ِAkal yang Zulmat Memburu Cahaya Pencinta Ilmu... EDIT - ( II )

Menjadi seorang rijal al-Da’wah pastinya mengasak diri ini untuk lebih bermujahadah meneroka spektrum disiplin ilmu yang mewarnai kehidupan. Ini kerana, pemetaan ilmu di dalam jiwa merupakan asas utama dalam pembinaan kefahaman sebuah mahkota kehidupan beragama. Justeru, saya telah menyulam tekad agar sekurang-kurangnya saya wajib menghabiskan pembacaan dua buah buku tambahan yang mengandungi kira-kira 200 – 250 halaman sebuah, dalam tempoh seminggu secara konsisten selain membaca bahan-bahan ilmiah yang berkaitan penyelidikan. Namun bahan bacaan tambahan tersebut tidaklah terlalu berat sehingga menjemukan, dan tidak pula terlalu ringan sehingga me‘ngontang’kan. Sekiranya malas, saya perlu memaksa diri saya juga untuk membacanya... Lantas memori ini mengembalikan semula ingatan saya kepada seorang buta yang kelihatan bersungguh-sungguh membaca al-Qur’an jenis Braille di masjid India, Kuala Lumpur. Saya berhenti sejenak di sebelah kanannya apabila mendengar bacaannya. Tersentuh hati ini apabila melihat kesungguhannya dan ketika mendengar bacaan al-Qur’annya secara bertajwid… Bacaannya agak baik meskipun dia tidak dapat melihat dengan mata kasar, akan tetapi mempunyai ketajaman penglihatan mata hati! Subhana Allah… Maka, siapa pula saya yang dikurniakan nikmat penglihatan, akan tetapi tidak tekun untuk membaca al-Qur’an dan menelaah bahan-bahan bacaan…

Pada semester lalu, tumpuan pembacaan saya berkisar sejarah pemerintahan Islam di Andalus dan elemen-elemen yang berkaitan tafsir. Manakala pada semester ini pula, saya memfokuskan bacaan-bacaan yang berbentuk kejiwaan dan perjuangan harakah. Tidak salah untuk saya katakan bahawa kita perlu menjadikan pembacaan suatu ke‘gila’an buat kita, dan menjadikan ia sebagai layar utama percintaan kita dengan ilmu. Saya melihat pada tiga komponen yang tidak mesti tidak perlu digalas oleh setiap individu yang bergelar Ansorullah dalam proses meningkatkan kefahaman mengenai amanat kehidupan di dunia menuju alam abadi, iaitu 1.Perjuangan, 2.Keilmuan, dan 3.Kejiwaan. Ketiga-tiga komponen ini saling berkait rapat antara satu sama lain. Justeru, saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabiah sekalian untuk menambah bekalan ilmu, di samping meningkatkan kesedaran `ubudiyyah dan harakah di dalam perjuangan meninggikan kalimah Allah. Berkesinambungan daripada topik pada entri ِAkal yang Zulmat Memburu Cahaya Pencinta Ilmu... ( I ), maka pada sambungan entri kali ini, perkongsian saya lebih menjurus kepada suatu mimbar muhasabah dan tazkirah, mengenai justifikasi ilmu, demi meningkatkan kesedaran akan peri pentingnya menuntut ilmu pengetahuan. Sangat perlu untuk saya membuka halaqah perbincangan bersama ini untuk menyuntik semangat kita dalam menuntut ilmu Allah, di samping membangkitkan semangat sahabat-sahabat yang kini ada di kalangan mereka di dalam fasa minggu-minggu peperiksaan akhir semester universiti. Mudah-mudahan beroleh kejayaan cemerlang…

Perlu kita menyedari bahawasanya ilmu merupakan pinjaman Allah s.w.t semata-mata. Ilmu yang dipinjamkan akan berlalu pergi begitu sahaja sekiranya kita tidak menghargainya. Seorang intelek dunia akan kehilangan ilmunya apabila menghadapi tekanan mental yang maha dahsyat. Seorang pemikir falsafah akan kehilangan ilmunya apabila menjadi gila. Sesebuah institusi cendekiawan dan kesarjanaan akan musnah begitu sahaja apabila berlakunya kejadian gempa yang tidak diduga. Dan perkara ini tidak mustahil akan berlaku kepada kita sekiranya kita tidak menghargai ilmu dengan sebaiknya, dan ilmu juga merupakan sebuah nikmat yang sangat bernilai yang dikurniakan Allah kepada hamba-hambaNya. Tidak hairanlah sekiranya suatu ketika dahulu ketika era kejatuhan Islam, sejumlah besar ilmu telah dihapuskan dan kitab-kitab serta karya penulisan telah dihanyutkan di Sungai Dajlah sehingga warna sungai tersebut menjadi hitam. Sungai yang bertukar menjadi hitam menggambarkan kepada kita bahawa terlalu banyaknya tinta-tinta ilmu yang dinukilkan di dalam karya-karya ulama’ tersohor terdahulu telah ditenggelamkan begitu sahaja. Maka, kita perlu merenung kembali bahawa kejadian tersebut berlaku akibat lunturnya kesedaran umat Islam dalam menghargai nilai-nilai keilmuan yang mencorak kehidupan, bahkan pada era tersebut, mereka dipercayai mula menghidupkan semula amalan-amalan jahiliah yang akhirnya telah meruntuhkan sebuah peradaban Islam yang ulung.

Al-Qur’an telah merakamkan pelbagai ayat yang menyentuh tentang hal yang bersangkut-paut dengan ilmu pengetahuan. Saya tidaklah berhajat untuk mengemukakan keseluruhan dalil-dalil tersebut sama ada daripada kalam Ilahi atau daripada sunnah Nabi, akan tetapi cukuplah sekadar kita mendatabbur kembali ayat 109 dari surah al-Kahf:

قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا (109)

Maksudnya:

109. Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)".

Begitu juga firman Allah s.w.t di dalam ayat 27, surah Luqman:

وَلَوْ أَنَّمَا فِي الْأَرْضِ مِنْ شَجَرَةٍ أَقْلَامٌ وَالْبَحْرُ يَمُدُّهُ مِنْ بَعْدِهِ سَبْعَةُ أَبْحُرٍ مَا نَفِدَتْ كَلِمَاتُ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (27)

Maksudnya:

27. Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah (ilmu-Nya dan Hikmat-Nya). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Kedua-dua ayat di atas saling berkesinambungan antara satu sama lain dan ia memberikan mesej yang jelas kepada kita akan keluasan ilmu Allah yang tidak terhitung dan tiada taranya. Maka, bersyukurlah kita kerana dikurniakan sekelumit ilmu pengetahuan, di samping perlu menghargai setiap kurniaan, sekali gus menghinakan diri kepada-Nya, kerana siapalah kita yang tersangat hina di sisi-Nya. Bagi membangkitkan kembali roh percintaan terhadap ilmu, suka saya menyoroti kembali ketokohan ulama’-ulama’ terdahulu. Antaranya, Imam al-Nawawi (m.677H), seorang ilmuan Islam terbilang telah menghasilkan lebih 300 judul karya agung yang berjilid-jilid, sedangkan beliau hidup dalam usia yang begitu singkat dan wafat ketika usianya sekitar 40 tahun. Imam Ibn Kathir (m.774H) telah cacat penglihatannya ketika akhir-akhir usianya disebabkan ketekunannya menuntut ilmu yang ditemani cahaya pelita. Imam al-Zarkasyi (m.794H) seorang sarjana Islam yang tekun mengunjungi kedai-kedai buku dan sentiasa membaca sejumlah kitab di sana. Kemiskinan yang dihadapi olehnya tidak memungkinkannya untuk membeli kitab-kitab, maka beliau sering menukilkan maklumat penting yang diperolehinya daripada kitab-kitab tersebut ke dalam muswaddat (kertas draf), kemudian dimuatkan ke dalam karya penulisannya sejurus beliau pulang ke rumah. Justeru, sebahagian besar kehidupan sehariannya dihabiskan hanya semata-mata menelaah gugusan ilmu di kedai-kedai buku. Imam al-Suyuti (m.911H) yang berlatar belakang daripada keluarga yang dhaif telah kehilangan bapanya semenjak beliau kecil, namun beliau berjaya menghasilkan lebih 600 judul karya yang berjilid-jilid. Imam Ahmad Ibn Hanbal (m.241H) telah dizalimi oleh pemimpin pada abadnya, dipenjarakan beberapa tahun, serta disebat sehinggalah beliau syahid kerana mempertahankan kebenaran ilmu yang dimilikinya. Imam al-Syafi’i pula (m.204H) telah dipenjarakan atas tuduhan fitnah yang dilemparkan ke atas beliau bahawasanya beliau mengikuti golongan ahl al-Bait Syi’ah. Imam al-Bukhari (m.256H) sentiasa melakukan rehlah ilmiah ke pelbagai tempat sehingga ke Mesir, Syam, Haramain, dan pelbagai destinasi lagi yang beratus-ratus batu jauhnya dari Bukhara (tempat tinggalnya) tanpa sebarang kenderaan, hanya semata-mata untuk menuntut ilmu dan memperolehi beberapa sanad hadith yang sahih daripada masyayikh thiqah secara bertalaqqi. Beliau bukan sahaja membesar dalam keadaan yatim, bahkan beliau telah dihalau dari tanah tumpah darahnya disebabkan terdapat tohmahan yang telah dilemparkan ke atasnya… Dan terlalu banyak lagi…

Sekiranya dihimpunkan segala pengorbanan dan kejuhudan para ulama’ silam, nescaya terlalu melimpah-ruah dan tidaklah begitu sesuai untuk dimuatkan di dalam entri pada kali ini. Pengorbanan tersebut membuktikan bahawa para ulama’ sangat-sangat mencintai dan menghargai ilmu pengetahuan serta berjuang demi kesejahteraan umat Islam selepas mereka agar dapat menikmati segala cakupan ilmu yang kini kian luas terbentang. Sesungguhnya, kesusahan dan keperitan telah mengajar mereka erti serambi kehidupan sebenar, erti kemanisan hakiki merentasi liku-liku perjuangan, lalu menghargai ilmu walau secebis ilmu digenggam. Maka, bagaimana pula dengan kita??! Manusia kini menjadi semakin manja dengan kemudahan-kemudahan yang sedia ada, memiliki komputer riba, memiliki perpustakaan elektronik, memiliki telefon bimbit, memiliki kenderaan, memiliki segala macam infrastruktur yang menyebabkan mereka menjadi semakin malas dan culas. Lalu kemudahan tersebut telah menipu daya mereka dengan pendedahan serta kewujudan pelbagai hiburan yang melalaikan dan mengelabui mata, serta maksiat yang bermaharajalela. Seandainya kemudahan-kemudahan tersebut digunakan dengan sebaik mungkin, maka tidak mustahil suatu hari nanti kita bakal mengembalikan kegemilangan ilmu Islam, sebagaimana yang telah berlangsung halnya pada waktu silam…

Mudah-mudahan, peringatan serta tazkirah membina tersebut dapat mengislah diri saya menghargai ilmu pengetahuan serta bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu Allah seterusnya menggapai keredhaan-Nya. Semoga kilauan cahaya pencinta ilmu dapat membakar semangat saya untuk terus berjihad menuntut ilmu dalam fasa menyambung pengajian di universiti dan juga bersungguh-sungguh sehingga ke pengakhiran nanti bertemu Rabbi. Semoga ilmu yang merupakan cahaya dapat menyinari hidup kita daripada kesesatan. Rentetan panggilan nama singkatan saya adalah “Ali”, saya ingin menjadi seperti Saidina `Ali r.a yang digelar oleh Rasulullah sebagai “Pintu Ilmu”… Bahkan Rasulullah s.a.w telah mengangkat martabat keilmuan Saidina `Ali dengan mengijazahkan ilmu kepadanya mengenai kaifiyat solat penguat hafalan (taqwiyatul hifz). Saya juga ingin menjadi seperti Imam `Ali al-Madini yang merupakan salah seorang tokoh guru dan ilmuan yang paling akrab dalam mendidik Imam al-Bukhari khususnya di dalam bidang hadith. Saya turut ingin menjadi seperti Muhammad `Ali al-`Ajluni yang merupakan salah seorang graduan Universiti al-Azhar yang intelek, di samping menjadi seorang `amilin yang berjihad di jalan Allah ketika pemerintahan khilafah Turki `Uthmaniyyah. Saya juga ingin menjadi seperti Syeikh Muhammad `Ali al-Sabuni, seorang ulama’ Asya`irah kontemporari, yang telah menghasilkan sebuah karya tafsir al-Qur’an lengkap yang sangat masyhur, iaitu Safwat al-Tafasir. Saya turut ingin menjadi seperti Syeikh `Ali Jumu’ah yang merupakan salah seorang tokoh ulama’ terkini, seorang mufti Mesir, yang sentiasa menghembuskan nafas baru kepada mereka yang berkecimpung di dalam mujahadah tazkiatun nafs dan kesufian. Ingin saja saya rangkumkan kesemua kriteria yang terdapat pada para ulama’ tersebut untuk dicontohi, iaitu:

1. Ahli tafsir (Syeikh `Ali al-Sabuni),

2. Ahli hadith (Syeikh `Ali al-Madini),

3. Mujahid Islam (Syeikh `Ali al-`Ajluni),

4. Ahli sufi (`Syeikh `Ali Jumu`ah).

5. Pintu yang menghimpunkan segala macam ilmu (Saidina `Ali r.a).

Marilah sama-sama kita merenung kembali titipan mutiara kata yang telah disusun oleh al-`Allamah al-Syeikh al-Zarnuji di dalam karya beliau, iaitu “Cahaya Pencinta Ilmu” atau di dalam Bahasa Arabnya, Ta’lim al-Muta’allim fi Tariq al-Ta’allum – Sebuah kitab yang sangat masyhur dalam membicarakan adab dan etika seorang penuntut ilmu:

“Sesungguhnya kemuliaan dan pangkat saling bertambatan dengan cita-cita yang tinggi dan usaha yang murni. Insan yang berjaga malam untuk mencari pelbagai pengetahuan dan kepandaian serta berusaha untuk melakukan ketaatan akan mencapai kemenangan dua negeri; Iaitu duniawi dan ukhrawi. Dialah orang yang akan memperoleh kebahagiaan yang kekal abadi… “Wahai Tuhanku, aku tinggalkan tidur pada malam hari kerana menuntut keredhaan-Mu…”

Rumusannya, ilmu adalah pinjaman daripada Allah, maka kita menyedari akan diri kita yang pada hakikatnya adalah seorang HAMBA yang hina, dan ilmu adalah amanat daripada Allah, maka kita menyedari tanggungjawab yang perlu kita galas untuk menyampaikannya, dan ilmu adalah rahmat daripada Allah, maka kita menyedari bahawa cinta Allah tidak bertepi dengan pengurniaan ilmu kepada hamba-hambaNya, lantas wajiblah kita meletakkan cinta kita tertinggi kepadaNya semata-mata, dan ilmu adalah nikmat daripada Allah s.w.t, maka kita menyedari bahawa kurniaan nikmat daripada Allah tidaklah terhitung banyaknya, dan wajiblah kita membangkitkan rasa syukur yang tidak putus-putus kepadaNya…Wa Allahu waliyyu al-Tawfiq… Wassalam…

0 comments: