Manhaj Aqidah dari Perspektif Ikhwan al-Muslimin menerusi Pendirinya, al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna.
Sambungan……..
3. Mentanzih dan mentaqdiskan Allah s.w.t, dan berpegang teguh kepada dalil al-Qur’an yang berbunyi laysa kamithlihi syai’ (Tiada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya). Meletakkan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai perlembagaan dan dasar tertinggi, serta tidak membincangkan secara terperinci berkenaan isu-isu furu’ aqidah dan isu-isu furu’ ibadah seperti tahlil, zikir berjemaah, ziarah kubur, dan sebagainya, di samping tidak menolak ilmu tasawuf secara total. Sahabat-sahabat boleh merujuk karya Kubra al-Harakah al-Islamiyyah fi al-Qarn al-Rabi’ al-`Asyarah Hijri (Pergerakan Islam Terbesar Abad ke-14) karangan Dr. Muhammad Sayyid al-Wakil. Bahkan al-Imam al-Syahid sendiri pernah beramal dengan ilmu tasawuf, lalu setelah itu beliau menuturkan mengenai `uzlah:
“Kadang-kadang keinginan untuk ber`uzlah ini sampai ke tingkatan yang mendorongku untuk menjauhi manusia dan menyerukanku agar menyucikan diri dan memutuskan hubungan apapun dengan mereka. Aku masih ingat, ketika surat-surat dari sebahagian teman-temanku telah sampai kepadaku di sekolah, aku sama sekali tidak berusaha untuk membaca atau membukanya, aku membiarkannya begitu sahaja agar dalam hatiku tidak ada hubungan apapun dengan sesuatu yang baru, di mana seorang sufi pemula harus memutuskan hubungannya dengan semua yang ada selain Allah.”
Namun, setelah beliau mencermati kembali, beliau berpandangan bahawa:
“Aku meyakini bahawa amal perbuatan yang manfaatnya hanya bisa dimanfaatkan oleh pengamalnya dan tidak mampu dirasakan oleh orang lain adalah amal perbuatan yang kecil dan terbatas. Sedang amal perbuatan yang paling baik dan paling agung adalah amal perbuatan yang hasil-hasilnya dapat dinikmati oleh pelaku, keluarga, dan segenap umat.”
Sahabat-sahabat bolehlah merujuk karya beliau, Mudhakkirah al-Da’wah wa al-Da`iyah. Al-Sufiyyah sebagai pembinaan seperti yang dimaksudkan oleh al-Imam al-Syahid ialah: “Sesungguhnya Ikhwan adalah Tarekat Sufiyyah”. Sahabat-sahabat boleh merujuk kepada entri saya yang bertajuk Fikrah Ikhwan dan juga karya Memperingati 100 Tahun Hassan al-Banna, karangan Ust. Riduan Mohamad Nor. Pemahaman mengenai dakwah menurut Al-Imam al-Syahid jauh lebih komprehensif daripada pemahaman kaum sufi dan medan operasi dakwah itu jauh lebih luas daripada medan tasawuf, dan hal ini dinyatakan oleh al-Imam al-Syahid:
“Orang yang berjalan menuju sasaran ini (Redha Allah) masing-masing memiliki karakteristik dan keistimewaan tersendiri, dan dia bebas untuk menempuh jalan yang mana dia kehendaki.
Pertama: Jalan tasawuf yang benar. Jalan ini terangkum dalam ikhlas dan amal, serta menjauhkan hati dari kesibukan dengan semua makhluk yang baik mahupun yang buruk. Jalan ini lebih dekat dan selamat.
Kedua: Jalan pentarbiyahan dan bimbingan. Jalan ini sama dengan jalan yang pertama dalam hal ikhlas dan amal, tetapi berbeza dengannya dalam hal bergaul dengan umat manusia, mengkaji perihal mereka, memasuki perhimpunan-perhimpunan mereka serta melakukan terapi dan dakwah untuk mereka.
