Nasihat daripadaku yang Serba Dhaif Buat Pemuda-pemudi Islam… (6)

Kelima: Ungkaplah Qaddara Allah wa ma Sya`a Fa`ala Ketika Menghadapi KetentuanNya dan Ujian daripadaNya…

Sepi dan sunyi… Begitulah kondisi yang dapat kuungkapkan mengenai perihal APIUM kini iaitu pada tanggal 26 November (Khamis) bersamaan 9 Dhulhijjah jam 2.30ptg, apatah lagi ber‘i’tikaf’ di maktabah Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith… Begitulah juga gambaran yang dapat kurumuskan mengenai laman sesawang blogku yang sudah sekian lama tidak dipenuhi dengan makalah bingkisan rohani terbaru… Dua minggu. Sememangnya agak lama juga daku tidak menulis entri, namun Alhamdulillah, di kesempatan ruang dan peluang yang ada ini, kugagahi idea dan mata pena kekunci laptop ini untuk menitip tinta-tinta kalimat… Aku adakalanya sangat gemar berada di dalam suasana harmoni, tenang, dan sunyi seperti sekarang ini, kerana ia sedikit sebanyak memudahkanku berimaginasi memburu ilham yang terbit daripada hati nurani yang tulus suci… Mudah-mudahan…

Nasihat kelima di atas sangat signifikan dengan insiden yang telah berlaku kepada diriku baru-baru ini… Subhana Allah… Insiden yang berlaku ke atas diriku secara tidak sengaja mempertemukanku dengan topik muhasabah di atas. Qaddara Allah wama sya’a fa’ala… Rasa ingin menitis air mata ini apabila menyingkap hikmah yang disusun atur olehMu ya Allah di dalam sunnatullah… Rasa kekerdilan diri ini tidak putus-putus menerpa apabila merenungi kebesaran dan keagunganMu… Begitulah… Manusia yang mengintai-ngintai hikmah dan segala ketentuanNya pasti akan menikmati kelazatan hidup beragama, dalam setiap hakikat penciptaanNya yang Maha Kaya… Rabbana ma khalaqta hadha batila subhanaka faqina ‘adhaban nar..! (surah Al-`Imran, ayat 191) (Wahai Tuhan kami, sesungguhnya tidaklah Engkau menciptakan sesuatu (makhluk) itu dalam keadaan batil (sia-sia)! Maha Suci Engkau ya Allah, maka peliharalah kami daripada azab api neraka..!

Peristiwa tersebut berlaku pada hari Selasa lalu ketika aku menyertai salah sebuah kem yang dianjurkan oleh PMIUM. Aku bersendirian di tangga batu bersebelahan gigi sungai di dalam kawasan kem, manakala para peserta lain sedang asyik dengan permainan paintball di kawasan lain yang sedikit jauh dengan tapak kem tersebut. Entahlah… Hatiku tidak terdetik langsung untuk bermain paintball sebaliknya aku ingin mencari kedamaian serta berfikir pada ciptaan alam semulajadiNya yang berzikir, lalu aku menuju ke tangga batu tersebut dan duduk mencangkung dan melabuhkan dagu pada lutut. Pada pengamatanku, tiada pun seorang muslimat di kawasan tersebut, manakala terdapat beberapa orang muslimin meuju ke tandas pada ketika itu. Kemudian, mereka bergegas ke tapak paintball semula. Tinggallah aku seorang. Aku tidak kisah kerana aku adakalanya suka menyendiri dan berfikir. Aku melihat langit yang terbentang, air sungai yang mengalir, batu-bata yang licin, kesemuanya memuji kebesaran Allah, sementara jam pula menunjukkan kira-kira pukul 10 pagi…

“Kedebush…!” Sedar-sedar saja aku berada di dalam air sungai dalam keadaan terbaring. Aku terpinga-pinga kerana aku sangsi, sama ada aku di alam nyata atau mimpi. Tiba-tiba rasa sakit menguasai diri. Memang betul, aku di alam nyata… Rupa-rupanya aku telah tersembam ke dalam sungai dari atas tangga batu yang kududuk tadi tanpa kusedari. Tinggi tangga batu dengan aras sungai pula kira-kira paras pinggangku. Hidungku mulai pedih kerana dimasuki air. Cermin mataku bengkok. Telefon bimbitku sedikit rosak. Dahiku mulai lebam. Kedua-dua lututku berdarah. Badanku menggigil kesejukan. Mataku berpinar-pinar. Kepalaku sedikit pening. Fikiranku menerawang. Aku seakan hilang punca. Lidahku melafazkan astaghfirullah dan ya Allah beberapa kali… Barulah kumenyedari bahawa aku tertidur di atas tangga batu tadi lalu terjatuh ke dalam sungai yang cetek setinggi betisku, namun terdapat banyak anak batu di dalam sungai tersebut. Aku pun tidak pasti bagaimana aku terjatuh ke dalam sungai kerana aku dalam keadaan tidur pada ketika itu. Mungkin saja aku tersengguk tidur lalu tersembam ke dalam air, dan aku hanya menyedari selepas hidungku pedih dimasuki air.

Kakiku mulai sengal-sengal. Kugagahi menaiki tangga batu itu dalam kesejukan. Tidak tahu apa yang kufikirkan ketika itu melainkan kubanyakkan beristighfar. Usai menaiki tangga, terlintas di fikiranku untuk mendapatkan peti kecemasan. Barulah kuteringat bahawa tiada seorang muslimin pada ketika itu kerana mereka sedang bermain paintball. Namun penglihatanku terhenti apabila terpandang seorang adhock muslimat yang kukenali dan dialah paling hampir denganku. Bingkas saja aku meminta bantuannya untuk mendapatkan peti kecemasan. Qaddara Allah wa ma sya’a fa’ala… Aku tidak menjangkakan hal sebegini berlaku. Aku sedikit malu apabila mendapati bahawa tiada muslimin di sisiku. Kugagahi langkah mencari kerusi untuk kududuk kerana lututku berasa pedih.

Aku membersihkan lukaku di kaki sendirian, manakala muslimat hanya menghulurkan ubat dan kapas. Aku sedikit bimbang akan lututku di sebelah kanan, kerana lukanya agak dalam dan kesakitannya sangat dirasai. Bimbang kalau-kalau lututku retak, atau lukaku perlu dijahit. Aku begitu segan ketika itu, namun rasa segan itu sedikit tenggelam apabila kesakitan menguasai diri. Sungguh aku menggigil ketika itu, namun menggigilnya aku bukanlah hanya disebabkan kesejukan yang melanda, akan tetapi relung hatiku sedikit kekok berhadapan dengan beberapa muslimat yang menghulurkan bantuan ikhlas lantaran tiada muslimin di sampingku. Ketika itu aku masih belum menyedari bahawa terdapat luka di raut wajahku, namun apabila ditegur oleh beberapa muslimat, barulah kumenyedari terdapat dua luka, satunya di dagu, dan satu lagi di dahi yang sedikit membengkak. Namun, luka di mukaku tidaklah parah. Aku lalu terfikir hikmah di sebalik kejadian. Aku memanjatkan kesyukuran atas ujian yang ditimpakan… Qaddara Allah wa ma sya’a fa’ala… Mudah-mudahan ia menjadi kifarah dosaku yang bertimbun, khususnya kifarah dosa anggota kakiku yang melangkah ke tempat-tempat yang mungkar…

Seorang muslimat membekalkan air suam di dalam botol untuk kugenggam bagi menghilangkan rasa menggigil. Aku menggenggam botol tersebut, namun menggigilnya aku bukanlah hanya kerana sejuk, tetapi menggigilnya aku kerana aku pertama kali berhadapan dngan fenomena seperti itu tanpa dijangka. Hati ini sering bersimpuh segan dan malu, namun aku berusaha tidak menzahirkannya, dan aku hanya tunduk memandang botol sambil berfikir. Rasa tenang mulai hadir apatah lagi deruan hati ini sering beristighfar dan bertahmid. Aku juga tidak menyarung jaket yang diberikan oleh muslimat, kerana pada hakikatnya aku tidaklah begitu sejuk. Kira-kira hampir setengah jam aku keseorangan ditemani beberapa muslimat. Pada jam 10.30pagi, sahabatku, Ust. Zul Amirul hadir. Dia sedikit sebanyak telah membantuku membersihkan luka dan mengubatinya. Alhamdulillah… hatiku menjadi semakin tenang… Maka, lafazkanlah qaddara Allah wa masya’a fa’ala, agar jiwamu menjadi tenang dan engkau bersikap redha dengan segala ketentuanNya kerana segala ketentuanNya memiliki hikmah yang tersendiri… Segala kejadian dan sunnatullah adalah di dalam lembayung rahsiaNya, maka usahlah khuatir dengan segala ketentuanNya… Kerana Dialah Pencipta bersifat al-Qadir, yang sifatNya itu tersusun atur di dalam asma’Nya… Subhana Allah..!!

Kini, lukaku semakin sembuh, Alhamdulillah… Titipan ‘afwan wa syukran ditujukan buat sahabat-sahabatku yang banyak membantuku ketika daku ditimpa musibah. Aku mengambil peluang ini mengkoreksi diri semula dalam berinteraksi dengan suatu istilah yang dipanggil tahalli, takhalli, dan tajalli… Juga istilah ta`abbud, tafarrud, dan tajarrud… Tidak ketinggalan juga istilah mujahidun, muwahhidun, murabbitun… Tahalli menghiasi diri kita dengan sifat-sifat mahmudah, takhalli ialah kita meluluhlantakkan sifat-sifat mazmumah, manakala tajalli ialah suatu pembuktian oleh Allah s.w.t akan hakikat penciptaanNya sekiranya kita merenung kembali akan kebesaran dan keagunganNya, lalu Allah s.w.t melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya kepada kita untuk merasai kemanisan beragama… Ta’abbud suatu kosa kata yang mendorong kita untuk mengabdikan diri kepada Pencipta, tafarrud menghadirkan rasa perhatian dan konsentrasi kita kepada ibadah yang dilaksanakan, dan tajarrud menyahkan pemikiran-pemikiran yang mengganggu sekaligus meletakkan hadaf segala tindakan hanyalah demi Allah semata-mata...

Mujahidun adalah mereka yang berjuang di jalan Allah dalam kerangka dakwah di dalam jemaah, muwahhidun ialah mereka yang menyatukan hati-hati ini membentuk wehdatul fikr dan wehdatul ‘amal dalam berorganisasi. Manakala murabbitun ialah mereka yang mengikat hati-hati ini untuk bersatu di dalam perjuangan yang hakiki menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Justeru, pengistilahan tersebut amat bersesuaian dengan nama dua buah kerajaan Islam di Andalus yang sangat tersohor iaitu kerajaan Muwahhidun dan kerajaan Murabbitun. Ketika mana kerajaan Islam di Andalus mula berpecah kepada kerajaan-kerajaan Islam yang kecil (al-Muluk al-Tawaif ) pada akhir-akhir pemerintahan Islam di sana, maka munculnya dua penjenamaan tersebut di dalam dua kerajaan (Muwahhidun dan Murabbitun) untuk menyatupadukan kembali Islam di Andalus pada abad ke-12 Masihi yang semakin mengalami era kejatuhannya yang meruncing pada ketika itu. Mudah-mudahan, kita menjadi pejuang yang thabat di dalam medan perjuangan, dan sentiasa menggali hikmah yang tersirat di sebalik penciptaan dan kebesaran… Lafazkanlah qaddarala Allah wa ma sya’a fa’ala agar hatimu menjadi tenang Wa Allahu waliyyut tawfiq…

Nasihat daripadaku yang Serba Dhaif Buat Pemuda-pemudi Islam… (5)

Keempat: Bacalah… “Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…” Binalah diri ini menjadi rantaian Jil al-Qur’an al-Farid…

Surah al-`Alaq yang menjadi wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w menatijahkan suatu impak yang sangat berguna kepada mereka yang sering meniti hikmah di sebalik penurunan dan redaksi ayat-ayat al-Qur’an. Masakan tidak, kerana penurunan ayat ini menekankan galakan pembacaan bahan-bahan bermanfaat, sedangkan sebahagian kita telah sedia maklum serta menanggapi bahawasanya nabi Muhammad s.a.w seorang yang ummi (tidak tahu menulis dan membaca). Pastinya di sana terdapat suatu singkapan rahsia atau mahfum mukhalafah pada seruan untuk menimba ilmu pengetahuan menerusi aktiviti pembacaan. Secara tidak langsung, apabila seorang hamba yang sering menjalankan aktiviti pemikiran kritis dan teoritis, mereka akan mendapati bahawasanya al-Qur’an bukanlah datang daripada rekaan penulisan atau kalam Nabi s.a.w, sebaliknya ia sememangnya diturunkan daripada Sang Penguasa Allah s.w.t berupa wahyu samawi, tidak dapat ditandingi oleh mana-mana rekaan manusia yang sangat hina. Perlu juga difahami bahawa sifat ummi yang terdapat pada Rasulullah s.a.w tidaklah membatalkan kewibawaannya sebagai insan yang memiliki kebijaksanaan, kerana kemampuan membaca dan menulis bukanlah menjadi piawaian mutlak dalam meletakkan seseorang individu itu bersifat bijaksana. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perbahasan dan kupasan ilmiah mengenai istilah ummi yang disandarkan kepada Nabi s.a.w yang mana terdapat juga ulama’ yang melontarkan pandangan bahawa Nabi Muhammad s.a.w merupakan seorang intelek yang pandai membaca dan menulis. Namun, aku tidaklah ingin mengulas dengan lebih lanjut mengenai perihal ini, melainkan mengesyorkan kepada sahabat-sahabiah sekalian agar membaca dan merujuk kembali karya yang dikarang oleh Prof. Madya Dr. Wan Zailan berjudul “Siapa Itu Nabi-nabi”.

Menyemarakkan semangat sebagai insan khusus yang diistilahkan sebagai Amilin, Ansorullah, Jaisyu Muhammad, Khalifah, Da`i / Pendakwah, Pejuang, Rijal al-Da’wah, Mujahidin, Hawariyyun, Ahli harakah, Aktivis da`wah, Murabbi, Ashab al-Kahfi, Jundullah, Jil al-Quran al-Farid, Syabab al-Islam, Kader-kader dakwah, Pendokong Islam, Mata-mata rantai, Al-Ruhul Jadid, Ahli jemaah, Ahli berbai`ah, Saf qiadah, Ghuraba’ dan pelbagai lagi penjenamaan-penjenamaan khusus bagi golongan khaira ummah ini memerlukan satu momentum khusus dalam usaha menjana keilmuan. Ini bagi memastikan agar manhaj perjuangan tidak tersasar di samping memastikan agenda Islam yang dibawa tidak diracuni dengan kejahilan yang menghukum. Justeru, aku menyeru kepada pemuda-pemudi Islam sekalian agar menghidupkan budaya ilmu keintelektualan sebagai asas seiring memacu gerakan Islam yang bersepadu daripada seluruh aspek kehidupan. Pernah juga terlintas di kotak fikiranku untuk menubuhkan unit usrah profesional di kalangan ahli gerakan senior untuk menjadi think tanker dalam setiap jurusan yang diceburi. Sangat perlu untuk kita menggembleng tenaga dan buah fikiran seperti mengadakan usrah ilmiah atau usrah profesional atau usrah jentera intelek atau nama-nama seumpamanya, iaitu dengan cara mengumpulkan ahli-ahli gerakan yang pakar di dalam bidang-bidang tertentu di dalam satu halaqah usrah, seterusnya menjadi murabbi di post-post tertentu.

Misalnya, kita telah sedia maklum bahawa terdapat pelbagai kecenderungan dan kepakaran yang terdapat di dalam ahli jemaah, maka kita mampu membina satu usrah master mind yang menggabungkan kepakaran-kepakaran yang wujud di kalangan ahli. Boleh jadi di dalam satu usrah, terdapat pelbagai medan fikiran mencambah minda seperti seorang ahli mahir di dalam bidang sains kimia, terdapat juga ahli yang mahir di dalam aqidah, mahir dalam bidang feqh kontemporari, mahir di dalam bidang kejuruteraan bioperubatan dan sebagainya. Maka, kita mampu menghimpunkan idea-idea bernas dari kaca mata yang berbeza ke arah matlamat yang satu iaitu demi perjuangan Islam tercinta, kerana Islam adalah Rahmatan lil `alamin. Salahlah sekiranya persepsi minda sesetengah individu mengatakan bahawa perjuangan Islam hanya untuk pelajar jurusan pengajian Islam semata-mata. Bagiku, inilah fungsi keberadaan golongan pemikir di dalam gerakan Islam. Buah fikiran ini seterusnya mampu diterjemahkan oleh ahli gerakan yang mungkin mempunyai kecenderungan yang lain bersesuaian dengan idea tersebut seperti menjadi ahli parlimen atau perdana menteri dengan mem‘bumi’kan idea tersebut di segenap lapisan masyarakat dalam memperjuangkan Islam secara syumul.

Meskipun begitu, sistem pembelajaran yang mencengkam serta mengikat mahasiswa adakalanya mengakibatkan sebilangan besar mahasiswa hanya mengejar merit dan pointer akademik tanpa memikirkan nilai tambah dan aplikasi daripada tuntutan ilmu tersebut. Tanpa disedari, nilai akhlak, syaksiah dan praktikaliti ilmu semakin dinistakan, maka aku berharap agar para pemuda-pemudi Islam dan sahabat-sahabiah sekalian memahami dan merenungi kembali tujuan hakiki menuntut ilmu. Kita tidak mahu melahirkan ahli gerakan yang kuat daya juangnya tetapi masih cetek thaqafahnya. Kita juga perlu berusaha melahirkan mujahidin dan srikandi Islam yang tegar menegakkan yang haq di samping memiliki ilmu-ilmu tambahan sebagai imbuhan kepada kerancakan dakwah. Kita juga mengimpikan `amilin yang berjuang secara praktikal dan istiqamah, tidak buta mata hati, serta tidak mengabaikan elemen kekuatan rohani. Amat malang sekiranya di dalam satu gerakan yang berpaksikan Islam, bergerak dalam kerangka lingkaran isu semata-mata, tetapi tanpa disedari seakan-akan nilai-nilai kerohanian jemaah semakin terkikis. Kita perlu menjana kekuatan dalaman, dan inilah yang membezakan perjuangan Islam dengan perjuangan ideologi-ideologi lain seperti Sosialis, Liberalisme, Komunisme, Sekularisme, Kapitalisme, Modenisme, dan sebagainya, kerana kita punya Allah `Azza wa Jalla! Dialah tempat pergantungan kita yang tertinggi…

Berbalik kepada “bacalah”, suka aku menghubungkan point keempat ini dengan saranan yang diutarakan oleh seorang tokoh gerakan Islam terkemuka, iaitu al-Syahid Sayyid Qutb di dalam karyanya, Ma`alim fi al-Tariq, bahawasanya beliau menegaskan perlu lahirnya ahli gerakan yang berusaha melahirkan Jil al-Qur’an al-Farid di dalam jemaah dengan mengikuti segala yang tergandung di dalam al-Qur’an. Mudah-mudahan nasihat dan cadangan yang kukemukakan di atas dapat kulaksanakan dengan jayanya… Marilah sama-sama kita merenungi kembali surah al-`Alaq, ayat 1 – 5 di bawah, Firman Allah s.w.t:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (1) خَلَقَ الإنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ (2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأكْرَمُ (3) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الإنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (5)

Maksudnya:

1. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan,

2. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.

3. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah,

4. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam[Maksudnya: Allah mengajar manusia dengan perantaraan tulis baca]

5. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

Surah al-`Alaq (96): 1-5

Peringatan tauhidullah secara terang telah diungkap pada permulaan ayat tersebut iaitu segala ka’inat adalah bertitik tolak daripada penciptaanNya yang Maha Agung. Ini disusuli pula dengan keperluan manusia menuntut ilmu serta menyedari bahawa segala ilmu adalah milik Allah Ta`ala semata-mata… Maka seharusnya kita menghidupkan kembali ruh al-Qalam sebagai asas dan kepada perkembangan dunia baru Islam…Wa Allahu a’lam.

Nasihat daripadaku yang Serba Dhaif Buat Pemuda-pemudi Islam… (4)

Ketiga: Linangilah air matamu… Tanyalah dirimu apakah hati ini telah terkunci..?

Imam Junaid al-Baghdadi pernah menuturkan,: “Aku menziarahi al-Sari al-Saqati ketika ia sedang sakit. Aku bertanya kepadanya: “Bagaimana keadaanmu?” Lalu ia menjawab: “Bagaimana mungkin aku mengeluhkan keadaanku kepada Tuhan, sementara musibah yang menimpaku berasal dariNya.” Lalu aku mengipas-ngipasnya, agar ia merasa sejuk. Ia (al-Sari al-Saqati) malah berkata, “Bagaimana mungkin angin pada kipas dapat menyejukkan dadaku dari luar, sedangkan ia terbakar dari dalam… Lalu air matanya (al-Saqati) berlinang… Hatinya terbakar kerana ghairah dengan kerinduan terhadap Allah… Begitu juga Dzu al-Nun al-Misri pernah bertemu dengan seorang anak kecil. Raut wajahnya menampakkan kesedihan, dan terdapat dua garis hitam pada wajahnya kerana sering menangis. Lalu anak kecil tersebut berkata kepadanya: “Seluruh manusia membersihkan badan pada hari raya, sementara aku membersihkan hati dengan air mata…”

Dua kisah di atas memaparkan kepada kita bahawa sesungguhnya para `amilin yang memburu ma’rifat Allah tidak lekang dengan air mata. Maka, menangislah di dunia merintih kepadaNya, sebelum meratapi tangisan penyesalan di akhirat yang sia-sia. Ibn Kathir menukilkan di dalam tafsirnya, memetik kata-kata Nabi s.a.w mafhumnya bahawa sesungguhnya ahli neraka terus-menerus menangisi dosa mereka di neraka disebabkan penyesalan mereka yang tidak berkesudahan. Bahkan, tangisan mereka sehingga mengeringkan air mata, lalu bergantilah air mata mereka dengan air mata darah. Malah, air mata darah tersebut keluar membuak-buak dari ketulan biji mata mereka sehingga biji mata mereka terkeluar berjuntai-juntai. Bukan sekadar itu sahaja, air mata darah yang membuak-buak keluar dari mata mereka membanjiri mereka sehingga ia mampu melayari sebuah bahtera. Inilah penyesalan dan penyeksaan yang tidak terperi dirasakan oleh mereka yang mengingkari ayat-ayat Allah Ta`ala. Firman Allah s.w.t:

إِنَّا أَنْذَرْنَاكُمْ عَذَابًا قَرِيبًا يَوْمَ يَنْظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرَابًا (40)

Maksudnya:

40. Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu (hai orang kafir) siksa yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya; dan orang kafir berkata:"Alangkah baiknya sekiranya aku dahulunya adalah tanah".

Surah al-Naba’ (78): 40

Sedarlah wahai insan, khususnya buat pemuda-pemudi Islam yang sering leka… Berdialoglah dengan kalbumu, apakah hati ini telah terkunci..!? Nabi s.a.w bersabda:

ابْكُوا فَإِنْ لَمْ تَبْكُوا فَتَبَاكَوْا

Maksudnya:

“Menangislah, sekiranya kamu tidak (mampu menangis), maka berusahalah juga untuk menangis.”

(Riwayat Ibn Majah di dalam Sunannya)

Berusahalah untuk tafarrud pada hati yang mati, lafaz pada lidah dan kalimah, maka, bergetarlah jiwa, mengalir air mata… Menghadirkan rasa zhauq yang luar biasa, menjernihkan jiwa, menyejukkan hati, sejernih dan sesejuk embun pagi yang suci… Hanya keranaMu nawaitu kutuju… Ke arah jalanMu kami bersatu… Nyahkan sebarang keserabutan hal-hal lain, melainkan lafaz Allah sahaja menusuk kalbu, berlegar di ruang fikiranmu, di setiap denyutan nadimu, di setiap aliran urat sarafmu serta nafasmu, di samping menangisi dosa-dosa lalu, sekaligus membangkitkan rasa kerdil di hadapan Pencipta, kerana diri diselaputi dengan dosa yang bertimbun-timbun banyaknya…! Allah, Allah, Allah, Allah, Allah, Allah, Allah… Lafazlah dan ungkaplah, sebelum lidahmu terkelu… Lafazlah jua ia dengan hati batinmu, agar sifat `ujub, riya’, takbur, sum`ah, dan bongkakmu dapat dihapuskan, lalu melembutkan hati sebelum ia membeku… Allahu ghayatuna..! Yakinlah, bahawasanya Tuhan Maha Pengampun, Maha Penyayang, dan Maha Penerima Taubat… Bertaubatlah, dan jangan mengulangi dosa yang sama, kerana manusia yang dungu sahaja memasuki lubang biawak yang sama. Mudah-mudahan nasihat ini memberikan kesan kepada jiwaku yang sering lalai dan leka, kerana daku sering berdusta dan didustakan, bahkan aku masih gagal keluar dari buaian nafsu, masih menyahut lambaian syaitan, masih cintakan dunia dan bencikan mati… Ya Allah, jauhkanlah diriku ini dari penyakit wahn, bersihkanlah diriku ini dari sebarang sifat mazmumah yang tercela.... Hadirkanlah sifat zuhud, waqr, dan qana`ah serta sifat-sifat mahmudah pada diri ini… Rasulullah s.a.w bersabda bahawasanya umat Islam akhir zaman mempunyai bilangan yang banyak, akan tetapi mereka mabuk dunia, dan mudah ditindas oleh musuh-musuh Islam. Hal ini kerana terdapat satu penyakit hati tertanam pada diri mereka iaitu cintakan dunia dan takutkan mati atau lebih dikenali sebagai penyakit wahn… (Mafhum hadith riwayat Abi Daud di dalam sunannya). Wal `iyazubi Allah min dhalik…

Bertawajjuh dan bermujahadahlah dalam menggapai taqwa, ke arah pembentukan insan muttaqin, agar tidak terpalit dengan alam syuhud yang mampu meracunkan… Muttaqin sebenar… Raut wajahnya adalah ketenangan, matanya adalah linangan keinsafan… Lidahnya adalah zikir, aqalnya adalah fikir… Untaian kata-katanya adalah tausiah, hakikat bicaranya adalah dakwah, hatinya adalah nur basirah, huluran tangannya adalah sedekah… Pengawasannya adalah muraqabah, tindakannya adalah mujahadah… Penglihatannya pada kebesaran Tuhan, pendengarannya pada alunan suci al-Quran… Setiap langkah kakinya adalah jihad, setiap detik hidupnya mengejar ma’rifat… Pasti hatinya tidak bisa diGUGAT oleh bayang-bayang mehnah, namun ia bisa diGUGAH oleh air mata tawbah, tika manusia sedang lena dibuai mimpi, di kesyaduan dinihari… Sesungguhnya, Allah s.w.t sangat Merindui, bisikan hati hamba-hambaNya yang bersimpuh hina… Berbicaralah kepadaNya melalui bisikan sirr, bahawasanya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar… Allah s.w.t berfirman:

فَفِرُّوا إِلَى اللَّهِ إِنِّي لَكُمْ مِنْهُ نَذِيرٌ مُبِينٌ (50)

Maksudnya:

50. Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu.

Surah al-Dhariyat (51): 50

Justeru, tanyalah hatimu apakah hati ini telah terkunci..? Lalu, aku tertarik dengan satu mutiara hikmah yang menggunakan uslub bahasa yang begitu tinggi, yang terdapat di dalam kitab al-Hikam, karya Ibn `Ata’illah al-Sakandari, iaitu: “Kebumikanlah kewujudanmu di bumi……” Ia memberi erti bahawa usahlah berbangga dan mengagung-agungkan dirimu di muka bumi, sekiranya engkau melakukannya, maka sesungguhnya hatimu telah terkunci… Aku tidak berhasrat untuk melanjutkan perbahasan mengenai mutiara hikmah di atas, kerana kumerasakan bahawa aku masih gagal menyingkap makna tersirat daripada mutiara hikmah tersebut. Barangkali juga aku masih terhijab daripada memperolehi pancaran ladunni Tuhan oleh kerana banyaknya dosaku yang bertimbun… Ya Allah, ampunilah daku…

Basahkanlah lidahmu dengan zikrullah, hidupkanlah rohmu dengan zikrullah, kerana zikrullah adalah kenderaan roh merentasi alam malakut… Yakinlah bahawasanya roh-roh yang serasi telah saling mengenal antara satu sama lain sebelum ia ditiupkan ke dalam jasad, sungguhpun jasad-jasad mereka tidak pernah ketemu, atau jasad-jasad mereka hanya baru pertama kali bertemu. (Akan kuhuraikan pada entri akan datang di dalam point tausiah keenam). Sama-samalah kita berjuang dalam mendidik hati, berjuang dalam menuntut ilmu, berjuang dalam jemaah dan harakah, berjuang dalam segala perkara yang baik, li Allah Ta’ala… Di kesempatan ini juga, aku mengesyorkan kepada sahabat-sahabiah sekalian agar membaca sebuah karya Imam Ibn al-Jawzi yang berjudul Bahr al-Dumu’ (Air Mata Penghapus Dosa) kerana karya ini mengingatkan kita akan hakikat kehidupan di dunia yang sementara. Buat akhirnya, kusudahi tausiah ketiga ini dengan memetik kata-kata Imam Malik r.a. mengenai bicara kesufian iaitu:

من تصوف ولم يتفقه فقد تزندق،

ومن تفقه ولم يتصوف فقد تفسق،

ومن جمع بينهما فقد تحقق

Maksudnya:

Sesiapa bertasawuf tanpa (memahami) feqah, sesungguhnya dia kafir zindiq,

Dan sesiapa yang mempunyai feqah tanpa bertasawuf, sesungguhnya dia fasiq,

Dan sesiapa yang menghimpunkan kedua-duanya (tasawuf dan feqah), nescaya dia tahqiq. (berjaya menggapai redha Allah hakiki)

KeranaNya kita bertemu, dan kepadaNya kita kembali. Wa Allah waliyyu al-Tawfiq…