Sejujurnya, ingin kuluahkan bicara batinku yang terbuku sekian lama… Sebagai satu senergi khusus bagiku, agar senantiasa optimis dan positif, menghadapi liku-liku penghidupan, menyingkap tirai hikmah yang dianugerahi Ilahi, dalam menyelami hakikat mehnah dan tribulasi… Tatkala mengimbau kembali potret kehidupan yang telah kuredahi sekian lama, warna-warni indah ibarat pelangi sering kali menceriakan rona-rona hatiku, menggilap spektrum rohaniku, kerana kuberhasil menggapai permata hikmah yang terpendam di benak kalbu, yang berselubung di sebalik kedhaifan dan kejahilanku dahulu… Kerana kupersis mengetahui, dengan mengamati serta mencari hakikat diri, maka kita akan lebih mengenali Siapakah Pemilik Abadi…
Aku berbangga kini… Aku berbangga kerana dilahirkan di dunia ini... Aku dipilih oleh Rabbul `Izzati sebagai hamba dan da’i… Aku dilahirkan di dalam institusi keluarga yang mudah-mudahan dirahmati. Segalanya bermula di sini... Kerana kehidupan tika kecilku akan mencorakkan kehidupan semasa dewasaku. Barangkali baitul muslim itu sangat mempengaruhi perwatakan peribadi manusia, sekiranya goyah di dalam menyemai tarbiah agama terhadap anak-anak watan, maka runtuhlah sulaman cita-cita yang mengimpikan suatu sentuhan singgahsana kehidupan Islami di dunia bersama umat manusia. Syukur ke hadrat Allah s.w.t… Aku dibesarkan di dalam didikan agama yang sempurna oleh ibu bapaku, khususnya tika usiaku menginjak 7 hingga 12 tahun. Bapaku seorang yang tegas, manakala ibuku seorang yang penyayang ketika itu. Satu kombinasi yang cukup harmoni, menyeimbangkan di antara sifat ‘api’ dan ‘air’ dalam membentuk keperibadian dan jati diri seorang muslim. Kini, bapaku seakan teman seperbualanku pula, manakala ibuku seakan koordinat yang kolektif, menghimpunkan perkembangan dan permasalahan adik-adikku, lalu kusering berkongsi cereka bersamanya mengenai perkembangan adik-adikku untuk menyelesaikan masalah secara bersama. Demikianlah seputar hal ehwal familiku yang sememangnya kucintai.
Aku juga berasa bangga, kerana mempunyai adik yang begitu ramai, yang mana masing-masing punya wibawa dan bakat tersendiri. Im, Diana, Ifin, Hafiz, Hanis, Fatin, Firdaus, Adibalisya, Hakim, Amirah. Aku turut berbangga… Aku berbangga kerana dipilih oleh Allah s.w.t untuk bertafaqquh di dalam bidang agama semenjak kecil. Kecenderunganku untuk mendalami ilmu agama mula menonjol ketika daku di bangku sekolah rendah, apabila aku sering cemerlang dalam peperiksaan sekolah agama, juga matapelajaran agama. Begitu juga ketika alam persekolahan menengahku, alam universitiku, sehingga kini, dan Alhamdulillah… Daku memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran sekali lagi… Demikianlah Tuhan mencampakkan rasa cinta ke liang sukmaku, untukku mengelola rasa cinta itu, terhadap pengajian Arab dan agama. Aku sekali lagi berasa bangga… Merasa bangga dengan sahabat-sahabatku… Aku berhasil menemui sahabat-sahabat, kenalan-kenalan, rakan dan taulan, yang masingnya-masingnya dilihat punya karisma, ibarat barisan pelita di sebuah desa di Hari Raya. Andai hanya satu pelita bergemerlapan di halaman desa, tentunya tidak indah dipandang saujana, namun andai terdapat barisan kawanan pelita, maka berseri pula desa itu di waktu malamnya. Itulah perumpamaan sahabat-sahabatku yang saling lengkap-melengkapi, menyerikan kehidupan kami, insan bersaudara.
Aku berbangga dengan Ust Dzulkhairi, dan Ust Azlan Zainal… Kerana mereka adalah pemimpinku yang banyak mencorak kehidupanku di alam universiti dalam mengenali hala tuju yang hakiki. Aku berbangga memiliki sahabat seperti Ust.Badrunnaim, seorang yang sangat menjaga hati, dalam menyemai nilai ukhwah yang sejati, di samping menyerapkan elemen-elemen tarbiah di dalam diri ini… Aizuddin, seorang yang sangat memahamiku, merangsangku untuk sama-sama kami bersaing dalam menggamit kemanisan berbahasa Syurgawi… Sobri. seorang yang berdisiplin tinggi, dan daku sering bersaing dan berkongsi ilmu dengannya, yang mana dia juga merupakan seorang mahasiswa cemerlang lulusan STAM yang terus-menerus menyambung pengajian di peringkat Ph.D, juga sangat menggemari proram-program Haba’ib dan seminar Ahl Sunnah wal Jamaah. Sahabat lamaku Zahir dan Haziq yang kini di al-Azhar University, dua insan yang agak lama menjalinkan persahabatan denganku semenjak di sekolah menengah. Mereka sangat baik hati, sering membantuku semasa susah senangku. Senior sekolah lamaku, Abang Anuar Sajari, lulusan APIUM, mantan pimpinan APIUM Nilampuri, seorang yang sangat cekap dan pantas, mempunyai wawasan untuk menarik sekurang-kurangnya 10 orang non-muslim memeluk Islam dalam setiap tahun. Beliau telah berjaya menarik lebih 10 orang non-muslim untuk menganut agama Islam. Juga senior sekolah lamaku, abang Najib M.Noor, lulusan APIUM juga, mantan barisan pimpinan PMIUM, sangat komited dalam kem-kem motivasi kepimpinan pelajar, khususnya penganjuran program untuk sekolah menengah kami. Aku turut berbangga dengan arwah Kak Zalikah, juga senior sekolah lamaku, lulusan APIUM juga, mantan pimpinan PMIUM, seorang yang berjiwa kental, cekap memobilasi ahli, dan sangat tabah dengan rintangan dan ujian. Namun, beliau telah pergi terlebih dahulu menghadap Ilahi… Sayu dan sedih sedikit sebanyak menggamit kalbu… Tidak kulupakan juga, Hasbullah, seorang yang tawadhu’ dan merendah diri… Kini sedang menuntut ilmu di Universiti al-Azhar di dalam bidang Qira’at.
Aku turut berbangga juga dengan sahabat-sahabat ikhwah jemaahku… Kesibukan kalian tidak sekali-kali menyebabkan kalian mudah rebah, malah ia menatijahkan suatu bentuk indibat yang lebih gah dan bersepadu. Dan tidak lupa juga sahabat-sahabat r.a. sebilik denganku di jabatan, yang sama-sama kita berganding bahu bekerjasama dengan jabatan al-Qur’an dan al-Hadith, punya kemahiran perisian, penyelidikan, dan sebagainya. Aku juga turut berasa bangga dengan sahabat-sahabat akhawat di bawah LTK yang sama-sama bergerak kerja denganku suatu ketika dahulu. Kekangan-kekangan yang kalian hadapi tidak sekali-kali membantutkan hadaf jemaah, juga tidak menyebabkan kalian mudah rebah, malah lebih mendewasakan... Bagitu juga tidak kulupakan, aku berbangga dengan sahabat-sahabat akhawat PMIUM… Kalianlah yang menghembuskan semboyan gempita perjuangan, meskipun suara-suara kalian tidak berkumandang sebagaimana seruan dan deruan api kebangkitan para ikhwah, namun kalian tetap juga mara beriltizam mengingatkan, membakar semangat kaum Adam. Tanpa kalian sebagai sayap kiri jemaah, maka pincanglah gerakan terpadu kita. Aku turut merasa bangga, kerana dapat mengenali dengan rapat sahabat-sahabat debat Bahasa Arab. Tanpa mereka, maka aku kan terkapai-kapai memahami perjuangan bahasa, menikmati kelazatan berbicara dengan bahasa al-Qur’an.
Para ustaz dan ustazah… Sma ada di sekolah menengah dan di universiti. Tidak juga kulupakan kalian sebagai murabbi dan murabbiah kedua selepas ibu bapaku. Aku sangat berbangga dengan dua orang pensyarahku. Pertama: Prof. Zulkifli Yusof, seorang pensyarah yang sangat berkaliber, mantan YDP Persatuan Mahasiswa UM di era kepimpinannya, sungguhpun beliau tidak mengajarku ketika pengajianku di peringkat ijazah. Hanya saja aku sempat menuntut ilmu daripadanya ketika mana aku mengikuti kuliah master yang diajarinya. Seorang yang fasih berkomunikasi dan bersyarah dengan tiga bahasa; Bahasa Melayu, Bahasa Arab, dan Bahasa Inggeris. Aku ingin menjadi sepertinya dalam menguasai ilmu pengetahuan. Tambahan pula bidang kepakaran beliau adalah pengajian tafsir. Beliau pantas sekali mengenaliku, sungguhpun kami jarang bertemu melainkan hal-hal tertentu seperti meeting dan program-proragm masjid. Ini kerana beliau sangat sibuk dengan urusan-urusan penting yang tidak dapat dielakkan. Beliau meraikan semua, serta bersikap mesra, sungguhpun berjawatan tinggi. Prof. Dato. Dr… Dan yang kedua: Dr. Rosdi. Beliaulah satu-satunya pensyarah yang sangat menekankan aspek tarbiah ruhiyyah kepadaku, keyakinan diri, dan perjuangan mendaulatkan Bahasa Arab. Aku turut berbangga dengan pensyarah-pensyarahku yang lain, yang mana kesemua mereka sememangnya memiliki kepakaran masing-masing. Sungguh menakjubkan… Tidak ketinggalan juga, ustazah Atiqah, ustazahku di bangku sekolah menengah, yang banyak mempengaruhiku mengenai elemen-elemen tarbiah, juga pengajian al-Qur’an dan al-Sunnah…
Kebanggaanku juga terletak pada Akademi Pengajian Islam UM. APIUM merupakan sebuah pengajian Islam IPTA terbesar di Malaysia, mengeluarkan produk-produk graduan yang mampu menggarap prospek kerjaya dalam pelbagai bidang, bukan semata-mata melahirkan ustaz dan ustazah. Dengan kewujudan pelbagai jurusan, antaranya Sains Gunaan dengan Pengajian Islam, maka APIUM berupaya menghasilkan saintis, ahli biologi, ahli falak, ahli politik, penasihat bank, pegawai, pakar ekonomi, mufti, motivator, pendakwah, ahli falsafah, sejarawan, peguam, pemimpin, dan sebagainya. Aku juga berbangga dengan jabatanku, Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith. Kerana dengan kewujudan jabatan inilah, aku mampu menyelami pengajian al-Qur’an, tafsir, dan hadith, menikmati dan menyelami keindahan kalam wahyu, secara tidak langsung dapat mengukuhkan penguasaan Bahasa Arab.
Buat akhirnya, aku ingin melahirkan rasa kebangganku yang tertinggi… Iaitu kebanggaanku terhadap ISLAM..! Aku berbangga sebagai seorang MUSLIM, kerana aku begitu yakin dengan sebenar-benarnya bahawasanya inilah jalanku… Inilah matlamat perjuanganku… Demi Islam yang tercinta… Kerana Islam adalah Rahmatan lil `alamin… Walillahil hamd… Terima kasih wahai Tuhanku, kerana mengurniakan daku nikmat IMAN dan ISLAM..! Lillahi Ta’ala…
Hakikatnya, dalam mendepani lanskap kehidupan ini, adakalanya kita perlu melahirkan rasa bangga secara positif… Bukan untuk meninggi diri, tetapi ia sebagai satu senergi buat kita dalam meniti bicara hikmah kurniaan daripadaNya. Kerana, Nabi s.a.w telah bersabda:
الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا
Maksudnya:
Kalimah yang bijaksana merupakan barang yang hilang daripada orang mukmin, barangsiapa yang menjumpainya, maka ia berhak mendapatkannya.
(Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ibn Majah di dalam Sunannya – Hadith Hasan)
Kita juga perlu sentiasa mempelajari erti redha, menjadi insan yang sentiasa positif, serta bersyukur… Melatih diri untuk tidak banyak merungut dengan perkara yang telah lalu, berbangga dengan apa yang ada di sekeliling kita… Dan berani mengharungi cabaran serta rintangan dengan hati yang terbuka. Kerana kita adalah apa yang kita fikirkan, maka itulah menggambarkan diri kita yang sebenarnya... Ucapkanlah qaddara Allah… Insya Allah kita mampu menjadi umat yang terbaik..!
1 comments:
Salam, ana baru je update blog ana tentang Cinta Rasul sempena MaulidurRasul...kalau ada salah silap nta tolong betulkan ye...wAllahu a'lam... =)
Post a Comment