Thursday, June 10, 2010

FIKRAH IKHWAN…

Aku begitu tertarik dengan fikrah yang telah dijelujuri oleh sebuah entiti gerakan Islam tersohor pada abad ke-20, iaitu gerakan Ikhwan al-Muslimin setelah membaca beberapa artikel dan karya yang berkaitan gerakan Islam. Ikhwan al-Muslimin telah mengetengahkan suatu fikrah Islam yang meletakkan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai manhaj tertinggi, kemudian ia dijelmakan sejajar dengan arus perdana kontemporer. Fikrah tersebut merangkumi:

1. Dakwah Salafiyyah

Iaitu tanggungjawab melaksanakan dakwah Islamiyyah dengan mengembalikan Islam kepada sumbernya yang suci iaitu Allah dan Rasul-Nya.

2. Tariqat Sunniyyah

Iaitu melaksanakan jalan-jalan sunnah Rasulullah s.a.w yang suci dalam semua hal, terutamanya dalam bidang aqidah dan ibadah, selama mereka mampu melakukannya.

3. Hakikat Sufiyyah

Iaitu memahami bahawa asas kebaikan adalah penyucian jiwa dan kesucian hati, istiqamah dalam beramal, menjauhi keduniaan, berukhuwwah dan berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Allah, serta mengkoordinasi diri dengan kebaikan. Kerana dengan itulah, mereka berhasil menggapai ketenangan hakiki.

4. Hai`ah Siasiyyah

Iaitu menuntut agar dilakukan pengislahan terhadap hukum pemerintahan dalam sesebuah negeri. Manakala mengenai hubungan luar negeri, mereka menuntut agar pemerintah mengubah pandangannya terhadap masalah hubungan kaum muslimin dengan umat Islam lainnya. Mereka juga dididik dengan penuh `izzah bersama Islam.

5. Jama’ah Riyadhiyyah

Iaitu memerhatikan keadaan jasmani mereka. Mereka memahami bahawa mukmin yang kuat itu lebih baik dan dikasihi Allah s.w.t daripada mukmin yang lemah. Mereka mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Sesungguhnya badanmu mempunyai hak ke atas dirimu.” Mereka juga mengetahui bahawa semua taklifan Islam tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan benar kecuali dengan jasmani yang kuat. Solat, puasa, zakat, dan haji memerlukan anggota badan yang mampu menahan lelah. Demikian juga halnya dengan berusaha dan berjuang fi sabilillah. Atas faktor inilah, mereka sangat mengambil kira kekuatan fizikal dan sentiasa menjalani latihan jasmani seperti tamrin, mukhayyam, dan kem-kem.

6. Rabitah `Ilmiyyah Thaqafiyyah

Iaitu menekankan pemantapan keilmuan dan thaqafah dalam menambah kefahaman. Kerana Islam telah memerintahkan bahawa menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim dan muslimah. Pada hakikatnya, kelompok-kelompok Ikhwan al-Muslimin merupakan sekolah-sekolah dan usrah-usrah yang berhasil menggali ilmu pengetahuan daripada hasil perbincangan dan perkongsian. Di samping itu, mereka juga berupaya membina kader-kader di dalam sebuah akademi pendidikan akal, jasmani, dan ruh.

7. Syirkah Iqtisadiyyah

Iaitu Islam memerhatikan aspek perolehan harta dan penggunaannya. Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Harta yang mempunyai barakah adalah harta yang baik dan dipegang oleh seorang yang soleh.” Selanjutnya Baginda s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang yang hidup sehingga ke petang bekerja dengan tangannya, maka dia akan berada did ala keampunan Allah s.w.t.”

8. Fikrah Ijtima`iyyah

Iaitu memerhatikan penyakit-penyakit yang melanda masyarakat Islam serta berusaha mencari jalan penyembuhan umat dari penyakit tersebut.

Mudah-mudahan, kita dapat mengaplikasikan fikrah tersebut dalam gerakan dakwah yang telah menjadi teras kepada keutuhan dan kesejagatan jemaah. Manhaj jamaah Ikhwan al-Muslimin merupakan satu manhaj yang memaparkan kepada kita betapa halus dan perincinya organisasi Islam sebenar yang mencerminkan keuniversalan dan kesejagatan Islam dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Untuk melihat dengan lebih terperinci, aku mengeyorkan kepada sahabat-sahabiah sekalian agar membaca sebuah karya yang bertajuk “Memahami Prinsip-prinsip Amal Islami” (Durus fi al-`Amal al-Islami) yang telah dikarang oleh al-Imam Sa`id Hawwa, seorang tokoh sufi haraki yang telah mewakafkan dirinya dan segala-galanya dalam perjuangan Islam. Selain itu, bagi menyelongkar dengan lebih terperinci mengenai sistem organisasi dan manhaj Ikhwan al-Muslimin, sahabat-sahabiah juga bolehlah juga menambah pembacaan dengan mebaca karya “Ikhwan al-Muslimin, Konsep Gerakan Terpadu” jilid 1 dan jilid 2 yang telah dikarang oleh Dr. Ali Abdul Halim Mahmud. Pada pengamatanku, kupasan di dalam karya tersebut agak berat, namun sarat dengan fakta dan tasawwur organisasi gerakan Islam, sehingga mencecah 1000 mukasurat.

Apabila bercerita mengenai Imam Sa’id Hawwa, ingin saja aku mengkaji karya tafsirnya sebagai satu kajian tesisku iaitu tafsir “Al-Asas fi al-Tafsir”. Karya “Al-Asas fi al-Tafsir” merupakan satu karya tafsir 30 juzu’ yang begitu tebal dan berjilid-jilid, yang telah dikarang oleh al-Imam Sa’id Hawa ketika mana beliau mendekam di dalam penjara militer selama lebih 5 tahun. Namun, aku masih lagi dalam dilema… Ya Allah, tunjukkan daku jalan, berikanlah daku kekuatan… Sesungguhnya aku amat meminati kajian tafsir yang berhubungan dengan harakah Islamiyyah dan tazkiyatun nafs…

Aku turut mengambil kesempatan ini menyeru diriku dan sahabat-sahabiah sekalian agar membaca karya hasil cetusan ilham al-Ustaz Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri, berjudul “Al-Rahiq Al-Makhtum” berkenaan Sirah Nabawiyyah. Karya tersebut memperihalkan sirah Rasulullah s.a.w berasaskan fakta yang tulen lagi sahih, dan karya ini dipetik hasil penulisan sirah yang telah mendapat tempat pertama di peringkat antarabangsa dalam pertandingan Sirah Nabawiyyah anjuran Ikatan Dunia Islam di Makkah al-Mukarramah pada tahun 1399 Hijrah. Bahkan, karya tersebut telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Muhammad Ramzi Omar yang berjudul Sirah Nabawiyyah setebal 733 halaman. Ia telah diulang cetak kali keempat pada tahun 2009 dan merupakan kitab terlaris di pasaran. Subhana Allah… Bagi sahabat-sahabiah yang ingin memantapkan penguasaan Bahasa Arab dan terjemahan, sahabat-sahabiah bolehlah mendapatkan kedua-dua karya tersebut dalam dua versi (Versi B.A dan versi B.M). Justeru, kita mampu membaca karya tersebut di dalam Bahasa Arab berserta terjemahannya secara serentak untuk memahami dengan lebih mendalam serta menghayati sirah tersebut. Barangkali saja karya tersebut boleh dijadikan sebagai modul perbincangan di dalam usrah dan halaqah bagi menyemai cinta Rasul dan para sahabat Nabi di samping mengambil semangat dan `ibrah perjuangan Baginda s.a.w dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi.

Selamat membaca buat diriku dan sahabat-sahabat...!

"القراءة مفتاح العلم"

Membaca kunci ilmu pengetahuan

1 comment: