8 Mei dan 22 Mei…

Alhamdulillah rabbil `alamin… Kupanjatkan sejuta kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan limpahan nikmat kurniaan-Nya… Kudiberi nafas oleh-Nya untuk terus melangkah bagi meneruskan episod permusafiran melangkaui usia 24 tahun pada 22 Mei 2011. Syukran jazilan buat sahabat-sahabiah yang menitipkan ucapan Hari Lahir diselangi tazkirah dan tawsiah membina. 22 Mei 2011… Tarikh yang mengimbau kembali kenangan silamku tatkala melihat gambar di atas. 22 Mei 2011… Tarikh yang mengingatkanku jasa seorang ibu yang mentarbiyahku semenjak kecil. 22 Mei 2011… Tarikh yang terus-menerus menjadi pengajaran buatku untuk sentiasa mengingati mati apatah lagi pada waktu tersebut, terdapat insiden yang begitu menyayat hati… Satu tragedi yang menggemparkan negara yang membabitkan kematian 16 orang anak yatim di Madrasah al-Taqwa, Sungai Semungkis di Hulu Langat akibat kejadian tanah runtuh pada petang 21 Mei 2011. Inna lillah wa inna Ilayhi raji`un… Begitu dekat dengan rumahku di Hulu Langat, jaraknya kira-kira 5 minit sahaja. Agak sayu telahan hati ini kerana yang pergi itulah dalam kalangan kanak-kanak yang suci hatinya, yang sebahagian besarnya mengikuti pengajian tahfiz al-Qur’an dalam usia yang agak muda. Pada Sabtu malam, 21 Mei 2011, jalan begitu sesak. Aku bersama adik-adikku, Im dan Diana dalam perjalanan pulang ke rumah Hulu Langat ketika itu…

Pada 22 Mei 2011 juga, terdapat satu seminar “Membina Negara Sejahtera” yang dianjurkan oleh Persatuan Syubban Malaysia (Di bawah PUM) dan Youth Centre. Alhamdulillah… Aku sempat menghadiri seminar tersebut meskipun terdapat beberapa pembentang tidak dapat kuikuti pembentangannya. Seminar yang menyentuh persoalan pembinaan negara Islam dan perlembagaan negara. Namun terdapat satu tarikh yang lbegitu berharga buat diri ini... Iaitu 8 Mei. 8 Mei merupakan Hari Ibu. Lalu kuteringat kepada firman Tuhan pada surah al-Ahqaf, ayat 15-16:

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (15) أُولَئِكَ الَّذِينَ نَتَقَبَّلُ عَنْهُمْ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا وَنَتَجاوَزُ عَنْ سَيِّئَاتِهِمْ فِي أَصْحَابِ الْجَنَّةِ وَعْدَ الصِّدْقِ الَّذِي كَانُوا يُوعَدُونَ (16)

Maksudnya:

15. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah, sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan, setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)".

16. Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (Mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.

Al-Ahqaf (46): 15 – 16

Syukran jazilan buat umi yang telah mendidikku dan mengasuhku. Jutaan terima kasih buat umi yang telah menyusukanku selama 2 tahun, untuk menjadikan anak ini seorang yang benar-benar bergelar ‘manusia’ yang mengenali Pencipta, agar diri ini berusaha ke arah menjadi anak yang soleh… Buat sahabat-sahabiah, marilah sama-sama kita mengamalkan doa yang terkandung dalam ayat 15 di atas, agar beroleh keturunan yang baik dalam mengerjakan amal soleh, lambang kesyukuran kita ke hadrat Allah. Wa Allahu a’lam… Buat umi, kuhadiahkan sebuah simfoni lagu di bawah… Wassalam…

P/S: Gambar kuning tu telah dilukis oleh sahabatku ,Lukman, untukku, ketika aku menuntut di Ma`ahad Johor pada usia 18 tahun…

~ribbiyyun~

JAQH,APIUM,

Rabu, 25 Mei 2011, 5.15 pm.

Kesyahduan Waktu Dhuha… Maka, bermunajatlah...

“Ya Allah bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu , kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh."

Ya Allah, kurniakanlah daku keluasan rezeki dengan keberkatan waktu dhuha…

~ribbiyyun~

JAQH, APIUM,

Selasa, 24 Mei 2011, 12.59 am

Ya Allah, Kurniakanlah Daku Kekuatan Jiwa…

Ya Allah, Kurniakanlah Daku Kekuatan Jiwa…

Sunyi. Sepi. Begitulah diskripsi perihal dinihari malam Jumaat terbabit. Komunikasi hatinya dalam mengelola cinta terhadap Tuhan dipersembahkan dengan tadabbur al-Qur’an demi mengemis untaian hikmah daripada-Nya. Kemudian disusuli dengan limpahan sujud yang berpanjangan di keheningan malam. Tatkala meniti madah Tuhan dari surah al-Isra’, ayat 107-109, hatinya bergetar… Bacaannya terputus-putus dan perlahan. Tetap saja dia mengulang-ulang bacaan ayat tersebut berserta maknanya sehingga membeningkan air mata… Lalu dia memejamkan matanya. Ayat sajadah yang begitu menggoncang sanubarinya mendorongnya untuk bersimpuh di bawah lorongan cahaya di celahan pintu biliknya yang suram dan gelap gelita. Panjang tafakurnya, kemudian dia melakukan sujud tilawah diiringi titipan doa mawaddah yang bermuara di lentera hatinya:

قُلْ آمِنُوا بِهِ أَوْ لا تُؤْمِنُوا إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلأذْقَانِ سُجَّدًا. وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولا. وَيَخِرُّونَ لِلأذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا.

Maksudnya:

107. Katakanlah (Wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman kepada Al-Qur’an atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk);

108. Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): "Maha suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana."

109. Dan mereka segera tunduk sujud sambil menangis, sedang Al-Qur’an menambahkan mereka kekhusyukan.

Surah al-Isra’ (17): 107-109

Subhana Allah…… Alhamdulillah…… Wa La Ilaha Illa Allah…… Allahu Akbar…… Setelah membaca doa sujud tilawah, relung hatinya bermunajat dalam sujud yang berpanjangan, merintih kepada Rabb…

“Ya Allah, kurniakanlah daku kekuatan jiwa tarbawi yang sebenar-benarnya, demi meletakkan cinta tertinggi hanya pada-Mu jua… Agar cinta-Mu jua yang bertakhta di jiwa buat selama-lamanya… Aku benar-benar bersungguh ya Allah, memburu cinta-Mu… Terkadang kuhilang tingkah, terkadang hatiku gundah, terkadang debaran menggugah, tidak kuyakini apakah daku benar-benar bertatih dalam mihrab cinta-Mu yang terarah… Aku tidak pasti… Aku buntu… Aku bimbang seandainya Engkau pergi menyisihku… Lantas kutidak putus-putus menitipkan doa mawaddah kepada-Mu sejurus selepas solat dan tadabbur Kalam-Mu:

اللهم حبب إلينا الإيمان وزينه في قلوبنا وكره إلينا الكفر والفسوق والعصيان... اللهم إنا نسألك حبك وحب من يحبك وحب عمل يقربنا إلى حبك....

Maksudnya:

Ya Allah, cintakanlah kami kepada keimanan, dan hiasilah ia di dalam hati kami, dan bencikanlah kami kepada kekufuran, kefasikan, dan kemaksiatan… Ya Allah, sesungguhnya kami mendambakan cinta-Mu, dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan cinta terhadap amalan yang dapat mendekatkan kami kepada cinta-Mu…

Sungguh aku berbicara hati dengan-Mu, aku bertawajjuh, aku bermunajah, kerana kubegitu mengimpikan nurun `ala nur dari-Mu, apakah benar setiap tindak tandukku yang sedang dan bakal mendatang… Aku begitu khuatir seandainya tindak-tandukku kini dan mendatang memudarkan cintaku pada-Mu. Justeru, kuintai cahaya makrifat-Mu. Kupohon kekuatan hati nurani dari-Mu. Seandainya ia benar buatku, perkukuhkanlah jiwaku, pimpinlah daku, hidangkanlah wadah yang terbaik bagiku, tenangkanlah daku, kurniakan keyakinan al-Haq pada diriku. Sekiranya tidak, maka jauhkanlah daku dari bahana kealpaan yang membolak-balikkan. Aku buntu… Aku merasakan daku masih tidak pantas... Aku terpinga-pinga dalam singkapan masa yang tidak kupasti kesesuaiannya... Luncurkanlah padaku detik yang terbaik, agar aku tidak terpalit dengan angan-angan yang mendustakan. Engkau saja yang Maha Mengetahui dan Maha Menentukan… Engkau saja yang memegang hati dan perasaan…

Demi Allah, kuperlukan himmah dari-Mu… Namun Engkau sahajalah yang berhak melimpahkan atau memalitkan kekuatan jiwa terbabit. Ya Allah, berikanlah jawapan hati kepadaku… Agar hati ini sentiasa berkelana dalam cahaya makrifat… Agar kuberhasil menyingkap tabir hakikat… Agar kuredha dan bersyukur dengan segala ketentuan. Agar kuberhasil menghiasi ia dengan gubahan Iman. Tenang dan tenteram dalam apa jua keadaan. Disemai jiwa ini dengan baja ketundukan dan ketawadhukan.”

Dia begitu dahagakan cinta abadi… Kerana dia pasti, cinta abadi tidak sesekali dikhianati, iaitu cinta al-Rabb kepada hamba-hamba-Nya. Lalu kenangan umrah tarbawi sekali lagi berlegar di kotak fikirannya. Laungan talbiah terngiang-ngiang di gegendang telinganya. Bayangan jemaah memapari bola matanya. Dadanya tiba-tiba berkocak, kerana kenangan umrah terbabit begitu meruntun jiwanya. Ia sekali gus menambat jiwanya untuk bertamu di bumi kelahiran dan kefawatan Nabi untuk kesekian kali. Sungguh dia begitu mengidam untuk melaksanakan haji atau umrah tarbawi, bagi mendidik hati, demi mengecapi kemanisan hakikat diri berTuhan di bawah lindungan Ka`bah. Dia mengemis cinta segala Pemilik Cinta... Dia mendamba rindu yang tidak keruan kepada Rasulullah s.a.w… Bahkan dia merindui syahid yang akan disembahyangkan oleh jutaan umat Islam suatu hari nanti. Dan hal ini dapat dilestarikan di bumi Haramayn, lembah tandus yang kudus…

Menurut perencanaannya yang diatur sejak pulang dari umrah tarbawi, dia teringin benar menunaikan umrah buat kali kedua pada bulan Ramadhan tahun ini. Usai pulang dari umrah, tiba-tiba ruang rindunya semakin memuncak untuk ke sana semula, seakan perlaksanaan umrah ini bermagnet kepada mereka yang telah menunaikannya. Dari segi persiapan kewangan, dia telah berkemampuan. Namun, ibu bapanya tidak pula menyarankannya untuk pergi melainkan berumrah bersama mereka atau bersama adik-adik perempuan. Dia akur. Lalu terlintas di fikirannya mengenai sabda Nabi yang menyangkut keutamaan ketaatan berbakti kepada kedua ibu bapa yang beriman berbanding jihad di medan peperangan. Nabi s.a.w telah menyatakan ketaatan kepada ibu bapa itu perlu didahulukan berbanding jihad. Maka, apakan pula dalam menunaikan umrah, maka ketaatan kepada ibu bapa jauh lebih wajar diawlakan…

Demikianlah sedikit bingkisan perkongsian dari lubuk hati yang sering alpa… Sekian untuk renungan muhasabah kita bersama…

~ribbiyyun~

Bengkel Kereta 2H Auto,

Kampung Baru, KL,

Khamis, 12 Mei 2011, 12.51 tengah hari.