Pada awal-awal semester pengajian, aku sering berdamping dengan beberapa mantan pimpinan APIUM, antaranya ust. Badrunnaim. Beliaulah yang sering memberikan tausiah kepadaku dalam memahami realiti kehidupan beragama dan cara hidup seorang muslim, sedangkan ketika itu, aku tidak tahu-menahu akan erti kehidupan berjemaah. Tidak ketinggalan juga ust. Haafizuddin Abirerah dan Ust. Syakir yang merupakan sahabat sefikrah dan sejabatan denganku, mengambil pengajian yang sama di APIUM. Masih lagi terkenang dalam kotak ingatanku apabila aku sempat bersiar-siar dengan sahabatku, ust. Haafizuddin di kawasan yang paling menggamit ketenangan jiwaku di dalam UM, iaitu di “Rimba Ilmu” ketika daku berada di awal-awal pengajian. Bagiku, “Rimba Ilmu”lah merupakan satu-satunya tempat yang merehatkan mindaku kerana di sana terdapat anak sungai jernih yang mengalir ditambah pula dengan bunyi unggas yang bersahut-sahutan di dalam hutan simpan yang sungguh bersih dan mendamaikan. Kalau di dalam UM, pada pandanganku, terdapat beberapa tempat yang dapat menenangkan jiwaku, pertama: Rimba Ilmu, diikuti Tasik Varsiti, kemudian, jalan bukit menghadap lebuh raya damansara bberdekatan kem PALAPES dan kolej 10, dan akhir sekali di atas bukit di belakang bangunan APIUM. Adakalanya aku sendiri merehatkan mindaku di atas bumbung kolej kediaman kelapan bersama sahabatku, Aizuddin apatah lagi menjelang musim peperiksaan.
Aku belajar mengenal istilah “sabar” dan “redha” pada awal-awal pengajian di UM. Ternyata Tuhan memberikan sesuatu yang tidak dijangka-jangka, kerana sungguhpun Dia tidak memberikan apa yang kita impikan, namun Dia menganugerahkan sesuatu yang kita perlukan. Ketika semester satu pengajian, mulalah beberapa rakan-rakanku menzahirkan rasa kegembiraan mereka kerana terpilih menerima biasiswa persekutuan JPA. Aku terpinga-pinga dan sedih kerana aku tidak terpilih sungguhpun aku telah membuat rayuan. Hal ini semakin mendesakku untuk melanjutkan pengajian ke uni.al-Azhar kerana bagiku, sama sahaja aku belajar di dalam negara, tidak juga mendapat biasiswa, jadi lebih baik aku melanjutkan pengajian di luar negara, lagi banyak ilmu yang akan kuperolehi bersama masyayikh… Itulah getusan hatiku. Akan tetapi, aku tetap juga bersabar kerana kuperhatikan bahawa ayah dan ibu agak berat melepaskanku untuk belajar di luar negara. Selang beberapa minggu kemudian, ibu bapaku memaklumkan kepadaku bahawa aku terpilih sebagai salah seorang pemegang biasiswa JPA. Aku sangat terkejut kerana permohonan dan rayuan mendapatkan biasiswa telah lama ditutup, sedangkan aku telah membuat rayuan kira-kira sebulan yang lalu. Aku tidak pasti bahawa penerimaanku sebagai pemegang biasiswa merupakan panggilan keberapa, sedangkan tarikh tutupnya sudahpun lama berlalu. Hal ini semakin menjadi kebingungan buatku apabila alamat rumahku di atas sampul surat yang berisi dokumen perjanjian JPA tersebut ditulis dengan tulisan tangan sahaja, bukannya ditaip dengan mana-mana cetakan komputer, atau dengan menggunakan envelop rasmi kerajaan. Subhana Allah… Allah membuka rezeki kepadaku satu persatu, atas kesabaranku menuntut ilmu di UM. Secara tidak langsung, hal ini menjadi perangsang kepadaku untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh di APIUM tanpa bergantung kepada kewangan ibu bapa. Alhamdulillah…
Walau di mana aku berada, sasaranku ialah aku ingin menjadi pelajar cemerlang dalam segala aspek. Keikhlasan niat adalah perlu agar hati ini lebih mudah terbuka menerima segala macam ilmu yang berguna. Sehingga kini, aku tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana aku terpilih menjadi salah seorang mahasiswa di universiti terkemuka. Dengan kesyukuran tersebut, Allah s.w.t melipatgandakan lagi nikmat dan kasih sayangNya kepadaku ketika tahun kedua pengajian ijazahku apabila biasiswa JPA dinaikkan daripada RM3000 kepada kira-kira RM5000 bagi satu semester pengajian. Disusuli pula dengan berita terbaru ketika tahun kedua pengajianku bahawa UM menawarkan sistem pengajian ekspres ke Ph.D tanpa mengambil master bagi mereka yang mendapat PNGK kelas pertama sepanjang pengajian ijazah di samping aktif berpersatuan dan berorganisasi. Ketika itu, aku begitu teruja dengan tawaran tersebut lalu mengasak keazamanku untuk menggarap peluang keemasan tersebut setelah menamatkan penagjian di peringkat ijazah. Aku berkira-kira akan umurku, sebolehnya aku dapat menghabiskan pengajianku secepat mungkin, lalu aku sedikit terkejut dan bersyukur kerana aku mampu menghabiskan pengajian Ph.D ku dengan masa yang singkat dalam usia 25 tahun sekiranya aku benar-benar menumpukan pengajianku. Justeru, sasaranku kini ialah menamatkan pengajian Ph.D ku sebelum usiaku mencecah 26 tahun.
Begitulah sedikit memori manisku mengenai biasiswa dan sistem pengajian UM. Di UM, boleh dikatakan segala perkara yang kuhasratkan dapat kukecapi dengan syarat aku perlu berusaha keras di samping bertawakal kerana aku adalah diriku yang sebenarnya… Mengenai bi’ah Islamiah, aku turut dapat mengecapinya apabila aku dapat bersama-sama berusrah dengan naqibku yang kukagumi, Ust. Azlan Zainal. Aku dapat bergerak kerja dan berorganisasi bersama PMIUM yang merupakan gerakan paling aktif di persada kampus, menjadi insan yang dipilih oleh Allah s.w.t menjalankan misi dakwah, siasah, dan tarbiyah di bumi kampus Malaya. Aku dapat merasai segala macam perasaan, cabaran, pengalaman, ujian, dan lain-lain lagi yang tidak dapat kuungkapkan di sini kerana terlalu banyak. Namun, kuberasa sangat bersyukur apabila terpilih bersama dengan gerakan Islam, apatah lagi mengetahui dan mengenal pasti bahawa gelombang segala gerakan mahasiswa adalah bertitik tolak daripada UM, dan seakan mahasiswa UM lah yang menjadi front-front utama dan pemuka kepada segala kerancakan gerakan di IPT-IPT lain di Malaysia. Mungkin sahaja cukup untuk kugambarkan bahawa fenomena kepimpinan mahasiswa UM menggambarkan fenomena kepimpinan politik Malaysia secara keseluruhannya, kerana UM adalah pusat bagi gelombang perubahan mahasiswa dan kepimpinan negara. Aku dapat bersua dengan sahabat-sahabiah yang rata-rata mereka merupakan mantan barisan pimpinan pelajar di sekolah mereka dahulu, dari KISAS, Maktab Mahmud, Ma’had Muhammadi, SAMBEST, SMKA Segamat, dan sebagainya. Maka, kurenung kembali, seandainya aku melanjutkan pengajian di mana-mana IPT lain, belum pasti aku akan didedahkan dengan hal-hal sebegini rupa. Satu pengalaman yang cukup bermakna buatku yang bergelar mahasiswa UM!
Aku dapat merasai jatuh dan bangunnya perjuangan mahasiswa. Aku dapat merasai kepimpinan Ust Nazri ketika PMIUM masih di ambang kegelapan, Ust Dzulkhairi ketika PMIUM di dalam fasa kebangkitan, dan Ust Haafizuddin ketika di ambang kemenangan Pro-Mahasiswa. Dan juga sedikit tempoh kepimpinan Ust Syazni Munir ketika MPMUM dipegang oleh Pro-Mahasiswa sehingga kini. Alhamdulillah… Aku turut merasai program-program yang dianjurkan oleh MPMUM yang dipegang oleh Pro-Mahasiswa, khususnya ketika menyambut festival konvokesyen yang merupakan festival terbaik di dalam lipatan sejarah UM. Bahkan, dengan izin Allah, mahasiswa APIUM merupakan mahasiswa fakulti yang pertama naik ke pentas Dewan Tunku Canselor menerima segulung ijazah sarjana muda daripada Raja Nazrin Shah, Raja Muda Perak. Begitu bertuah sekali apabila memikirkan semula keberadaanku di UM sebagai mahasiswa APIUM..! Malah, dengan rendah diri perlu kunyatakan kepada sahabat-sahabiah sekalian sebagai motivasi buat kalian semua, beberapa anugerah buku yang berjumlah RM600 telah kuterima hasil kecemerlanganku di dalam akademik dan kokurikulum di peringkat jabatan, APIUM dan juga UM, dan hal ini kesemuanya berbalik kepada niat dan perjuangan jemaah kita, iaitu lillahi Ta’ala.
Tidak cukup dengan itu, semasa pengajianku di peringkat ijazah, aku ingin sekali bergaul dengan mahasiswa-mahasiswa Arab agar dapat kupraktikkan perbualan Bahasa Arab dengan mereka di UM. Sungguh Allah Maha Penyayang..! Dia telah mentakdirkan aku untuk menginap di kolej kediaman ke-11 ketika tahun dua pengajian yang mana kebanyakan penghuninya merupakan mahasiswa daripada negara Arab. Selama satu semester (semester ketiga pengajian) aku bergaul dan bermuamalah dengan mereka, sehingga sedikit sebanyak aku dapat memperbaiki kosa kata Bahasa Arabku dari semasa ke semasa, lantas menjadi aspirasiku memperjuangkan bahasa syurga. Pada ketika itu juga, aku sangat aktif melibatkan diri dalam beberapa kejohanan debat, dan akhirnya ia membuahkan kemanisan apabila pasukanku memperoleh naib johan dalam debat diRaja IPT tahun 2007. Namun, bukanlah kemenangan itu yang kudambakan, sebaliknya apa yang kuimpikan ialah menguasai Bahasa Arab dengan sebaik mungkin selagi nyawa dikandung badan. Sesungguhnya Tuhan telah memberikanku peluang mengusai bahasa Arab di UM sungguhpun aku tidak melanjutkan pelajaran ke luar negara… Alhamdulillah… Maka, anjakan paradigma kita untuk menggapai ssuatu misi bukanlah bermula di dalam sesuatu kawasan/bi’ah, sebaliknya ia bermula dengan kesedaran dan perubahan sikap yang memotivasikan, bermula daripada diri kita sendiri terlebih dahulu…
0 comments:
Post a Comment