Learning English Through Nasyeed and Dialogue…

Learning English Through Nasyeed and Dialogue…

Tatkala kesepian yang datang menyelimuti hati, terdetik pula jiwa naluri ini untuk cuba memahami dan menghayati kembali nasyid-nasyid berbahasa Inggeris yang kugemari. Akhirnya, aku telah berhasil mengidentifikasi beberapa nasyid Inggeris yang kuminati dan kukira sangat menarik untuk kita hayati bersama, iaitu “Open Your Eyes”, “Thank You Allah”, & “Insya Allah” oleh Maher Zain, “Make Me Strong” & “Healing” oleh Sami Yusuf, “Allah Knows” & “Our World” oleh Zain Bhikha, “I Look, I See” & “God Is The Light” oleh Yusuf Islam. Kesemua nasyid tersebut sangat memberikan justifikasi yang mendalam kepada mereka yang berusaha menghayati lirik nasyid tersebut dalam menyelami hakikat diri berTuhan. Ia berupaya menyentuh hati bagi sesiapa yang berusaha menyelami titip-titip kata… Subhana Allah... Melalui nasyid-nasyid sebeginilah, aku berusaha mempertingkatkan kemahiran berbahasa Inggeris, secara tidak langsung minatku dalam mempelajari Bahasa Inggeris sebagai bahasa ketiga selepas Bahasa Arab dan Bahasa Melayu semakin bertambah, apatah lagi ia menjadi suatu keperluan penting dalam usaha mengembangkan dakwah.

Alhamdulillah… Sedikit demi sedikit rasa minatku untuk mempelajari Bahasa Inggeris semakin bertambah. Sungguhpun bahasa tersebut merupakan bahasa penjajah, namun perlu diketahui bahawa ia tetap juga merupakan suatu ilmu yang berguna untuk dipelajari apabila melihat kepada keperluan masa kini sebagai Ansorullah. Begitulah pandanganku… Aku juga begitu teruja apabila melihat perdebatan dialog di antara Ahmad Deedat dan Dr. Zakir Naek dengan para paderi/saintis Kristian di seluruh dunia dalam Bahasa Inggeris. Hal ini mendorongku untuk lebih mendalami Bahasa Inggeris agar aku dapat lebih memahami perdebatan mereka. Untuk akhirnya, suka aku memetik lirik lagu “Allah Knows” oleh Zain Bikha untuk sama-sama kita memahami bahawa segala penghidupan kita pada hakikatnya di bawah rahsia pengetahuan-Nya. Subhana Allah… Kutujukan lagu ini buat keluargaku, juga sahabat-sahabiah jemaahku dalam menyelami erti kehidupan sebagai seorang `ibadurRahman dan juga khalifah. Juga kudedikasikan lagu ini khusus buat adikku, Fatin yang telah memperoleh 5A dalam UPSR sebagai sebuah hadiah kecemerlangannya, memandangkan keputusan UPSR baru sahaja diumumkan pada hari ini. Tahniah diucapkan kepada Fatin… Yang paling penting ialah, peliharalahlah peribadi dan syakhsiahmu dalam payungan Islam sebagai seorang anak yang solehah dan bertaqwa, kerana kejayaan bukanlah terletak kepada skor A semata-mata…

Allah Knows (Untuk mendengar nasyid, sila klik)

Album : Allah Knows
Munsyid : Zain Bhika and Dawud Wharnsby Ali
http://liriknasyid.com

When you feel all alone in this world
And there’s nobody to count your tears
Just remember no matter where you are
Allah knows, Allah knows.

When you’re carrying a monster load
And you wonder how far you can go
With every step on that road you take
Allah knows, Allah knows.

Chorus:
(Cause) No matter what, inside or out
There’s one thing of which there’s no doubt
Allah knows, Allah knows.

And whatever lies in the heavens and the Earth
Every star in this whole universe
Allah knows, Allah knows.

When you find that special someone
Feel your whole life has barely begun
You can walk on the moon shout it to everyone
Allah knows, Allah knows.

When you gaze with love in your eyes
Catch your glimpse of paradise
And you see your child take the first breath of life
Allah knows, Allah knows.

Chorus
When you lose someone close to your heart
See your whole world fall apart
And you try to go on but it seems so hard
Allah knows, Allah knows.

See we all have a path to choose
Through the valleys and hills we go
With the ups and the downs never fret never frown
Allah knows, Allah knows.

Chorus 2x
Every grain of sands in every desert plants
He knows…
Every sheet of palm, every closed hand
He knows…
Every sparkling tear on every eye lash
He knows…
Every thought I had and every word I share
He knows…
Allah knows…

Salam perjuangan… Hayyakumullah, wassalam.

## ribbiyyun ##

10 pesanan al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna

Assalamualaikum w.b.t…

Buat saudara-saudara seaqidahku, teman seperjuanganku…

Pada entri kali ini, suka untuk saya berkongsi secara ringkas mengenai 10 pesanan al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna sebagai suatu peringatan berguna buat kita semua yang bercita-cita menyahut seruan sebagai abna’ al-Harakah fi Sabilillah…

10 Pesanan al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna:

  1. Apabila mendengar azan, maka bangunlah solat serta-merta walau dalam keadaan apa jua sekali pun.
  2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku ilmu, pergilah ke majlis ilmu, dan amalkan zikrullah serta jangan membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.
  3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab kerana bahasa Arab yang betul (fusha) itu adalah satu-satunya syiar Islam.
  4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekali pun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi sebarang kebaikan.
  5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
  6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
  7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah perkara yang sia-sia, malah ia akan menyakiti hati orang lain.
  8. Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan janganlah bercakap melainkan yang memberi kebajikan.
  9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap muslimin yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
  10. Kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu, gunakan masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.

Perlu untuk saya ingatkan kembali kepada diri saya dan sahabat-sahabiah sekalian agar menjana kembali pembinaan fard al-muslim dalam kehidupan kita. Walaupun barangkali ada dalam kalangan kita yang telah membaca atau mendengar 10 pesanan al-Imam al-Syahid yang telah saya kemukakan di atas, tetapi peringatan-peringatan sebegini perlu dilazimi agar ia benar-benar memberkas di hati kita seterusnya kita dapat mengamalkannya secara istiqamah… Mungkin saja pesanan di atas agak ringan untuk kita fahami, namun pada hakikatnya, ia seakan agak sukar untuk diaplikasi… Sama-samalah kita melakukan transformasi menuju Ilahi… Aslih nafsak qabla an tuslih ghayrak… Firman Allah s.w.t:

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ (55)

Maksudnya:

55. Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan manfaat kepada orang-orang yang beriman.

Al-Dhariyat (51): 55

Renung-renungkan……. Hayyakumullah…

Wassalam.

Akhukum,

## ribbiyyun ##

== ukhwah menyemai wehdah dalam amal ==

Selasa,

26 Oktober, 9.20pm,

Jabatan Al-Qur’an dan Al-Hadith,

APIUM.



Alangkah Sukarnya Mendidik Hati… (2)

Upaya Menghilangkan Sifat `Ujub:

Suatu penyakit hati yang begitu berbahaya buat dirimu ialah terbitnya sifat `ujub tanpa engkau sedari kehadirannya. Imam al-Ghazzali telah menukilkan perihal `ujub di dalam karya beliau, Bidayah al-Hidayah, dan telah mengkategorikan penyakit `ujub sebagai penyakit hati yang sangat beracun selain hasad, dan riak. Ketiga-tiga sifat inilah yang sering menjelma dalam kalangan ulama’ itu sendiri pada zaman kini, justeru ketahuilah olehmu bahawasanya penyakit-penyakit hati sebegini justeru akan membawa kebinasaan dirimu, bahkan ia menjadi punca kepada terbitnya sifat-sifat tercela yang lain. `Ujub ialah memandang kepada diri sendiri dengan pandangan kemuliaan dan kebesaran dan memandang manusia lain dengan pandangan yang merendahkan martabat mereka meski hanyalah melalui lintasan hati. Setelah memahami pengertian `ujub, maka ketahuilah olehmu bahawa alangkah sukarnya mendidik hati…

Imam al-Ghazzali telah menuturkan:

Apabila engkau melihat orang yang lebih muda daripadamu, maka hendaklah engkau membisikkan hati, “kanak-kanak ini belum pernah lagi membuat maksiat kepada Allah sedang aku sudah banyak membuat maksiat, maka tidak syak lagi bahawa ia lebih mulia daripadaku”

Dan apabila engkau melihat orang yang lebih tua daripadamu, maka hendaklah engkau membisikkan hati, “Orang ini menyembah Allah lebih dahulu daripadaku sedangkan aku lebih muda daripadanya, maka tidak syak lagi bahawa ia lebih mulia daripadaku”

Dan apabila engkau melihat orang alim, maka hendaklah engkau membisikkan hati, “Orang alim ini telah dikurniakan kepadanya bermacam-macam pemberian yang tidak dikurniakan kepadaku dan ia telah sampai ke martabat yang aku tidak sampai kepadanya dan ia mengetahui perkara yang tidak kuketahui, maka tidak syak lagi bahawa ia lebih mulia daripadaku”

Dan apabila engkau melihat orang jahil, maka hendaklah engkau membisikkan hati, “Orang jahil ini berbuat maksiat kepada Allah atas kejahilannya sedang aku mengerjakan maksiat berserta dengan ilmuku, maka Allah s.w.t akan berhujah ke atas diriku, dan aku belum tahu lagi bagaimana aku mengakhiri kehidupanku ini, maka tidak syak lagi bahawa orang jahil itu lebih mulia daripadaku”

Dan apabila engkau melihat orang jahat, maka hendaklah engkau membisikkan hati, “Orang jahat ini masih diberikan kesempatan oleh Allah s.w.t untuk bertaubat dan suatu hari nanti barangkali ia akan bertaubat dengan kesalahannya jua, maka tidak syak lagi suatu hari nanti ia lebih mulia daripadaku”

Dan apabila engkau melihat orang kafir, maka hendaklah engkau berkata, “Orang kafir ini boleh jadi ia akan memeluk agama Islam lalu ia mengakhiri kehidupannya dengan husnul khatimah. Tatkala ia memeluk Islam, maka hatinya lebih suci seperti kain putih, sedang aku (wal `iyazubillah min dhalik) boleh jadi berubah menjadi sesat setelah mendapat petunjuk maka kehidupanku akan diakhiri dengan su’ul khatimah, maka tidak syak lagi suatu hari nanti ia lebih mulia daripadaku…” Maka, berdoalah di dalam hatimu agar suatu hari nanti pintu hati mereka disirami dengan taufiq hidayah Allah serta berdoalah jua agar relung hatimu sentiasa dipelihara dengan sinar keimanan dan kebenaran Islam sehingga bersua dengan-Nya kelak...

Dengan upaya demikian, sedikit sebanyak engkau berhasil mendidik hati dari sifat `ujub. Namun begitu, alangkah sukarnya bagimu mendidik hati pada hakikatnya… Gemerlaplah hatimu di malam hari yang sunyi, merintihlah, bertafakurlah, bermunajatlah… “Ya Allah ya Tuhanku, Sesungguhnya begitu besarnya dosaku yang menimbun lantaran penyakit hati ini, namun kutahu bahawasanya keampunan serta Rahmat-Mu jauh lebih besar daripada kemurkaan-Mu… Maka, ampunilah daku, terimalah taubatku, kurniakanlah kekuatan kepadaku, tundukkanlah hawa nafsuku pada kebenaran Kalimat-Mu…”

Usaha mentarbiah hati dilanjutkan, pohonan sekalung doa dipanjatkan dengan sepenuh pengharapan, lantaran kekerdilanmu yang begitu hina… Maka, bergenanglah pancaindera penglihatanmu dalam mendidik hati ini, menjadi alamat relung hatimu terdidik… Allahu Akbar……. Wa lillahil Hamd……..