Ya Allah, Kurniakanlah Daku Kekuatan Jiwa…

Ya Allah, Kurniakanlah Daku Kekuatan Jiwa…

Sunyi. Sepi. Begitulah diskripsi perihal dinihari malam Jumaat terbabit. Komunikasi hatinya dalam mengelola cinta terhadap Tuhan dipersembahkan dengan tadabbur al-Qur’an demi mengemis untaian hikmah daripada-Nya. Kemudian disusuli dengan limpahan sujud yang berpanjangan di keheningan malam. Tatkala meniti madah Tuhan dari surah al-Isra’, ayat 107-109, hatinya bergetar… Bacaannya terputus-putus dan perlahan. Tetap saja dia mengulang-ulang bacaan ayat tersebut berserta maknanya sehingga membeningkan air mata… Lalu dia memejamkan matanya. Ayat sajadah yang begitu menggoncang sanubarinya mendorongnya untuk bersimpuh di bawah lorongan cahaya di celahan pintu biliknya yang suram dan gelap gelita. Panjang tafakurnya, kemudian dia melakukan sujud tilawah diiringi titipan doa mawaddah yang bermuara di lentera hatinya:

قُلْ آمِنُوا بِهِ أَوْ لا تُؤْمِنُوا إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلأذْقَانِ سُجَّدًا. وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولا. وَيَخِرُّونَ لِلأذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا.

Maksudnya:

107. Katakanlah (Wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman kepada Al-Qur’an atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk);

108. Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): "Maha suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana."

109. Dan mereka segera tunduk sujud sambil menangis, sedang Al-Qur’an menambahkan mereka kekhusyukan.

Surah al-Isra’ (17): 107-109

Subhana Allah…… Alhamdulillah…… Wa La Ilaha Illa Allah…… Allahu Akbar…… Setelah membaca doa sujud tilawah, relung hatinya bermunajat dalam sujud yang berpanjangan, merintih kepada Rabb…

“Ya Allah, kurniakanlah daku kekuatan jiwa tarbawi yang sebenar-benarnya, demi meletakkan cinta tertinggi hanya pada-Mu jua… Agar cinta-Mu jua yang bertakhta di jiwa buat selama-lamanya… Aku benar-benar bersungguh ya Allah, memburu cinta-Mu… Terkadang kuhilang tingkah, terkadang hatiku gundah, terkadang debaran menggugah, tidak kuyakini apakah daku benar-benar bertatih dalam mihrab cinta-Mu yang terarah… Aku tidak pasti… Aku buntu… Aku bimbang seandainya Engkau pergi menyisihku… Lantas kutidak putus-putus menitipkan doa mawaddah kepada-Mu sejurus selepas solat dan tadabbur Kalam-Mu:

اللهم حبب إلينا الإيمان وزينه في قلوبنا وكره إلينا الكفر والفسوق والعصيان... اللهم إنا نسألك حبك وحب من يحبك وحب عمل يقربنا إلى حبك....

Maksudnya:

Ya Allah, cintakanlah kami kepada keimanan, dan hiasilah ia di dalam hati kami, dan bencikanlah kami kepada kekufuran, kefasikan, dan kemaksiatan… Ya Allah, sesungguhnya kami mendambakan cinta-Mu, dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan cinta terhadap amalan yang dapat mendekatkan kami kepada cinta-Mu…

Sungguh aku berbicara hati dengan-Mu, aku bertawajjuh, aku bermunajah, kerana kubegitu mengimpikan nurun `ala nur dari-Mu, apakah benar setiap tindak tandukku yang sedang dan bakal mendatang… Aku begitu khuatir seandainya tindak-tandukku kini dan mendatang memudarkan cintaku pada-Mu. Justeru, kuintai cahaya makrifat-Mu. Kupohon kekuatan hati nurani dari-Mu. Seandainya ia benar buatku, perkukuhkanlah jiwaku, pimpinlah daku, hidangkanlah wadah yang terbaik bagiku, tenangkanlah daku, kurniakan keyakinan al-Haq pada diriku. Sekiranya tidak, maka jauhkanlah daku dari bahana kealpaan yang membolak-balikkan. Aku buntu… Aku merasakan daku masih tidak pantas... Aku terpinga-pinga dalam singkapan masa yang tidak kupasti kesesuaiannya... Luncurkanlah padaku detik yang terbaik, agar aku tidak terpalit dengan angan-angan yang mendustakan. Engkau saja yang Maha Mengetahui dan Maha Menentukan… Engkau saja yang memegang hati dan perasaan…

Demi Allah, kuperlukan himmah dari-Mu… Namun Engkau sahajalah yang berhak melimpahkan atau memalitkan kekuatan jiwa terbabit. Ya Allah, berikanlah jawapan hati kepadaku… Agar hati ini sentiasa berkelana dalam cahaya makrifat… Agar kuberhasil menyingkap tabir hakikat… Agar kuredha dan bersyukur dengan segala ketentuan. Agar kuberhasil menghiasi ia dengan gubahan Iman. Tenang dan tenteram dalam apa jua keadaan. Disemai jiwa ini dengan baja ketundukan dan ketawadhukan.”

Dia begitu dahagakan cinta abadi… Kerana dia pasti, cinta abadi tidak sesekali dikhianati, iaitu cinta al-Rabb kepada hamba-hamba-Nya. Lalu kenangan umrah tarbawi sekali lagi berlegar di kotak fikirannya. Laungan talbiah terngiang-ngiang di gegendang telinganya. Bayangan jemaah memapari bola matanya. Dadanya tiba-tiba berkocak, kerana kenangan umrah terbabit begitu meruntun jiwanya. Ia sekali gus menambat jiwanya untuk bertamu di bumi kelahiran dan kefawatan Nabi untuk kesekian kali. Sungguh dia begitu mengidam untuk melaksanakan haji atau umrah tarbawi, bagi mendidik hati, demi mengecapi kemanisan hakikat diri berTuhan di bawah lindungan Ka`bah. Dia mengemis cinta segala Pemilik Cinta... Dia mendamba rindu yang tidak keruan kepada Rasulullah s.a.w… Bahkan dia merindui syahid yang akan disembahyangkan oleh jutaan umat Islam suatu hari nanti. Dan hal ini dapat dilestarikan di bumi Haramayn, lembah tandus yang kudus…

Menurut perencanaannya yang diatur sejak pulang dari umrah tarbawi, dia teringin benar menunaikan umrah buat kali kedua pada bulan Ramadhan tahun ini. Usai pulang dari umrah, tiba-tiba ruang rindunya semakin memuncak untuk ke sana semula, seakan perlaksanaan umrah ini bermagnet kepada mereka yang telah menunaikannya. Dari segi persiapan kewangan, dia telah berkemampuan. Namun, ibu bapanya tidak pula menyarankannya untuk pergi melainkan berumrah bersama mereka atau bersama adik-adik perempuan. Dia akur. Lalu terlintas di fikirannya mengenai sabda Nabi yang menyangkut keutamaan ketaatan berbakti kepada kedua ibu bapa yang beriman berbanding jihad di medan peperangan. Nabi s.a.w telah menyatakan ketaatan kepada ibu bapa itu perlu didahulukan berbanding jihad. Maka, apakan pula dalam menunaikan umrah, maka ketaatan kepada ibu bapa jauh lebih wajar diawlakan…

Demikianlah sedikit bingkisan perkongsian dari lubuk hati yang sering alpa… Sekian untuk renungan muhasabah kita bersama…

~ribbiyyun~

Bengkel Kereta 2H Auto,

Kampung Baru, KL,

Khamis, 12 Mei 2011, 12.51 tengah hari.

Pembunuhan Osama Laden… Konspirasi Politik Amerika!

Pembunuhan Osama Laden… Konspirasi Politik Amerika!

Dalam kunjungan Cuti Hari Pekerja pada 1 Mei di peringkat nasional dan isu sumpah laknat, dunia kini digemparkan dengan suatu senario yang menyentak umat sejagat khususnya buat saf-saf kepimpinan Islam dunia. Isu yang seakan malap pada lipatan dekad sebelum ini tiba-tiba saja dibangkitkan semula dengan insiden pembunuhan Osama bin Laden di Abbottabad, Pakistan yang berlaku pada hari Isnin malam, 2 Mei 2011. Para politiking dan penganalisis politik dari serata benua mula membuat spekulasi mengenai kesahihan dakwaan mengenai pembunuhan Osama, pemimpin al-Qaeda yang dikaitkan dengan serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat.

Apa yang menjadi persoalan di sini ialah kematian Osama bin Laden terbabit tidak disabitkan berserta bukti yang jelas pada pandangan saya. Bahkan, terdapat pegawai AS yang berada di tempat kejadian terbabit enggan mengulas mengenai pengambilan DNA Osama. Dalam pada itu, alasan yang tidak konkrit juga dikemukakan oleh Pemimpin AS, Barack Obama mengenai jenazah Osama yang disemadikan di dasar laut serta tidak dikebumikan dengan cara terhormat di darat. Ini dilihat menerusi kenyataan beliau bahawa tindakan demikian dapat menghindarkan kegiatan pemujaan golongan ekstrim pendokong Osama Laden terhadap kubur beliau. Di samping itu, pembuktian menerusi gambar pembunuhan Osama juga agak mengelirukan memandangkan kedua-dua gambar tersebut (sebelum pembunuhan & selepas pembunuhan) berada pada posisi yang sama. Namun, gambar Osama selepas pembunuhan seolah-olah dilakukan “super impose” bagi memaparkan kematian Osama bin Laden adalah benar-benar terjadi selepas ditembak di kepala oleh pasukan tentera Elit Amerika.

Pada pengamatan saya, di sebalik pembunuhan yang dilakukan ke atas Osama bin Laden, terdapat beberapa konspirasi politik yang ingin didendangkan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya bagi mengembalikan pengaruh mereka sebagai kuasa besar dunia. Kematian Osama bin Laden hanyalah diletuskan menerusi permainan politik media antarabangsa dan senario ini dilakukan oleh Match Maker secara terancang bagi memalitkan isu sebenar yang berlaku di negara Timur Tengah. Bagi saya, mati atau hidupnya Osama bin Laden bukanlah suatu perkara yang perlu dijadikan persoalan pokok yang wajib dihadam oleh segenap lapisan masyarakat, kerana hal terbabit tidak juga mampu untuk memanifestasikan dan merealisasikan keadilan serta keamanan sejagat di mata dunia. Selagi wujudnya hegemoni Barat yang memiliki kepentingan-kepentingan tertentu, selagi itulah keamanan dan keadilan tidak dapat digarap melainkan pejuang Islam diberikan ruang yang sewajarnya bagi menggantikan tampuk pemerintahan dunia. Bahkan, tidak mustahil untuk kita tanggapi bahawa pembunuhan 1 Osama bin Laden akan mencambahkan lagi 1000 Osama bin Laden, kerana operasi dan tindakan yang dilakukan oleh AS dan sekutunya seolah-olah dilihat seakan marahkan pijat, namun kelambu dibakar.

Terdapat beberapa teori konspirasi yang dapat saya rumuskan daripada cerapan senario pembunuhan Osama terbabit. Teori Pertama, Osama bin Laden yang didakwa sebagai teroris Islam telah berjaya dibunuh oleh tentera elit Amerika berupaya membawa kepada pembersihan imej yang disandarkan kepada Amerika. Simbol keamanan dan anti-keganasan sekali gus bergema kembali menerusi watak boneka Yahudi yang ingin dipersembahkan oleh AS sebagai negara pasca-modenisme yang menjunjung tinggi nilai keamanan dan hak asasi. Sedangkan AS jugalah yang merupakan pengeluar lesen terbesar kepada penindasan Islam di Palestin melalui persekongkolan mereka dengan negara haram Israel. Alasan keruntuhan WTC pada 11 September yang disandarkan kepada keganasan yang dilakukan oleh golongan radikal Islam turut dijadikan lesen oleh AS bagi melaksanakan satu bentuk imperialisme ke atas negara Islam Afghanistan dan Iraq. Fenomena ini sekali gus mencerminkan Islam sebagai agama ekstremis, meskipun ia merupakan suatu propaganda palsu yang digembar-gemburkan oleh AS dan sekutunya bagi mengemis pengaruh entiti dunia terhadap kewibawaan pemerintahan AS.

Teori Kedua, tema keamanan yang ingin ditonjolkan oleh AS secara tidak langsung berupaya menyuntik kembali sentimen Islamophobia terhadap golongan non-muslim hatta umat Islam sekalipun. Selanjutnya umat Islam akan dilihat sebagai umat yang radikal terhadap pemerintah rentetan daripada amarah rakyat di beberapa negara Islam sehingga mencetuskan revolusi dan demonstrasi besar-besaran. Kejayaan rakyat Timur Tengah menggulingkan kerajaan autokratik di beberapa buah negara seperti Tunisia, dan Mesir memberikan omokan dan bayangan ketakutan/musibah kepada AS dan kuasa-kuasa besar dunia yang tidak sehaluan lantaran mereka memiliki kepentingan-kepentingan tertentu untuk mendominasi dunia. Wang dicandu, kuasa diburu. Walau bagaimanapun, permainan politik AS kelihatan tidak berhasil mematahkan keperwiraan rakyat bagi mencitrakan keadilan sebenar dalam suatu sistem demokrasi di Asia Barat. Hal ini terbukti menerusi demonstrasi yang dijalankan secara berterus-terusan di negara Yaman sehingga kini, yang menghimpunkan lebih 4 juta penduduk bagi menggulingkan Presiden Ali Abdullah Saleh, dan ini disusuli dengan kebangkitan rakyat di Syria dan beberapa negara teluk yang lain. Propaganda pembunuhan Osama bin Laden oleh AS yang seiring dengan revivalisme rakyat Islam ternyata bertujuan memomokkan kepada mayarakat dunia akan unsur-unsur ekstremisme yang kononnya dipelopori oleh gerakan-gerakan Islam dunia.

Teori Ketiga, statistik menunjukkan bahawa pengaruh kepimpinan Obama di US semakin merosot ekoran krisis ekonomi AS yang semakin meruncing. Ini ditambah pula dengan sikap keterbukaan Obama terhadap umat Islam di US pada peringkat awal pemerintahannya dan hal ini tidak disenangi oleh sebahagian besar rakyat AS yang beragama Kristian dan Yahudi. Kejatuhan mata wang Dolar Amerika juga dapat diperhatikan susulan daripada pergolakan dan revolusi yang berlaku di negara-negara Arab yang mana kaya dengan hasil minyak mentah. Kegagalan pemerintahan negara-negara Arab dalam mentadbir negara memberikan impak yang buruk kepada sistem ekonomi dunia, sedang AS menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara terbabit dalam usaha mengaut hasil minyak di negara Timur Tengah. Oleh yang demikian, agenda pembunuhan Osama Laden yang direncana secara tersusun oleh team-team elit Barack Obama adalah bagi menagih simpati rakyat Amerika untuk mengembalikan pengaruh Obama semula dalam pemilihan Presiden Amerika pada tahun depan. Pembunuhan Osama terbabit seakan menyaksikan bahawa Barack Obama menyahut suara majoriti rakyat AS bagi menentang keganasan yang kononnya didokong oleh umat Islam yang ikonnya ialah Osama Laden. Kemenangan buat Barack Obama dalam pemilihan Presiden dilihat semakin cerah tatkala isu pembunuhan Osama Laden berjaya dicetuskan.

Daripada pemerhatian saya, dapat saya simpulkan bahawa pembunuhan Osama Laden hanyalah merupakan suatu propaganda atau taktik Barat bagi meraih simpati masyarakat antarabangsa akan mesej keamanan yang diperjuangkan oleh AS. Tidak mustahil, boleh jadi nama “Osama bin Laden” hanyalah satu watak yang didodoikan dalam iklim politik dunia yang pada realitinya beliau tidaklah wujud. Sekiranya pembunuhan Osama bin Laden benar-benar terjadi, maka saya memohon kepada Tuhan agar mengampunkan segala dosa-dosanya dan semoga beliau ditempatkan dalam kalangan syuhada’ yang memperjuangkan agama Allah. Dan sekiranya pembunuhan terbabit hanyalah suatu jaringan konspirasi dan permainan politik AS dengan menghebahkan suatu berita yang direka-reka serta diada-adakan yang bertujuan bagi menjatuhkan perjuangan Islam, maka saya berpegang kepada firman Tuhan:

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

Maksudnya:

54. dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancang tipu daya, dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

Ali-`Imran (3): 54

Buat akhirnya, suka saya menutupi perkongsian ini dengan memetik satu ayat al-Qur’an dari surah al-Hujurat:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ (6)

Maksudnya:

6. Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang FASIQ membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Al-Hujurat (49): 6

Ayat di atas menunjukkan kepada kita tentang kewaspadaan dalam menerima sesuatu berita yang dibawa oleh orang fasiq. Fasiq bermaksud orang yang sering melakukan dosa kecil. Sememangnya berita dan perkhabaran yang dibawa oleh orang fasiq perlu diselidiki terlebih dahulu sebelum dihebahkan kepada orang lain agar hal terbabit tidak membawa kepada kemudharatan yang lebih besar. Justeru, sekiranya seorang fasiq itu pun perlu diselidiki kebenaran berita yang dibawanya, bagaimanakah pula berita tersebut dibawa seterusnya disebarkan oleh golongan Yahudi Zionis yang dilaknat Allah s.w.t menerusi media-media antarabangsa seperti CNN news…?? Renung-renungkan…

"Islam adalah Rahmat buat Sekalian Alam"


~ribbiyyun~

Jabatan Al-Qur’an dan Al-Hadis,

APIUM,KL

Jumaat, 6 Mei 2011, 8.17 pm

Nasyid Arab yang Begitu Menginsafkan…

Nasyid Arab yang Begitu Menginsafkan…

أنا العبد الذي كسب الذنوبـــا وصدته الأماني أن يتوبــــــــا
أنا العبـد الـذي أضحـى حزينـــاً على زلاته قلقاً كئيـبــــــــــا
أنا العبد الذي سطـرت علـيـــه صحائف لم يخف فيها الرقيـبــــا
أنا العبد المسيــئ عصـيـت سراً فما لي الآن لا أبدي النحيـبـــا
أنا العبد المفرط ضــاع عـمـــري فلم أرع الشبيبة والمشـيـبـــــا
أنا العبـد الغريـق بلج بحــــــــرٍ أصيـح لربما ألقــى مجيبـــــــــا
أنا العبد السقيـم مـن الخطـايــا وقد أقبلت ألتمـــس الطبيـبــا
أنا العبد الشريد ظلمت نفسي وقد وافيت بابكـم منيـبــــــــا

Selamat menghayati…

~ribbiyyun~

10.51 pagi,

Jumaat, 22 April 2011,

Jabatan Al-Qur’an dan Al-Hadis,

APIUM, KL

UMMATKU… Rindu kepada Rasulullah s.a.w… (T_T)

UMMATKU… Rindu kepada Rasulullah s.a.w…

Saya begitu terharu apabila menonton video klip muhasabah mengenai topik “Ikon” dalam episod sentuhan qalbu –TV9. Mengenangkan kembali kecintaan Baginda Nabi Muhammad s.a.w terhadap umatnya, ia sekali gus dapat mengikis permainan angan-angan cinta yang tidak pasti perlabuhannya entah di mana. Ia mengingatkan saya kepada hadis kemanisan Iman yang telah disabdakan oleh Baginda s.a.w:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.

Maksudnya:

Daripada Anas bin Malik r.a dari Nabi s.a.w telah bersabda: Tiga perkara sesiapa yang mendapatkannya maka ia akan memperoleh kemanisan Iman. (Pertama) Seseorang yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya berbanding yang lain, (Kedua) Seseorang yang mencintai seseorang yang lain dan tidaklah ia mencintainya melainkan kerana Allah s.w.t, (Ketiga) Seseorang yang benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

(Muttafaqun `Alayh)

Liku-liku perjuangan Baginda s.a.w begitu panjang. Perjuangan Baginda antara lain ialah memperbaiki akhlak manusia. Lantaran itu, saya sering melihat kembali penulisan khat saya yang terpampang di hadapan meja belajar saya di rumah sewa mengenai hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia.” Saya bukanlah seorang yang berjiwa seni, tidaklah pandai melukis dan berkaligrafi, hanya sedikit sahaja Tuhan melimpahkan bakat yang dipinjamkan kepada saya untuk dimanfaatkan kepada ummah. Alhamdulillah, tulisan khat ini telah ditulis oleh saya ketika di alam mahasiswa, dan telah mendapat tempat kedua peringkat Universiti Malaya… Kerana dahulunya subjek tulisan khat merupakan subjek teras di sekolah menengah agama saya, justeru sedikit sebanyak saya mengetahui selok belok penulisan khat dan jenis-jenisnya.

Buat akhirnya, suka saya memaparkan kembali video klip mengenai “Ikon” yang sangat menghambat hati. Mudah-mudahan ia memberikan suatu manifestasi keinsafan yang sangat bermakna buat kita sebagai Ansarullah, Jundullah Rabbani, serta mata-mata rantai perjuangan Nabi… Serta meletakkan cinta kita kepada Allah dan Nabi s.a.w sebagai cinta yang tertinggi dan abadi.... Sekian…

Sungguh, ia begitu meruntun kalbu….. T_T


~ribbiyyun~

2.03 pagi,

Khamis, 21 April 2011,

Galeria Seri Perdana, KL