Mengimbau Kembali Kenangan Bersama Jemaah: Satu Muhasabah

Tamatnya pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di UM bukanlah bermakna aku telah tamat dalam gerak kerja berpersatuan dan perjuangan. Hakikatnya, aku masih merindui suasana dan fenomena yang berlaku semasa aku memegang beberapa jawatan di dalam PMIUM dan beberapa persatuan lain kerana ia sedikit sebanyak telah menjadikanku lebih berani, matang dan aktif berfikir serta bertindak, dan paling utama ialah menyedarkankan diri ini akan taklifan dan peranan yang sebenar berada di dunia yang hanyalah bersifat sementara. Aku sentiasa memanjatkan kesyukuran kerana Tuhan, memberikan petunjuk kepadaku melalui wasilah jemaah, jika tidak, aku tidak pasti, sama ada aku benar-benar memahami hala tujuku yang sebenar dalam menamatkan kanvas kehidupanku sebagai seorang manusia. Boleh jadi selepas menamatkan pengajian, aku hanya memikirkan kerja sahaja. Tamatnya pengajian bukanlah untuk tujuan bekerja semata-mata, bahkan di sana terdapat satu tanggungjawab yang lebih besar dan utama, iaitu menegakkan Islam dan meneruskan perjuangannya sehingga syahid. Percaya dan yakinlah bahawa Allah sentiasa mengurniakan rezeki dan nikmat yang melimpah ruah kepada hambaNya, bertepatan dengan firman Allah s.w.t mafhumnya: Sekiranya engkau menghitung nikmat Allah, nescaya tidak terkiralah nikmat yang dikurniakanNya…

Hakikatnya, peristiwa yang telah berlalu bersama sahabat-sahabiah sekalian masih lagi berlegar-legar dan terbayang-bayang di fikiranku kerana merindui susah senang kita bersama. Di dalam Ramadhan ini, jiwa yang keras dengan dosa ini sering dilenturkan untuk menjadi lembut, antaranya dengan mengingati kembali, merenung semula kemanisan perjuangan… Adakalanya rasa sayu datang menerpa hati ini kerana kalian telah pergi dengan hala tuju masing-masing, sedangkan aku masih lagi di bumi Uni Malaya. Namun hal ini tidaklah menjejaskan matlamat kita, sungguhpun berada di lapangan yang berbeza. Aku sedar, bahawa aku bukanlah ahli yang benar-benar kompeten dan istiqamah seperti sahabat-sahabiah sekalian, khususnya kepada Ust. Badrunnaim, Ustazah Hayati… Peneraju tarbiah. Tidak lupa juga kepada Ust. Hadi, dan Ustazah Maslida… Mata-mata rantai tarbawi. Namun aku kagum dengan kalian, kerana banyak memberikanku perangsang untuk sama-sama kita bergerak kerja, dan aku mengerti sekiranya aku merasai bebanan dalam bergerak kerja, maka pastinya kalian merasai bebanan yang lebih dahsyat daripada itu kerana aku hanyalah ajk biasa. Berapalah sangat ujian dan bebanan yang ditimpakan berbanding dengan cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w sehingga baginda dikatakan seorang yang gila dan terdapat beberapa cubaan membunuh baginda. Allah…... Allah…… Allah…… Ya Allah, permudahkanlah urusan sahabat-sahabatku ya Allah, bantulah mereka ya Allah, sesungguhnya aku sangat mengasihi mereka sebagai seorang muslim yang bersaudara… Maafkanlah daku wahai sahabat-sahabatku sekiranya terdapat kekurangan yang begitu nyata pada diriku khususnya ketika bertatih menuju cahaya taufiq hidayah di dalam berjemaah. Aku sedar, siapalah diriku yang sangat-sangat lemah dan serba kekurangan… Ust Badrunnaim, syukran jazilan… Terima kasih wahai sahabat-sahabatku yang menjadi tulang belakangku, teman setiaku, pendamping suka dukaku…

Kalau di dalam program atau mana-mana kem, antara unit yang paling selesa untuk kupegang ialah unit pengisian atau setidak-tidaknya aku menjadi ajk unit pengangkutan memandangkan aku mempunyai pengangkutan. Entah tidak tahu mengapa, aku kurang berminat untuk menjadi pimpinan atau Majlis Tertinggi mahupun menjadi pengarah-pengarah program sejak tahun pertama pengajian lagi. Maafkanku wahai sahabat-sahabatku… Aku terpaksa nyatakan, kerana, itulah kecenderunganku dan aku cintakan pengetahuan. Aku lebih suka mendengar ceramah, pengisian, dan memperoleh input-input berguna di dalam program, dan aku juga suka untuk menyampaikannya. Aku kurang cenderung untuk menjadi unit kreatif, atau unit kebajikan dan keselamatan, kerana aku lebih berminat untuk mengikuti kuliah-kuliah ilmu yang terdapat di dalam program meskipun ia membosankan pada sesetengah orang. Ini kerana, apabila menjadi ajk unit-unit tertentu selain unit pengisian, adakalanya kita pula yang tidak dapat mendengar pengisian yang disampaikan tersebut. Malah boleh jadi, peserta lebih tahu dan faham daripada ajk. Aku inginkan intipati dalam proses menambah thaqafah… Adapun unit pengangkutan, aku agak berminat untuk membawa ajk atau peserta bersama-sama di dalam kenderaan, dengan demikian aku dapat mengambil kesempatan untuk berusrah dan berdiskusi, khususnya bersama pimpinan, apatah lagi bersama-sama ustaz seperti ustaz Dzulkhairi. Aku inginkan input… Maka kesimpulannya, proses input aku berlaku ketika pengisian program, manakala proses output aku pula berlaku ketika di dalam kenderaan dan ketika berusrah.

Hakikatnya, aku juga minat untuk menyampaikan ceramah atau kuliah, namun siapalah diri ini yang masih sangat-sangat cetek ilmu di dada. Terlalu dan sangat-sangatlah kering ilmuku ini… Aku juga minat untuk memberikan tasyji’, namun siapalah aku yang dahulunya aku sendiri tidak terurus menunaikan amanah jemaah. Aku minat menjadi penta’aruf, namun, siapalah aku yang tidak mampu menjiwai hati-hati manusia agar mereka faham hakikat penghidupan sedangkan aku sendiri tidak mampu melunakkan hatiku di hadapan Pencipta… Aku minat menyampaikan tazkirah ringkas serta berusrah, namun siapalah aku yang masih belum berjaya memberikan kefahaman sebenar kepada anak-anak usrahku sebelum-sebelum ini untuk menjadi pendokong Islam hakiki… Siapalah aku… Ya Allah, aku hanyalah berusaha membimbing mereka sedaya upayaku, namun Engkau sahajalah yang menguasai hati-hati ini… Aku cuba memberikan yang terbaik dalam perkongsian ilmu yang sangat-sangatlah sedikit ada padaku. Kadang kala aku tidak mengerti, seorang sahabat pernah berkata kepadaku kita tidak boleh terlalu merendah diri. Kita perlu bangkit… Ya betul kita perlu bangkit dan berani, namun aku menyedari, terdapat ramai lagi senior-senior, pimpinan-pimpinan malah ustaz-ustaz yang perlu didahulukan, utamakan mereka kerana mereka lebih diperlukan dan aku sangat kenal potensi serta kebolehan mereka. Walau bagaimanapun, sekiranya sahabat-sahabiah memerlukan juga bantuanku yang tidaklah seberapa ini khususnya untuk berkongsi ilmu, aku sedia membantu apa yang termampu… Aku suka berkongsi ilmu… Kerana aku suka ditarbiah untuk mentarbiah… Aku suka mendidik hati-hati agar hatiku turut terdidik… Secara tidak langsung, ia dapat mengingatkanku pada kebesaran Pencipta dan kekerdilanku sebagai manusia hina, untuk menunaikan amanah di dunia… Fahamilah daku wahai sahabatku… Ya Allah, berikanlah daku petunjuk…

Aku gusar… Aku gusar sekiranya terpalit daripada matlamat hakiki ketika menyampaikan ilmu. Aku bimbang sekiranya nawaitu ini tidak berdiri pada landasannya yang sebenar. Sekiranya niat ini terpesong daripada mengharapkan keredhaanNya, nescaya boleh kukatakan bahawa penyampaian tersebut sia-sia belaka. Belum tentu penyampaian seseorang itu dapat memberkas jiwa hadirin dan peserta, sekiranya terdapat tujuan lain selain Allah… Wal `iyazu bi Allahi min dhalik… Aku melihat, dua faktor dalaman yang sangat-sangat penting dalam penyampaian yang dapat memberi kesan berguna kepada peserta. Pertama, niat dan tujuan kita menyampaikan kuliah, ceramah atau berta`aruf. Apakah tujuan kita benar-benar demi perjuangan Islam? Adakah kita memasakkan 100% keimanan bahawa inilah jalan kita kerana Allah..!? Qul hadza sabili…… Dan yang kedua ialah apakah yang disampaikan itu benar-benar telah ditatbiq dan dipraktik oleh kita..? Atau apakah sekurang-kurangnya kita berusaha secara istiqamah melakukan perkara yang kita sampaikan..? Subhana Allah… Fikirkanlah… Di sinilah kita mampu berhasil memperoleh jawapan, mengapa sesetengah ceramah dan pengisian yang disampaikan dapat tertanam di dalam jiwa audiens dan pendengar, manakala sesetengah ceramah yang lain pula tidak memberi kesan. Kita bolah melihat sendiri kepada pencemah tersebut. Tepuk dada tanya iman… Itulah yang dibimbangkan olehku ketika memberikan pengisian serta ceramah, namun kuberusaha dari semasa ke semasa untuk memperbaiki diri ini sebelum memperbaiki orang lain. Aslih nafsaka qabla an tuslih qhairak… Teringat daku pada doa yang menjadi amalanku selepas setiap kali solat fardhu:

ربنا لا تزغ قلوبنا بعد إذ هديتنا وهب لنا من لدنك رحمة إنك أنت الوهاب.

Maksudnya:

Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau palingkan hati kami selepas Engkau memberikan hidayah kepada kami, dan kurniakan kepada kami kasih sayang daripadaMu, sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi Kurnia.

Ya Allah, jauhkanlah hati ini daripada berbolak-balik sehingga boleh melunturkan keimanan ini. Tetapkanlah hati ini mengharapkan keredhaanMu dalam melakukan sebarang tindakan… Bukan kerana wanita, bukan kerana bermuka-muka, bukan kerana terpaksa, dan seumpamanya… Aku bimbang sekiranya tujuanku dalam menyampaikan tazkirah, ceramah, kuliah, dan sebagainya terpalit daripada mardotiAllah, lalu tidaklah ia berada di dalam pandanganMu...

Sebab itulah mengapa Imam al-Bukhari meletakkan batu asas mengenai hadith pertamanya di dalam karya penyusunan kitab sahih Bukharinya, iaitu pasakan niat li Allahi Ta`ala. Begitu juga Imam al-Nawawi di dalam matn al-`Arba`in karangannya, meletakkan hadith innamal a’malu bin niat pada permulaan penyusunannya… Wa Allahu a’lam.

0 comments: