Sejarah Pemerintahan Mesir dan Perjanjian Damai di antara Mesir dengan Israel

1. Sistem pemerintahan Mesir: Diktator.

2. Kepimpinan Mesir (Presiden) abad ke-20 : 1. Jamal Abdul Nasir – 2. Anuar Sadat – 3. Hosni Mubarak.

3. Perjanjian damai Israel-Mesir berlaku pada zaman pemerintahan Anuar Sadat ketika Mesir dapat menawan semula wilayah Sinai yang sebelumnya dijajah oleh Israel.

4. Negara Mesir sebuah negara yang sangat menitikberatkan aspek ketenteraan sehingga perlantikan jawatan presiden perlulah di kalangan ahli yang berjawatan di dalam barisan ketenteraan.

5. Wilayah Sinai merupakan wilayah jajahan takluk Mesir ketika era awal-awal pemerintahan Mesir dan Mesir diiktiraf sebagai Negara Islam. Namun, lembah Sinai telah dijajah oleh Israel ketika zaman pemerintahan Jamal Abdul Nasir. Namun, tentera Mesir telah berjaya menawan semula Sinai dengan ketumbukan tentera yang telah dibangkitkan roh-roh perjuangan kebangsaan dan nasionalisme Mesir.

6. Pada era pemerintahan Jamal Abdul Nasir juga, disebabkan kemenangan yang diperolehi oleh tentera Mesir untuk mengembalikan semula wilayah Sinai, maka rakyat dan pemimpin Mesir dibuai dan ditenggelami dengan nafsu, hiburan yang melalaikan, kuasa yang menindas, kezaliman yang berleluasa, dan sebagainya. Perjuangan pemerintahan Mesir pada ketika itu adalah perjuangan berasaskan bangsa Arab, maka sudah tentu Islam dipinggirkan begitu sahaja. Anggota Ikhwan Muslimun dipenjara, pendakwah-pendakwah ditindas dan dibunuh, gerakan Islam diharamkan, dan hilang hak-hak bersuara. Kezaliman yang telah dilakukan oleh Jamal Abdul Nasir yang juga merupakan jeneral tentera Mesir tidak dapat dibendung dan dipertikaikan lagi apabila beliau menggunakan kuasa memenjara dan membunuh sejumlah besar anggota Ikhwan Muslimun. Anggaran bilangan anggota Ikhwan Muslimun yang dipenjara dan dibunuh pada zaman tersebut melebihi 40000 ahli. Jamal Abdul Nasir juga pernah menyatakan: “Palestin adalah Negara Palestin, dan wilayah Mesir adalah wilayah Mesir, maka tiada hubungan di antara Palestin dan Mesir”. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa perjuangan di bumi Mesir merupakan perjuangan yang berasaskan bangsa dan nasionalisme sahaja dan tidak ada kena mengena dengan Islam.

7. Rentetan peristiwa tersebut, kaum Yahudi Israel menyedari akan kelemahan ketara umat Islam di bumi Mesir. Maka mereka mengambil kesempatan untuk menyerang kembali Negara Mesir dan tidak sampai seminggu, mereka telah berjaya menawan kembali lembah Sinai dan telah memusnahkan beberapa kota di Mesir seperti Kaherah dan Iskandariah. Rentetan kemenangan Yahudi Israel tersebut, sejumlah besar menteri-menteri Kabinet Mesir meletakkan jawatan sehingga wujud di kalangan menteri tersebut membunuh diri kerana mendapat malu yang sangat besar. Bahkan, presiden Mesir dan jeneral tentera Mesir sendiri, Jamal Abdul Nasir mengisytiharkan dirinya sendiri bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai presiden Mesir. Namun, atas desakan rakyat agar beliau tidak meletakkan jawatan, dan belas kasihan rakyat yang mengagung-agungkan Jamal Abdul Nasir yang suatu ketika dahulu telah berjaya memerdekakan wilayah Mesir (Sinai) dari belenggu penjajahan, maka Jamal Abdul Nasir telah menyandang jawatan presiden tersebut sehingga beliau meninggal dunia.

8. Era pemerintahan diktator nasionalisme yang digagaskan oleh Jamal Abdul Nasir akhirnya semakin malap dengan kematian Jamal Abdul Nasir. Jawatan presiden yang sebelum ini dijawat oleh beliau telah diganti Anuar Sadat yang juga merupakan anggota tertinggi dalam barisan ketenteraan Mesir. Pertukaran jawatan presiden kepada Anuar Sadat sedikit sebanyak telah memberikan kebebasan kepada rakyat-rakyat yang memperjuangkan agama Islam tercinta khususnya Ikhwan Muslimun. Era kezaliman Jamal Abdul Nasir bertukar corak apabila sejumlah besar anggota Ikhwan Muslimun dibebaskan dari penjara tentera, ceramah-ceramah agama dan dakwah Islam semakin berkembang tanpa sekatan. Akan tetapi, terdapat suatu makna yang tersirat di sebalik pembebasan anggota Ikhwan Muslimun dan pendakwah-pendakwah Islam. Anuar Sadat mempunyai visi dan orde yang tersendiri dalam proses untuk mendapatkan semula wilayah Sinai yang telah sekian lama ditawan oleh Yahudi. Pada zahirnya, Anuar Sadat disifatkan sebagai seorang pejuang Islam dan pejuang keamanan di media-media massa Mesir memandangkan beliau memberikan kebebasan kepada pejuang-pejuang Islam, namun pada hakikatnya, beliau telah mempergunakan anggota-anggota Ikhwan untuk menakluk kembalik wilayah Sinai yang telah dijajah oleh Israel. Beliau mengetahui bahawa dengan kekuatan JIHAD umat Islam sahajalah dapat mengembalikan semula keizzahan Islam dan wilayah Sinai dalam menghadapi golongan Yahudi dan kuffar kerana beliau merupakan salah seorang anggota Ikhwan suatu ketika dahulu. Begitulah apa yang dikatakan orang munafik, ketika mana mereka di dalam kesusahan, barulah mereka meminta bantuan pejuang-pejuang Islam untuk membantu mereka, dan ketika mana mereka di dalam kesenangan, mereka menindas pejuang-pejuang Islam sendiri. Inilah apa yang dilakukan Anuar Sadat terhadap pejuang-pejuang Islam.

9. Setelah anggota Ikhwan dibebaskan daripada penjara, Anuar Sadat memberikan sokongan padu kepada Ikhwan menubuhkan satu pasukan tentera bagi memerangi Yahudi Israel. Kem-kem tentera digiatkan dengan latihan jihad dan semangat juang menegakkan agama Allah yang tinggi. Kira-kira enam tahun kemudian, sejumlah besar ketumbukan Ikhwan Muslimun telah dihantar ke wilayah Sinai untuk mendapatkan semula wilayah tersebut yang telah dijajah oleh Yahudi laknatullah. Berbekalkan keimanan dan semangat juang yang tinggi, Ikhwan Muslimin berjaya menembusi kubu pertahanan yang dikatakan kubu yang paling kukuh di dunia. Kubu tersebut terletak di timur Sinai, dan akhirnya Ikhwan Berjaya menawan kembali wilayah Sinai yang telah sekian lama dirampas oleh Yahudi Israel.

10. Kekuatan tentera Ikhwan dan semangat yang terdapat pada setiap hati-hati pejuang merancakkan lagi wilayah taklukan Islam, dan pada ketika itu, Ikhwan Muslimun hampir-hampir berjaya menawan Jerusalem al-Quds (Palestin) dari penguasaan Yahudi. Namun, satu arahan dan orde baru telah dikeluarkan oleh Anuar Sadat dengan perintah kuasa-kuasa Dunia seperti Amerika untuk menghentikan peperangan atas alasan misi keamanan dunia. Suatu perjanjian damai telah termeterai di antara Anuar Sadat (Mesir) dengan Yahudi Israel dengan sokongan Dunia Barat khususnya Amerika. Perjanjian tersebut dinamakan perjanjian Camp David. Di sebalik perjanjian tersebut, orang-orang Yahudi ingin menyekat kemaraan pejuang Islam untuk menawan Jerussalam. Kononnya perjanjian tersebut atas dasar untuk menjaga keamanan negara dan misi keamanan dunia, namun pada hakikatnya, perjanjian tersebut menyekat Ikhwan muslimun dari berkuasa dalam usaha untuk menyebarkan Islam.

11. Antara isi perjanjian damai tersebut, Yahudi Israel serta Amerika akan membekalkan segala bentuk ekonomi seperti bekalan roti harian secara percuma kepada Mesir, namun mereka meletakkan syarat bahawa negara Mesir tidak boleh berkompromi dan tidak mempunyai sebarang perkaitan tentang segala isu yang berlaku di Palestin. Perjanjian tersebut telah dipersetujui oleh Anuar Sadat dan telah dimeterai. Impaknya, wilayah Sinai akhirnya dapat ditawan semula oleh Mesir, dan Mesir mendapat bekalan makanan, dan ekonomi dari kuasa besar dunia seperti Amerika. Di sebalik perjanjian damai tersebut, hakikatnya umat Islam telah ditindas sekali lagi kerana tidak diberi kebebasan memberikan kemerdekaan kepada Palestin dan Islam itu sendiri. Anggota Ikhwan telah diperalatkan hanya semata-mata untuk kepentingan pemerintah Anuar Sadat untuk mengembalikan semula wilayah Sinai yang telah dirampas. Ini membuktikan bahawa orientasi perjuangan Anuar Sadat hanya berasaskan kebangsaan dan kepentingan peribadi semata-mata bagi mendapat kemegahan dan nama di mata masyarakat, walhal beliau mempergunakan tentera Islam untuk menakluk kembali lembah Sinai tersebut.

12. Natijah daripada peperangan di lembah Sinai dan perjanjian Damai yang telah termeterai tersebut, Mesir telah memperoleh kembali hak wilayahnya (Sinai) dan kesenangan demi kesenangan telah diperoleh di Mesir yang dibekalkan oleh negara-negara Barat. Bahkan, perjuangan membebaskan Palestin dari cengkeraman Barat dan Yahudi telah disekat disebabkan termeterainya perjanjian tersebut dan sehingga kini, ekonomi Mesir sangat bergantung kepada wilayah Barat. Presiden Mesir Anuar Sadat telah diagung-agungkan sebagai pejuang Islam, walhal pada hakikatnya beliau mempergunakan nama Islam dan pejuang Islam untuk menawan kembali wilayah Sinai. Beliau tidak lebih hanya untuk mendapat nama di mata masyarakat bahawa beliaulah pejuang Islam yang telah mati ditembak ketika Hari Pahlawan (Tentera) yang berlangsung sekitar tahun 1970-an. Namanya disemadikan sebagai pejuang syahid, namun pada hakikatnya beliaulah menyekat kemaraan Islam. Rakyat-rakyat Mesir pula telah digembar-gemburkan dengan kepimpinan beliau yang berjuang untuk Islam, tetapi hakikatnya mereka telah ditipu. Sehingga kini, makam Anuar Sadat yang terletak di Kaherah bersama tugu peringatan tentera Mesir diagung-agungkan, sedangkan Anuar Sadat hanyalah boneka Amerika dan Yahudi. Jasanya diagung-agungkan di muzium kebangsaan Mesir, dan kepimpinannya diuar-uarkan bahawa beliau seorang pejuang mati syahid yang telah ditembak ketika Hari Pahlawan. Wallahua’alm.

13. Kini, tampuk pemerintahan Mesir telah dijawat oleh Presiden Hosni Mubarak. Hosni Mubarak juga mempunyai pemikiran yang tidak jauh berbeza dengan Anuar Sadat dan Jamal Abdul Nasir, bahawa perjuangannya hanyalah berasaskan kebangsaan atau bangsa dan wilayah Arab semata-mata. Disebabkan terikat dengan perjanjian damai yang telah termeterai di antara Yahudi (Israel) dengan Mesir pada zaman pemerintahan Anuar Sadat, Mesir tidak membuka sempadannya bersebelahan dengan Negara Palestin di Rafah bagi pelarian Palestin memasuki Mesir di situ kerana terikat dan sangat bergantung kepada Amerika khususnya dalam sektor ekonomi negara Mesir... Wallahua’alam.

-P/S: Artikel ini adalah hasil karya dan pengamatan penulis setelah melancong ke Mesir selama sebulan… Perbincangan penulis bersama pimpinan mahasiswa Melayu Mesir yang berkisar mengenai sejarah pemeritahan Mesir juga turut diketengahkan di dalam artikel di atas. Sebarang kesilapan dan kekurangan, penulis memohon kemaafan. Wa Allahu A’lam.

0 comments: