Nasihat daripadaku yang Serba Dhaif Buat Pemuda-pemudi Islam… (3)

Kedua: Tundukkan pandanganmu, celikkan basirahmu! Tadabburlah walau sesaat hatimu diketuk…

Wahai pemuda-pemudi Islam sekalian… Sangat perlu kuutarakan point kedua di atas untuk dihuraikan kerana kita punya jiwa orang muda. Pada jiwa orang muda, terdapat muwasafat yang sangat unik, tidak terdapat pada golongan peringkat umur yang lain. Subhana Allah… Anak muda ini, apabila jiwanya berjaya dilentur, maka ia mampu mengegar dunia! Namun apabila berlaku sebaliknya, ia malah boleh menjadi lebih hina daripada bangkai bernyawa. Lihatlah saff `amilin ketika era kegemilangan Islam di zaman silam, kebanyakan di kalangan mereka adalah golongan pemuda. Ibarat Saidina `Ali r.a yang menggantikan tempat tidur Nabi s.a.w., umpama Sultan Muhammad al-Fateh yang menawan kota Konstantinople, dan lain-lain lagi. Juga lihatlah hal yang berlaku sebaliknya. Gejala-gejala sosial dan maksiat kian meruncing, dan krisis-krisis tersebut yang berlaku di dunia ini kebanyakannya adalah hasil tangan-tangan golongan pemuda itu sendiri. Wal `iyazubi Allah min dhalik. Justeru, tundukkanlah pandanganmu, celikkanlah basirahmu… Tadabburlah walau sesaat hatimu diketuk…

Telah termaktub di dalam kalam Allah bahawa terdapat beberapa ayat yang mengemukakan saranan yang berkaitan kata kunci kedua di atas. Kita akan mendapati di dalam al-Qur’an bahawa kalimah (غض) yang bererti “tundukkan, tahankan, rendahkan” dikhususkan kepada penglihatan dan suara, kerana betapa banyaknya timbunan dosa bermula daripada penglihatan dan kata-kata. Maka, tundukkanlah pandangan, bersopan santunlah dengan suara serta tidak meninggikannya… Firman Allah s.w.t:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الإرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (31)

Maksudnya:

30. Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat".

31. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.

Surah al-Nur, (24) : 30-31

Begitu juga Rasulullah s.a.w telah bersabda:

مَنْ اسْتَطَاعَ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya:

Barangsiapa di kalangan kamu yang berkemampuan (zahir dan batin), maka berkahwinlah, kerana dengan berkahwin itu lebih dapat menundukkan pandanganmu, dan lebih dapat memelihara kemaluanmu. Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka perlulah ia berpuasa, kerana puasa adalah perisai dan benteng (daripada nafsu).

(Diriwayatkan oleh Jama’ah – Kutub al-Sittah)

Berbalik kepada hadith di atas, menundukkan pandangan juga sangat berkait rapat dengan didikan hati agar ia tidak menjadi buas serta ia sering terarah dengan penyucian jiwa. Seseorang yang melihat dengan mata kasar dipanggil (يبصر), manakala individu yang mentadabbur dengan mata hati dianggap memiliki ((بصيرة. Maka, aku sangat tertarik dengan suatu ungkapan pepatah bahasa Arab yang lazim ditujukan kepada seorang buta yang suci hatinya, iaitu:

إنه لا يبصر ولكن له بصيرة

“Sesungguhnya dia tidak melihat, akan tetapi padanya basirah”

Seorang yang buta penglihatan kasarnya malah jauh lebih mulia daripada manusia biasa kerana penglihatannya telah dihijab daripada melihat perkara yang merosakkan hati. Ketika permusafiranku di Mesir, aku begitu kagum dan tersentuh apabila melihat seorang buta menyampaikan ceramah agama yang begitu menginsafkan di hadapan para hadirin yang ramai. Aku turut berasa kagum apabila melihat seorang syeikh buta mengajarkan bacaan al-Qur’an bertajwid kepada qari-qari yang lain dalam halaqah al-Qur’an di kawasan maqam imam al-Syafi’i. Sesungguhnya, aku bersaksi bahawa orang buta sungguhpun pada zahirnya tidaklah melihat, namun pada hakikatnya mereka memiliki penglihatan mata hati atau basirah yang tajam..! Maka, persoalannya… Apakah kita yang dikurniakan nikmat penglihatan telah menggunakan ia di tempat yang sepatutnya? Apakah kita yang dikurniakan nikmat suara telah meletakkan ia di kedudukan yang sewajarnya..? Sekiranya tidak, maka kita telah kufur dengan nikmat yang dikurniakan Allah! Kita telah berlaku zalim dan tidak adil dalam menggunakan nikmat yang dikurniakan! Maka, tundukkanlah pandanganmu lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan lelaki atau wanita ajnabiyyah, berlemah-lembutlah, dan bersopan-santunlah serta tidak meninggikan suaramu. Usahlah berkata-kata melainkan perkara yang perlu, kerana sebaik-baik kata adalah apabila dia berkata, maka kalamnya hanyalah ringkas (sekadar perlu) dan berdalil. Begitulah yang telah dinyatakan di dalam madah pujangga Arab iaitu:

خير الكلام ما قل ودل

“Sebaik-baik kalam adalah yang sedikit dan berdalil”

Tidak ketinggalan juga untuk kunukilkan di sini mengenai perihal penglihatan mata hati bertitik tolak daripada tausiah di atas: “Tundukkanlah pandangan, celikkanlah basirah”. Aku sangat gemar memuhasabah diriku yang sangat dhaif ini yang mudah-mudahan ia dapat memberi manfaat kepada kita dalam usaha tazkiatun nafs… Tanyalah pada diri ini, bahawasanya berapa ramai manusia melakukan kemaksiatan, dan tidak terlintas di hati mereka untuk zikrullah… Berapa ramai yang terlintas di hati mereka untuk zikrullah, tetapi tidak melakukannya… Berapa ramai yang melakukan zikrullah, tetapi tidak ikhlas niat… Berapa ramai yang ikhlas niat, tetapi tidak tafarrud (tumpuan)… Berapa ramai yang bertafarrud, tetapi tidak istiqamah… Berapa ramai yang istiqamah, tetapi terpedaya dengan bisikan syaitan yang menghadirkan rasa `ujub dan riya’… Berapa ramai yang tidak terpedaya dengan bisikan syaitan yang menghadirkan rasa `ujub dan riya’, tetapi hanya mengharapkan laba berupa Syurga… Berapa ramai yang tidak mengharapkan laba berupa syurga, melainkan hanyalah sangat sedikit… Kerana hanya segelintir sahaja manusia menyedari bahawa amalan soleh bukanlah menjamin mereka untuk masuk ke syurga, sebaliknya mereka mengetahui bahawasanya rahmat dan redha Allah sahajalah merupakan matlamat hakiki… Kerana Allah sahajalah yang Maha Berkuasa dan memberi jaminan kepada kita… Maka, kita di kedudukan yang mana..? Selidikilah dirimu, wahai para Amilin

Janganlah kita memperhambakan diri kepada amalan lalu tertipu dengan banyaknya amalan, janganlah kita memperhambakan diri kepada pangkat, janganlah kita memperhambakan diri kepada nafsu, janganlah kita memperhambakan diri kepada bisikan-bisikan dusta… Janganlah kita memperhambakan diri kepada wanita, janganlah kita memperhambakan diri kepada harta, janganlah kita memperhambakan diri kepada seluruh makhluk… Jangan, dan jangan wahai sahabat-sahabatku…! Mereka semua hanyalah makhluk…! Perhambakanlah diri kita hanya pada al-Khaliq, yakni Allah, demi Allah, kerana Allah, matlamat kita yang satu…! Sesungguhnya diri kita untuk Allah, dan sesungguhnya kepadaNya kita kembali… Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan kuasa dan kehendak Allah…

إنا لله وإنا إليه راجعون...

لا حول ولا قوة إلا بالله...

Semakin kita bertaqarrub kepada Allah, semakin kuatlah dugaan yang ditempuh, semakin liarlah perangkap syaitan menipu daya, semakin tinggilah nafsu ini membuak-buak, semakin dahsyatlah jua iman digugat! Semakin kita berlari menjauhkan diri dari nafsu syahwat, semakin pantas nafsu itu menerkam. Maka, bertadabburlah walau sesaat hatimu diketuk… Walau tumpuan zikrullah sesaat yang membuahkan keinsafan dan memberkas jiwa, adalah lebih baik daripada beribu-ribu tahun beribadah yang tidak mengasah basirah… Maka, tidak mustahil seorang `abid mudah terpedaya dengan banyak amalannya lantaran tidak bertafarrud dan jahil akan tujuan sebenar kehidupannya di dunia yang fana… Sekadar muhasabah buat diriku yang hina…

0 comments: