Si Dia yang Aku Kenal, Si Dia Itulah Si Dia..

Corak pemikiran kritis merupakan anugerah Tuhan kepada hamba-hamba-Nya. Terdapat beberapa andaian dan hipotesis akan dibuat setelah melihat sesuatu objek yang diobservasi, apatah lagi ia diperhatikan oleh ramai pihak yang mempunyai pelbagai latar belakang gaya berfikir. Kepelbagaian gaya berfikir dari pelbagai manusia melahirkan kepelbagaian idea dan pandangan dari pelbagai perspektif. Perspektif yang pelbagai dalam lapangan minda merupakan suatu anugerah Tuhan yang cukup bermakna bagi manusia yang berakal, dan inilah keunikan dan keistimewaan akal manusia yang tidak terdapat pada makhluk yang lain. Subhana Allah, Maha Suci Tuhan yang menganugerahkan akal fikiran… Selanjutnya, idea yang bernas dari pelbagai angle lalu dinilai untuk diputuskan menerusi sistem syura, dan pastinya ia menatijahkan suatu paduan perencanaan yang terbaik berbanding hasil cetusan fikiran seorang individu sahaja. Sekiranya ia dilaksanakan secara tersusun dan harmoni, maka natijahnya pasti lebih menguntungkan berbanding mengambil jalan bersikap individualistik. Namun, seandainya amal jama`i ke arah lontaran idea disalahertikan dan tidak digembleng secara harmonis, maka proses penghasilan natijah menjadi semakin rumit dan parah, membuang masa, malah proses tersebut tidak lain hanyalah seolah menangguk mudarat yang lebih besar.

Aku tidaklah ingin berceloteh panjang lebar mengenai pemikiran kritis yang terbina dari pemerhatian pelbagai perspektif. Sememangnya apa yang kutulis ini juga mungkin saja diandaikan oleh pelbagai pihak yang mempunyai dimensi pemikiran yang berbeza, mungkin ada saja andaian dan kesimpulan pelbagai yang bermain di kotak minda kalian hasil daripada pembacaan artikel ini… Hanya saja kusentuh aspek ini adalah sebagai muqaddimah yang mempunyai kesinambungan kepada tajuk perbincangan. Mengenai “Si Dia yang Aku Kenal”. Si dia yang aku kenal, maka ternyata kumemerhatikan si dia dari dimensi mindaku. Aku berusaha memerhatikan si dia dari pelbagai sudut, agar tidak mudah kumenghukum sedang mungkin ada saja aku yang salah barangkali. Mungkin benar, mungkin salah, wAllahua’lam. Aku berpandangan, dalam menilai pandangan seseorang, kita perlulah mendengar tanpa menolak mentah-mentah, kerana pada kata-kata si anak kecil juga punya hikmah, melainkan kata-katanya terang-terangan bertentangan dengan agama. Ya, konsep tasamuh (berlapang dada/keterbukaan) dalam Islam. Maka idea tersebut boleh saja diambil kira selagi mana konsep tersebut diamalkan mengikut kerangka Islam atau maqasid syariah. Dari hal ini, ia melatih kita agar menghargai orang lain, merendah diri, serta tidak bersikap ego. Pastinya hal ini perlu disemai dalam kalangan kita amnya dan para pemimpin khususnya tatkala melontarkan pandangan yang tidak terdapat nas yang thabit/qat`i mengenainya, seterusnya dalam memutuskan sesuatu isu. Inilah umurun ijtihadi…

Entahlah… Topik di atas diketengahkan memandangkan terdapat beberapa tanggapan pada keunikan atau keanehan si dia dari pelbagai pihak. Aku cuba merangkumkan tanggapan-tanggapan utama dalam entri ini. Si dia dilihat oleh individu tertentu sebagai seorang yang sangat istimewa/unik walaupun zahiriahnya seakan pelik atau sakit. Pelik itulah unik. Inilah ghuraba’ yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. Punya kelebihan, ramah mesra, bersungguh-sungguh dalam mengejar kesempurnaan Iman. Si dia sangat menyelami butiran hikmah dalam setiap DETIK amal, sehingga menjadi kepelikan pada orang lain. Begitu sensitif pada persoalan penyucian hati sehingga pada satu peringkat penyucian jiwa, berderai saja air mata tatkala beramal, serta merasa diri ‘hilang’ dari dunia yang nyata. Punya idea yang mencurah-curah, sehingga adakalanya sukar dikendalikan yang mana satu idea yang lebih releven. Punya keazaman yang luar biasa dan mampu diterjemahkan, sekiranya ia dibimbing dengan sikap rasional dan realistik. Punya kredibiliti membina jaringan dan hubungan sesama manusia dengan keramahan dan kemesraannya, dengan syarat tidak terlalu mengeksklusifkan diri. Punya upaya membimbing orang lain dan memotivasikan mereka dengan begitu efisien dan efektif, sekiranya si dia dalam keadaan yang begitu bermotivasi. Punya firasat yang begitu lurus dan tajam dalam membuat penilaian awal terhadap seseorang yang baru dikenali, tetapi perlu dipandu dengan wahyu agar tidak terjebak dengan kekarutan mistik. Punya ketelitian yang begitu rinci, namun perlu diaplikasikan pada situasi-situasi tertentu sahaja. Punya jiwa dan emosi yang begitu halus, tetapi perlu diimbangi dengan kewarasan dan logik akal. Si dia banyak mengharungi pelbagai pengalaman unik baik dan buruk, dan pengalaman itulah merupakan tanda-tanda awal ke arah merealisasikan cita-cita, menjadi orang pakar mencetak, memotivasi, dan membentuk insan, generasi Islam seterusnya. Hakikatnya, dalam usaha membina keperibadian, proses pembelajaran dari pengalaman silam itulah lebih berkesan daripada proses pembelajaran yang lain, dan ia meliputi lebih 70% dari keseluruhan pembelajaran menurut kajian psikologi. Maka, peristiwa silam itu akan lebih mematangkan si dia, islah ke arah yang lebih baik, dengan syarat si dia berusaha membina kehidupan yang positif dan tidak pesimis pada hal-hal lampau, juga dalam segenap tindakan. Perlu mengetahui realiti kehidupan, agar tidak tenggelam di alam khayalan, serta melihat kesempatan/peluang yang menunggu, tanpa menoleh ke belakang dengan termanggu-manggu. Segala yang telah, sedang, dan bakal dilakukan sememangnya menjadi suratan di luh mahfuz, maka pastinya Allah s.w.t sememangnya mengurniakan sesuatu yang terbaik buat si dia. Syukur, sabar, dan redha. Alhamdulillah rabbil `alamin…

Dari perspektif yang lain pula, si dia dilihat sebagai seorang yang mempunyai sakit mental (kemurungan/tekanan/anxiety/depression). Ada juga yang menganggap bahawa si dia terkena gangguan makhluk halus. Terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa dia telah berada di maqam yang tinggi dalam ilmu kesufian, tapi masih kurang memiliki asas yang kukuh sehingga terjadinya gila Ism. Si dia juga dikatakan mempunyai konflik dalaman yang sangat kuat, dan pelbagai andaian lagi… Kesemua spekulasi yang dilontarkan ke atas si dia adalah rentetan daripada pemerhatian mereka terhadap simptom-simptom yang wujud pada si dia. Aku pun tidak mengerti sebenarnya… Adakalanya, aku begitu kasihan dengan si dia, sehingga aku pun tidak tahu hendak berbuat apa terhadap si dia melainkan bertawakal kepada Allah setelah berikhtiar. Kerana kubegitu yakin bahawa sebenarnya si dia sangat sihat, kuat, dan hebat malah luar biasa hebatnya berbanding orang lain sekiranya si dia sendiri yakin dan optimis pada dirinya sendiri. Energatikkan mindanya sendiri, berbicara dengan mata hatinya sendiri dalam menyelami tujuan hidup ini. Mengetahui awlawiyyat tindak tanduk kehidupan, tidak terlalu memikirkan perkara picisan, sentiasa berpewatakan simple mind, dengan memahami erti kehidupan pada memberi.

Alhamdulillah, beberapa sahabat lain banyak memberikan bimbingan, sokongan, dan perangsang… Terima kasih seinfiniti, wahai sahabat-sahabat yang begitu memahami kondisi. Aku berusaha memahami bicara Tuhan, kerana hakikatnya situasi si dia sememangnya datang daripada Tuhan. Maka, pastinya ada kebaikan... Justeru, kusimpulkan bahawa hakikatnya, si dialah yang mengenali siapa si dia sebenarnya. Kerana si dia adalah si dia yang sebenarnya… Si dialah yang membentuk acuan si dia. Si dia yang paling mengenali si dia… Si dia yang menjelmakan si dia di alam realiti bukan fantasi… Kesemuanya dalam lingkungan izin dan kehendak Allah s.w.t jua… Dan akhirnya, si dia adalah Dia.. Kupanjatkan sekalung doa agar si dia menjadi orang yang luar biasa upayanya, dan sentiasa di dalam payungan rahmat Allah s.w.t. jua, sehingga menuju ke singgahsana… Ameen… Wassalam.

##ribbiyyun##

Ahad, 9 Januari 2011,

9.01pagi,

Kuarters Galeria Seri Perdana, KL.

1 comments:

AL-ZAHRAWI said...

salam.'si dia yang ku kenal'..insyAllah sy kenal.moga2 Allah merahmati dan memberi kehidupan yg terbaik kpd 'si dia'.doaku pd 'si dia' sentiasa.