Mari Tambah Ilmu... Usah bertangguh

Pendedahan dan kebangkitan semangat untuk berpatisipasi, dan berjuang dalam arena dakwah adalah sangat dianjurkan dalam Islam. Bahkan ia menjadi suatu fardu kifayah buat umat Islam menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Turut juga di sana terdapat pandangan lain yang menyatakan bahawa hukum berdakwah adalah fardu `ain. Mudah-mudahan kesedaran sebegini sentiasa tersemat di dalam jiwa kita dalam menjunjung amanat Allah di muka bumi. Namun, sudah tentu kita tidak akan berdaya mendepani tribulasi seandainya ilmu pengetahuan, dan kefahaman kita berada pada unjuran yang sangat rendah, yang mana mengakibatkan kita tidak mampu untuk menyebarkan idea faham Islam itu sendiri. Bahkan, yang lebih menyedihkan, apabila fikrah Islam yang disebarkan telah tersimpang dari manhajnya yang sebenar tanpa kita sedari. Ia sedikit sebanyak akan menghakis misi dan visi sebenar sesuatu orientasi gerakan Islam, seakan semangat yang berkobar-kobar pada ahli ini semakin menjerumus ke arah gerakan sosialis tanpa disedari.

Oleh hal yang demikian, cukup untuk saya utarakan beberapa karya-karya haraki di sini yang barangkali sedikit sebanyak dapat menambah input-input berguna buat pendokong Islam. Marilah kita mengkoreksi diri semula sejauh mana kita telah menghabiskan pembacaan buku-buku di bawah, di samping mengambil intipati berguna (membedah buku) daripada pembacaan tersebut, lalu dipraktikkan dalam gerakan, dikongsikan melalui mekanisme usrah, halaqah, dan tamrin. Mungkin saja perlu diwujudkan panel penilai bagi silibus usrah untuk menyaring dan membukukan semula silibus usrah yang baru bersesuaian dengan ‘fikrah’ mahasiswa dan waqi’ setempat dengan mengampil point-point penting yang terdapat dalam buku-buku haraki. Perlu juga diketahui sekiranya diperincikan dan dibuat penelitian dalam buku-buku gerakan, terdapat beberapa aspek di dalam karya-karya haraki tersebut tidak perlu diketengahkan dalam silibus usrah. Justeru, kesedaran di kalangan ahli untuk menghabiskan bahan bacaan sebegini adalah sangat perlu bagi menghasilkan produktiviti dan thaqafah yang tinggi selain ilmu-ilmu fardu ain yang lain yang perlu dihadam oleh para pendakwah.

Terdapat beberapa peringkat dalam menguasai pembacaan haraki bagi para ahli. Pertama, pembacaan. Kedua, perbincangan dan bedah buku di dalam halaqah atau usrah. Ketiga, penyaringan intipati yang sesuai dengan silibus usrah oleh penyelidik. Keempat, penghasilan dan penerbitan silibus baru yang dihimpun melalui karya-karya yang telah dibaca. Begitulah pada pandangan saya… Manakala, pengisian seperti kuliah-kuliah dasar dan ceramah yang disampaikan di kalangan ahli berjalan secara terus di samping menelusuri peringkat-peringkat di atas. Saya mencadangkan agar sekurang-kurangnya para da`ie berusaha menghabiskan pembacaan karya-karya berikut, iaitu melepasi jalur garis peringkat pertama. Berikut merupakan cadangan-cadangan karya buku yang perlu dibaca oleh para da`ie:

Senarai Beberapa Siri Buku-buku Haraki:

1. Apa Ertinya Saya Menganut Islam, (ماذا يعني انتمائي للإسلام), Fathi Yakan

2. Bingkisan buat Pemuda Islam, al-Syahid al-Imam Hasan al-Banna

3. Inilah Islam, (هذا الدين), Sayyid Qutb

4. Manhaj Hidup Muslim (Rumusan daripada kitab Ma’alim fi al-Tariq, Dirasat al-Islamiyyah, al-Mustaqbal li Hadha al-Din), Sayyid Qutb & Abu al-A’la al-Mawdudi

5. Penjelasan di Sekitar Risalah Ta’alim, Muhammad `Abdullah al-Khatib

6. Pendidikan Harakah Islamiyyah, (في آفاق التعاليم – شرح رسالة التعاليم), Sa`id Hawa

7. Syarah Usul 20, (Rukun Faham) (شرح أصول 20), Dr. `Ali `Abdul Halim Mahmud

8. Bahtera Penyelamat, (قوارب النجاة في حياة الدعاة), Fathi Yakan

9. Golongan yang Tercicir, (المتساطون على طريق الدعوة), Fathi Yakan

10. Jalan Da`wah (Antara Qiyadah dan Jundullah), (طريق الدعوة بين القيادة والجندية), Mustafa Masyhur

11. Jalan Da`wah (Antara Keaslian dan Penyelewengan), (طريق الدعوة بين الأصالة والانحراف), Mustafa Masyhur

12. Asas-asas Islam, Abu al-A’la al-Mawdudi

13. Usrah dan Harakah, Ya’qub Muhammad Husain

14. Ikhwanul Muslimin – Konsep Gerakan Terpadu (Jilid 1 & 2), Dr. Ali Abdul Halim Mahmud

15. Islam: Fikrah, Harakah, dan Daulah, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

16. Fiqh al-Harakah 1, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

17. Fiqh al-Harakah 2, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

18. `Amal Jama`i, Hj. Yahya Othman

19. Bagaimana Islam Memeritah Negara, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

20. Islam dan Demokrasi, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Dengan ilmu, kita mampu berhujah. Dengan ilmu, kita tidak mudah tertipu. Dengan ilmu, kita mampu mengelakkan diri daripada mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas dan beromong kosong. Dengan ilmu, kita mampu membuat keputusan bertepatan dengan al-Qur’an dan sunnah. Mudah-mudahan, kesedaran untuk membina thaqafah tertanam padu di dalam jiwa yang berkobar bagi menghasilkan buah yang ranum dan bunga yang mekar mewangi menyebarkan aroma Islam di seluruh liang-liang dan nafas seorang yang bergelar JUNDULLAH…! Wa Allahu a’lam.

0 comments: