Saban hari tidak kupenuhi entri blogku ini dengan artikel bingkisan sufi nurani dan rembesan tawsiah. Sebulan lebih… Sengaja aku mengarang panjang lebar pada entri kali ini, sungguhpun ia hanyalah suatu mimbar muhasabah menerusi catatan sayembara kehidupanku dan sejarah silamku sebagai seorang hamba yang hina.
Aku banyak membuang masa… Aku menangguh-nangguh kerja. Kecewa. Kerana gagal mengurus masa dengan baik, hanya berpunca daripada kealpaanku menghayati dan mentatbiq keimanan kepada Tuhan, lantas seharusnya menuntut diri ini merencanakan tindakan yang menjadi prioriti menuju Ilahi dengan kurniaan baki masa yang tersisa sebelum menempa ajal. Sewajarnya diri ini membawa bekalan hasil cucuk tanam di dunia untuk dituai di hari muka. Entahlah… Apakah aku mudah ditewaskan..? Atau aku telah tewas? Mana mungkin! Lantas jiwa tarbawi ini mula membisikkan…
Persoalan demi persoalan berantaian menghentam fikiran, sedangkan jiwa ini telah pun mengetahui terlebih dahulu skema jawapan tuntas bagi soalan tersebut. Jiwa tarbawi ini mempersoalkan kepada diri ini, mengapakah engkau mudah saja meluangkan waktu kira-kira 2 jam di waktu pagi di hadapan kaca TV menonton perlawanan bola sepak piala dunia, padahal sangat sukar untuk engkau bertafakur kepada Ilahi dengan sesungguh-sungguhnya kira-kira 2 minit sahaja..? Jiwa tarbawi ini bertanyakan, apakah sumbanganmu dalam sehari untuk Islam, sedangkan engkau masih lena dibuai ketiduran mimpi dan angan-angan? Jiwa tarbawi ini melontarkan soalan, ke manakah berlalunya sela-sela masa hidupmu dengan hal-hal yang berfaedah, sedangkan nafsumu masih berfoya-foya dengan kondisi selesa, hiburan dan fikrah maddiyyah yang mendustakan? Jiwa tarbawi ini berbicara dengan nada sinis kepada akal, engkau berlagak alim seperti seorang ustaz dan ulama’, akan tetapi engkau sendiri masih berdansa dengan habuan nafsu dan dunia… Astaghfirullah… Nafsu Lawwamah mencela diri bertubi-tubi, alangkah jahilnya diriku ini, mudah-mudahan jahil tersebut tidaklah membawa kepada jahil murakkab, yang mana dia jahil, tetapi dia tidak tahu dia jahil, bahkan dia merasakan dirinya alim dari sebarang kejahilan, maka kejahilan tersebut menyelubungi serta menutupi hatinya daripada dia mengetahui bahawa dia sebenarnya sedang dilema kejahilan. Na`uzubillah… Allah s.w.t telah berfirman:
لَا أُقْسِمُ بِيَوْمِ الْقِيَامَةِ (1) وَلَا أُقْسِمُ بِالنَّفْسِ اللَّوَّامَةِ (2) أَيَحْسَبُ الْإِنْسَانُ أَلَّنْ نَجْمَعَ عِظَامَهُ (3) بَلَى قَادِرِينَ عَلَى أَنْ نُسَوِّيَ بَنَانَهُ (4) بَلْ يُرِيدُ الْإِنْسَانُ لِيَفْجُرَ أَمَامَهُ (5)
Maksudnya:
1. Aku bersumpah dengan hari kiamat;
2. dan Aku bersumpah dengan "Nafsul Lawwaamah" (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!
3. Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)?
4. Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).
5. (kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga ia tidak mengakui adanya hari kiamat).
Surah al-Qiyamah, (75): 1 - 5
Pernah saja daku memikirkan solusi menyelesaikan problematika ini. Pernah saja fikiranku terlintas untuk meletakkan televisyen yang ada di rumah ke dalam stor menjadi besi buruk, hanya semata-mata ingin menghilangkan keseronokan menonton dan keasyikan silap mata syaitan yang terpampang setiap hari lalu dijelmakan menerusi lakonan dusta manusia dan kemunafikan. Pernah saja mindaku terlintas untuk tidak menggunakan telefon bimbit, hanya semata-mata tidak mahu berhubung terus dengan muslimat yang bukan mahram. Pernah saja aku memikirkan jalan untuk terminate laman-laman web di internet… Pernah saja, dan pernah saja itu dan ini… Sehingga aku merasakan fikiran-fikiranku tersebut agak kurang relevan. Dan akhir sekali, pernah saja aku memikirkan siapakah diriku ini, sedang aku semakin tidak mengenali siapa diri ini… Minda pula menuturkan, bahawasanya “engkau hakikatnya hanya berseorangan dalam kehidupan”. Sukar untuk aku menjelaskan. Pelik sungguh… Dan aku tahu, barangkali semua solusi di atas kurang munasabah untuk diaplikasikan, tatkala kita bergelumang di dalam era yang serba moden dan global. Lalu pernah juga hati ini terlintas untuk mewakafkan diri di tanah suci Makkah dan Madinah selama berbulan-bulan lamanya, atau di pengajian-pengajian pondok, atau di masjid-masjid dan surau, atau berpatisipasi di dalam program-progam yang jauh dari fikiran serta kesibukan dunia yang kacau-bilau, dan seumpama dengannya, agar berhasil menggapai ketenangan hakiki...
Namun, hal sedemikian barang pasti tidak akan menjayakan misi dakwah Islamiyyah, kerana Rasulullah s.a.w sendiri berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi untuk melihat Islam berkembang dan dijulang sebagai manhaj hidup yang ideal. Rasulullah s.a.w sendiri pada awal langkahnya hanya bersendirian berhadapan dengan puak-puak kuffar untuk memeluk Islam secara sirri. Bayangkan betapa sukarnya liku-liku yang ditapaki oleh Baginda, berbanding kita, kerana Baginda mengembangkan dakwah sebagai bapa reformasi dan perintis dari tiada muslim kepada adanya mukhlisin dan muhsinin, padahal kita hanyalah mata-mata rantai perjuangan Baginda sahaja, atau boleh jadi kita hanya tali-temali perjuangan yang hampir putus dek digigit tikus nafsu dan syaitan, ibarat batuk di tepi tangga, yang akhirnya berada di tebing dan jurang-jurang neraka, lalu diselamatkan oleh Allah s.w.t. jua… Wa’tasimu bi habli Allah…
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (103)
Maksudnya:
103. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.
Surah Ali-`Imran, (3): 103
Maka, berusahalah mencari bekalan berupa taqwa… Firman Allah s.w.t:
يَا بَنِي آَدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآَتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آَيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ (26)
Maksudnya:
26. Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
Surah al-A’raf, (7): 26
Semuanya berbalik kepada mutiara keimanan yang digilap oleh individu terbabit. Keimanan akan membuahkan kebijaksanaan menentukan pilihan. Hak atau batil… Lalu menggerakkan kalbu untuk menggunakan kemudahan-kemudahan teknologi yang sedia ada pada kedudukan yang benar secara adil. Ia lalu berbicara, tiadalah menjadi kesalahan menggunakan jaringan internet pada perkara-perkara berfaedah, juga menggunakan telefon bimbit mengikut keperluan, dan lain-lain, asalkan tidak melanggar batasan syariat…
Semakin merasakan diri ini alim dan wara’, semakin itulah diuji hati ini dengan perasaan `ujub, sum`ah, dan riya’, semakin pula ia diduga dengan pesona khadra’ al-diman bertopengkan nafsu, semakin kuatlah pula panggilan syahwat menjelma dan bisikan syaitan menghasut… Kerana manusia sama saja berterus-terusan dihasut oleh syaitan durjana yang tidak pernah mengenal erti putus asa… Meskipun dia alim ulama’, akan tetapi bisa saja dia kecundang bila-bila masa… Justeru, bisikkanlah semula kepada jiwa tarbawimu dengan senjata berupa sekalung DOA agar meraih kesudahan yang baik (dalam keimanan) tika maut datang menjemput dan seterusnya ditetapkan hati di atas pancaran kebenaran agama:
اللهم اختم لنا بحسن الخاتمة، ولا تختم علينا يا الله بسوء الخاتمة
يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك...
Maksudnya:
Ya Allah ya Tuhan kami, matikanlah kami dengan kesudahan yang baik, dan janganlah Engkau matikan kami ya Allah dengan kesudahan yang buruk.
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, perkukuhkanlah hati kami di atas landasan agama-Mu dan di ats ketaatan kepada-Mu…
Amalkanlah doa-doa ini wahai Ali... Perlu diingat bahawa engkau menggelarkan diri ini sebagai ribbiyyun, engkau menyandarkan diri ini sebagai imtiaz (cemerlang dan terpilih), engkau berusaha menisbahkan diri ini sebagai golongan rabbani dalam usaha menggapai tarbiyah rabbaniyah, sedang engkau tidak tahu-menahu malah alpa dengan keberadaan engkau di dunia yang fana, dibanding pula dengan akhirat yang kekal selama-lamanya… Jiwa tarbawi ini mempersoalkan dan mencela kepincangan sorotan silammu yang telah berlalu, namun pernahkah pula engkau mentaddabbur kalam wahyu di dalam surah al-Rahman yang bingkas saja mempersoalkan dirimu bertalu-talu…
فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maksudnya:
13. Maka nikmat-nikmat Tuhanmu yang manakah yang hendak kamu dustakan?
Begitu juga penggunaan uslub"أفرأيتم" pada beberapa ayat di dalam surah al-Waqi`ah, mendorong jiwamu untuk memerhatikan kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t, Tuhan Semesta Alam, seraya bertasbih dan mengucapkan lafaz syukur hamdalah kepada-Nya... Perlunya sentiasa memuhasabah diri tiap hari, agar engkau tidak tersasar di senja hari.
Tarbiyah Rabbaniyyah menyeru… Lantas mendorong diri ini menyelami pemahaman, penghayatan, dan pengaplikasian konsep Tarbiyah Rabbaniyyah tersebut di dalam spektrum kehidupan para jundi. Tarbiyah Rabbaniyyah memikatku untuk kucermati justifikasinya menerusi pandang sisi Sa’id Hawwa di dalam karya tafsirnya 30 juz’ iaitu Al-Asas fi al-Tafsir sebagai subjek penyelidikan tuntutan ilmu dan amalku di universiti. Subhana Allah… Indah sungguh konsep ini untuk ditonjolkan, yang mendorong susuk tubuhku ini memahami hakikat diri berTuhan, daripada-Nya dan kepada-Nya daku kembali. Alhamdulillah… Bangkitkanlah cintamu kepada ilmu dan thaqafah. Maka, itulah tarbiyah tathqifiyyah (keilmuan). Namun, engkau perlu waspada… Murabbimu, – sungguhpun engkau tidak bersua dengannya – Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali telah berbicara mengenai tuntutan ilmu menerusi karyanya, Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah):
“Seandainya engkau berniat mencari ilmu untuk berlumba-lumba dan mendapatkan kemegahan dan terkemuka di kalangan kawan-kawan dan untuk menarik perhatian orang ramai terhadap dirimu dan menghimpunkan akan kekayaan dunia, maka sebenarnya engkau telah berusaha menghancurkan agamamu dan membinasakan dirimu sendiri dan menjual akhiratmu untuk mendapatkan harta dunia, maka penjualanmu adalah rugi dan perniagaanmu porak-peranda. Maka, ketika ini, guru yang mengajarmu itu laksana seorang yang menjual pedang kepada seorang perompak. Dan jikalau niatmu di dalam mencari ilmu itu untuk mencari keredhaan Allah dan mencari hidayah, bukan semata-mata untuk pandai bercakap, maka hendaklah engkau bergembira, kerana para malaikat telah mengembangkan sayapnya apabila engkau berjalan ke arah tuntutan ilmu, dan ikan yang ada di dalam laut semuanya meminta pengampunan buatmu apabila engkau berjalan…”
Subhana Allah… Bingkisan tersebut sangat menikam kalbuku dalam membina pasakan-pasakan jiwa tarbawi ini, sekaligus menghiasi tarbiyah tathqifiyyah. Jiwa tarbawi ini membisikkan Alhamdulillah… Dengan kurniaan tawfiq hidayah, dari-Mu ya Allah…
Aku ingin menebus semula kepincangan gerak kerja jemaahku yang lalu untuk Islam. Aku menyedari bahawa pada saat itu aku masih kurang faham tujuan kehidupan, apatah lagi untuk memahamkan. Aku berasa malu kepada Tuhan dengan komitmenku yang tidak efisien pada perjuangan. Aku tahu semua itu, kerana aku sedar kini, aku masih kurang memahami. Kerana ‘faham’ laksana gaji dan imbalan para `amilin. Semakin bertambah gaji berupa kefahaman Islam, semakin banyak gerak kerja Islam yang ingin dilaksanakan secara ikhlas oleh mereka yang berjawatan `amilin. Maka, sempena pembukaan semester baru 2010/2011 di kampus IPT, pungutlah mutiara-mutiara yang berciciran di kolej-kolej kediaman. Serulah mutiara-mutiara tersebut yang masih punya kemilau untuk menjadi mutiara yang bergemerlapan di dalam harakah Islam. Ini adalah satu peluang keeemasan buat kita. Bimbinglah mereka usai saja melewati minggu haluansiswa universiti, hulurkanlah tangan kepada mereka, pimpinlah mereka untuk bersama-sama membangunkan Islam, seterusnya membangun bersama Islam.
Terima kasih kepada si dia yang bernama JIWA TARBAWI, temanku yang sering membisikkan, memperingatkan, dan mempersoalkan diri ini bagi menginsafkan dan menyedarkan… Terima kasih jua kepada-Mu ya Tuhan kerana mengurniakan si dia yang bernama TAWFIQ HIDAYAH kepadaku bagi menemani sekeping hati ini dari kegelinciran…… Wa lillahi al-Hamd… Ya Tuhan… Aku berhasrat menjadi HUJAH AGAMA!
Cetusan ilhamku,
## ribbiyyun ##
Isnin,
12 Julai 2010,
5.30 pagi, usai tamat perlawanan akhir Bola Sepak Piala Dunia 2010…
No comments:
Post a Comment