Sekian lama kumenanti saat ini untuk menukilkan perihal keluargaku yang sangat kucintai. Aku merasa bertuah kerana dilahirkan di dalam keluarga besar Haji Norasid b. Mohamed Yasin, malah dengan takdir Allah s.w.t., aku merupakan anak sulung di dalam keluarga, dilahirkan di muka bumi ini… Seharusnya kumengerti bahawa tidak boleh tidak aku perlu menjadi contoh tauladan kepada adik-adikku yang lain seramai 11 orang. Naluriku mula berasa janggal namun bersyukur, apabila Abah mengkhabarkan kepadaku bahawa terdapat titisan darah Rasulullah s.a.w mengalir di segenap tubuh keluargaku. Aku tidak menafikan hal tersebut dan tidak pula terlalu mengiyakan, namun sedikit sebanyak aku berasa percaya dengan kajian yang telah dilakukan oleh Abah memandangkan Abah sering membuat kajian keturunanku sehingga dapat dikenal pasti nenek moyangku sehingga bersambung kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana Abah sememangnya mempunyai pengalaman luas dalam penyelidikan sejarah dan penulisan buku apatah lagi Abah bekerja sebagai pegawai Arkib Negara Malaysia. Aku lalu teringat akan petikan yang telah dikarang oleh Abah di dalam satu risalah yang mungkin juga kelihatan seakan-akan wasiat kepada anak-anaknya, iaitu:
“Berbanggalah kalian dengan rasa tawadhuk yang tinggi bahawa dalam diri kalian dan adik-adik mengalir titisan darah Rasulullah s.a.w walaupun sangat tipis dan terlalu jauh. Ingatlah bahawa intan tetap intan dan jika digilap bersinarlah ia dan meskipun terpendam tapi tetap berharga. Ingatlah bahawa titisan darah Rasulullah s.a.w dalam tubuh kalian tidak menjamin masuk syurga kecuali kalian dijanjikan dengan 10 kali ganda kemudahan apabila kalian memilih untuk membuat kebajikan mahupun kejahatan. Maka berhati-hatilah supaya memilih kebajikan dan cegahlah kemungkaran…”
Mungkin agak sukar untuk mempercayai hakikat ini, namun setelah Abah menunjukkan salasilah keturunan keluargaku, sedikit sebanyak aku mulai faham. Muhamad Alihanafiah bin Norasid bin Mohamed Yasin bin Haji Long bin Haji Mohamed Noh bin Haji Muhamad bin Haji Ibrahim bin Tengku Ismail ibn Raja Ceribon Syarif Hidayatullah Sunan Gunung Jati. Sunan Gunung Jati merupakan salah seorang daripada wali songo yang terdapat di Indonesia, dan menurut kajian Abah, kesembilan-sembilan wali songo tersebut berketurunan Nabi Muhammad s.a.w. Wallahu a’lam... Walau apa pun natijahnya, aku menganggap bahawa diriku hanyalah manusia yang sangat kerdil dan tiadalah perbezaan di antaraku dengan sahabat-sahabiahku yang lain.
Kutitipkan seuntai selawat dan salam buatmu junjungan mulia kekasihku…
Siapalah daku yang begitu hina meskipun pewaris ahlul baitmu walau setitis…
Kerana diangkat martabat kemuliaan makhluk itu,
Tatkala kemuliaannya hanyalah terletak pada TAQWA,
Dan bukannya pada pangkat dan keturunan…
Ungkapan jutaan terima kasih kutujukan buat Abah… Pastinya juga ungkapan ini masih belum dapat membalas budi dan bakti yang telah Abah curahkan kepada anak-anaknya. Abah seorang yang idealis, berpandangan jauh, dan berwawasan. Abah sering menerapkan kefahaman agama kepadaku dan adik-adikku semenjak kecil. Abah juga merupakan seorang aktivis dakwah ketika di Gombak dahulu. Sering juga Abah memimpin kami bersolat jemaah bersama-sama di rumah ketika kami menetap di Bandar Baru Selayang, Gombak. Kalau pun tidak, kami sering dibawa ke masjid atau surau berdekatan untuk menunaikan solat fardu. Waktu itu, aku berumur kira-kira 8 hingga 12 tahun. Masih lagi kuteringat, aku adakalanya dirotan oleh Abah sekiranya aku melakukan kesalahan seperti pulang rumah pada lewat petang, tidak mengaji, lambat tidur malam, dan sebagainya. Adakalanya aku pula yang dirotannya meskipun adik-adikku yang melakukan kesalahan. Aku masih tidak mengerti pada waktu itu. Hari dan waktu semakin berlalu, dan setelah kumerenung kembali akan kenakalanku sewaktu kecil, barulah aku memahami benar, budi bicara abah dan mengapa Abah berbuat demikian. Aku mengerti bahawa aku perlu menjadi contoh kepada adik-adik. Justeru, abah sering mentarbiahku terlebih dahulu agar adik-adikku dapat mengikuti jejak langkahku. Tidak hairanlah sekiranya aku sering dimarahi dan dirotan oleh sebab aku tidak mengajak adik-adikku berbuat kebaikan, dan tidak hairanlah juga sekiranya aku lebih sering dimarahi dan disebat oleh Abah berbanding adik-adikku yang lain. Namun, di sebalik ketegasannya, tersingkap nilai kasih sayangnya kepada anak-anaknya yang mengunung tinggi. Terima kasih Abah…
Sebagai ketua keluarga, Abah merupakan insan yang mencari nafkah untuk Ummi dan anak-anak. Sungguhpun Ummi bekerja sebagai guru, pendapatan Ummi terus-menerus dimasukkan ke dalam simpanan Abah untuk diagih-agihkan. Maka, Ummi tidaklah memegang kewangan sebaliknya Abahlah yang sering memberikan wang kepada Ummi mengikut kadar yang sepatutnya. Abahlah yang mengagih-agihkan nafkah, manakala Ummi menumpukan kepada pengasuhan dan pentarbiahan anak-anak. Bagi Abah, harta Abah dan Ummi adalah harta bersama, dan tidak perlu diasing-asingkan. Inilah sunnah... Begitulah juga, Saidatina Khadijah menyerahkan segala harta bendanya kepada Nabi Muhammad s.a.w di dalam gerbang rumah tangganya demi perjuangan Islam. Aku begitu kagum dengan Abah. Terdapat nilai-nilai kepimpinan yang dapat dilihat daripada Abah. Abah cekap memobilasi pekerja dan anak-anaknya, dan sering memberi tausiah membina kepada anak-anak dan juga sahabat-sahabatku yang berkunjung ke rumahku. Tambahan pula, Abah merupakan seorang yang peramah. Abah juga cekap bertukang, dan atas arahan dan koordinasi Abah terhadap anak-anak ‘jantan’nya, kami berhasil membina pondok setinggi kira-kira 20 kaki di Kota Tinggi, Johor ketika aku berusia sekitar 16 tahun. Kadang-kala Abah turut menyampaikan ucapan di dalam program-program Arkib. Jalan kesufian juga ditelusurinya dengan mengamalkan zikir-zikir tertentu. Membaca pula dijadikan sebagai hobi di samping menghasilkan penulisan-penulisan bermanfaat. Pernah juga Abah menjadi salah seorang panel kolumnis bagi akhbar Harakah dalam beberapa tempoh suatu ketika dahulu, dan Abah juga turut menghasilkan beberapa artikel mengenai rencana sejarah dan biografi tokoh di Johor. Aku ingin menjadi seperti Abah yang cekap menulis dan membaca, malah lebih daripada itu. Itulah Abah, sebagai murabbi kepada mutarabbi, iaitu anak-anak.
Pendamping setia buat Abah ialah Ummi. Aku sangat-sangat bersyukur kepada Allah kerana mempunyai ibu yang begitu baik dan beriman seperti Ummi. Ummi tempatku berkongsi segala masalah, tempatku mengadu, dan tempatku menggapai belaian kasih sayang daripada sentuhan manja seorang yang bergelar ibu. Ummi sangat-sangat rajin tanpa mengenal erti penat, lelah, dan jemu mengasuh, mendidik, dan mentarbiah anak-anak yang begitu ramai atas landasan agama. Jiwa agama sering Ummi terapkan dalam anak-anak agar kami sering berasa tenang di dalam kehidupan beragama. Subhana Allah… Aku berasa sungguh tenang dan damai apabila berada di dalam agama-Mu ya Allah. Alhamdulillah, kerana daku dikurniakan nikmat terbesar iaitu Islam semenjak dilahirkan lagi. Aku berserta keluargaku merasa begitu terpilih, apatah lagi ketika aku mengamati lontaran kata Nabi s.a.w yang berbunyi: “Sesiapa yang Allah menghendaki padanya kebaikan, nescaya Allah akan memberikannya kefaqihan dalam beragama.” Justeru, Allah s.w.t pastinya memberikan kebaikan kepada seluruh anggota keluarga sakinah yang menerapkan nilai-nilai agama dalam erti untuk membina bait al-muslim. Begitulah juga Ummi… Ummilah yang mengajarku dan seluruh adik-adikku mengaji sehingga aku mengkhatamkan al-Qur’an ketika berumur 9 tahun. Aku teringat juga, Ummi sering mendodoikan adik-adik kecilku di dalam buaian dengan alunan zikir. Ummi tidak pernah mendendangkan lagu yang sia-sia ketika anak di dalam buaian, sebaliknya didodoikan anak-anak dengan alunan kalamullah dan zikrullah yang mendidik jiwa. Ummilah yang sering mengemas rumah, memasak, mendidik anak-anak, dan pelbagai macam pekerjaan lagi dilakukan oleh Ummi sehingga tidak dapat kunukilkan di sini. Masakan Ummi yang paling kugemari ialah kari ayam, sehinggakan aku tidak berselera untuk makan masakan di restoran atau gerai melainkan Ummi sendiri yang masak. Ummilah tempat hatiku berteduh. Paling kukagumi, Ummi memiliki jiwa tarbawi yang begitu tinggi, dan memberikan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Abah. Apa sahaja yang dipinta oleh Abah, Ummi akur dan taat. Sehingga Abah pernah menyatakan kepadaku bahawa Abah sangat redha dengan Ummi selagi Ummi tidak mensyirikkan Allah s.w.t. Abah turut menyatakan bahawa sangat-sangat sukar untuk mencari wanita seperti Ummi yang memiliki roh agama yang begitu mendalam, lalu Abah mengesyorkan kepadaku sekiranya aku ingin mencari peneman hidup di sisi, carilah insan seperti Ummi yang memiliki kefahaman agama yang begitu tinggi, tidak banyak bercakap, dan taat kepada suami. Alhamdulillah ya Allah… Kerana mengurniakan daku seorang ibu seperti Ummi… Mudah-mudahan Ummi akan dikurniakan mahkota dan payung emas di jannah kelak, seterusnya menjadi penghulu segala bidadari… Amin.
Aku juga sangat bersyukur kerana mempunyai adik-beradik yang begitu ramai. Secara umumnya, kesemua adik-beradikku cenderung kepada pengetahuan agama sungguhpun mereka belajar di dalam bidang yang berbeza. Adikku yang pertama, Im, kini adalah seorang mahasiswa UIA dalam bidang alam bina (arkitek). Im muda setahun daripadaku. Im seorang yang pandai melukis dan menjadi rakanku dan peneman bualku ketika pulang di kampung. Boleh dikatakan bahawa hampir keseluruh adik-beradik lelakiku menjadi rakan-rakanku di kampung. Pergi kemana sahaja, kami berempat (Im, Ifin, Hafiz) sering bersama. Bakat kepimpinan turut dimiliki oleh Im di samping memiliki idea yang kreatif. Sikap pro-aktif sering kelihatan pada dirinya memandangkan Im seorang mahasiswa yang sangat aktif berpersatuan khususnya di dalam Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Diana pula merupakan adik perempuanku yang kedua. Kini Diana menuntut ilmu di UIA dalam bidang Human Science. Seorang yang sangat peramah, dan senang diajak berbual, malah sangat teliti dalam melakukan sebarang pekerjaan. Diana juga turut minat dalam pengetahuan agama, terlibat dengan gerakan dakwah, dan sering menjadikan aku sebagai contoh buatnya untuk diikuti. Siapalah daku ini, sungguhpun aku berusaha sehabis baik untuk menjadi insan yang terbaik. Diana memberikan kepercayaan yang tinggi kepadaku, oleh hal yang demikian, setiap nasihatku dan teguranku padanya mungkin juga mudah diikuti olehnya. Adik ketigaku pula bernama Ali Arifin atau nama timangannya Ifin. Ifin kini sedang menuntut di UTM di dalam bidang Kejuruteran Awam. Dalam kalangan adik-beradikku, Ifin mempunyai keistimewaannya tersendiri. Dia seorang yang sistematik, cekap mengira, pendiam tetapi licik berfikir. Hafiz pula seorang yang mudah diminta bantuan. Aku ada saja menyuruh dan mengarahkannya melakukan sesuatu perkara, dan dialah paling mudah untuk memberikan kerjasama berbanding adik-beradikku yang lain. Hafiz merupakan adikku yang keempat, dan kini dia belajar di Sekolah Menengah Arab al-Tanwiriyyah, Muar. Penyertaan program-program kepimpinan dan kem-kem telah menjadi perkara yang biasa buatnya berikutan jawatannya sebagai ketua pelajar di sekolah. Hafiz seorang yang lasak dan cenderung kepada aktiviti-aktiviti kem di samping menitikberatkan persoalan agama.
Adikku yang seterusnya bernama Hanis. Seorang perempuan yang manis raut wajahnya, serta rajin membantu Ummi mengemas rumah. Kini Hanis belajar di Sekolah Menengah Agama Parit Raja, Batu Pahat. Manakala Fatin pula sangat rajin membaca dan petah berkata-kata. Justeru, dengan bercirikan hal tersebut, Fatin sememangnya di kalangan pelajar cemerlang di dalam sekolahnya. Kemudian diikuti Firdaus, Dibah, Hakim, dan Adibalisya, tidak perlu kuungkapkan perwatakan mereka di sini kerana mereka masih kecil. Namun, dapat kusimpulkan bahawa mereka sangat suka bergurau dan merekalah tempat kumengusik dan bermanja. Terdengar sahaja teriakan mereka ingin mengikuti aku berjalan-jalan apabila aku menghidupkan enjin kereta di kampung. Sekiranya aku tidak mengizinkan, mulalah di antara mereka yang menangis. Sungguh bertuah mereka ini, gumamku.
Alhamdulillah… Aku tidak pernah merasa sengsara dan sedih bersama ahli keluargaku, bahkan aku berasa bersyukur kepada Ilahi kerana dianugerahi keluarga yang berpegang kepada agama, mudah-mudahan… Aku tidak memandang harta, gaji, dan pangkat sebagai rezeki utama dalam pembinaan rumah tangga, sebaliknya Allah s.w.t mengurniakan rezeki yang melimpah ruah kepadaku berupa adik-beradik yang ramai yang saling memahami perjuangan agama. Kehidupan berkeluarga sangat indah sekiranya disemai dan dibaja dengan nilai-nilai kerohanian al-deen dengan meletakkan al-Qur’an dan sunnah sebagai manhaj tertinggi… Ya Allah kurniakanlah daku keluarga yang sentiasa berpegang teguh kepada agama, seperti mana keluarga yang telah dipanjatkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s di dalam doa mereka di dalam surah al-Furqan, ayat 74:
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya:
74. Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”
Keluarga sakinah,
rezeki melimpah ruah,
kehidupan terarah,
bermatlamatkan Allah…
Wa Allahu waliyyu al-Tawfiq…. Hamdan wa syukran lillah…
0 comments:
Post a Comment