Seronoknya… Malam Maulid Nabi di Yayasan al-Jenderami

Kira-kira sebulan yang lalu, saya telah menerima iklan melalui emel daripada adik perempuan saya mengenai program sambutan Maulidur Rasul di Kompleks Yayasan al-Jenderami, Dengkil. Yayasan al-Jenderami sering menjadi sebutan dan buah mulut orang ramai khususnya mengenai pengajian-pengajian pondok dan perhimpunan para haba’ib dan juga tok guru pondok di pelosok dunia, cuma saya belum pernah menjejakkan kaki ke sana lagi. Rasa begitu ingin sekali mendengar kuliah atau menuntut ilmu di sana walau seketika dan Alhamdulillah… Di kesempatan dan kelapangan ruang masa yang Allah kurniakan pada saya, akhirnya saya dapat juga bertandang ke kompleks tersebut bersama adik perempuan saya (al-Munawwarah) pada hari Sabtu malam Ahad, 6/3/2010, yang mana malam tersebut merupakan malam kemuncak bagi menyambut Maulidur Rasul Kubra. Majlis Sambutan Maulidur Rasul Kubra di Yayasan al-Jenderami telah diadakan selama tiga hari, bermula pada Khamis malam Jumaat sehingga Sabtu malam Ahad, 6/3/2010. Program tersebut telah menghimpunkan beberapa tokoh agama dari pondok-pondok Nusantara seperti Indonesia, Malaysia, dan selatan Thailand dan juga mengumpulkan beberapa para haba’ib yang hadir dari seluruh dunia. Saya berasa sungguh bertuah kerana diizinkan oleh Allah s.w.t untuk menghadiri sambutan tersebut yang mana dikatakan ia merupakan sambutan Maulid Nabi yang terbesar di Malaysia, mempertemukan ulama’ dan ribuan para pencinta sunnah.

Inilah kali pertama kehadiran saya… Suasana di yayasan tersebut agak berbeza dengan suasana harian di ibu kota. Penuh dengan ketenangan dan kedamaian, jauh dari hiruk-pikuk bandar, apatah lagi suasana di yayasan tersebut tidak lekang dengan ceramah-ceramah, taujihat tausiah, simfoni senandung qasidah secara langsung oleh penuntut ilmu di situ pada akhir program, juga dipenuhi dengan hadirin yang rata-rata berjubah putih. Mujurlah saya berjubah putih ketika itu… Anggaran saya kira-kira 70% muslimin dan muslimat berpakaian serba putih, serta anak-anak kecil yang berumur 4 hingga 6 tahun sudah dilatih memakai serban, dalam usaha menerapkan amalan sunnah Baginda s.a.w. dan cinta Rasul. Suasana bi’ah Islamiyyah sebegini mengingatkan saya kepada ibadah umrah, menyebabkan saya tidak sabar-sabar lagi menyahut lambaian Ka’bah… Ceramah Maulid berterus-terusan sejak hari Khamis malam sehingga Sabtu malam, dan pengisiannya sangat memberkas hati saya sehingga mampu menitiskan air mata bagi sesiapa yang mengamati dan menghayati pengisian ceramah tersebut. Inilah kekuatan dan roh yang terdapat pada tok guru pondok dan para haba’ib, yang mana beramal dengan ilmu, berbicara dengan mata hati, memandang dengan pandangan basirah… Namun saya hanya sempat mendengar 3 orang tokoh agama pada malam Ahad tersebut, dari jam 9 hingga 10.15 malam.

Asalnya, memang saya ingin pergi ke yayasan tersebut, namun hasrat saya untuk menuju ke sana tidaklah begitu berkobar-kobar jika dibandingkan dengan adik saya yang ingin menyambut ketiga-tiga hari Maulid Kubra di sana. Ini kerana, pada Sabtu pagi hari yang sama, saya diwajibkan menghadiri kuliah Metodologi Penyelidikan bagi mahasiswa ijazah tinggi sehingga jam 1 tengah hari. Setelah menghadiri sesi kuliah pertama, pada jam 11 pagi, saya menghadiri Semiar Bahasa Arab di Fakulti Bahasa pula, dan saya sebenarnya sengaja meninggalkan sesi kuliah kedua Metodologi Penyelidikan semata-mata kerana minatnya saya dalam Bahasa Arab. Pada malamnya pula selepas Maghrib, jika diikutkan, saya perlu menghadiri kuliah talaqqi kitab di Gombak. Namun setelah diajak adik saya berkali-kali ditambah dengan keinginan saya untuk pergi ke Yayasan al-Jenderami bagi menyambut Maulidur Rasul, akhirnya saya tidak menghadiri ke kuliah talaqqi tersebut, sebaliknya saya menuju ke UIA Gombak untuk menjemput adik di sana. Selepas Maghrib kira-kira jam 8 malam, barulah kami bertolak ke Yayasan al-Jenderami. Tidak sia-sia untuk saya menghadiri sambutan tersebut kerana terlalu banyak manfaat dan pengalaman telah saya perolehi. Antara ungkapan penceramah yang memberi kesan yang mendalam pada hati saya pada malam tersebut ialah mengenai soal hati dan cinta kepada Rasulullah s.a.w., iaitu:

“Kita berusaha mengenali seseorang yang kita cintai, tetapi apakah kita benar-benar mengenali Rasulullah, insan teragung yang paling kita cintai..? Sewajarnya kita lebih mengenali Rasulullah dan lebih mencintainya dari insan yang lain… Apakah layak untuk kita lebih mengenali dan mencintai insan lain daripada Rasulullah, sedangkan Rasulullah Pembawa Rahmat seluruh alam sendiri masih belum benar-benar kita kenali dan cintai? Justeru, bajailah Iman kita dengan mendahulukan cinta Allah dan RasulNya melebihi insan yang lain, untuk meraih dan mengecapi kemanisan halawah al-Iman hakiki…”

Kata-kata ini telah mendorong saya untuk menyoroti kembali perjuangan dan sirah Baginda s.a.w. Sepulangnya saya dari Yayasan al-Jenderami, saya langsung mencari dan mengeluarkan kitab-kitab sirah yang saya miliki untuk dibaca dari semasa ke semasa sehingga khatam. Saya ingin menghayati kehidupan sirah Baginda s.a.w dengan sedalam-dalamnya, sehingga saya mampu merasakan bahawa saya benar-benar bersama dengannya, mencintainya melebihi yang lain, dan bukan hanya menutur di bibir semata. Setelah mencapai apa yang saya citakan, barulah saya boleh memikirkan persoalan cinta pada insan-insan yang lain pula… Nabi s.a.w bersabda:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ.

Maksudnya:

Tidak sempurna iman di kalangan kamu sehingga dia lebih mencintai aku daripada ibu bapanya, anaknya dan manusia keseluruhannya.

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al-Nasa’i, dan Ibn Majah)

Terima kasih ya Allah, kerana membuka pintu hati ini agar menyedari hakikat cinta ini adalah lahir daripada kurniaan dan limpahan rahmatMu… Wa Allahu a’lam...

1 comments:

Unknown said...

Rasulullah s.a.w. adalah jawatan yang dilantik oleh Allah sendiri. Allah sendiri tengok dalam ramai-ramai manusia di muka bumi ini entah berapa ribu juta trillion manusia ni ada seorang di dunia ni namanya Muhammad Bin Abdullah s.a.w.

Beliau telah dilantik menjadi nabi bila umur dia 40 tahun. Waktu dia beranak jadi 40 tahun belum jadi nabi ni dia beranak, bonda dia mak dia Siti Aminah tak tahu anaknya ini akan dilantik menjadi nabi.

Sebagaimana yang disebut minggu lepas, kita menyambut maulid nabi, maulid nabi ni kerja tak sudah. Jangan ingat bila kita sambut maulid nabi ni selesai masalah.

Kalau Nabi Muhammad waktu dia beranak tu serupa Muhammad Muhammad lain. Kat kampung kita ada Muhammad,situ ada Muhammad, ada Mat, orang Melayu Kelantan panggil Mat, Mat anak kita, Mat budak kampung kita dengan Mat Bin Abdullah di Tanah Arab tu waktu dia beranak serupa aja. Yang jadi masalah, yang jadi kita dengan dia peringkat rapat ni setelah 40 tahun kemudian bila beliau jadi nabi dengan turunnya ayat Iqra'

Artikel penuh di http://hanifsalleh.blogspot.com/2010/02/tok-guru-oh-tok-guru.html

Sila ziarah http://fakehkhalifah.blogspot.com untuk mendapat artikel-artikel seumpama ini