Salam Imtihan buat sahabat-sahabat yang kini sedang menduduki peperiksaan akhir semester. Saya yakin dan percaya bahawa semua insan mengimpikan kecemerlangan dalam segenap bidang kehidupan, antaranya di bidang akademik. Justeru, saya mengambil kesempatan pada entri kali ini untuk berkongsi bersama sahabat-sahabat sekalian apakah pelan tindakan kita ketika fasa minggu peperiksaan bagi menerobos kejayaan dalam melangkahi kehidupan. Maka, pelan tindakan ini dikongsikan secara khusus dari perspektif syariatullah dan keteguhan jiwa pada hari-hari peperiksaan:
1. Pada jam 4.45 pagi, lakukanlah:
-Qiamullail: (sekurang-kurangnya)
-Solat sunat Tahajjud
-Solat sunat Tawbat
-Solat sunat Witir
-Wirid dan doa munajat
-P/S: Qiamullail adalah ubat pengukuhan jiwa, untuk menghadirkan ketenangan berfikir dan bertindak.
2. Pada jam 6.15 pagi, selepas solat Subuh, sekurang-kurangnya lakukanlah:
-Membaca Surah al-Fath (Mudah-mudahan Allah membuka kefahaman kita sebagai cerminan kepada erti “pembukaan” surah al-Fath.
-Membaca al-Ma’thurat
-Doa munajat
3. Ketika memasuki dan menduduki peperiksaan di dewan peperiksaan, sekurang-kurangnya lakukanlah:
-Berwudhuk sebelum memasuki dewan peperiksaan.
-Langkah ke dalam dewan dengan kaki kanan.
-Berdoa sebelum menjawab soalan dengan membaca sekurang-kurangnya:
- Ayat seribu dinar
- Surah al-Nasyr
- Mendoakan kesejahteraan kepada para pendidik
- Mendoakan kesejahteraan kepada ibu bapa
- Selawat ke atas Nabi s.a.w 10 kali
- Doa tawakal
-Ketika terlupa jawapan kepada soalan, banyakkanlah berselawat. Sekiranya tidak ingat jawapan tersebut, tinggalkanlah soalan tersebut buat sementara waktu dan jawab soalan berikutnya bagi memanfaatkan setiap detik masa yang ada. Kemudian, kembali semula kepada soalan tersebut dan banyakkanlah berselawat. Insya Allah point-point yang terlupa akan dikembalikan semula oleh Allah s.w.t. dan akan dipermudahkan untuk menjawab.
-Sebelum menyerahkan kertas peperiksaan, berdoalah dengan doa tawakal yang ringkas.
-Keluar dewan peperiksaan dengan langkah kaki kiri.
4. Tips umum ketika melewati hari-hari peperiksaan:
-Berpuasa sunat pada setiap hari peperiksaan.
-Berwudhuk ketika menelaah dan mengulangkaji pelajaran.
-Ikhlaskan niat ketika mengulangkaji pelajaran kerana Allah Ta’ala, juga ketika melakukan pengabdian diri dengan sebenar-benarnya kepada Allah Ta’ala, dan juga ketika melakukan sebarang aktiviti, agar memperoleh keberkatan dalam setiap usaha. Lakukanlah setiap amalan kerohanian dengan penuh kesungguhan, kekhusyukan, dan ketawadhukan…
-Latihlah diri supaya menekuni ilmu, mengulangkaji pelajaran serta mengingatinya sekurang-kurangnya 9 jam dalam sehari.
-Elakkan berbual kosong, kerana berbual kosong sedikit sebanyak akan meluputkan perkara-perkara yang diingat.
-Lakukanlah ibadah melalui bicara hati, bukan melalui tindakan luaran semata-mata… Berdoa dan menghinakanlah diri kepada Pencipta dengan sesungguhnya… Amat rugilah bagi mereka yang melakukan ibadah yang berganda-ganda sebesar gunung, tetapi memiliki hati yang kosong, kerana mereka menilai kepada kuantiti ibadah, dan tidak melihat kepada kualiti ibadah... Ibadah sebenar adalah melalui penyuburan jiwa dan ketulusan hati yang menghadirkan ketenangan dan kedamaian hakiki, dan bukan melalui banyaknya amalan lantaran tiada kekhusyukan dan tumpuan kepada al-Rahman…
-Tidur malam sebelum jam 1 pagi, dan pastikan tidur tidak kurang 4 jam secara terus pada waktu malam.
-Lakukanlah qailulah kira-kira 1 jam sekiranya mempunyai kelapangan masa pada waktu siang. (Cadangan: Tamat peperiksaan pada jam 1.30 tengah hari, kemudian solat Zuhur, dan seterusnya lakukanlah qailulah sehingga jam 2.30 petang). 1 jam qailulah yang berkualiti pada waktu yang sesuai menyamai 3 jam tidur pada waktu malam! (Sumber: Majalah Solusi isu 15)
-Peliharalah keberkatan ilmu dan pendidik. Elakkan meninggalkan nota di merata tempat khususnya di sayap-sayap dewan peperiksaan.
-Semakin kita memahami tujuan menuntut ilmu dan kehidupan, semakin itulah dipermudahkan segala urusan bagi menempa kejayaan. Kejayaan bukanlah dilihat kepada kemegahan dan kelulusan Ph.D, master, ijazah, dan juga bukan dilihat kepada tingginya pendapatan bulanan, tetapi kejayaan sebenar lahir dari ketenangan di jiwa dalam memahami tujuan hidup di dunia dan perjuangan..!
Buat sahabat-sahabatku, semoga kalian beroleh kecemerlangan dalam segenap bidang yang dicitakan. Tenangkan hati, damaikan jiwa dengan bertaqarrub kepada-Nya… Insya Allah kejayaan hakiki bakal kita dakapi… Kalaupun adakalanya kita tidak beroleh keputusan yang memberangsangkan, maka yakin dan percayalah bahawa nikmat kemanisan menuntut ilmu lillahi Ta’ala pasti dapat kita garap bersama, kerana merit dan pointer bukanlah menjadi ukuran sebenar keberjayaan insan dalam pengajian… Kerana hakikat penghidupan bukanlah bermatlamatkan pointer dan PNGK, tetapi mentatbiqkan keilmuan itu adalah lebih utama dalam merentasi potret kehidupan sebagai hamba... Salam Perjuangan fil Imtihan... Ma’a tamniyati bi al-Tawfiq wa al-Najah…!
0 comments:
Post a Comment