Aku dan PMIUM...

Semakin aku aktif berorganisasi dalam jemaah PMIUM, kumerasakan cabaran demi cabaran datang menimpa-nimpa. Namun, kuredah ia dengan hati yang ihklas dan redha. Kukorbankan apa yang ada pada diriku untuk kepentingan Islam melalui wasilah jemaah. Kuinfaqkan sebahagian hartaku kepada jemaah sekiranya aku mempunyai wang. Kuhadirkan diri pada mesyuarat-mesyuarat yang tidak putus-putus hampir setiap hari sehingga kira-kira jam 1 pagi. Kepenatan menguasai diri, namun sangat bererti apabila bersusah senang bersama-sama sahabat sahabiah sefikrah di dalam melayari bahtera jemaah meredah arus ombak yang bergelombang. Kulatih diri untuk menjalani kehidupan yang luar daripada zon selesa dengan mengurangkan tidur, sentiasa berpuasa dan bangun malam bermunajat kepadaNya. Natijahnya sangat berbeza...! Semakin aku menyahut mehnah daripada Allah, semakin banyak nikmat dan limpahan rahmat yang dikurniakanNya kepadaku, semakin manis pula perjuangan ini apabila berada dalam kesusahan. Tidaklah dinamakan perjuangan sekiranya tiada mehnah dan tribulasi yang mendewasakan. Kehidupanku lebih bererti apabila memberikan jasa dan sumbangan pada orang lain, dan perjuangan ini lebih manis dirasai apabila berhadapan dengan keperitan yang mematangkan. Seolah-olah kesusahan dan keperitan yang dialami adalah lebih manis dan bermakna buat diri daripada duduk bergoyang kaki berpangku tangan, tanpa memikirkan peranan diri kepada masyarakat sejagat. Seakan kepelikan dan kegelisahan menikam hati sekiranya tidak terdapat satu pun gerak kerja atau liqa’ dalam sehari. Kerana yang susah itulah telah menjadi buah yang berasa manis, sebaliknya sekiranya tiada sebarang cabaran dan apa-apa tindakan, kepahitan pula yang menjelma di rona-rona hati. Sungguh Allah Maha Adil! Kesibukanku dalam gerak kerja khususnya ketika semester 4 dan 5 pengajianku menyebabkanku semakin cekap mengurus masa, melakukan gerak kerja dengan pantas dan tepat pada waktunya, serta mengurangkan rungutan yang sia-sia. Pada kedua-dua semester itu juga, aku berhasil memperoh 4 flat yang tidak kujangka. Hanya yang ada pada diri ini ialah ketekunan yang begitu tinggi pada seminggu terkhir sebelum menghadapi imtihan, dan tawakal kepada Allah di sepertiga malam hari pada hampir setiap hari di kala minggu-minggu peperiksaan berlangsung. Inilah kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya yang ikhlas melakukan kerja agama. Kasih sayangNya mendahului kemurkaanNya. Alhamdulillahi Rabbil `Alamin… Aku memanjat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadratMu, Ya Allah...

Keperhatikan dan aku telah melaluinya, bahawasanya sesiapa yang melakukan amal kerja Islami dengan tulus serta mengorbankan apa saja demi kepentingan Islam, maka Allah membalasnya dengan sesuatu yang lebih baik, malah imbalan tersebut tidak terjangkakan oleh kita. Aku memerhatikan, hal ini telah berlaku juga kepada sahabat sahabiahku yang lain. YDP PMIUM ketika itu, Ust. Haafizuddin yang juga merupakan sahabat sejabatan dan sekuliahku memperoleh 3.65 dalam penggal kelima pengajian. Begitu juga sahabat-sahabat yang lain, Ustazah Salsabil yang sejabatan juga denganku memperoleh 3.95, Ust. Izzat Amin 3.85, Ust. Qayyum, 3.85, Ust. Sobri, 3.9, Ust. Hafez Ilyas, 3.75, dan lain-lain lagi menjadi dalil bahawa perjuangan bukanlah sesuatu yang membebankan dan mengganggu pembelajaran. Mereka juga sibuk, mereka juga antara barisan pimpinan, namun mereka tetap juga mampu berjaya seperti mahasiswa API yang kurang berorganisasi. Rata-rata di kalangan mereka memperoleh pointer yang tinggi pada semester 4 dan 5 ketika dalam fasa kesibukan berorganisasi, namun apabila tidak menyibukkan diri dengan kerja-kerja amal, kelihatan juga pointer mereka tidaklah setinggi mana seperti yang mereka perolehi ketika dalam gerak kerja. Kehidupan ini ibarat bangkai bernyawa sekiranya kita tidak memberikan sebarang bentuk sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Perlu diingat bahawa kesemua harta, pakaian, nyawa dan segala-galanya hanyalah pinjaman daripada Allah semata-mata. Tidak boleh tidak manusia tetap juga akan kembali kepadaNya pada suatu hari yang telah dijanjikan kelak, kerana ianya pasti kembali kepada Pemiliknya yang hakiki. Firman Allah s.w.t. berbunyi, maksudnya:

10. Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: "Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?"

11. Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.

Surah al-Munafiqun (63): 10 - 11

Rangkap ayat al-Qur’an di atas sangat memberikan satu rangsangan kepada insan yang bertadabbur memahami maksud tersirat di sebaliknya. Janganlah diri ini mempunyai sikap yang bertangguh-tangguh kononnya tangan ini akan menghulurkan bantuan kepada insan-insan yang memerlukan. Kelak apabila menemui ajal yang datang secara tiba-tiba, maka usah dikesal kerana tidak membelanjakan harta di jalan yang diredhaiNya. Sungguhpun dilanjutkan ajal mereka, Allah s.w.t Maha Mengetahui bahawa mereka tetap juga akan bertangguh mengeluarkan harta. Lembut gigi dari lidah, seakan seorang munafiq yang berjanji kosong ingin mengeluarkan harta, namun dibelanjakan hartanya pada jalan yang melalaikan sahaja tanpa mengambil kira orang-orang yang lebih berhak menerimanya. Teringat daku kepada falsafah ungkapan Ust. Hasrizal yang merupakan motivator Malaysia yang terkenal, “Erti hidup kepada yang memberi…” Maka seharusnya aku berusaha mencurahkan segala yang ada pada diriku kepada orang lain untuk kebaikan bersama… Wallahu A'lam...

Selangkah aku di UM...

Pengajianku pada tahun pertama 2006 bermula seperti biasa. Aku sudah memasakkan beberapa matlamat untuk dicapai sebelum menamatkan pengajian di UM. Antaranya aku ingin menguasai perbualan Bahasa Arab dan bergiat aktif di dalam persatuan agar aku dapat meningkatkan softskill khususnya dalam pengurusan dan kepimpinan. Hatiku sering tidak merasa puas dengan apa yang telah ditakdirkan… Terlintas juga di hatiku pada mula-mula pengajian di UM untuk berpindah ke UIA disebabkan pembelajaran kursus di API kebanyakannya di dalam Bahasa Melayu. Aku merungut saja, meskipun hatiku sedikit terubat ketika belajar di bawah subjek jabatanku sendiri kerana kebanyakan subjek tawaran jabatanku di dalam Bahasa Arab. Pernah juga aku mandi begitu lama di bilik air kolej kediaman sambil memikirkan keberadaanku di UM seolah-olah sia-sia belaka. Air mandi terus-menerus menghujani air mukaku sambil kupejamkan mata, dalam usaha memahami hikmah yang ditentukan Allah untuk aku terus berada di UM, namun masih tidak ketemu... Mungkin sahaja Allah tidak memberi sesuatu perkara yang kita impikan, namun Dia megurniakan sesuatu perkara yang sangat diperlukan… Selang beberapa minggu, ketika minggu promosi persatuan, aku tertarik untuk meninjau-ninjau kalau-kalau terdapat persatuan yang memenuhi citarasa dan hala tujuku. Dari jauh, sayup-sayup kedengaran dendangan nasyid kumpulan In-Team di satu booth… Nasyid tersebut amat menarik perhatianku dengan lirik yang menekankan kecintaan kepada Ilahi. “Jika engkau mencintai…… Cintailah Ilahi…”Demikianlah sebahagian potongan lirik tersebut. Aku teruja untuk mendekati booth yang kurasakan terdapat nilai-nilai Islam di dalam persatuan tersebut, lalu aku mendaftarkan diri sebagai AHLI PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM). Aku membaca setiap inci artikel-artikel yang tertampal pada booth PMIUM merangkumi sejarah, aktiviti persatuan, barisan pimpinan, dan sebagainya. Dapat kusimpulkan bahawa PMIUM merupakan persatuan yang cukup berpengaruh dan aktif di persada UM dan nasional.

Hati dan fikiranku masih lagi berlegar-legar memikirkan keberadaanku di UM. Aku masih lagi tidak berpuas hati. Namun, aku terus dan terus bersabar berada di UM pada semester pertama sehingga hadir kepadaku seorang sahabat sejati yang baru dikenali ketika itu, bekas barisan pimpinan Pengajian Islam UM Nilampuri yang punya wibawa tinggi melangit dan berjiwa besar menggunung mendengarkan isi hatiku. Seterusnya dia melontarkan pandangannya kepadaku sehingga menyebabkan aku tersentuh, tersentak, tergamam, dan tersedar dari lamunan rungutanku sebelum ini… Kata-kata yang bisa memberikan satu tamparan yang cukup hebat buatku sehingga menjadikanku beriltizam dengan gerakan mahasiswa yang membawa agenda Islam di UM… SubhanaAllah… Maha Suci Allah yang mempertemukanku dengan dia. Butir-butir taujihatnya menyebabkanku sentiasa berazam dan beriltizam, dengan satu semangat yang bersungguh-sungguh melalui kehidupan di UM, iaitu…

“Segala yang ditentukan Allah mempunyai sebab dan hikmah yang sangat indah tanpa kita ketahui. Terimalah hakikat, kuatkan semangat, bulatkan tekad, tabahkan hati, bersihkan jiwa, lapangkan dada… Kita akan menemuinya dan merasai kemanisannya. Pilihan enta oleh Allah untuk belajar di UM bukanlah pilihan yang sia-sia. Enta perlu optimis, tanamkan keyakinan setinggi-tingginya kepada Allah… Allah memilih enta untuk belajar di UM disebabkan Dia memberikan satu anugerah berupa amanat yang sangat besar buat enta untuk bawa Islam di UM. Allah menganugerahkan amanat tersebut hanya bagi insan-insan terpilih yang dikasihiNya sahaja. UM berbeza dengan UIA. UIA hanya menerima kemasukan pelajar Islam. UM pula mengumpulkan mahasiswa berbilang bangsa dan agama. Inilah medan dakwah kita yang sebenar. Enta perlu kuat dan tabah, serta perlu hadapi realiti dalam masyarakat Malaysia. Inilah cabaran kita… Apabila kita melihat sesuatu kemungkaran di dalam lingkungan kita, bukannya kita melarikan diri dan keluar dari lingkungan tersebut, sebaliknya kita menghadapinya dengan kekuatan sinar Iman yang terbit dari hati. Fahamilah bicara Tuhan… Bawalah seruan dakwah kepada mereka tanpa ada rasa untuk melarikan diri dari medan juang… Siapa lagi kalau bukan kita yang seharusnya bertanggungjawab memikul beban amanah ini… Ingatlah... Enta adalah insan pilihan Allah. UM adalah tempat yang terbaik buat enta menyahut cabaran dan menggapai keredhaanNya… Fikirkanlah… Mudah-mudahan Allah memberi taufiq dan hidayah kepada kita…” (Badrunnaim)

Seusai mendengarkan butir-butir kata yang dilontarkan oleh sahabatku itu, aku membisu seribu bahasa, memikirkan serta merenung kembali niatku sebenar sebagai seorang da`ie dan hamba. Teringat pula daku pada bicara Tuhan `Azza wa Jalla yang berbunyi, maksudnya:

216. Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Surah al-Baqarah (2): 216

Kalam Allah yang Maha Halus gaya bahasanya di atas terus menerus menusuk kalbuku lantas ia menjadi ayat azimat dan mottoku yang paling utama dan kupegang ia sampai bila-bila. Kemudian, kami berjalan bersama-sama pulang ke kolej kediaman. Perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit sekiranya berjalan kaki dari API ke kolej kediaman, jadi masa-masa yang tersisa kami penuhi dengan perkenalan, perbualan agama, serta tazkirah membina. Ya Allah, berikanlah daku petunjuk... Bersambung....

