah s.w.t:

…وَتِلْكَ الأيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ (140)

Maksudnya:

140. ….Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan ia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid. dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Ali-`Imran (3): 140

Pada hari Ahad 27 Februari ini pula, aku akan mengikuti kursus umrah yang ditunggu-tunggu. Alhamdulillah… Saat-saat yang kunantikan semakin hampir dalam mengecapi cinta-Nya yang hakiki di tanah suci Mekah. Alangkah seronoknya… Ya Allah, permudahkanlah urusan ini… Dan permudahkanlah urusan kamar hatiku ini… Ameen... Seterusnya dua pilihanraya kecil pula bakal menyusul, di Merlimau dan di Kerdau. Mudah-mudahan, kemenangan akan diberikan kepada umat Islam, imma al-Nasr fi al-Dunia wa Imma al-Syahadah (sama ada kemenangan menghadapi pihak musuh di dunia atau kemenangan memburu syahid). Untuk akhirnya, suka untuk kukongsikan bersama sahabat-sahabat untuk kita mengamalkan suatu doa yang sangat baik sebelum kita kehilangan ia, iaitu:

اللهم ارزقني عينين تبكيان من خشيتك قبل أن لا يكون الدمع

Maksudnya:

Ya Allah, limpahkanlah kepadaku dua mata yang sering menangis lantaran takut kepada-Mu sebelum air mata ini kekeringan (disebabkan penyesalan sia-sia yang teramat sangat di akhirat / kerana hati yang membeku)

Suatu doa yang kukira begitu baik sekali untuk diamalkan bersama, dan ia merupakan sebahagian doa yang dianjurkan oleh al-Imam al-Ghazali sendiri menerusi karya beliau, Mukasyafah al-Qulub (Menyingkap Hati) tatkala mengupas satu subtopik tangisan kerana takutkan Allah s.w.t. di malam hari… Mudah-mudahan dengan doa tersebut, kita mudah untuk bertaqarrub kepada Allah s.w.t, mengelola hati dengan meletakkan cinta yang tertinggi hanya kepada-Nya semata, sekaligus menikmati kemanisan Iman bermuraqabatullah… Buat teman seperjuangan sekalian, petiklah butir-butir mutiara ilmu yang terdapat dalam mana-mana artikel dalam blog ini dan juga dalam mana-mana makalah dakwah yang lain. Sebarkanlah ia sebagai suatu medium dakwah kita kepada sekalian umat… Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam kalangan hamba dan da`i yang benar-benar mendambakan redha-Nya semata… Sekian, Wassalam……… =)


P/S: Mungkin selepas ini aku agak jarang menulis blog lagi kerana terdapat kekangan-kekangan waktu yang tidak dapat dielakkan seperti penulisan tesis yang perlu kusegerakan urusannya. Lantaran itu, artikel pada kali ini agak panjang berjela dan mohon maaf dipinta kerana pengisiannya agak mencapah dan panjang... Ingatlah pada kata Allah: “Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…” Tinta-tinta Ruh al-Qalam ini pasti akan menebar mewangi dalam siri-siri dakwah haraki para jundi untuk kesekian kali nanti… Insya Allah…


~ribbiyyun~

Selasa, 22 Februari 2011,

6.03 pm,

Galeria Sri Perdana, KL.