Mengukir Senyuman di Sebalik Lembaran Silam Kenakalanku… 2011

Kehadiran tahun baru 2011 mengimbau kenangan silam sewaktu alam ria si kecilku. Tatkala usia hampir menginjak 24 tahun, rasionaliti, berfalsafah, dan realistik dalam proses berfikir kian bertambah. Mengenang memori travelog silam lantas menjadikan diri ini semakin mengerti akan universiti kehidupan. Merenung-renung kembali, rupanya mentaakul dari susur galur kehidupan diri merupakan sebuah madah bermakna yang diraih dari titian pengalaman. Ya, ilmu hikmah barangkali. Potret kehidupanku yang pahit berwajah anak hingusan di waktu silam ada saja dirasakan manis apabila diingati, sedang memori manis di waktu silam mudah saja kelam serta tidaklah benar-benar terbuku di hati… Begitulah irama kehidupan. Lalu, dikenang pula fikiran ini satu-persatu episod kenakalan, sedang akal tika itu masih pendek melestarikan perencanaan.

Entah nakal atau tidak aku sewaktu kecil. Atau barangkali saja itulah perwatakan insan ciptaan Tuhan sewaktu melewati alam hingusan. Dikira alam itu berkisar fantasi, melakar lukisan alam itu seindah pelangi, akan tetapi diri tika itu entah berfikir tentang apa, riang ria saja, tidak merasa berdosa. Apabila pulang ke desa, beramah mesra dengan sanak saudara, mulalah mencari sepupu sebaya menjadi geng kita. Bukan apa, hanya kerana ligat melakukan perkara yang aneh-aneh saja. Bila bertemu dengan sepupu, kuajak mereka laksana suatu misi dengan terburu-buru. Kanak-kanaklah katakan... Daripada tidak berbuat apa-apa, kami adik-beradik dan sepupu masuk ke bilik ajak bertumbuk berolok-olok di kampung Bakri. Bila hari raya, satu kawasan kampung Parit Jawa habis diziarah, bukan bertujuan untuk bermaaf-maafan, tetapi hanya inginkan wang walau sekupang. Berlumba-lumba mengumpul duit raya saja. Kemudian dibilangnya duit itu di ruang tamu rumah atuk bersama sepupu yang lain, melihat siapa jagoan kampung yang mempunyai duit raya tertimbun. Atuk hanya tersenyum, tanda faham saja dengan karenah anak-anak kecil. Ada waktu senggang di kampung tidak kira siang atau malam, diajak pula bermain bola sepak di ruang tamu, seolah-olah sengaja membuat kampung haru biru lantaran ingin diperhatikan. Pernah juga tanpa rasa bersalah kami mandi berendam di dalam kolah beramai-ramai di bilik air kampung, sedangkan kolah tersebut tidak boleh dimasuki orang, dijadikan kolah pula seakan kolam renang. Teringin benar agaknya untuk mandi di kolam renang tika itu, namun tidak kesampaian. Lalu dijadikan pula kolah medan permandian. Siang malam bising dengan gegaran lantai papan di kampung kerana terkinja-kinja bersama sepupu lelaki. Aku tidak mengerti mengapa atuk di Parit Jawa dan mak cik di Bakri ketika itu begitu garang denganku. Aku hanya inginkan kebebasan dan kegirangan. Semakin dewasa, baru itulah aku mengerti, dan kini, atuk serta mak cikku pula seakan menjadi kawan sendiri, namun perasaan hormat masih kusemai buat mereka. Itulah kisahku di kampung tika anak-anak muda.

Kalau di rumah dan di sekolah rendah, aku kuat saja merayau sehingga empat lima kilometer dari rumah. Pergi bermain bola, badminton, gasing, besbol, ping pong, basikal, kaki tempang, kejar-kejar, cyber cafĂ© dan sebagainya. Sangat ligat, tidak boleh duduk diam. Kadang kala pulang ke rumah selepas maghrib. Kemudian dimarahi pula abah, kerana masih belum bersiap untuk ke surau bersama. Bila pergi ke surau bersama abah khususnya pada waktu maghrib dan isya’ di Bandar Baru Selayang, kadang-kadang aku dan adik-adik tidak solat dengan betul. Berbual-bual dalam solat, mengacau adik-adik dan kawan-kawan ketika solat sehingga aku pernah dicubit dengan pak cik yang sering datang ke surau itu. Bila musim terawih pula, ketika ada masa senggang antara 4 rakaat terawih, kami adik beradik terus menuju ke belakang surau ingin bermain mercun bersama kawan-kawan yang lain. Sebab itulah ayahku kadang-kala merotanku ketika kecil disebabkan kenakalanku. Barulah kufaham kini… Kerana kutahu, sekiranya aku juga mempunyai anak sedemikian, akan kurotan juga anakku dengan cara yang dianjurkan agama… Satu kisah yang mencuit hati sewaktu daku kecil, aku pernah tersembam dalam bilik air gara-gara kubergayut di bawah sinki, sementara adik lelakiku duduk bersila di dalamnya. Ketika bergayut, sinki itu pecah berderai di jubin lantai bilik air, tetapi aku tidak mengalami kecederaan apa-apa, sedang adikku yang duduk bersila di dalam sinki mengalami luka di tangan saja. Kuingat apa, hanya bersuka ria, dibuatnya sinki itu seakan kolam di singgahsana. Terlalu ghairah bermandi-manda tanpa memikirkan risiko yang bakal menimpa. Kalau di sekolah rendah pula, membuat bising sudah menjadi hobi, apatah lagi ketika ketiadaan guru. Lagilah kalau subjek pendidikan Islam ketika darjah dua, suka saja membuat pasal pada ustazah, tapi pemarkahan subjek tersebut setiap kali ujian dan peperiksaan tetap aku skor saja. Tatkala mengimbau kisah itu, aku merasakan begitu nakalnya aku ketika itu… Sungguh bertuah… Bagaimana pula nanti kalau daku memiliki anak sebegitu..? Hmm..

Kini, aku masih lagi dalam mencari identitiku yang sebenar, membina jati diri dan prinsip hidup manusiawi, membangun kefahaman ruh Islami,memasang nekad untuk mengislah diri dan masyarakat, dan daku kini turut berusaha membina paradigma ini agar bernuansa fikrah Islam sejati dan berbakti pada pertiwi, dalam intaian hikmah di sebalik tabir ayat. Sememangnya perlu jua direnungi peristiwa lampau, agar menjadi hikmah tauladan di hari muka. Di balik jendela dengan lontaran mata hati memerhati kebesaran ciptaan Tuhan berupa keindahan menghijau tumbuh-tumbuhan, tiba-tiba saja terukir sekuntum senyuman pada bibirku, kerana perwatakanku kini mungkin saja begitu berbeza berbanding dahulu. Ukiran senyuman itu sangat mengharukan, kerana ia membawa sebuah pengertian yang melangit tinggi… Insya Allah, perubahan demi perubahan ke arah kebaikan dalam setiap tika dan tindakan. Boleh!! Kuat!! Cekal, wahai Ali!! Kupohon doa pada-Mu ya Allah, agar dikurniakan tawfiq dan hidayah, dikurniakan kekuatan dan wibawa… Kupohon ampunan padamu umi dan abah, doakan daku agar dapat menggarap gelaran Ahlullah dan Jundullah rabbani, dalam segenap kehidupan… Cemerlang dalam setiap hasrat yang diidamkan, agar beroleh ijazah kedoktoran berupa syahid yang dicitakan. Wassalam.

##ribbiyyun##

Khamis, 6 Jan 2011,

1631pm

1 comments:

Syahadah Hafeezah said...

lama menunggu posting terbaru akhi.
paling kelakar pasal sink tu - perlu ke buat macam tu..?? kalau diingati kenakalan orang lelaki sewaktu kecil, cukuplah mengingati caca-merba adik beradik ana yang semua hero2 tu. abang long sendiri pernah main air panas nak buat teh tarik, melecur habis perut, adik minum minyak gas, ada yang mengigau masa demam panas sampai pergi ke jalanraya kerana mahu ke sekolah di seberang jalan.. macam2 lah. kini semua pun sudah matang2. cumanya, zaman kecil dahulu bersih hati dan suci hati, zaman besar semoga masih ada hati itu.