Tanggal 12 Ogos 2009 (Rabu) merupakan satu tarikh keramat bagi mana-mana mahasiswa yang bergelar graduan khususnya bagi mereka yang berkelulusan sarjana muda dari Akademi Pengajian Islam UM (APIUM). Aku kini telah pun menamatkan pengajian sarjana muda Usuluddin, pengkhususan Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith. Festival Konvokesyen pada kali ini memahat sejarah ulung buat mahasiswa apabila Pro-Canselor Universiti Malaya, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menyuarakan kepuasan hati baginda dengan menitahkan bahawa festival kali ini merupakan festival yang terbaik pernah dilalui oleh baginda. Aku turut berasa bertuah kerana pada festival konvokesyen kali ini, APIUM telah dipilih sebagai fakulti yang pertama mahasiswanya menerima anugerah ijazah sarjana muda, dan Raja Muda sendiri berkenan menyampaikan segulung ijazah kepada para graduan APIUM.
Festival pada kali ini juga menyerlahkan aktivitinya dengan menyediakan program-program berguna kepada para pengunjung yang hadir ke UM, di antaranya forum-forum, ceramah, dialog, nasyid, aktiviti keluarga, dan sebagainya, apatah lagi tempoh festival kali ini merupakan tempoh terpanjang sepanjang di UM berbanding festival-festival konvokesyen UM yang lalu yang memakan masa kira-kira 10 hari.
Kupanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan kemudahan yang telah dikurniakan olehNya kepadaku. Sungguhpun aku bukanlah mahasiswa yang dinobatkan sebagai pemegang anugerah pelajaran di-Raja, namun aku sangat merasa bersyukur dengan keberjayaanku menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda. Tamatnya pengajianku di peringkat ijazah ini bukanlah bermakna bahawa aku telah menamatkan pengajianku untuk menuju ke alam pekerjaan, malah sebaliknya berakhirnya pengajianku di peringkat ini merupakan satu titik permulaan dan hanyalah langkah awal bagiku merentas dengan lebih jauh untuk terjun di dalam dunia akademik yang lebih mencabar kerana hasratku adalah aku wajib menamatkan pengajian di peringkat Ph.D. sebelum umurku mencecah 26 tahun.
Alhamdulillah… Kupanjatkan kesyukuran yang tidak putus-putus kepada Allah s.w.t di atas kurniaan rahmat dan barakah yang
sememangnya memberikan ketenangan kepada hati insan-insan yang beriman. Keterlibatanku di dalam aktiviti dan gerak kerja jemaah dan dakwah yang sekian lama di UM mempunyai rahsianya tersendiri apabila Allah s.w.t menghadiahi aku kejayaan demi kejayaan, dan kemudahan demi kemudahan. Dengan rasa rendah diri, perlu kunyatakan sebagai satu rangsangan dan tasyji’ kepada sahabat-sahabiah lain bahawa tanpa kusedari, pihak universiti telah menghadiahi aku beberapa anugerah iaitu hadiah buku universiti bagi mahasiswa yang memperoleh kelas pertama sepanjang pengajian, hadiah buku jabatan bagi mahasiswa terbaik jabatan, hadiah buku Osman Hasan bagi mahasiswa terbaik APIUM, dan anugerah graduan cemerlang APIUM. Aku secara tidak langsung turut dipilih sebagai ahli panel forum Perkongsian Terbilang peringkat Akademi Pengajian Islam pada hari Selasa lalu, 11 Ogos 2009 untuk berkongsi mengenai tips-tips belajar bersama para mahasiswa APIUM dan beberapa pelajar sekolah dari beberapa buah sekolah menengah.Sekadar muhasabah buat kita… Sememangnya anugerah yang di`pinjam’kan oleh Allah buatku pada hakikatnya merupakan ujian yang cukup besar terhadap diriku sekiranya kita memahami sunnatullah dan keberadaan kita di muka bumi yang sementara ini. Apalah sangat nilaian hadiah-hadiah tersebut sekiranya sifat hati ini sering berdolak-dalik memaparkan keegoan dan kesombongannya. Ia sering alpa dengan penipuan dan helah dunia serta fitnah wanita, seakan melambai-lambai kemaruk sandiwara cinta dan kemegahan yang mendustakan. Kejayaan di alam dunia pada hakikatnya merupakan ujian bagi hamba Allah sama ada bertambah-tambahlah iman mereka dengan melahirkan rasa setinggi-tinggi kesyukuran ke hadratNya, merendah diri serta tidak mendabik dada, atau juga berpeleseranlah jiwa mereka dengan kelalaian, kelekaan, dan kealpaan yang menguasai hati lantas menjauhi diri dari beroleh rahmatNya. Kejayaan ini juga turut menjadi ujian buatku, sejauh mana aku dapat meneruskan perjuanganku di dalam menuntut ilmu, apatah lagi kejayaan ini menjadi batu loncatan kepadaku untuk menjadi seorang yang lebih menekuni ilmu pengetahuan yang tidak terhitung, di samping memartabatkan agama dan thabat di dalam medan perjuangan Islam yang sangat kucintai... Maka, perlu kuketahui di sini bahawasanya kejayaan sebenar seorang manusia yang hidup di atas muka bumi ini ialah berjaya menggapai keredhaanNya dan beroleh rahmat dariNya jua. Justeru, dalam usaha untuk mencapai hakikat tersebut, tidak mesti tidak seseorang individu itu wajib mentaati segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya, mudah-mudahan ia tidak tergelincir daripada matlamat hakiki sebagai seorang muslim sejati.
Kedatangan ahli keluargaku di dalam festival konvokesyen UM juga sangat menggembirakan hatiku kerana kedatangan mereka membuktikan bahawa mereka
turut berasa gembira dengan kecemerlanganku sebagai graduan. Secara tidak langsung, ini akan menjadi satu suntikan motivasi buat adik-adikku khususnya adik-adikku yang hadir sekaligus mereka akan turut menjejaki langkahku untuk sama-sama berjaya pada masa akan datang. Oleh kerana ibuku hanya berada di Kuala Lumpur kira-kira dua hari sahaja, dengan kesempatan masa dan ruang yang ada, aku terus-menerus memperkenalkan ibu bapaku kepada sahabat-sahabatku yang lain, makan di gerai PMIUM serta gerai anak-anak negeri, menyaksikan forum, dan sebagainya. Alhamdulillah… Ukhwah yang terbina di kalangan sahabat-sahabiah sehingga kepada kaum keluarga mereka sememangnya sangat penting dalam usaha untuk membina jaringan mujtama’ muslim. Aku sering merenung diri ini, memikirkan tanggungjawab yang perlu digalas olehku sebagai anak sulung, mahasiswa, hamba Allah, dan da`i. Mahasiswa sebagai golongan yang menggali ilmu pengetahuan serta menjadi jurubicara ummah, hamba Allah sebagai insan yang melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, da`i sebagai individu yang berperanan menyampaikan dakwah Islamiyyah kepada seluruh manusia dengan menerapkan kefahaman Islam sebenar, dan anak sulung sebagai ketua dan contoh tauladan kepada adik-adik. Dapat kusimpulkan bahawasanya setiap individu mempunyai peranan dan tanggungjawabnya kepada Allah dan RasulNya, keluarga, masyarakat, dan penuntut ilmu. Marilah kita merenung intisari surah al-Hasyr, ayat yang menekankan perihal jiwa serta konsisi taqwa kepada Allah s.w.t:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya:
18. Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Surah al-Hasyr (59): 18
Keterangan daripada Rabb yang sungguh memukau dan mendidik jiwa sekiranya kita mampu menyelami maksud dan mesej daripada titian kalimah al-Qur’an tersebut. Ungkapan taqwa diulang sebanyak dua kali memberikan isyarat penekanan serta pengukuhan bahawa sememangnya kehidupan setiap manusia di muka bumi ini tidak lebih hanyalah sebagai hamba yang WAJIB bertaqwa kepada Allah s.w.t. Seterusnya, seruan taqwa yang dinyatakan sebanyak dua kali dalam ayat tersebut disusun di antara pernyataan nafs atau hati bahawasanya setiap hamba itu perlulah sentiasa menyelidiki dan mengkoreksi hati yang sering berkarat dengan noda dan dosa, malah kontang daripada memperolehi kurniaan rahmat dan ketenangan daripadaNya. Maka, kita perlulah sering meningkatkan bekalan dan bersiap sedia sebelum mati berkunjung tiba, kerana sebijak-bijak manusia adalah mereka yang sering mengingati mati dan bersedia menghadapinya. Baru-baru ini juga, Ust. Asri ketua kumpulan nasyid Rabbani telah pun tenang kembali ke pengkuanNya, pensyarahku, Prof. Dr. Halim Mat Diah baru sahaja pagi tadi meninggal dunia, maka bilakah giliranku pula..?!!! Mudah-mudahan, kita berjaya menggapai keredhaan daripadaNya, berjaya di dunia, bahkan berjaya di alam baqa’. Amin ya Rabbal `Alamin... Manifestasi daripada keinsafan tersebut, maka sewajarnya kita mengambil peluang BERMATI-MATIAN meningkatkan amalan di bulan Ramadhan yang bakal menjelma beberapa hari sahaja lagi, kerana Ramadhan merupakan satu-satunya bulan yang akan menjadi ‘peguam’ kita di akhirat kelak… Wa Allahu a’lam… Takbir!
1 comments:
salam..tahniah,akhirnya berjaya memegang status graduan sarjana muda al-quran hadith..mga kjayaan ni menjadi pendorong diri & adik2 utk terus berjaya..
Post a Comment