Jalan ini lebih agung dan mulia di sisi Allah dan dianjurkan oleh al-Quran dan Rasul-Nya. Aku lebih memilih jalan yang kedua – meskipun aku sebelumnya pernah menempuh jalan yang pertama – kerana manfaatnya jauh lebih banyak dan keutamaannya jauh lebih besar…”
Subhana Allah… Idea yang ditonjolkan oleh al-Imam al-Syahid ini sangat memikat para da`i yang sebenar untuk berjuang di jalan Allah. Al-Imam al-Syahid juga tidak ketinggalan menyediakan wirid-wirid khusus, dan ia dibukukan menjadi satu karya yang dipanggil sebagai al-Ma’thurat, dan sehingga kini ia digunakan oleh para pendokong Islam sebagai amalan seharian. Al-Ma`thurat inilah menjadi satu ramuan dan santapan jiwa sebagai pembentukan jati diri dan tarbiyah rohaniah para ahli, dalam kerangka menghadapi mehnah dan tribulasi menghadapi para mad`u dan musuh-musuh Allah. Oleh sebab itulah, salah seorang daripada 6 orang pendiri Ikhwan al-Muslimin pada awal penubuhannya telah bertanyakan soalan kepada al-Imam al-Syahid:
“Nama apakah yang sesuai untuk jemaah ini wahai Tuan? Apakah kita akan membentuk yayasan, perkumpulan, aliran tarekat, atau satu persatuan agar gerakan kita menjadi satu badan rasmi?”
Lalu al-Imam al-Syahid menjawab:
“Kita tidak akan membentuk ini dan itu, dan kita tidak terlalu berkepentingan dengan persoalan rasmi atau tidak. Kita semua adalah bersaudara dalam meng`abdi kepada Tuhan. Oleh kerana itu, aku namakan perkumpulan kita ini Persaudaraan Islam atau Ikhwan al-Muslimin.”
Gagasan holistik al-Imam al-Syahid tidaklah menjurus kepada kepentingan-kepentingan tertentu, malah beliau melihat kerangka jemaah dalam pembentukan tanzim pada pengertian yang sepatutnya, yang bersifat syumuliyyah dan `alamiyyah, dan tidak membataskan kepada indikator terpencil. Subhana Allah… Saya begitu kagum dengan paradigma pemikiran al-Imam al-Syahid… Sahabat-sahabat boleh merujuk kepada karya Ikhwan al-Muslimin, Konsep Gerakan Terpadu (Manhaj al-Tarbiyah `inda al-Ikhwan al-Muslimin) karangan Dr. `Ali Abdul Halim Mahmud.
Al-Hasil, daripada kenyataan beliau, kita dapat memerhatikan bahawa al-Imam al-Syahid sangat menitikberatkan persoalan tarbiyah, diikuti siasah. Saya mengumpamakan bahawa dalam persoalan kerukunan sesebuah organisasi, maka ia ibarat sebatang pokok yang kukuh tertancap subur di atas muka bumi, elemen tarbiyah adalah akar tunjuangnya, elemen siasah adalah batangnya, elemen dakwah adalah dedaunannya, dan pembentukan ahli baru adalah buah-buahnya yang ranum dan bunga-bunganya yang mekar. Tarbiyah adalah akar tunjang bagi jemaah, siasah adalah batang pengukuhan kepimpinan dalam pemerintahan Islam, dakwah adalah seni yang menggunakan pendekatan pelbagai dalam menyampaikan mesej Islam yang dinisbahkan kepada dedaunan yang banyak helaiannya, menunjukkan keseniannya yang beraneka warna dalam berdakwah, dan akhir sekali ialah buah dan bunga adalah kelahiran ahli-ahli dan fard al-Muslim baru yang bersama-sama mendokong Islam, atau sekurang-kurangnya menyokong dan memahami Islam sebagai satu manhaj hidup yang ideal.
Berkenaan aqidah Ikhwan al-Muslimin yang merupakan sebuah organisasi gerakan Islam terbesar dan mutakhir, perlu kita memahami bahawa perjuangan Islam membuka wilayah-wilayah selepas era salaf al-Soleh (selepas 300 Hijrah/500 Hijrah) kebanyakannya didokong oleh pemerintah yang beraliran al-Asya`irah dan al-Maturidiyyah. Contohnya, Sultan Muhammad al-Fatih yang membuka kota Constantinople, Turki berpegang teguh kepada aliran al-Maturidiyyah. Salehuddin al-Ayyubi, seorang pemerintah yang membuka kota al-Quds, Palestin berpegang teguh kepada aliran al-Asya`irah, malah selepas pembukaan wilayah tersebut, beliau mengeluarkan arahan agar dikumandangkan manaqib “Aqidah al-Mursyidah” sebelum waktu Subuh di seluruh masjid pada setiap hari bagi menyatupadukan ummah. Manaqib tersebut merupakan untaian puisi yang mengandungi intipati manhaj aqidah al-Asya`irah. Di samping itu, pembukaan dan penyatuan kembali wilayah Andalus telah dilakukan setelah mengalami krisis penubuhan kerajaan-kerajan Islam kecil (muluk al-Tawaif) disebabkan masing-masing di kalangan mereka berkepentingan menginginkan kuasa autonomi, maka pembentukan kerajaan Muwahhidun telah menyatupadukan kembali kerajaan-kerajan Islam kecil, seterusnya bernaung di bawah satu kerajaan Islam atas tema ketauhidan beraliran al-Asya`irah di wilayah Andalus dan di utara Maghribi. Ekoran itu, kerajaan tersebut dinamakan sebagai kerajaan Muwahhidun.
Mengenai salaf, manhaj salaf sebenar menurut pengamatan saya, adalah dengan melihat manhaj aqidah yang telah dianuti oleh para salaf al-soleh, dan menurut saya, hal ini bertitik-tolak kepada pemahaman nas-nas mutasyabihat di dalam al-Qur’an dan al-Hadith. Saya mendapati bahawa, Nabi s.a.w dan para sahabat tidak membincangkan hal tersebut dan para sahabat Nabi s.a.w terus beriman dengan kalam Allah tanpa mempersoalkannya, atau bertanya kepada Nabi s.a.w. Manakala, selepas zaman Nabi s.a.w dan para sahabat sehingga kurun ketiga Hijrah, pada penelitian saya, dengan nada insaf dan tidak menghentam pihak-pihak tertentu, perbincangan mengenai ayat mutasyabihat tidaklah begitu rencam, dan jumhur (MAJORITI) di kalangan mereka (salaf al-Soleh) beriman kepada ayat tersebut dan menyerahkan (tafwidh) pemahaman ayat kepada Allah sw.t. Perbahasan mengenai literalasi kalimah mutasyabihat dengan berpegang kepada zahir ayat dan makna harfiah ayat tersebut barangkali hanyalah pandangan minoriti tokoh salaf al-soleh tertentu dan ia hanyalah pandangan syaz menurut penelitian saya. Maka, sebab itulah kita tidak mendapati kerangka disiplin ilmu aqidah yang khusus pada zaman salaf al-soleh sehinggalah muncul tokoh pemikir dan ilmuwan Islam, al-Imam Abu al-Hasan al-Asy`ari yang mengetengahkan manhaj sifat 13 kemudian disepadukan oleh Imam al-Sanusi menjadi sifat 20 di dalam karyanya, Ummu al-Barahin. Tidak ketinggalan juga, pada kurun ketujuh Hijrah, al-Imam Ibn Taimiyah dilihat ingin mengembalikan semula pemahaman masyarakat kepada manhaj salaf. Beliau seakan menggubal dan memperkenalkan disiplin aqidah Islam menurut salaf, seterusnya mendakwa bahawa manhaj aqidah yang diperkenalkan olehnya adalah berasaskan al-Qur’an dan al-Sunnah, dan bermula dari era tersebutlah, maka tersebarnya pemahaman aqidah yang terbahagi kepada tiga bahagian. Pendetilan mengenai manhaj aqidah ini berserta pembahagiannya yang tiga pada kurun-kurun seterusnya telah mencetuskan fenomena isu takfir, tabdi’, tafsiq, dan tadhlil’ kerana menyentuh persoalan tawassul di dalam pembahagian tauhid Uluhiyyah, dan mengiktiraf ketauhidan golongan kafir kepada Allah s.w.t. di dalam pembahagian tauhid Rububiyyah. Begitu juga terdapat perbincangan mengenai ithbat ayat-ayat sifat dengan berpandukan zahir nas yang boleh membawa kepada tasybih dan tajsim sekiranya tidak menurut kerangka metodologi tafsir yang sebenar. Dalam hal ini, dengan nada hormat dan tidak bersentimen, saya kira, manhaj aqidah menerusi aliran ini agak rapuh dan menimbulkan kontroversi. Saya juga berpandangan bahawa manhaj salaf yang ingin diperkenalkan oleh beberapa tokoh yang seangkatan dengan aliran ini agak kurang selari dengan manhaj salaf yang sebenar yang didokong oleh jumhur ulama'. `Ala kulli hal, saya tetap menghormati al-Imam Ibn Taimiyah rahmatullah `alaih sebagai tokoh cendekiawan Islam yang banyak menabur jasa dan memberikan sumbangan kepada dunia baru Islam. Wa Allahu a’lam. Sahabat-sahabiah sekalian, sila betulkan pemahaman saya sekiranya terdapat salah dan silap, dan saya bersedia ditegur sekiranya terdapat kesalahan…
Justeru, saya berpandangan bahawa, manhaj aqidah Ikhwan al-Muslimin adalah berpegang kepada manhaj SALAF tafwidh menurut tradisi keilmuan al-Asya`irah, tanpa membincangkan persoalan tersebut secara mendalam. Pandangan mengenai salaf tafwidh ini telah didokong oleh jumhur ulama’, antaranya al-Imam al-Nawawi yang telah mengemukakan bagaimanakah pendekatan salaf yang sebenar apabila berhadapan dengan nas-nas mutasyabihat, iaitu beriman dengan apa yang didatangkan oleh Allah menerusi kalam-Nya, dan menyerahkan (tafwidh) maksud sebenar kepada Allah s.w.t. Untuk maklumat lebih lanjut, sahabat-sahabat bolehlah merujuk karya Usul 20 dan syarahnya. Sahabat-sahabat juga boleh merujuk kertas kerja persidangan yang dibentangkan oleh Dr. Faizuri di dalam seminar al-Asya’irah baru-baru ini mengenai manhaj salaf yang sebenar. Wa Allahu a’lam.
Saya turut membaca sebuah karya berjudul Madhhab Ahl al-Tafwidh yang dikarang oleh seorang penulis yang saya kira beliau mendakwa dirinya sebagai seorang salaf (mudda`i al-Salafi), lalu menyesatkan golongan-golongan yang berpendirian salaf tafwidh. Antara tokoh-tokoh yang disesatkan olehnya ialah al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna sendiri dan beliau menyatakan bahawa mazhab ahl al-Tafwidh merupakan mazhab yang bid`ah yang baru muncul pada awal kurun ke-20 Masihi dan bukanlah daripada kalangan ahl al-Sunnah. Astaghfirullah… Golongan sebeginilah dikenali dengan jolokan aliran Wahabiyyah dan hal ini yang sangat dikhuatirkan oleh saya mengenai pemahaman mereka terhadap nas-nas mutasyabihat, sehingga menyesatkan kelompok lain, di samping membawa pemahaman ayat al-Qur’an yang mengundang kepada tasybih dan tajsim. Mereka lalu mengisytiharkan bahawa golongan mereka sahajalah yang paling benar dan tidak ketinggalan juga menyesatkan aliran al-Asya`irah, walhal mereka hanyalah dari kelompok minoriti dan bukanlah Sawad al-A’zam. Mudah-mudahan kita diberi petunjuk, tawfiq dan hidayah daripada Allah, dan dijauhkan oleh Allah s.w.t daripada sikap ghuluw dan melampau…
Saya sesungguhnya sangat gusar membahaskan perkara-perkara sedemikian rupa, apatah lagi dengan ilmu saya yang sangatlah cetek. Saya juga pada hakikatnya kurang gemar membahaskan persoalan ayat-ayat mutasyabihat dari perspektif salaf dan khalaf, namun dengan wujudnya faktor pendesak daripada kondisi mutakhir ini dan juga faktor rakan-rakan seperjuangan yang sering bertanyakan soalan mengenai hal tersebut, justeru saya nukilkan ia di dalam blog ini sebagai satu proses penjernihan dan pemutihan terhadap pemahaman sebenar, asalkan perlunya kita bersikap adil, tasamuh dan tidak jumud kepada satu pandangan sahaja. Mungkin saja saya memiliki kapasiti berpendapat dan bersikap adil memandangkan saya pernah mengikuti pengajian talaqqi sifat 20 yang disampaikan oleh anak murid Syeikh `Abdullah al-Harari sendiri di samping menuntut ilmu di dalam Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith, APIUM. Mudah-mudahan artikel pada kali ini menjawab persolan yang terbuku di dalam minda kita seterusnya memberikan tasawwur sebenar mengenai mazhab salaf dan juga epistemologi disiplin aqidah ASWJ al-Asya`irah secara ringkas. Saya berharap agar artikel ini juga menjadi satu jambatan penghubung kepada kita, membina kesatuan jemaah dalam usaha mentaqribkan beberapa pandangan dan mentajrihkan (kritik positif) pandangan yang kurang tepat.
Moga-moga artikel ini juga menjadi artikel pertama dan terakhir buat saya yang menyentuh persoalan aqidah salaf dan khalaf di dalam blog ini, kerana perkara ini tidaklah menjadi kegemaran saya untuk membincangkannya secara berjela-jela dan meleret-leret, sehingga perbincangan sebegini seakan tidak berkesudahan, dan apa yang penting, kita punya tujuan dan hadaf yang besar sebagai ahli jemaah… Sekiranya sahabat-sahabat ingin membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut, yang berkaitan dengan aqidah dan perjuangan, saya sudah bersedia untuk dijemput bagi menyampaikan pengisian melalui kuliah-kuliah, halaqah, daurah nuqaba’ dan usrah, asalkan perlulah kita bersikap terbuka dan bertolak ansur. Kita boleh berbincang, berbahas, dan berdialog dengan lebih lanjut. Saya memohon seribu kemaafan sekiranya terdapat kekurangan dalam perbincangan manhaj aqidah ASWJ, atau saya kurang tepat dalam mengemukakan fakta dan hujah, atau saya mengguris hati mana-mana pembaca yang tidak sealiran tanpa sedar mahupun tidak, kerana matlamat saya hanyalah untuk menjernihkan keadaan dan mencerahkan pemahaman aqidah kita, seterusnya membina keutuhan wehdatul fikr dan wehdatul `amal dengan aqidah yang sahih. Cukup untuk saya menyatakan pendirian saya, dengan hati yang jujur dan dengan nada yang insaf, tanpa berbaur sentimen serta tidak menyesatkan apatah lagi mengkafirkan golongan lain, saya berpegang kepada aliran ASWJ al-Asya`irah, yang menggunakan pendekatan SALAF melalui pemahaman ayat-ayat mutasyabihat, iaitu diam, tidak bertanya-tanya, beriman dengan ayat-ayat Allah dan menyerahkan (tafwidh) maksudnya kepada Allah s.w.t, tanpa tasybih dan tajsim, serta tanpa membincangkan pengertian tersebut secara mendalam. Pegangan saya ini juga bertepatan dengan prinsip Usul ke-10 daripada Usul 20 yang dinyatakan oleh al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna sebagai pengasas gerakan Ikhwan al-Muslimin. Saya juga menghormati pandangan aliran khalaf al-Asya`irah yang menggunakan pendekatan ta’wil ayat bersesuaian dengan kaedah Bahasa Arab dan dhawabit pentafsiran al-Qur’an. Ya Allah, kurniakanlah kami tawfiq dan hidayah-Mu ya Allah… Thabatkanlah kami di atas medan perjuangan Islam… Jauhilah kami daripada fitnah-fitnah yang memecahbelahkan ummah… Amin… Wa Allahu a’lam.
Rujukan Utama:
1. Mudhakkirah al-Da’wah wa al-Da`iyah, karangan al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna.
2. Majmu’ al-Rasa’il, karangan al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna.
3. Pendidikan Harakah Islamiyyah (Syarah Risalah al-Ta`alim), karangan Sa`id Hawwa.
4. Syarah Usul 20 – Rukun Fahm, karangan Dr. `Ali `Abdul Halim Mahmud.
5. Ikhwan al-Muslimin, Konsep Gerakan Terpadu (Manhaj al-Tabiyah `inda al-Ikhwan al-Muslimin), karangan Dr. `Ali `Abdul Halim Mahmud.
6. Pergerakan Islam Terbesar Abad ke-14 H (Kubra al-Harakah al-Islamiyyah fi Qarn al-Rabi’ al-`Asyarah al-Hijri), karangan Dr. Muhammad Sayyid al-Wakil.
7. Akidah Salaf dan Khalaf (Fusul fi al-`Aqidah bayna al-Salaf wa al-Khalaf), karangan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
8. Memperingati 100 Tahun Hassan al-Banna, karangan Ust. Riduan Mohamad Nor.
9. Kertas Kerja bertajuk “Manhaj `Aqidah menurut Ikhwan al-Muslimin”, oleh Sdr. Fauzi Zakaria, Seminar Pemikiran Islam, Julai 2010.
10. Kertas Kerja bertajuk “Penolakan Al-Asha`irah terhadap Huraian Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah menurut Muhammad bin `Abd al-Wahhab”, oleh Prof. Madya Dr. Fauzi Hamat, Seminar Pemikiran Islam, Julai 2010.
11. Kertas Kerja bertajuk “Ayat Mutasyabihat Menurut Sheikh Zainal Abidin al-Fatani dalam kitab Aqidah al-Najin”, oleh Dr. Faizuri Abd. Latif, Seminar Pemikiran Islam, Julai 2010.
12. Kertas kerja bertajuk “Al-Fikr al-Asya`ari wa al-Wahdah al-Fikriyyah fi al-Maghrib al-Islami (Pemikiran al-Asya`irah dan Kesatuan Pemikiran di Wilayah Barat Islam di Maghribi dan Andalus)” oleh Sdr. Tarek Ladjal, Seminar Pemikiran Islam, Julai 2010.
13. Kertas Kerja bertajuk “al-Asya`irah bayna al-Ghuluw wa al-Taqsir wa bayna al-Ifrat wa al-Tafrit (Al-Asya`irah: Jurang Perbezaan di antara Kelonggaran dan Melampau dalam Islam)” oleh Dr. Syeikh Salim `Ulwan al-Husayni, Dar al-Fatwa Australia, Seminar Pemikiran Islam, Julai 2010.
Coretan ini hasil cetusan ilham pada:
Sabtu,
24 Julai 2010, 12 Sya’ban 1431 Hijrah,
3.31 pagi.
## ribbiyyun ##
0 comments:
Post a Comment