Kematian Adalah Sesuatu yang Pasti..!

Begitulah… Kematian datang bertandang bila-bila masa sahaja. Dua insan yang agak rapat denganku telah pergi dahulu bertemu Ilahi… Pertama, sahabatku Hidayatussaufi yang sama-sama belajar denganku di Ma’had Johor, telah kembali ke Rahmatullah pada malam Ahad, 2 Januari, waktu Malaysia. Kedua, nenekku, kembali menghadap Ilahi pada tanggal 6 Januari 2010, hari Rabu, jam10.45 malam. Arwah Hidayatussaufi merupakan seorang mantan Pengerusi Nadi Da’wah wal Imamah di Ma’had Johor, dan aku di antara AJK bagi Nadi tersebut di bawah kendaliannya pada tahun 2005. Seterusnya beliau menyambung pelajarannya ke Universiti al-Azhar Mesir dan turut aktif di dalam gerakan PMRAM di sana. Mudah-mudahan roh perjuangannya bersemadi di dalam hati-hati para pencinta agama.

Syukran jazilan juga kepada sahabat-sahabat yang tidak putus-putus satu-persatu mengucapkan takziah kepadaku akan pemergian arwah nenekku melalui sms. Bagi masyarakat Johor, panggilan ‘atuk’ adalah lebih dominan dan lebih kerap digunakan untuk memanggil nenek, dan aku lebih ringan untuk memanggil dengan panggilan ‘atuk’. Alunan ayat al-Qur’an dan surah Yasin tidak putus-putus dibacakan dan disedekahkan kepada arwah atuk sepanjang malam sehingga jam 9 pagi esoknya. Seawal pagi jam 6.30 hingga 8 pagi itu, hujan renyai-renyai… Mudah-mudahan hujan tersebut adalah petanda rahmat dan kasih sayang Ilahi, sementara jenazah atuk masih berada di dalam rumahnya. Kemudian jenazah atuk dikebumikan pada hari Khamis, jam 11.15 pagi. Kematian ini secara tidak langsung mengingatkan daku akan persediaanku sebelum mati, dan orang yang paling bijaksana ialah orang yang setiap detik hidupnya mengingati mati dan membuat persiapan menghadapinya. Mati datang menjemput secara tiba-tiba, kehadirannya tidak diduga, dan mudah-mudahan kita tidak alpa dan leka… Manakala bacaan Yasin dan tahlil berjemaah diadakan sebanyak tiga kali berturut-turut selepas pemergiannya, iaitu pada malam Jumaat, malam Sabtu, dan malam Ahad. Seluruh ahli keluargaku berhimpun bersama jemaah masjid di rumah atuk untuk membacakan Yasin dan tahlil.

Suka kumengambil kesempatan di sini untuk mengungkapkan beberapa cebisan kenanganku bersama arwah atuk. Alhamdulillah, aku memiliki sebuah keluarga yang sangat besar dan ramai di sebelah ibuku… Arwah atuk mempunyai 8 orang anak (2 orang telah meninggal dunia sewaktu kecil), 34 orang cucu (termasuk aku), dan 7 orang cicit. Masih berlegar lagi di memori ingatanku ketika aku berusia 8 tahun. Atuk dan nenekku datang ke rumahku di Selayang dan tidur selama beberapa hari. Pada hari terakhir atuk berada di rumahku dan mereka bersiap-siap untuk pulang, aku langsung tidak membenarkan mereka pulang ke kampung pada hari itu sehingga aku menangis. Mungkin kerana aku amat gemar masakan kari atuk, dan mengharapkan atuk memasak kari sebelum pulang ke kampung halaman. Akhirnya atuk tidak jadi untuk pulang ke kampung pada hari itu dan mereka pulang pada keesokan harinya, maka aku sangat berpuas hati pada ketika itu. Begitu juga, hal yang serupa berlaku di rumah atuk ketika aku masih kanak-kanak mentah. Aku tidak mahu pulang ke rumah setelah beberapa hari tinggal di rumah atuk bersama keluargaku. Pada saat hendak bertolak dari rumah atuk ke rumah, aku terus berlari ke bilik keluargaku di dalam rumah atuk dan mengunci pintu. Aku menangis sendirian di dalam bilik tersebut hanya kerana tidak mahu pulang ke rumah. Bapaku memanggilku berkali-kali, namun aku tidak mempedulikannya. Selepas hampir setengah jam, barulah aku membuka pintu dengan pujukan arwah atuk. Setibanya di rumah pada malam itu, ibuku menyuruhku menelefon arwah atuk untuk memberitahu bahawa kami telah selamat sampai di rumah. Apabila disingkap kembali kenanganku dahulu, aku merasakan bahawa perangai dan karenahku sewaktu kecil sangat nakal, lucu, dan kebudak-budakan...

Kalau arwah atuk ingin marah, dia tidak pernah meninggikan suara dan melenting kepada cucunya, sebaliknya sering dia mengatakan, “bertuah betul budak-budak ni…” Begitulah akhlak dan adab yang ditonjolkan oleh orang tua berbanding orang berdarah muda, jauh sekali menzahirkan herdikan, dan melontarkan kemarahan dan cercaan yang beremosi. Ketika aku masih kecil, arwah atuk sering mengingatkan aku dan adik-adik untuk menunaikan solat fardu di awal waktu, lebih-lebih lagi apabila kami berada di rumah atuk. Pernah juga suatu ketika dahulu ketika aku masih belajar peringkat ijazah di UM, aku dan sahabatku, Aizuddin pulang ke kampung Muar (rumah atuk) untuk menziarahi arwah atuk. Pada hari itu juga, aku dan Aizuddin bersama-sama pergi ke kebun atuk di belakang kampung untuk memanjat pokok, memetik dan memungut buah rambutan memandangkan pada waktu itu merupakan musim buah-buahan. Kami berhasil mengumpulkan buah rambutan di dalam satu besen besar. Kemudian, arwah atuk memberikan kami buah rambutan di dalam satu plastik besar yang telah dipetik untuk dibawa pulang.

Selain itu, ketika musim Raya atau kenduri-kenduri besar, usai makan, arwah atuk sering meminta bantuanku dan adik-adik lelakiku untuk membasuh periuk belanga di dapur. Aku dan adik-adikku akur. Arwah atuk turut memberikan sponsor berjumlah RM700 kepadaku ketika aku ingin menunaikan umrah di bawah projek kolej ke Mekah dan Madinah. Namun, sehingga kini, aku masih belum berhasil ke sana pada waktu itu disebabkan wang hasil pengumpulanku dan sahabat-sahabatku di dalam projek tersebut telah lesap entah ke mana. Terima kasih kuucapkan kepada arwah atuk kerana memberikan sponsor kepadaku. Sememangnya aku faham, sumbangan arwah atuk diiringi 1001 hasrat, iaitu ingin melihat cucunya dapat menjalankan ibadah di tanah suci al-Haram dengan penuh ketenangan.

Namun, satu perkara yang tidak dapat kulupakan ialah ketika aku berbual dengan arwah atuk di kampung pada suatu malam. Atuk berkata dia sangat teringin orang sepertiku dalam keluarganya yang melanjutkan pengajian dalam bidang agama. Ini kerana, dalam keluarga atuk, hanya seorang sahaja cucu-cucunya mahupun anak-anaknya yang mempelajari jurusan agama secara lebih mendalam, iaitu aku. Dia sangat teringin melihat aku berceramah di kaca-kaca televisyen sebagai panelis forum, atau pengkuliah, dan seumpamanya. Aku hanya mengiyakan sahaja, sungguhpun aku kurang berminat untuk muncul di kaca-kaca televisyen. Hasratku adalah aku sempat menamatkan pengajian Ph.D untuk dibuktikan pada arwah atuk, namun Allah yang Maha Kuasa telah menjemputnya terlebih dahulu. Pada malam itu juga, tiba-tiba sahaja arwah atuk bertanyakan kepadaku mengenai jodoh sama ada aku telah berpunya atau belum. Aku sedikit tergamam. Aku berterus terang kepadanya bahawa aku masih belum bersedia untuk mencari pasangan hidup kerana ingin menumpukan pengajianku terlebih dahulu. Kemudian atuk memperkenalkan beberapa ciri-ciri wanita solehah kepadaku, menjaga solat, menutup aurat dengan sempurna, berlemah lembut dan sopan santun kepada orang tua, pandai menguruskan hal-hal dapur, dan sebagainya. Atuk sangat berkenan muslimah yang bertudung labuh, berakhlak mulia, dan sangat memelihara agamanya...

Aku diam seketika… Kerana pada hakikatnya sebelum arwah atuk menyatakan ciri-ciri tersebut, sememangnya hal itu juga merupakan suatu impianku. Bahkan lebih dari itu… Hanya saja aku menangguhkan sementara waktu untuk memikirkan hal tersebut, namun aku berjanji dan menyatakan kepadanya agar aku mudah-mudahan dipertemukan dengan isteri solehah, penyejuk mata, dan penenang hati… Aku juga turut mengharapkan sekalung doa mawaddah daripada arwah atuk, agar mendoakan kebahagiaanku kelak. Aku turut berseloroh kepadanya bahawa akan kutunjukkan kepadanya bakal isteriku suatu hari nanti di saat-saat aku menuju ke gerbang pernikahan, dan aku berharap agar aku sempat berumah tangga sebelum atuk meninggal dunia… Namun, takdir dan rahmat Tuhan mendahului segalanya… Dan kesemua perbualanku bersama atuk ini berlaku setelah beberapa bulan aku menamatkan pengajian di peringkat ijazah UM… Insya Allah, akan kuberusaha mencari srikandi solehah yang diidamkan arwah atuk apabila tiba masanya… Untuk berdamping bersamaku melayari bahtera kehidupan dan perjuangan menggapai redha Tuhan...

Kutitipkan sekalung al-Fatihah buat arwah sahabatku dan arwah atuk, mudah-mudahan roh mereka dicucuri Rahmat. Amin… Wa Allahu a`lam.

0 comments: