Revivalisme Islam VS Konstitusi Autokratik di Mesir

Revivalisme Islam VS Konstitusi Autokratik di Mesir

P/S; Maaf, sebab artikel pada kali ini agak panjang… =)

Krisis pergolakan di Mesir kian memuncak. Himpunan besar-besaran dalam kalangan rakyat Mesir telah melangkaui 10 hari. Perletakan jawatan presiden Ben Ali di Tunisia menyentak kebangkitan rakyat Arab di negara-negara jiran memandangkan perletakan jawatan beliau adalah rentetan daripada kebangkitan rakyat Tunisia. Terdapat rakyat Tunisia yang membakar dan membunuh diri tanda protes mereka ekoran kezaliman pemerintah. Fenomena terbabit sekaligus menyingkap kelemahan pemerintahan negara-negara Arab lain yang rata-ratanya kuku besi. Sungguhpun dalam sistem pemerintahan mereka kebanyakannya adalah bercorak demokrasi, hakikatnya sistem tersebut hanyalah berbaur ‘kosmetik’ dan tidak memberikan sebarang pulangan bermakna kepada rakyat. Diktator! Paling ketara adalah negara Mesir. Pergolakan di Mesir sekaligus memberi tamparan hebat kepada negara-negara di setiap penjuru dunia khususnya di Asia Barat demi melihat suatu transformasi baru dalam pemerintahan yang adil, khususnya dalam menjaga kebajikan rakyat. Maka, selayaknya Islam mengambil tempat. Gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin dilihat semakin berpengaruh di mata dunia. Revivalisme (kebangkitan) Islam menerusi gerakan Ikhwan al-Muslimin telah berakar umbi di Mesir serta menjalar ke negara-negara Arab yang lain seperti di Yaman, Jordan, dan Algeria. Suara mereka kian didengari menerusi himpunan dan demonstrasi besar-besaran di negara masing-masing, selain menerusi saluran media-media alternatif seperti Al-Jazeera.net.

Pada hemat saya, kebangkitan rakyat Mesir sangat menarik untuk diobservasi pada setiap masa berbanding negara-negara Arab yang lain. Mengapa Mesir? Rakyat Mesir sememangnya menjadi kayu ukur kepada kebangkitan Islam di negara-negara lain memandangkan harakah Islamiah yang pertama adalah berputik di Mesir selepas keruntuhan Khilafah Islamiyyah di Turki pada tahun 1924. Di suatu ketika pada era 1950-an, keanggotan perkaderan Ikhwan al-Muslimin di Mesir hasil pimpinan Imam al-Syahid Hasan al-Banna telah menjangkaui 60 000 kader Islam yang benar-benar menyerahkan jiwa dan raganya demi Islam. Sehingga kini, harakah Islamiah Ikhwan al-Muslimin yang bermula di Mesir kelihatan relevan dan pragmatik demi memperjuangkan Islam serta menjelmakannya secara komprehensif dalam lapangan kehidupan sejagat meskipun menghadapi pelbagai mehnah dan ibtila’. Tidak hairanlah apabila menyentuh persoalan ta`addud jama`ah di Malaysia, jemaah masing-masing sentiasa saja mengisytiharkan bahawa merekalah sebahagian daripada jemaah Ikhwan al-Muslimin yang hakiki. Selain itu, kebangkitan rakyat khususnya gerakan Islam di Mesir juga akan memberikan impak yang besar kepada sebuah negara Palestin yang merdeka khususnya setelah gerakan Ikhwan al-Muslimin mengambil alih tampuk kepimpinan negara. Negara Palestin berupaya dibebaskan dari belenggu penjajah regim zionis Yahudi dengan paduan kekuatan dari kepimpinan HAMAS oleh Perdana Menteri Palestin, al-Ustaz Ismail Haniah bersama kepimpinan Ikhwan al-Muslimin di Mesir. Hakikatnya, HAMAS juga merupakan proksi kepada Ikhwan al-Muslimin yang bertapak di Palestin. Mercu tanda bagi Palestin ialah Masjidil Aqsa. Perjuangan Islam pastinya menyedari realiti memelihara kesucian Masjidil Aqsa di BaitulMaqdis. Kepimpinan Islam di Mesir kelak bukan sekadar menghulurkan bantuan kepada negara jiran Palestin seperti membuka jalan di sempadan Rafah, malah mereka memiliki cita-cita yang jauh lebih besar daripada itu, iaitu membina sebuah daulah gabungan dua negara, Mesir dan Palestin, memerdekakan BaitulMaqdis dan akhirnya mengamalkan dasar Islam sebenar dalam konstitusi (perlembagaan) negara kelak. Maka sememangnya isu pergolakan di Mesir merupakan isu umat Islam sedunia.

Perjuangan Islam pastinya tidak sesekali pudar dan malap. Mesir telah membuktikan kemenangan dan kekuatannya menentang penjajahan Yahudi di Sinai (sebahagian wilayah Mesir bersebelahan Palestin) dengan ketumbukan tentera Ikhwan al-Muslimin pada era 1970-an. Maka tidak hairanlah kebangkitan rakyat dan gerakan Islam di Mesir dalam menggulingkan pemerintahan autokratik (diktator) Mesir di bawah pentadbiran kerajaan Hosni Mubarak kini menyebabkan Israel dan sekutunya khususnya Amerika Syarikat menjadi kecut perut. Ternyata sekali Presiden Hosni Mubarak bersekongkol dengan Amerika Syarikat serta Yahudi zionis, dan hal ini dibuktikan apabila Hosni Mubarak kerap kali mengambil khidmat nasihat presiden Amerika Syarikat, Barack Obama tatkala berlakunya demonstrasi besar-besaran di Mesir sehingga ke hari ini. (Nama pun dah dekat, MuBARACK). Hosni Mubarak turut tidak mempedulikan kesengsaraan rakyat muslim di Palestin dengan tidak menghulurkan bantuan kepada mereka, tidak membuka seluas-luasnya sempadan Rafah, dan ternyata ideologi yang dibawa oleh Hosni Mubarak tidak lain hanyalah berorientasikan Nasionalis Sekularis Patriotis sehingga mengabaikan perjuangan Islam, serta memecahbelahkan umat. Sedangkan prinsip Islam tidak mengenali batas sempadan, bangsa, keturunan, bangsawan dan hamba kerana Islam adalah untuk semua, rahmatan lil `alamin.

Suka untuk saya menyoroti senario pergolakan di Mesir mutakhir ini. Menurut laman web al-Jazeera, demonstrasi besar-besaran di Mesir telah berjaya menghimpunkan kira-kira 4 000 000 rakyat di Mesir! Jumlah yang begitu besar dan menggerunkan pihak lawan. Ini belum ditambah dengan bilangan demostrater di neraga-negara dunia yang lain seperti di U.K, Amerika Syarikat, Malaysia, Indonesia, dan lain-lain. Demonstrasi di Mesir berupaya memberikan suatu revolusi bermakna kepada lanskap politik di Mesir. Suatu demonstrasi yang terbesar dalam sejarah dunia Arab sehingga al-Amn al-Markazi (FRU/polis) tidak berani untuk menyekat kemaraan rakyat. Apa yang menarik ialah tentera Mesir yang terlibat dalam menjaga keamanan demonstrasi tersebut bersikap neutral dan tidak pula pro-kerajaan selain membiarkan rakyat meneruskan usaha melakukan demonstrasi besar-besaran, namun apa yang menyedihkan, terdapat juga sekumpulan demostrater pro-Mubarak yang diupah untuk memecahbelahkan himpunan aman sehingga berlaku rusuhan dan tembak-menembak. Apabila sebahagian daripada mereka dicekup oleh beberapa pemprotes Mubarak, akhirnya mereka membongkar situasi sebenar bahawasanya mereka disogok sebanyak 5000 Junayh (kira-kira RM3000) untuk membunuh serta mencederakan rakyat anti Mubarak dengan menaiki kuda, unta, dan kereta. Sebahagian dari kalangan mereka merupakan POLIS KERAJAAN Mubarak sendiri. Rusuhan tersebut mengakibatkan puluhan nyawa terkorban, dan lebih 5000 demostrater cedera. Walaubagaimanapun, kematian mereka dianggap sebagai suatu `Amaliyyah Istisyhadiyyah (tindakan kesyahidan) dalam perjuangan Islam menurut pandangan beberapa tokoh ulama’.

Sebenarnya, tindakan rakyat untuk menyingkirkan Hosni Mubarak dari jawatan Presiden tidaklah menjadi suatu kejanggalan memandangkan beliau merupakan seorang presiden yang kurang mengutamakan kepentingan rakyat pada hemat saya. Tidak banyak perubahan bermakna yang dilakukan oleh beliau dalam tempoh pemerintahannya yang melebihi 30 tahun, bahkan isu penindasan terhadap hak asasi rakyat kian berleluasa. Jarang sekali beliau turun bersama-sama rakyat, bahkan beliau takut dibunuh oleh rakyat sendiri sebagaimana yang berlaku kepada presiden Anwar Sadat yang mati ditembak (Anwar Sadat mati ditembak dalam suatu Majlis Memperingati Tentera ketika beliau duduk bersebelahan dengan Hosni Mubarak). Memori kematian Anwar Sadat sedikit sebanyak menghantui Hosni Mubarak, bahkan apabila isteri beliau (Hosni Mubarak) berjalan ke kawasan berkepadatan penduduk tinggi khususnya di Kaherah, maka ratusan polis dikerah untuk menjaga keselamatan isteri Hosni Mubarak dalam perjalanan yang ‘coverage’ pengawasan dan kepungan buat isterinya mencecah 1 km. (Ini baru pengawasan keselamatan isteri Hosni Mubarak, belum lagi keselamatan beliau) Pengalaman saya menuntut ilmu selama sebulan di Mesir mendapati bahawa amalan rasuah begitu bermaharajalela di sana, manakala harga barang agak mahal serta tidak menentu. Budaya penipuan dalam perniagaaan begitu berleluasa, dan tatkala menziarahi destinasi-destinasi pelancongan di Mesir, ada saja pengawal keselamatan disogok agar dapat memasuki kawasan perlancongan terbabit. Harga tambang teksi kadang-kala melambung tinggi, dan para pemandu teksi dan peniaga adakalanya mengambil kesempatan meletakkan bayaran yang mahal kepada pelancong-pelancong asing akibat tekanan kehidupan dan kemiskinan yang dialami. Ingat lagi saya ketika mana menaiki teksi di Mesir, setiap kali pemandu teksi menemui polis trafik di Mesir ketika memandu, mereka pasti memekik dan mencemuh polis terbabit dengan berkata, ya Kalb! (Oi Anjing), atau ya Himar! (Oi Keldai), dan ada juga yang meludah ke luar tingkap teksi. La hawla wa la quwwata illa billah… Sememangnya situasi ini sedikit sebanyak mencitrakan kebencian rakyat kepada kerajaan Hosni Mubarak di Mesir.

Sekutu Hosni Mubarak, Amerika Syarikat tidak memberikan reaksi yang tegas dalam isu ini hanya kerana mendahulukan kepentingan politik tertentu. Amerika hanya mengeluarkan kenyataan bahawa pemerintahan Mubarak hendaklah mengambil jalan bersikap lebih demokratik dan telus untuk kebajikan rakyat, dan tidak mencadangkan perletakan jawatan Hosni Mubarak. Sekiranya benar-benar terdesak, Amerika mencadangkan Omar Sulaiman (kini Naib Presiden Mesir) menjadi presiden Mesir yang baru menggantikan Hosni Mubarak memandangkan Omar Sulaiman nyatanya merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat dan Yahudi. Hosni Murabak sehingga kini juga turut menegaskan bahawa baliau tetap akan memegang jawatan presiden sehingga tamat penggalnya pada bulan September 2011, dan beliau berjanji akan membuat pembaharuan dalam saki-baki pemerintahannya dalam beberapa bulan. Sedangkan pada pengamatan saya, saya menjangkakan bahawa beliau pada hakikatnya ingin mengatur strategi bersama negara-negara sekutu bagi memastikan kerajaan beliau berterusan memegang tampuk kepimpinan Mesir pada pilihan raya presiden bulan 9 nanti dengan mencipta pelbagai helah bagi menggulingkan pakatan pembangkang yang dipelopori oleh Ikhwan al-Muslimin. Alasan beliau bahawa sekiranya beliau mengundur diri serta merta dari jawatan presiden, maka kehidupan rakyat akan menjadi semakin kucar-kacir. Bahkan beliau menambah bahawa sekiranya pakatan pembangkang menerajui tampuk pemerintahan negara, maka puak-puak teroris dan ekstrimis akan bermaharajalela. (yang beliau maksudkan adalah Ikhwan al-Muslimin). Sungguh alasan yang begitu dangkal..! Islam dilabel sebagai agama pengganas. Inilah demokrasi boneka ciptaan Hosni Mubarak yang merupakan tali barut kepada Amerika. Manakala Muhammad el-Baradey ditonjol sebagai pemimpin pembangkang Mesir meskipun beliau bukanlah benar-benar dari keanggotaan Ikhwan al-Muslimin. Yang menjadi persoalan di sini ialah, siapakah yang bakal memegang jawatan presiden di Mesir selepas perletakan jawatan Hosni Mubarak?? Mungkinkah Muhammad el-Baradey, Prof. Dr. Muhammad Badi’ (yang merupakan Mursyidul `Am Ikhwan al-Muslimin kini, Omar Sulaiman (Naib Presiden Mesir), anak Hosni Mubarak (Menteri Mesir), atau tidak mustahil juga Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi (yang merupakan rakyat Mesir yang diusir akibat keanggotaan dengan Ikhwan al-Muslimin menentang kerajaan, merupakan Pengerusi Dewan Ulama’ Sedunia)…?

Saluran media khususnya internet disekat di Mesir dalam menyebarkan khabar pergolakan dan kebangkitan rakyat Mesir, manakala jaringan-jaringan internet khususnya laman web al-Jazeera di luar negara Mesir adakalanya terputus. Saya sendiri adakalanya tidak dapat melayari web al-Jazeera yang mungkin saja disabotaj pihak-pihak tertentu atau kerana orang yang melayari laman web tersebut meningkat dengan mendadak sehinggga mengakibatkan kesesakan serta kelambatan untuk membuka web tersebut. Pada pandangan saya, laman web al-Jazeera merupakan laman web yang paling telus dalam memaparkan realiti sebenar rakyat Mesir dan dalam mendedahkan sebarang insiden yang berlaku di Mesir. Menurut sumber dari laman web al-Jazeera, jumlah pengunjung yang menziarahi laman web tersebut meningkat mendadak sebanyak 2500% (25 kali ganda) sehari ekoran pendedahan berita pergolakan di bumi Mesir. Serentak dengan itu, kamera-kamera serta perakam-perakam wartawan asing telah banyak dirampas oleh polis-polis Mesir, manakala pejabat al-Jazeera di Mesir telah dibakar. Para wartawan juga turut ditangkap dan disoal siasat sebelum diarah pulang serta-merta ke tanah air masing-masing. Menurut sumber akhbar tempatan pula, ekoran pergolakan yang berlaku di Mesir, maka pihak universiti al-Azhar mengisytiharkan cuti selama setahun, universiti `Ain al-Syams selama enam bulan, dan universiti al-Qahirah selama tiga bulan. Wa Allahu a’lam, saya pun tidak berapa pasti tentang kesahihan khabar ini…

Revolusi di Mesir terbabit tidak mustahil akan memberikan impak yang besar kepada senario politik tanah air Malaysia, apatah lagi tatkala menuju PRU ke 13 yang dijangkakan akan berlangsung dalam pertengahan hingga akhir tahun ini. Ini kerana, senario yang berlaku di Mesir juga sedikit sebanyak mirip kepada beberapa senario yang berlaku di Malaysia, hanya saja perinstiwa tersebut tidak ketara. Evacuate (penghantaran pulang) mahasiswa Malaysia di Mesir ke Malaysia perlulah dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan hanya terhenti di Jeddah. Mahasiswa anak-anak negeri khususnya di negeri Kelantan dan Kedah tidak seharusnya didikriminasi dalam menghulurkan sebarang bantuan dan pertolongan oleh kerajaan Malaysia. Pendedahan menerusi media-media tempatan sewajarnya bukan sekadar menyiarkan keselamatan dan penghantaran mahasiswa pulang ke Malaysia, malah sewajarnya media tempatan memainkan peranan menyiarkan perjuangan dan cita-cita murni yang lebih besar daripada itu, iaitu menyiarkan revivalisme Islam dan kebangkitan suara rakyat di Mesir untuk dijadikan iktibar dan suntikan semangat kepada rakyat Malaysia dalam memperjuangkan Islam kerana inilah matlamat perjuangan dalam kehidupan kita sebenarnya. Dalam pada itu, kerajaan Malaysia juga perlu tegas dengan prinsip keadilan terhadap isu kebangkitan rakyat di Mesir dalam mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Sewajarnya suara rakyat anti-Mubarak perlulah didengari dan disokong padu demi menuntut keadilan dari sebarang ketirisan. Pemimpin perlulah berani menyatakan sokongan terhadap perletakan jawatan Hosni Mubarak sekiranya didapati bahawa beliau jelas tidak berlaku adil dan tidak menjaga kebajikan rakyat. Ternyata keadilan sebenar adalah terletak pada konstitusi Islam yang diimplimentasikan oleh gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin di Mesir dan harakah Islamiah dalam konteks negara Malaysia tercinta. Sama-samalah kita mendoakan agar Hosni Mubarak dikurniakan taufiq hidayah oleh Allah s.w.t serta mendoakan keselamatan dan kesejahteraan pejuang-pejuang dan umat Islam di bumi bergolak Mesir dan Palestin. Dan ayuh bersama-sama kita mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa mengenai krisis di Mesir kerana isu Mesir adalah isu umat Islam keseluruhannya.

Untuk akhirnya, info terkini mendapati bahawa rakyat negara Mesir merancang akan mengadakan himpunan aman pada setiap hari Selasa dan Jumaat sehingga presiden Hosni Mubarak melepaskan jawatan beliau. Begitu juga negara-negara pro-demokrasi yang lain, yang mana mereka turut akan mengadakan demonstrasi aman pada setiap hari jumaat demi menyokong suara rakyat Mesir bagi pengunduran Hosni Mubarak. Kini, terdapat beberapa beberapa jemaah menteri Mesir telah meletak jawatan termasuk anak kepada Hosni Mubarak. Namun pada pandangan saya, ia hanyalah suatu propaganda politik agar rakyat menjadi semakin reda, sedangkan kerajaan regim Mubarak masih lagi berkuasa, maka pada pandangan saya Hosni Mubarak sendiri perlu melucutkan jawatannya. Suka saya mencadangkan pembaca sekalian untuk menonton video klip mengenai nasihat ulama’ tersohor Mesir, Syeikh Mutawalli Sya’rawi terhadap Presiden Hosni Mubarak secara berhadapan pada saat-saat sebelum Syeikh Mutawalli Sya’rawi rahimahullah meninggal dunia pada laman web ini: http://www.youtube.com/watch?v=QRVWqt_s6HM. Ucapan beliau begitu memberkas hati, kerana beliau merupakan ulama’ besar yang begitu banyak memberikan sumbangsih yang tidak ternilai kepada masyarakat sehingga kewafatannya dikunjungi oleh jutaan rakyat Mesir serta ditangisi oleh para pencinta ilmu dan ulama’ di pelosok dunia. Usqut, usqut Hosni Mubarak…! (Turun, turun, Hosni Mubarak dari kerajaan…)

P/S: Mengenai krisis di Mesir, kadang kala saya terfikir, tatkala merenung-renung kecenderungan serta sifat semulajadi yang membezakan di antara golongan pemuda muslim dan golongan srikandi muslimah abna’ al-Harakah mengenai isu Mesir terbabit… Kerana pada pandangan saya, pastinya golongan pemuda akan lebih cenderung untuk melihat perubahan tampuk kepimpinan dan kebangkitan Islam di Mesir, manakala golongan srikandi akan lebih cenderung dengan kebimbangan keselamatan sahabat-sahabiah serta anak-anak mereka di Mesir. Itulah fitrah semulajadi yang membezakan perwatakan lelaki berbanding wanita. Lelaki dengan cita-cita besarnya ingin melihat ketokohan kepimpinan, manakala wanita dengan naluri kasih sayangnya yang begitu halus terhadap sekalian manusia…. Maha Suci Allah, Sang Pencipta sekalian manusia, yang menciptakan manusia dengan dua jantina, yang mana mereka saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain… Subhana Allah… Alhamdulillah… Allahu Akbar…

~ribbiyyun~

1331,

Ahad, 6 Feb 2011,

JB.

0 comments: