Apabila Golongan Ribbiyyun Melupakan Persoalan Indibat…


Dialog 1:

“Ustaz, ana minta maaf bebanyak sebab lambat 30 minit … Sepatutnya kita kena jumpa pukul 6 petang, tapi ana lambat. Aasif jiddan…” kata salah seorang adik jemaah kepada saya. Maka saya menuturkan kepadanya: “Ana sebenarnya yang mengganggu 30 minit enta, sebab ana faham enta ada hal penting tadi. Jadi ana minta maaf banyak-banyak sebab menyebabkan enta tergesa-gesa untuk jumpa ana… Enta datang pun dah cukup mententeramkan hati ana…”

Dialog 2:

“Ustaz, ana minta maaf bebanyak sebab terlewat 2 jam untuk pulangkan kunci kereta yang ana pinjam…” Maka, saya menuturkan: “Tak pe akhi… Enta sampai ke sini dalam keadaan selamat pun ana dah sangat bersyukur, alhamdulillah… Sebab ana tau, mungkin enta terkejar-kejar dengan masa semata-mata nak pulangkan kunci kepada ana, jadi mujur enta selamat sampai sini.”

Dialog 3:

“Ustaz, ana minta maaf bebanyak sebab lambat datang liqa’. Ade hal penting tadi.” Saya pun menjawab kepada adik jemaah: “Tak pe, kalau enta tak datang liqa’ ni pun tak salah kalau hal enta tadi tu lebih awla dan sangat penting…”

Contoh-contoh dialog di atas menjurus kepada beberapa persoalan pokok, iaitu disiplin masa, maaf-memaafi, dan konsep keimanan. Ayuh kita meneliti kembali makna-makna yang disampaikan dalam dialog. Pada hakikatnya, naluri hati ini tekad berusaha menjadi insan yang pemaaf, namun ia diiringi junjungan harapan yang menggunung tinggi, iaitu agar adik-adik sefikrah tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama. Kerana manusia tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan… Itulah harapan saya kepada adik-adik yang boleh saya umpamakan sebagai golongan ribbiyyun agar melatih diri untuk menghargai walau sedetik masa berlalu.

Saya beranggapan bahawa pendekatan maw`izah al-hasanah (teguran membina) di atas adalah lebih sesuai digunakan untuk menegur ahli, khususnya ahli yang sentimental (penghayatan yang tinggi) atau ahli di kalangan muslimat. Bukankah nada sedemikian lebih lembut dan lunak daripada kita menghentam dan memarahi membabi buta secara beremosi. Mengata dengan nada sinis dan meninggikan suara seperti, “Cepatla…! Kata pimpinan, tapi lambat dan tak tepati masa…”, atau “Pimpinan pun sama, tak indibat, apatah lagi ahli..”, atau “Ni ke namanya berjuang..?” pada pendapat saya tidaklah membuahkan natijah yang baik, malah unsur-unsur skeptisme dan buruk sangka kian mekar meracuni fikiran.

Berbalik kepada prsoalan pokok yang pertama, iaitu disiplin masa. Satu perwatakan yang tidak mesti tidak harus ditanam hingga lumat dalam kalangan ribbiyyun ialah ahli haraki adalah ahli yang wajib punya indibat. Berdisplin dalam segala aspek. Disiplin dalam menjunjung amanah Allah, berdisiplin dalam menunaikan janji dan amanah sesama makhluk sama ada dari sudut gerak kerja, ketepatan masa, amal-amal kerohanian, dan sebagainya. Semakin luntur nilai-nilai indibat di dalam jiwa ahli, maka pastinya kita akan dapati bahawa gerakan sesuatu organisasi kian lemah dan punah. Bagaimana halnya pula sampai satu masa apabila kebanyakan ahli gerakan melupakan persoalan indibat..?? Fikir-fikirkan…

Persoalan kedua pula ialah memohon maaf dan memaafkan. Alangkah indahnya sekiranya kita dapat menyemai sikap toleransi antara sahabat-sahabat dan manusia secara umumnya sebagai alternatif kepada herdikan, cercaan, umpatan, dan sebagainya. Alangkah manisnya hidup ini sekiranya setiap individu menghapuskan sikap ego dan dendam dalam diri, bersikap terbuka dan profesional dalam menyelesaikan segala masalah. Timbul pertanyaan… Kita mudah meminta maaf dan memaafkan orang lain, tapi pernahkah kita berusaha sedaya upaya menghindarkan diri daripada melakukan kesilapan yang sama? Maka hal ini mendorong kita untuk menelusuri konsep keimanan yang kita jiwai dalam diri, dan ia termasuk di dalam persoalan ketiga.

Keimanan sejati adalah dengan meletakkan segala tindak tanduk kita, nawaitu kita, dan segala yang berkaitan dengan diri kita pada jaluran syara’ yang sebenar. Maka, apabila kita hidup dalam kerangka masa yang menghujam, mahu tidak mahu kita perlu menuruti masa dengan tepat sungguhpun berada dalam kesibukan yang teramat. Istilah pejuang dan ribbiyyun tidaklah dinobatkan kepada seseorang melainkan pastinya terdapat suatu hal yang luar biasa pada dirinya, mempunyai suatu keunikan dan perbezaan dengan insan lain. Sekiranya manusia lain secara lazimnya tidur 7 jam sehari, maka, seorang ribbiyyun perlulah melatih diri untuk melangkaui zon selesa seperti tidur 4 – 5 jam sehari. Sekiranya, manusia biasa sentiasa makan makanan yang enak, maka seorang ribbiyyun perlulah melatih diri untuk sentiasa berpuasa sunat. Sehingga mampu untuk kita ungkapkan bahawa ribbiyyun ini merupakan individu yang serba boleh dalam segenap cabang, berlainan dengan insan-insan lain. Inilah pejuang sebenar yang kita dambakan…

Merujuk kepada perbincangan indibat, sekiranya indibat ini mampu disemai dalam jiwa-jiwa pemberani, maka Insya Allah, ketahuilah bahawa kelak akan munculnya pemimpin yang berhasil mendidik para pemuda untuk menjunjung kehormatan, menumbuhkan mereka atas prinsip kesatriaan, menghidupkan pada diri mereka semangat kejayaan dan perjuangan, dan membuka mata mereka pada sumber-sumber kekuatan dan kemerdekaan. Seorang penyair di kalangan Ikhwan al-Muslimin pernah mengkumandangkan bait-bait lagu syairnya yang berbunyi:

“Aku tidak mengenal tanah air selain Islam,

Sama saja bagiku, lembah Nil ataupun Syam,

Setiap kali nama Allah disebut di suatu negeri,

Aku menganggap seluruh penjuru negeri itu adalah tanah airku sejati…”

Oleh yang demikian, perjuangan menegakkan panji La ilaha illa Allah sudah tertentu terpasak pada diri mutarabbi, dalam menatang suatu ambisi yang begitu melangit tinggi, memerdekakan umat Islam dan negeri menjadi satu wilayah yang tidak dibatasi…. Wa Allahu a’lam.

2 comments:

Syahadah Hafeezah said...
This comment has been removed by the author.
Syahadah Hafeezah said...

perkongsian yang sangat menarik.. ana sebetulnya pun sudah lama ingin menulis tentang ini.. tapi masih tidak diberi kesempatan oleh Allah.. tahniah. moga golongan ribbiyyuun ini adalah yang diukir pada jalan sunnah dan qudwah baginda Nabi.
Betapa banyak yang melihat buruknya Islam kerana penganutnya.. Na'udzubillah...