Ya Allah, Aku Begitu Mencintainya..!



Aku khuatir sekiranya aku kehilangannya… Entahlah. Mahu tidak mahu, aku perlu senantiasa bermu’amalah dengannya agar dia tidak pergi dan tidak mati dalam jiwaku begitu sahaja. Ya Allah, kadang-kala aku hampir menitiskan air mata apabila memikirkannya, disebabkan aku begitu mencintainya. Bahkan, dia adakalanya hadir di dalam mimpi indahku dan sering meniti di setiap tutur lafazku. Namun, wasilah apakah yang dapat mempertemukanku dengannya, sedangkan kondisi dan suasana di pusat pengajianku tidak mengizinkan. Sahabat-sahabat, berikanlah daku peluang untuk sentiasa berkomunikasi cinta dengannya. Ya Allah, mudahkanlah aku untuk menggapai mutiara hikmah darinya dan seterusnya memimpinnya agar ia tidak lari dari segenap penjuru jiwaku yang sangat kontang dengan ilmu…

Adakalanya, dia semakin memujuk dan memikat hatiku, juga memberikan inspirasi kepadaku untuk lebih memahami dan menghayatinya apatah lagi menyambut ketibaan suatu festival tahunan peringkat Kebangsaan. Festival tersebut ialah Kejohanan Debat Diraja IPT Malaysia. Dia yang kumaksudkan ialah BAHASA ARAB. Hal ini berikutan penganjuran Majlis Debat-debat Universiti Malaysia (MADUM) mengadakan kejohanan debat diRaja IPT Malaysia dan UM telah menjadi tuan rumah bagi kejohanan debat tersebut pada 2 – 7 Disember 2009 baru-baru ini. Aku telah menjadi pengiring bagi peserta debat Bahasa Arab UM, dan segala puji bagi Allah, UM telah berjaya memperoleh tempat ketiga dalam debat Bahasa Arab kategori utama dan pendebat terbaik keseluruhan adalah merupakan salah seorang pendebat UM juga. Johan disandang oleh USIM, manakala Naib Johan disandang oleh UIA. Dengan kejohanan debat tersebut, ia sedikit sebanyak telah merangsang keazamanku, mengembalikan nostalgiaku di dalam arena debat suatu ketika dahulu, lalu mengasak fikiranku untuk kembali meningkatkan kemahiran berbahasa Arab semaksimum mungkin. Aku berasa beruntung kerana sedikit sebanyak pengalamanku di arena debat telah dapat kukongsikan bersama mereka, maka kejayaan mereka adalah kejayaan aku juga…

Aku tidak mengerti, mengapakah hati ini sangat gusar sekiranya Bahasa Arab semakin terkikis dari ingatan dan pertuturanku. Ingin sahaja aku ke negara timur tengah dan bermustautin di sana bertahun-tahun lamanya hanya kerana ingin menggapai kenikmatan berbahasa dengan bahasa ahli syurga. Aku inginkan bi’ah dan environment Arab fusha. Ingin kunyatakan di sini bahawa sepanjang pengajianku di universiti di dalam tempoh pengajian ijazah sarjana muda, terdapat dua perkara yang benar-benar memberkas jiwaku, memikat hatiku, merobah paradigma mindaku, mencabar kekuatan mentalku, mengasak keazaman membaraku, agar daku berhasil membina kredibiliti sebenar diriku, menjadi orang yang luar biasa upayanya, iaitu pertama: Kemahiran berbahasa Arab di dalam kejohanan debat, dan yang kedua: Bergerak kerja di dalam entiti ternama universiti iaitu PMIUM.

Bahasa Syurgawi yang termaktub di dalam al-Qur’an ini sangat memberikan implikasi positif kepada diriku sejak di bangku sekolah lagi. Masakan tidak, ketika di sekolah rendah lagi, aku berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan markah tertinggi di dalam Darjah dan Tingkatan bagi subjek Bahasa Arab. Sasaranku bukanlah sekadar mendapat A dalam subjek ini, malah aku berusaha untuk mendapatkan 100%. Itulah sebabnya ketika di tingkatan empat dan lima, minatku untuk menceburi aliran sains agama tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan minatku untuk mendalami ilmu agama di dalam Bahasa Arab, sedangkan pada waktu itu aku berada di dalam aliran sains. Aku tidak melanjutkan pengajian ke APIUM Nilampuri pada ketika itu selepas menamatkan pengajian di tingkatan lima, akan tetapi aku meneruskan pengajian di Ma’had Johor dengan menduduki peperiksaan STAM. Kesemua subjek-subjek STAM di dalam Bahasa Arab. Tawaran pengajian di Nilampuri telah kutolak kerana kecintaanku mendalami ilmu agama dan bahasa Arab sangatlah tinggi ibarat sebuah gunung jika dibandingkan dengan minatku di dalam Sains Gunaan dan Pengajian Islam yang hanyalah umpama sebutir batu pasir yang kecil sahaja.

Walau bagaimanapun, aku sekali-kali tidak menolak sains, dan tetap juga aku meminatinya, hanya sahaja aku tidak tekun dan hatiku tidak cenderung untuk mendalaminya. Mungkin sahaja kerana sistem pendidikan di Malaysia khususnya di sekolahku seakan-akan menuruti sistem ideologi sekular yang memisahkan sains dengan penghayatan agama. Alangkah indahnya sekiranya guru-guru sains mengasimilasikan pengajaran sains dengan kebesaran Maha Pencipta, lantas mampu memikat masyarakat dan orang awam akan pemahaman agama dan tujuan hidup di dunia… Itulah yang aku idamkan. Mengembalikan kegemilangan Islam suatu ketika dahulu yang mampu merobah dunia dengan pendekatan saintifik Islam tanpa dilakukan sebarang compartment terhadap dualisme ilmu. Kerana Islam bangkit diiringi dengan kemajuan sains dan teknologi…

Berbalik kepada penguasaan Bahasa Arab, aku berani bersumpah bahawa sesungguhnya melalui Debat Bahasa Arab di universitilah, seseorang dapat menguasai dan memperbaiki kemahiran berbahasanya, asalkan matlamatnya tidak lari dari landasan utama, iaitu untuk ‘menuntut ilmu’ ditambah dengan minat yang mendalam, bukan untuk ‘menang’. Bukan juga seseorang menyertai debat Bahasa Arab kerana dipaksa-paksa. Namun, sekiranya seseorang menyertainya dengan hasrat untuk mendalami Bahasa Arab, untuk meningkatkan kemahiran bertutur, mendengar perbualan, membina ayat, memahami teks dan menyerap isi-isi penting, kemudian menterjemahkannya dalam bentuk yang mudah difahami di dalam pertuturan, membina keyakinan diri, mencerdaskan minda, berfikir dengan pantas, kreatif, dan kritis, maka percayalah, Allah akan memudahkan urusan kita. Bersungguh-sungguhlah dalam merangkul mutiara Ilahi berupa Bahasa Syurgawi ini… Di dalam debat, aku masih ingat pertama kali aku menceburkan diri, aku agak gugup di hadapan audiens dan para hakim, bahkan aku sentiasa membaca teks tanpa berusaha mengolah ayat sendiri ketika menyampaikan hujah. Namun begitu, disebabkan kejahilanku pada pertama kali menceburkan diri dalam debat ASEAN diikuti kekalahan itulah, ia secara tidak langsung menjadi batu loncatan kepadaku, menjadi titik tolak kepadaku, merangsang minda dan keazaman membaraku untuk lebih bertungkus-lumus meningkatkan kemahiran diri, mencabar diri ini agar menjadi orang yang paling fasih berbahasa Arab di kalangan orang-orang `Ajam di samping memelihara pertuturan daripada berlaku sebarang kesilapan tatabahasa Nahu dan Saraf. Impaknya, aku sering bergaul dengan sahabat-sahabatku yang berbangsa Arab setiap hari, berziarah di kolej-kolej kediaman mereka tanpa rasa segan silu untuk menuturkan Bahasa Arab bersendirian dengan mereka, atau ditemani sahabatku, Aizuddin. Dan ia membuahkan hasil apabila pasukan debatku yang mewakili UM mendapat naib johan pada kejohanan Debat Diraja 2007 selepas Debat ASEAN.

Perjuanganku tidak terhenti begitu sahaja, sebaliknya kejayaan di dalam kejohanan debat tersebut semakin menghentam minda dan akalku untuk lebih berusaha dan terus berusaha mendalami, mencintai dengan sebenar-benar kecintaan terhadap bahasa Syurga, sekaligus memartabatkan nama UM di persada nasional dan antarabangsa. Dapat kusimpulkan bahawa debat merupakan satu bengkel ekspres buat kita untuk membangkitkan roh perjuangan memartabatkan Bahasa al-Qur’an, atau lebih mudah dikatakan, ia sebagai satu TAMRIN bagi mereka yang ingin menceburi Bahasa Arab secara mendalam… Ini kerana di dalam mana-mana kejohanan debat, para pendebat tidak mesti tidak perlu melalui enam pusingan perlawanan awal sebelum ke pusingan suku akhir, diikuti separuh akhir, dan final. Bagi setiap pusingan, topik perdebatan dan penentuan kerajaan atau pembangkang hanya ditentukan 30 minit sebelum perlawanan, seterusnya mereka dikuarantin,dan kemudiannya perdebatan yang memakan masa kira-kira sejam dimulakan. Sungguh ia menguji ketahanan mental dan keberanian kita pada ketika itu....

Aku berazam untuk menghidupkan kembali bi’ah pertuturan Bahasa Arab di APIUM. Ingin sahaja aku mengadakan kelas-kelas mingguan Bahasa Arab bermula semester akan datang pada waktu malam, dengan memberikan fokus kepada keyakinan bertutur, mengolah ayat, dan latihan debat. Aku menyeru para sahabat dan adik-adik sekalian untuk menyertainya. Usah gusar… Kami tidak memaksa kalian untuk bertutur secara spontan, sebaliknya kita membina keyakinan diri kita terlebih dahulu, sedikit demi sedikit dan akhirnya menyebabkan kita akan berasa seronok dan bersungguh-sungguh untuk bertutur dalam Bahasa Arab walau di mana kita berada apabila bersua dengan orang berbangsa Arab atau para pensyarah. Tumpuan pula kepada pertuturan Khitabah, perbualan harian, dan kemahiran berdebat. Pada persepsiku, mana mungkin APIUM yang menekankan pengajian Islam, tetapi mengabaikan penguasaan Bahasa Arab. Kalau pun pentadbiran APIUM telah mewujudkan subjek-subjek Bahasa Arab yang wajib diambil oleh setiap pelajar, pada pandanganku, pelajar-pelajar APIUM tetap juga masih berada di takuk yang lama dan masih gagal sekiranya mereka sendiri tidak mahu berusaha menuturkan Bahasa Arab.

Aku berani mencabar pelajar-pelajar APIUM! Latihlah diri kalian bertutur Bahasa Arab dan mempraktikkannya, jika tidak, aku boleh sifatkan bahawa pembelajaran Bahasa Arab kalian di Nilampuri dahulu dan juga di sekolah-sekolah agama sia-sia belaka..! Buah bagi bahasa adalah pertuturan, dan sesuatu bahasa itu akan hidup dengan bertutur, sebaliknya ia akan mati sekiranya kalian membisu! Bangkitlah! Itulah antara cabaran utama yang kutujukan pada kalian, juga ia adalah perjuanganku demi memartabatkan Bahasa Arab di samping perjuangan Islam, lambang kecintaanku kepada Bahasa Arab dan Islam… Bermula daripada pelajar-pelajar Daurah Pengukuhan Bahasa Arab yang telah menjelajah ke luar negara seperti Qatar, Mesir, Oman, dan Bahrain, kalian perlu mewujudkan bi’ah arabiyyah, dan para peserta debat Bahasa Arab, juga para pimpinan mahasiswa khususnya pimpinan APIUM..! Kalian adalah perintis kepada gelombang keintelektualan mahasiswa, memikul amanah menegakkan panji Allah dan mentatbiq pertuturan Bahasa Syurgawi di segenap APIUM yang merupakan kilang bagi para graduan ulama’ al-amilin!! Sesungguhnya, agama Islam dan Bahasa Arab tidak dapat dipisahkan…!! Bermula daripada diri kalian, maka kita akan dapat kecapi segalanya sungguhpun kita tidak mempelajari Bahasa Arab di dalam kondisi rantau Asia Barat, ataupun di UIA yang memiliki ramai mahasiswa antarabangsa itu sendiri… BANGKITLAH dan BERUSAHALAH!!!

1 comments:

Zahrah Az Zahrawi said...

salamu'alaykum akh..
smg akh dpt capai dan kuasai kecintaan ini..
truskn usaha akh..
smg prjuangan akh dlm mnguasai bahasa Syurga ini akn mmbuahkan kejayaan~