Hatiku semakin berdebar-debar dengan kehadirannya ditambah pula dengan keresahanku seakan masih belum bersedia. Apakah aku bersedia menerimanya sebagai peneman setiaku di kala jiwaku meronta kesunyian, dahagakan seteguk keimanan yang melunakkan hati ini? Masa hanya berbaki beberapa detik sahaja untuknya tiba di pangkuanku, namun adakah aku berkesempatan menemuinya sebelum ajalku tiba? Kerana ajal tidak mengenal masa. Ya Rabb… Tenangkanlah hati ini menemuinya, permudahkanlah langkah ini berhadapan dengannya, licinkanlah destinasi ini ketika berada di sisinya, kurniakanlah kesempatan pada diri ini untuk saling bermesra bersamanya di dalam kesyahduan malam yang hening, dalam menggapai keredhaanMu… Pintaku padaMu agar kiranya jua kudapat bersua dengan CINTAku sebelum nenanti lidah terkelu untuk meluahkan hasrat yang terpendam ini... Tatkala berlabuh sang Suria hari ini, si dia bakal menjelma…
Ya, itulah Cintaku yang diberi nama “Ramadhan”... Allahumma ballighna Ramadhan 3x… Semulia-mulia bulan dan seindah taman Firdausi Cintaku ini sekiranya aku dapat memanfaatkan setiap waktu yang ada walau seketika untuk berdamping dengannya. Di sebalik kegembiraan menerima kunjungannya, di sebalik debaran menyambut kedatangannya, terbuku satu persoalan di dalam benakku yang barangkali juga sedikit memedihkan hatiku, lalu bergenang air mataku, kerana Tuhan hanya mengizinkanku bersamanya untuk beberapa ketika, iaitu dalam tempoh hanyalah sepurnama. Oleh hal yang demikian, daku memasakkan dengan pasakan jihad yang jitu, menyahkan nafsu amarah ini, menyucikan hati ini yang bergelumang dengan noda dan dosa, agar kutidak mensia-siakan peluang dan ruang yang ada hanya beberapa ketika ini untuk menelusuri bahtera kehidupan bersama dengannya di lautan bergelombang. Allahumma innaka `afuyyun tuhibbul `afwa fa’fu `anna ya Karim…
Berceloteh sastera bukanlah salah satu kemahiranku di dalam menulis artikel. Aku bukanlah sasterawan ulung dan ahli bahasa,malah aku jarang sekali membaca novel-novel. Namun, mungkin juga dengan sedikit ayat-ayat puitis di atas sedikit sebanyak dapat menggamit kembali nostalgia Ramadhan lalu, sekaligus menenggelamkan kita di dalam kelazatan menyambut bulan Ramadhan yang berkunjung. Sekadar muhasabah buat kita… Laungan kemerdekaan yang berdegar-degar disambut meriah oleh segenap pelosok masyarakat Malaysia menyatakan bahawa bangsa Malaysia bangsa merdeka. 31 Ogos diraikan dengan gilang-gemilang dengan countdown, percikan mercun dan bunga api, perarakan dan perbarisan, persembahan artis dan tarian, dan sebagainya, namun tanpa kita sedari, fikrah manusia kian dijajah dengan budaya hedonisme. Begitu juga ketika menyambut kedatangan tahun baru Masihi, sambutannya diadakan secara besar-besaran. Azam baru disemat setiap kali tahun baru bertandang, sedangkan proses pengislahan diri sewajarnya perlu dilakukan pada setiap detik, bukannya ketika tibanya tahun baru. Malah tahun baru Masihi (Kristian) pula disambut secara besar-besaran, sebaliknya tahun baru Hijrah semakin tenggelam dek zaman.
Aku bukanlah ingin melanjutkan diskusi dengan perbincangan mendalam mengenai Hari Kemerdekaan dan Tahun Baru, akan tetapi aku ingin menarik perhatian sahabat-sahabiah sekalian mengenai sejauh mana persiapan dan persediaan kita menghadapi bulan Ramadhan. Kita memerhatikan bahawasanya persiapan menyambut Hari Kemerdekaan umpamanya, memakan belanja berjuta-juta ringgit, malah persiapan tersebut telah dilakukan berbulan-bulan lebih awal sebelum ketibaan hari bersejarah itu. Namun sambutannya pada 31 Ogos tidak lain hanyalah memakan masa tidak lebih 24 jam sahaja. Bahkan, majlis yang diadakan bersempena Hari Kemerdekaan tersebut hanyalah majlis sejarah arkib manusia, bukanlah satu bentuk manifestasi majlis Allah. Persiapan yang begitu terperinci adakalanya sehingga menenggelamkan ruh Ramadhan itu sendiri, sedangkan jangka masa sambutan Ramadhan jauh lebih lama (sebulan), bahkan bulan inilah merupakan bulan rahmat dan barakah bagi seluruh umat manusia, namun persiapan dan persediaan oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia khususnya tidaklah seberapa.
Percayalah, tiada mana-mana sambutan pun yang lebih mendalam ertinya, melainkan sambutan di bulan Ramadhan. Satu kurniaan agung daripada Allah s.w.t bagi hamba-hambaNya walau di mana mereka berada… Bagi yang menyedari hakikat ini, pastinya mereka akan memanfaatkan setiap ruang waktu yang berlalu di dalam Bulan Keampunan ini dengan pengabdian diri yang menyeluruh kepada Allah, tunduk dan tawadhuk serta menghinakan diri di dalam lautan maghfirahNya, meningkatkan `ubudiyyah kepada Pencipta, dan melakukan segala macam perkara yang dapat mentaqarrubkan diri kepadaNya, lantas merealisasikan matlamat utama sebagai seorang hamba, iaitu menggapai keredhaanNya. Pemergian Ramadhan merupakan pemergian yang paling dukacita buat mereka, kerana tidak pasti sama ada dipertemukan diri mereka ini pada Ramadhan akan datang atau sebaliknya. Kita sering didendangkan dengan semangat patriotisme di kaca-kaca televisyen, di dada-dada akhbar, namun hebahan dan pendedahan mengenai keindahan di bulan mulia ini kelihatan tenggelam, malah ia hanyalah menjadi satu hebahan picisan dan sampingan sahaja, sedangkan Ramadhan inilah merupakan anugerah berharga daripada Allah buat seluruh umat manusia, dan tempohnya jauh lebih lama memakan masa sebulan. Marilah sama-sama kita memuhasabah semula diri ini agar mudah-mudahan Ramadhan kali ini membuahkan hasil yang terbaik buat kita sebelum kita kembali ke alam baqa’. Tuntasnya, dapatlah diperhatikan perbandingan di antara bulan Ramadhan dan Hari Kemerdekaan seperti berikut:
1. Bulan Ramadhan merupakan satu majlis yang dihadiahkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya sedangkan Hari Kemerdekaan hanyalah satu majlis sejarah yang diada-adakan manusia (dunia semata-mata).
2. Persiapan menyambut bulan Ramadhan oleh kebanyakan masyarakat dianggap sebagai satu perkara yang enteng sedangkan kehadiran Ramadhan memakan tempoh sebulan, sebaliknya sambutan Hari Kemerdekaan diadakan secara gilang-gemilang sedangkan kehadiran Hari Kemerdekaan tersebut hanyalah memakan masa tidak melebihi 24 jam.
3. Hebahan dan pendedahan mengenai roh Ramadhan seakan-akan tenggelam di media-media massa, manakala kehadiran Hari Kemerdekaan disemai melalui semangat patriotisme dan nasionalisme yang sangat menebal di media-media massa.
4. Allah s.w.t menjamin pahala berlipat ganda di bulan Ramadhan bagi hamba-hambaNya yang bersungguh-sungguh mengecapi kemanisan ibadah tersebut, manakala sekiranya sambutan Kemerdekaan dicampuradukkan dengan hiburan dan perkara-perkara yang melalaikan serta menggelapkan jiwa, dan juga bukan bermatlamatkan Allah, maka tiadalah nilaian sambutan tersebut di sisiNya.
5. Harta yang dibelanjakan di dalam Bulan Ramadhan oleh sejumlah besar masyarakat hanyalah beberapa ringgit sahaja bagi menyambut ketibaan bulan yang penuh barakah ini, manakala sambutan Hari Kemerdekaan adakalanya memakan belanja berjuta-juta ringgit meskipun sambutan tersebut hanya sehari sahaja.
6. Dan lain-lain lagi…
Aku yakin dan percaya, barangsiapa yang melihat Ramadhan ini dari kaca mata yang positif, maka Ramadhan sudah pastinya menjadi medan dan madrasah tarbiyah sebenar buat dirinya. Sebaliknya, bagi mereka yang melihat Ramadhan ini dari pandang sisi yang negatif, mereka menganggap bahawasanya Ramadhan merupakan satu bebanan buat mereka. Wajib berpuasalah, bertarawihlah, membaca al-Qur’anlah, tidak boleh merokoklah, dan sebagainya, dan semua instrumen ini seakan-akan menggundah-gulanakan hati-hati mereka yang dikuasai nafsu dan syaitan. Ada yang mengatakan bahawa puasa di bulan Ramadhan melemahkan tubuh badan, sedangkan sekiranya kita menyoroti sejarah kegemilangan Islam, Islam telah berjaya meluaskan empayarnya melalui peperangan dan jihad ketika di dalam bulan Ramadhan seperti peperangan Badar al-Kubra, dan jihad Salehuddin al-Ayyubi bersama tenteranya menawan Jerussalem, Palestin. Ini membuktikan bahawa puasa sebaliknya menguatkan tubuh badan kerana anggota kita tidak sarat dengan makanan yang mengakibatkan kelembapan fikiran yang menyekat kecerdasan, bahkan dengan puasa, ia mampu membangkitkan kekuatan dalaman yang begitu tinggi untuk berjuang menegakkan kalimah Allah s.w.t.
Bagi meningkatkan perhambaan dan kemanisan beribadah di bulan Ramadhan, sukaku memetik hadith Nabi s.a.w seperti berikut:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ...
Maksudnya:
“Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Setiap amal yang dilakukan oleh anak Adam adalah untuknya, melainkan puasa. Sesungguhnya ia adalah untukKu dan Aku yang langsung membalasnya…”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ganjaran yang cukup besar bagi insan yang melakukan amalan di bulan puasa, sehingga Allah s.w.t tidak menyatakan ganjaran-ganjaran tertentu bagi amalan mereka di dalam bulan Ramadhan, sebaliknya Allah s.w.t menyatakan bahawa ganjaran tersebut hanyalah di dalam rahsiaNya. Ungkapan hadith ini menunjukkan bahawa ganjaran yang diperoleh oleh seseorang di bulan Ramadhan tidak dapat dibayangkan oleh kerana ganjarannya yang terlalu besar dan ia menjadi rahsia di sisiNya sahaja. Sementara kita dikurniakan kesihatan dan kelapangan masa, marilah kita bersama-sama meningkatkan amalan di bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w memberi peringatan kepada kita bahawasanya terdapat dua nikmat yang sering dilupakan oleh manusia, iaitu nikmat kesihatan dan kelapangan waktu. Maka, dengan kesempatan saki baki yang ada, dengan kurniaan kedua-dua nikmat tersebut marilah kita bermujahadah memperkasakan amalan…
Sememangnya daku berasa sungguh hina untuk bertemu dengan Cintaku ini kerana persiapanku untuk meraikannya sebagai teman hidupku dan pendamping setiaku tidaklah seberapa. Cintaku Ramadhan semakin hampir menemuiku, dan daku berjanji tidak akan mensia-siakannya walau seinci waktu. Amalan perlu dipertingkatkan, jihad perlu dibaja. Aku berazam agar misiku untuk menjadikan Cintaku kali ini sebagai CINTA paling sejati buatnya dan diriku, dan mudah-mudahan si dia tidak berasa jemu untuk berkunjung kepadaku pada tahun-tahun akan datang dengan layanan istimewa yang kuberikan padanya pada kali ini. Berpuasa sudah tentu, bertarawih 20 rakaat, khatam membaca al-Qur’an sekurang-kurangnya dua kali, menghafaz hadith empat puluh yang disusun oleh Imam Nawai r.a., bertahajjud sepanjang hari, zikrullah, mengikuti kuliah dan ceramah, merupakan antara layananku buat Cintaku pada kali ini. Teringat daku kepada sabda Rasulullah s.a.w yang tidak kupasti darjatnya hadithnya, mafhumnya: Hendaklah kamu memanjangkan diam, melainkan (berkata-kata) pada perkara kebaikan. Aku perlu menjaga tutur bicaraku daripada berkata yang sia-sia khususnya ketika bersua dengan Cintaku… Justeru, semoga dia berasa tenteram bersamaku untuk terus berdamping denganku di masa-masa akan datang kelak, sekiranya diizinkanNya... Aku berasa sungguh gembira dan terharu, tidak sabar-sabar menantikan saat ketibaanmu dalam dakapanku wahai kekasihku meskipun lahir jua kegundahan diriku, sama ada aku bersedia atau tidak untuk melamarmu… Kerana dirimu begitu berharga berbanding diriku yang begitu hina… Dup dap dup dap… hatiku berderau dan berdebar… Namun kumenanti dan terus menanti saat ini agar kuberoleh kebahagiaan hakiki yang lahir dari sekeping hati…
مرحبا يا رمضان...
0 comments:
Post a Comment