Adi Putra dan Kerajaan Islam Andalus Bukti Maha Hebatnya Allah s.w.t!


Pada minggu yang lalu, saya berpeluang menziarahi seorang kanak-kanak pintar atas pelawaan Ust Dzulkhairi M.Noor untuk bersama dengannya. Kepintarannya diiktiraf dunia sebagai salah seorang daripada lima orang kanak-kanak terpintar dunia. Turut bersama kami ialah Ust Radhi dan Ust Latif. Kanak-kanak pintar yang dimaksudkan ialah adik Adi Putra. Mungkin saja boleh saya katakan bahawa Adi Putra mempunyai satu ciri yang dipanggil sebagai progeny. Saya berserta abang-abang senior yang lain telah menemu ramah ayahnya dan juga berbual seketika mengenai perancangan program bersama dengannya, serta bergambar bersama adik Adi di rumahnya yang terletak di Taman Berlian, Greenwood, Gombak dari jam 2.30 petang hingga 5.30 petang. Ayahnya begitu asyik sekali dan obses menceritakan keperibadian dan kelebihan anaknya, dan saya kira, sedikit sebanyak daripada kata-kata ayahnya ada kebenarannya jua. Adi telah menghafal al-Qur’an 30 juzuk, menguasai 7 bahasa, memperkenalkan 228 formula baru matematik yang berteraskan formula al-Khawarizmi, dan memiliki syarikat dan kelas pengajian tersendiri sebagai guru matematik, dan menjadi guru al-Qur’an kepada anak Sultan, sungguhpun beliau kini baru berusia 11 tahun. Saya agak terkejut apabila ayahnya menyatakan bahawa setiap satu kaedah matematiknya bernilai lebih RMsatu juta! Ini kerana, ayahnya berkata bahawa di dunia ini masih kurang pakar-pakar matematik yang mampu mengemukakan walau satu formula atau teori matematik baru yang ringkas, cepat, dan mudah sebagaimana yang dikemukakan oleh adik Adi Putra.

Walau bagaimanapun, saya tidaklah menyanjungi Adi, akan tetapi Maha Suci Allah yang memperlihatkan KuasaNya kepada insan yang dipilihNya… Allah sahajalah yang Maha Hebat. Allah sahajalah yang Maha Pengurnia Nikmat dan Allah sahajalah yang berhak menarik kembali pemberian berupa anugerah kecerdikan dan kepintaran. Kepintaran Adi Putra merupakan nikmat daripada Allah, dan ia pada hakikatnya juga merupakan ujian daripada Allah buatnya dan keluarganya. Antara formula matematik terkenal Adi ialah formula al-Khawarizmi. Dikatakan bahawa para sarjana Barat telah mengeksploitasi formula al-Khawarizmi tersebut menjadi formula yang kurang efisien, kemudian formula Barat ini telah diserapkan ke dalam sistem pendidikan Malaysia di dalam subjek Matematik secara beransur-ansur sehingga mengakibatkan para pelajar menjadi lesu. Sesungguhnya, formula matematik al-Khawarizmi pada hakikatnya sangat mudah sekiranya diamati dan formula inilah yang ingin ditonjolkan semula oleh adik Adi di dalam subjek matematik. Bayangkan, dengan bilangan angka yang besar seperti (326788 X 35469), ia mampu dijawab dengan pantas (tidak sampai 10 saat) dan mudah dengan menggunakan formula al-Khawarizmi tanpa menggunakan kalkulator. Jawapannya pula hanya memerlukan satu baris daripada beberapa baris buku tulis sahaja. Hal ini telah dibuktikan oleh adik Adi sendiri di hadapan kami.

Apa yang menarik ialah, Adi cuba memperkenalkan kaedah-kaedah tersebut dan menghubungkannya kepada kebesaran Tuhan. Subhana Allah… Antaranya, kaedah alam semesta, kaedah penelitian ayat al-Qur’an, kaedah alam semulajadi (nature), kaedah orbit, kaedah keesaan Allah, dan sebagainya yang kesemuanya terangkum di dalam formula al-Khawarizmi. Dikatakan bahawa idea mengenai formula al-Khawarizmi ini sememangnya dianugerahi Ilahi yang mana ia bertepatan dengan formula yang digagaskan oleh tokoh Matemetik Islam tersohor silam, iaitu Imam al-Khawarizmi. Kepintaran Adi ini juga mengembalikan memori saya kepada tokoh-tokoh kesarjanaan Islam terdahulu sama ada ketika empayar Umayyah, Abbasiyyah, mahupun Turki Uthmaniyyah, khususnya ketika Adi menyatakan bahawa kaedah-kaedah matematiknya bersangkut-paut dengan formula yang diperkenalkan oleh al-Khawarizmi, tokoh sarjana Islam terbilang. Ingin pula saya menyoroti kembali kegemilangan Andalus yang mampu melahirkan tokoh-tokoh sarjana dari pelbagai disiplin ilmu dan aliran. Setelah saya membaca beberapa karya historiografi Islam di Andalus seperti Sejarah Bani Umayyah di Andalus, dan Andalus, Semarak Tamdun di Eropah, saya berasa begitu takjub dengan pemerintahan Islam di wilayah tersebut, yang menjadi pusat segala percambahan intelektual di serata dunia.

Kemudian, Saya melakukan analisis ringkas mengenai tokoh-tokoh intelektual Andalus dalam segenap bidang. Berikut merupakan bidang keilmuan yang diceburi di Andalus dan tokoh-tokoh sarjana yang berkaitan:

1. Tafsir dan ‘Ulum al-Qur’an – Ibn `Atiyyah, al-Qurtubi dan lain-lain (p/s: lebih 70 orang tokoh tafsir terdapat di Andalus!)

2. Hadith dan Ilmu Rijal – Baqi bin Makhlad, Ibn `Abd al-Bar, Qadi `Iyad

3. Feqh – Ibn al-‘Arabi (mazhab Maliki), Ibn Hazm al-Andalusi (Pengasas Mazhab Zahiri), al-Awza’i (Pengasas mazhab Awza’i)

4. Sufi – Muhyiddin Ibn `Arabi

5. Bahasa Arab – Abu Hayyan al-Andalusi, Ibn Malik

6. Ilmu Qira’at – Abu Hayyan al-Andalusi, Abu Amru al-Dani

7. Sasterawan – Ibn Hazm al-Andalusi, Ibn Sa’id al-Maghribi

8. Falsafah – Ibn Masarrah, Ibn Rushd, Ibn Tufail

9. Ketamadunan dan sosiologi – Ibn Khaldun

10. Kedoktoran dan pembedahan – Ibn Bajjah, Ibn Haitham, al-Zahrawi, Ibn Zuhri, Ibn Nafis

11. Pelayaran dan pengembaraan – Ibn Batutah

12. Pemerintahan dan siasah Islam – Abd al-Rahman al-Dakhil, Yusuf bin Tashfin, dan lain-lain

13. Panglima perang – Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusayr

14. Astronomi – al-Majriti, al-Zarqali

15. Kimia – Jabir bin Hayyan, Ibn Firnas

16. Ilmu Botani – Ibn Bassal, Ibn al-Wafid, Ibn Hajjaj, Ibn Sidah, Ibn Baitar, al-Biruni

17. Fizik – Ibn Bajjah, Ibn Maimun

18. Dan lain-lain…

Ironinya, sekiranya kita menggambarkan kehidupan kita pada era tersebut, alangkah kagumnya kita apabila melihat si anak kecil sudah dilatih membaca buku dan cintakan ilmu, golongan pertengahan di kalangan masyarakat sering kali menuturkan perkara-perkara yang bersifat ilmiah dengan cetusan idea dan pandangan masing-masing tanpa beromong kosong, para sarjana tidak putus-putus berdiskusi dan mengadakan kuliah-kuliah ilmu di masjid-masjid, universiti, dan madrasah, golongan pemerintah meggalakkan perkembangan intelektual yang drastik dengan memberikan biasiswa dan ganjaran kepada para pencinta ilmu, aliran pemikiran tidak dikongkong dan disekat, malah perdebatan ilmiah secara terbuka adakalanya dijalankan secara harmoni di dewan persidangan, manakala di setiap penjuru kawasan perumahan, kelihatan anak-anak muda menghafal al-Qur’an dan hadith, pembinaan sistem pengairan, bangunan, dan ukiran yang mempunyai nilai estetika tersendiri, elemen-elemen kerohanian Islam dipraktikkan secara konsisten, masjid-masjid diimarahkan dengan pengamalan ‘ubudiyyah dan sebagainya… Subhana Allah… Boleh jadi kita kan terduduk, berasa canggung kerana bingung ditambah dengan keanehan berupa kekaguman apabila diberi keizinan untuk merasai dan melihat penghidupan pada era tersebut… Nah, kita dapat perhatikan bahawa demokrasi intelektual di Andalus telah mencapai satu tahap yang membanggakan apabila dikatakan bahawa tiada seorang penduduk Andalus yang buta huruf pada era tersebut, malah Andalus telah disaksikan sebagai wilayah ketamadunan dan keintelektualan manusia sejagat yang paling gemilang di seantero dunia yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana peradaban.

Begitulah imaginasi saya mengenai perihal empayar ketamadunan Islam pada masa dahulu khususnya Andalus, jauh sekali dengan kondisi orang-orang muslim kini yang semakin tenggelam dek tipu daya hiburan, media massa, nafsu, dan sebagainya yang akhirnya meruntuhkan sebuah peradaban terulung suatu ketika dahulu. Kalaulah ingin saya ibaratkan, boleh jadi golongan cendekiawan pada masa kini hanyalah setaraf dengan golongan kelas pertengahan (iaitu masyarakat) pada era kegemilangan Islam yang silam, malah barangkali lebih rendah lagi… Kita masih gagal dalam menangani perang saraf Yahudi dan Nasrani, kita masih gagal dalam menghayati dan merenungi peradaban Islam untuk dikembalikan semula pada kedudukan yang sewajarnya pada masa kini, dan kita masih gagal lagi menyemai roh-roh jihad, suara kebangkitan, dan kesedaran penghidupan di muka bumi sebagai satu amanah Allah yang wajib dilaksanakan… Al-Islamu ya’lu wa la u’la ‘alaih..!

Namun, kita masih punya masa dan kesempatan untuk melakukan satu revolusi. Iaitu revolusi mengembalikan Islam ke pundaknya yang sebenar. Tanggungjawab ini bukanlah hanya digalas oleh golongan pemimpin, malah ia menjadi satu amanah yang BESAR bagi setiap fard al-Muslim dalam mengusung panji Ilahi. Kadang kala saya terfikir, kelulusan Ph.D hanyalah merupakan mekanisme pengaruh kita sahaja untuk menghadapi mad’u, namun ia bukanlah penanda aras keintelektualan yang sesuai jika dibandingkan dengan ulama’ al-Amilin yang lampau dan juga kontemporari. Jauh sekali… Kerana itulah kita dapati bahawa kebanyakan para ulama’ tidak pun memiliki pengiktirafan Ph.D, namun mereka memiliki selautan ilmu yang berlipat kali ganda daripada graduan lulusan kedoktoran. Para lulusan kedoktoran hanyalah menganalisis, menyelidik, mengumpulkan data, dan mensintesis hasil analisis tersebut bagi menghasilkan teori baru, manakala para ulama’ bukan sekadar melakukan aktiviti tersebut, malah mereka berdakwah, menghafal al-Qur’an dan kitab-kitab, menjadi pejuang agama, serta menyimpan ilmu di dada untuk beramal dengannya. Inilah perbezaan ketara di antara pensyarah (penyelidik) dan ulama’, yang akhirnya boleh saya konklusikan graduan Ph.D hanyalah dipanggil sebagai penyelidik, manakala para ulama’ dipanggil sebagai golongan rabbaniyyin `amilin. Renungilah ayat 79 dari surah Ali-‘Imran:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِي مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ (79)

Maksudnya:

79. Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sewajarnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah Ta’ala - Dengan ILMU dan AMAL yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

Kadang kala juga, saya memikirkan bahawa setelah saya menamatkan pengajian, langsung saja saya ingin menjadi pendakwah bebas, menghasilkan karya, berceramah, turun ke lapangan ummah, membina jaringan organisasi, hatta menjadi ahli parlimen sekalipun kerana bagi saya hal ini lebih praktikal dan lebih mendepani realiti perjuangan menegakkan syiar Islam. Saya melihat hal tersebut bukan atas dasar untuk menonjolkan diri, tapi hal tersebut menjadi satu amanah yang seharusnya perlu dikemudi bagi setiap pejuang… Semua umat Islam wajib memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai orang Islam, bukan hanya bertaqlid buta dan mengikut-ikut sahaja. Umat Islam perlu memiliki idealisme tersendiri untuk membina ummah, menyemai ukhwah, dalam menegakkan kalimah Allah…

Konklusinya, saya betpandangan bahawa kunci asas perjuangan yang berterusan adalah dua perkara, iaitu: 1. KEIKHLASAN dan 2. PENGORBANAN… Inilah dua item yang sangat ditekankan dan dipraktikkan oleh al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna di dalam orientasi gerakan beliau, Ikhwan al-Muslimin setelah saya membaca dan mengamati karya mengenai keperibadian beliau yang berjudul Cinta di Rumah Hasan al-Banna. Justeru, perlu juga kita yakini janji Tuhan adalah benar tanpa bergantung kepada makan gaji, dan perlu juga berfikir untuk menjadi lebih independent, kerana kesemua rezeki datang daripadaNya dan kembali kepadaNya jua… Wa Allahu waliyyu al-Tawfiq…

0 comments: