Tuesday, June 1, 2010

Pandangan Mengenai Facebook

Apabila isu facebook dihangatkan dengan karikatur penghinaan Nabi Muhammad s.a.w secara besar-besaran melalui facebook, maka isu ini mendorong saya untuk mengulas mengenai penggunaan facebook yang merupakan satu jaringan laman terbesar yang memiliki keahlian yang paling ramai jika dibandingkan dengan jaringan laman web yang lain. Satu pertandingan melukis karikatur Nabi Muhammad s.a.w yang dikendalikan oleh tangan-tangan jahat telah dilangsungkan secara besar-besaran pada 14 – 20 Mei seterusnya disiarkan melalui facebook. Berikutan fenomena berbaur hasutan dan penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w, kerajaan Pakistan dan Bangladesh telah mengarahkan penutupan laman web sosial tersebut di negara mereka sehingga pada 31 Mei 2010.

Kita memerhatikan bahawa terdapat beberapa buah negara berusaha ke arah memartabatkan Islam yang suci dengan menjaga kehormatan pejuang-pejuang agama, apatah lagi menyanjung keizzahan penghulu segala Nabi, Nabi Muhammad s.a.w. Lantaran itu, apakah peranan dan tindakan kita khususnya kerajaan Malaysia dalam menanggapi bahawa isu ini merupakan suatu isu yang begitu serius, sedangkan kita memandang bahawa negara Malaysia merupakan sebuah negara Islam? Apakah Islam ternyata telah dijadikan satu cara hidup yang menyeluruh (kaffah) di dalam negara? Perkembangan terbaru mendapati bahawa terdapat satu kumpulan yang memprotes keahlian Facebook dan mereka mendakwa terdapat lebih 30 000 orang sudah menarik diri daripada menganggotai rangkaian social internet gergasi tersebut. Ini kerana, menurut kumpulan tersebut, laman Facebook tidak melakukan servis yang terbaik dari sudut pengenalan pengurusannya kerana dari segi organisasinya, mereka tidak memperkenalkan diri mereka. Hal ini menimbulkan persoalan di benak fikiran saya, mengapakah organisasi Facebook enggan memperkenalkan organisasi mereka? Maka, tidak mustahil bahawa facebook merupakan satu rangkaian tajaan Yahudi lantaran keengganan mereka memperkenalkan organisasi sebenar sungguhpun saya tidaklah mendapatkan sebarang bukti kukuh. Sekiranya benar spekulasi saya, maka secara tidak langsung, mereka telah berjaya mendokumentasikan butiran peribadi keahlian facebook yang melebihi 500 juta ahli di samping memperoleh income bagi sesiapa yang melayarinya..!

Menurut data yang telah dikeluarkan oleh Google, Facebook.com dilayari lebih 540 juta orang ramai di seluruh dunia, iaitu 35 peratus daripada populasi internet. Ini menunjukkan kepada kita bahawa facebook merupakan sebuah laman sesawang yang sering dikunjungi dan mendapat tempat yang begitu meluas di kalangan para ahlinya. Pada pengamatan saya, seandainya facebook ini digunakan sebagai medan dakyah, gosip-gosip panas, pemaparan gambar-gambar yang melanggari batasan syara’, dan sebagainya, maka seharusnya laman sebegini perlu ditinggalkan… Kadang kala saya berfikir, mengapa terdapat sebahagian masyarakat bukan Islam yang memahami Islam berusaha memprotes Facebook rentetan isu karikatur Nabi Muhammad, sedangkan terdapat beberapa umat Islam sendiri hanyut dibuai Facebook dek kerana sepoi-sepoinya bayu keseronokan yang terdapat di dalamnya yang melalaikan.

Saya tidaklah bermaksud menolak facebook secara total kerana saya sendiri masih tidak mengetahui variasi fungsi-fungsi yang terdapat di dalam facebook dan kelebihan-kelebihan yang ada padanya dalam usaha dakwah Islamiyyah, ukhwah sesama sahabat, dan sebagainya. Justeru, saya tidak dapat menggambarkan situasi sebenar penggunaan facebook kerana saya masih belum ‘mengenalinya’. Namun, perlunya di sana penyediaan dan perlaksanaan satu garis panduan dan pemantauan ketika menggunakan facebook agar tidak melanggari batas-batas syara’. Lalu hal ini mengingatkan saya kepada satu kaedah fiqh yang berbunyi:

إذا اجتمع الحلال والحرام غلب الحرام

Maksudnya:

Sekiranya berhimpun perkara yang halal dengan perkara yang haram, maka peerkara yang haram tersebut menang (didahulukan) ke atas perkara yang halal.

Saya menasihatkan diri saya dan kepada sahabat-sahabiah sekalian agar dapatlah kiranya menuruti garis panduan yang telah ditetapkan. Sahabat-sahabat bolehlah merujuk kepada garis panduan (dawabit) yang telah dinukilkan oleh Ust Zaharuddin di dalam laman webnya:zaharuddin.net mengenai capaian facebook dan pandangan beliau mengenainya. Buat sahabat-sahabat yang telah mempunyai facebook, maka gunakanlah ia pada jalan yang benar dan berfaedah sekiranya didapati terdapat banyak manfaat yang boleh diaplikasikan menerusinya. Dan buat sahabat-sahabat yang belum mempunyai facebook, maka saya mencadangkan agar mentawaqqufkan terlebih dulu dari meyertai facebook sebagai ahli. Saya memohon maaf sekiranya pandangan saya ini tidak disenangi mana-mana pihak. Begitulah pandangan dan saranan saya kiranya, mudah-mudahkan kita berhasil melahirkan golongan khaira ummah di muka bumi. Wa Allahu a’lam…

No comments:

Post a Comment