Pemurnian Dakwaan Islam Teroris

v Pengertian Topik Perbincangan:

1. Pemurnian: Penjernihan

2. Dakwaan: Khabar yang tidak diketahui akan kebenarannya

3. Islam: Kesejahteraan / Keamanan. Ia bukan satu bentuk ideologi.

4. Teroris: Pengganas / Radikal / Ekstremis. Seorang pengganas adalah orang yang menimbulkan ketakutan.

Contoh: Sebaik sahaja perompak terlihat polis, dia akan takut. Maka, polis dianggap pengganas oleh perompak.

Takrifan berkait rapat dengan konsep JIHAD.

v Ciri-ciri khusus Islam:

1. Rabbaniyyah: Didatangkan oleh Allah (samawi), manusia sebagai pelaksana dan khalifah. Terbahagi kepada dua:

- Rabbani dari sudut matlamat dan tujuan: Keredaan Allah

- Rabbani dari sudut manhaj dan sumber: Al-Quran dan Al-Sunnah

2. Syumuliyyah: Lengkap / sempurna, dari sebesar-besar aspek sehingga sekecil-kecil aspek.

3. `Alamiyyah: Sesuai untuk semua orang, bangsa, warna kulit, tempat dan zaman. Islam memelihara kepentingan manusia berdasarkan awlawiyyat:

- Dharuriyyat: Perkara yang menjadi kewajiban umat Islam memeliharanya, iaitu agama, nyawa, akal, keturunan, harta

- Haajiyyat: Perkara yang diperlukan oleh manusia untuk hidup, contoh: Alat tulis

- Tahsiniyyat: Perkara yang diperlukan oleh manusia sebagai pelengkap kepada kehidupannya. Contoh: Komputer, Internet

4. Waqi`iyyah: Mengikut suasana dan tempat.

Contoh: Islam mewajibkan menutup aurat di semua tempat di muka bumi tetapi cara dan penutupannya mengikut tempat dan suasana umat Islam.

5. Inqilabiyyah: Tertegak Islam atas keruntuhan jahiliyyah.

6. Thabat dan murunah: Thabat – Tetap dari segi prinsip dan hukum,

Murunah – Fleksibel dari segi perlaksanaan. Contoh: Solat

v Sejarah dan kronologi dakwaan Islam teroris:

- Serangan 11 September 2001 ke atas bangunan pentadbiran Amerika Syarikat.

- Amerika mengambil kesempatan menjajah Afghanistan pada 16 Oktober 2001 sebagai membalas semula serangan ke atas negaranya.

- Pengebom berani mati

- Mac 2008 - Penyebaran filem FITNA oleh Geert Wilders (Belanda) yang memfitnah umat Islam. Denmark menghalalkan gay.

- Isu Palestin, Isu terbesar Umat Islam – (7 Januari 2009) Presiden Venezuela bertindak menghalau Duta Israel, Shlomo Cohen dan beberapa orang kakitangannya.

- Iran – Penghasilan bom nuklear: Dilarang, Amerika – Boleh

- Pengeboman di Madrid, dan London:

- Di Malaysia: Dr. Azahari – Mencipta bom buatan tangan.

- Di Malaysia: Perhimpunan Aman “Bersih”

- Tiga orang Indonesia: Imam Samudera, dll: Bom di Bali

- Di Mumbai: Di sebuah hotel.

- Karikatur Nabi SAW – Di Denmark, terkenal dengan fahaman Atheis. Pelukis karikatur Nabi mati terbakar.

- Bilal yang miskin peluk Islam disebabkan keganasan pada agama lain, bukan pada Islam.

- Rentetan dari pemahaman yang salah terhadap keganasan Islam, golongan-golongan tertentu telah mengkelompokkan Islam: Pluralisme Islam, Islam Liberal, Sister In Islam, dan sebagainya.

- Pengeboman:

1) 12 Oktober 2002: Di Bali-Lebih 200 orang mati

2) 2003: Di Maghribi-Lebih 40 orang mati

3) Mac 2004: Di Madrid

4) 2005: Di London-Lebih 50 orang mati

5)26 November 2008: Di Mumbai

-Kawasan pengeboman: Kereta, bas, tempat awam…

v Penjelasan:

- Perlu dibezakan di antara Islam dengan muslim.

- Terdapat juga golongan radikal muslim.

- Penyalahtafsiran terhadap ayat-ayat al-Quran.

- Keluarkan ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi saw.

- Wujudnya kafir zimmi pada zaman Nabi SAW.

- Salah faham konsep jihad.

- Islam itu mudah, tidak melampau. Dalil

- Islam untuk semua: Surah al-Anbia: 107, Surah saba’: 28

- Islam menyeru kebaikan, bukan keganasan. Islam berperang ke atas musuh Islam atas dasar untuk mempertahankan agama dan diri serta tidak melampau. Dalil: Al-Baqarah: 190.

- Contoh-contoh Islam berbuat baik kepada Non-Muslim:

1. Kafir zimmi yang tinggal di Negara Islam perlu membayar jizyah. Namun, mereka tidak dipaksa untuk dibayar sekiranya tidak mampu membayarnya bahkan diberi bantuan kewangan dari Baitul Mal, seperti mana yang telah dilakukan oleh Saidina Umar yang menghentikan pembayaran jizyah ke atas seluruh zimmi yang buta.

2. Hadith riwayat Jabir: “ Satu jenazah telah melewti kami, maka Nabi SAW bangun. Kami pun bangun, maka kami berkata: “Wahai Rasulullah, ini adalah jenazah Yahudi. Berkata Rasulullah: “Bukankah ia nafsan(manusia) juga? Sekiranya kamu melihat jenazah,maka bangunlah.”

- Peperangan di dalam islam adalah untuk mempertahankan umat Islam itu sendiri, dan ia mempunyai garis panduan tersendiri. Contohnya, ketika pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin, di dalam siri-siri peperangan, orang muslim dilarang membunuh orang yang tidak berperang, tidak merobohkan kediaman-kediaman mereka, tidak memusnahkan tumbuhan, tidak meruntuhkan gereja, dan sebagainya.

- Kaedah feqhiyyah berbunyi: “Tidak bahaya, dan tidak membahayakan.”

Siapakah aku..? (3)

Kurenung kembali, dan sering bermuhasabah akan diri yang sangat kerdil ini. Ya Allah, berikanlah daku taufiq dan hidayahMu… Aku bimbang, sekiranya kutergelincir daripada landasan perjuangan Islam agamaMu yang sebenar… Kutakut… Kurisau… Kugelisah… Andai kuterpalit daripada perjuangan hakiki kepada kemegahan dunia yang mampu menjerumuskanku ke lembah kehinaan… Sedangkan kemegahan tersebut hanyalah pinjaman dan ujian daripada Allah buat sedetik sahaja dan sementara… Hati ini sering membungkam sedih dan sayu, tidak tahu lagi bagaimanakah lagi caranya untuk mengadu dan berhadapan kepadaMu. Kerana kusangat hina di sisiMu Ya Allah…! Hatiku pilu… Lantas, manik-manik air mata taubat sering mengalir dan menitis di hamparan sejadah tatkala bartafakur dan bermunajat di kesyahduan malam hari.

Aku perlu nyatakan di sini, bahawa aku masih belum mengenali diriku sepenuhnya lagi… Aku terkapai-kapai dalam mencari identiti diri yang sebenar, sungguhpun telah nyata bagiku kelebihan dan kekurangan yang terdapat pada diriku. Maka, benarlah madah yang dituturkan oleh tokoh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali di dalam karya agungnya, Ihya’ `Ulumudin, “Barangsiapa yang mengenali dirinya, maka dia mengenali Tuhannya…” Justeru, kudapat konklusikan di sini bahawa aku masih belum mengenali Tuhanku sepenuhnya… Masih bertatih dalam menggapai keampunan daripadaNya… Masih termangu-mangu dalam ujian dunia dan wanita… Ya Allah… Siapakah diriku sebenar…??! Ingin sahaja aku menjerit, namun sekiranya aku menjerit, jeritanku hanya didengariNya kerana tidak terdaya bagiku melontarkan kata-kata dalam getaran suaraku… Jeritanku itu hanyalah jeritan batin yang sering meronta-ronta untuk menjejaki kebenaran sebenar sebagai seorang yang bergelar HAMBA… Aku tidak mampu melontarkan hasrat tersembunyi yang terdapat di dalam hatiku dalam bentuk kata-kata, kerana kupasti manusia tidak akan dapat memahami hakikat diriku ini melain Allah s.w.t sahaja, Sang Pencipta… Keterbatasan manusia memikirkan hasratku sangat terhad. Mereka tidak mampu menterjemahkan naluriku dalam bentuk irama yang dapat difahami oleh semua sungguhpun aku telah menjelaskan pada mereka, apatah lagi membaca bisikan-bisikan hati yang tersembunyi di dalam jiwaku. Oleh hal yang demikian, sejak kebelakangan ini, aku sering merenung kedudukan, peranan, dan kondisiku sebagai insan yang bergelar HAMBA dan DA`IE, khususnya di kala bermunajat pada hampir setiap malam hari. Ya.. pada jam 5 pagi… Hatta kadang-kala fikiranku melayang menyatakan aku ini satu-satunya insan yang benar-benar hidup sahaja untuk diuji di dunia ini bersama boneka-boneka robot yang begitu ramai yang bernama manusia… Kadang-kala, kutakut sendirian, menyepi diri, bersimpuh hina di kegelapan malam, berbicara pada Rabbi melalui titipan doa taubah dan mawaddah. Kumengerti, sungguh janggal pemikiranku ini, dan aku mengetahui, pastinya ramai manusia berasa aneh dengan lontaran pandanganku… Bahkan boleh jadi ada segelintir manusia yang menganggapku seorang yang gila. Namun, perkara itulah yang kadang-kala berlegar di kotak pemikiranku yang pastinya hanya dimengertikan Allah sahaja. Ya Allah, tunjukilah daku jalan yang lurus…

Aku kerap kali berasa bimbang, andai ujian dunia berupa kemewahan, kebendaan, pangkat, kejayaan, dan sebagainya memenjarakanku daripada memperoleh taufiq hidayah yang hakiki… Aku turut bimbang sekiranya aku diperdayakan oleh nafsu serakah dan fitnah wanita apatah lagi kini usiaku menjangkau 22 tahun, walhal aku masih belum bernikah, bahkan masih belum berpunya. Aku bimbang didustakan oleh perkara-perkara sedemikian daripada mengingati Allah, Tuhan sarwa alam. Itulah ujian, itulah mehnah, itulah tribulasi, yang bagiku sekiranya seseorang dapat menghadapinya dengan tenang serta mengembalikan segalanya kepada Allah berlandaskan al-Qur’an dan sunnah, pastinya mereka tidak akan tersesat, serta dinaikkan tingkatan iman mereka, bertepatan firman Allah di dalam surah al-`Ankabut, ayat 2 dan 3:

2. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?

3. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

Wallahu a'lam...

Siapakah aku..? (2)

Aku perlu nyatakan di sini, bahawa aku masih belum mengenali diriku sepenuhnya lagi… Aku terkapai-kapai dalam mencari identiti diri yang sebenar, sungguhpun telah nyata bagiku kelebihan dan kekurangan yang terdapat pada diriku. Maka, benarlah madah yang dituturkan oleh tokoh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali di dalam karya agungnya, Ihya’ `Ulumudin, “Barangsiapa yang mengenali dirinya, maka dia mengenali Tuhannya…” Justeru, kudapat konklusikan di sini bahawa aku masih belum mengenali Tuhanku sepenuhnya… Masih bertatih dalam menggapai keampunan daripadaNya… Masih termangu-mangu dalam ujian dunia dan wanita… Ya Allah… Siapakah diriku sebenar…??! Ingin sahaja aku menjerit, namun sekiranya aku menjerit, jeritanku hanya didengariNya kerana tidak terdaya bagiku melontarkan kata-kata dalam getaran suaraku… Jeritanku itu hanyalah jeritan batin yang sering meronta-ronta untuk menjejaki kebenaran sebenar sebagai seorang yang bergelar HAMBA… Aku tidak mampu melontarkan hasrat tersembunyi yang terdapat di dalam hatiku dalam bentuk kata-kata, kerana kupasti manusia tidak akan dapat memahami hakikat diriku ini melain Allah s.w.t sahaja, Sang Pencipta… Keterbatasan manusia memikirkan hasratku sangat terhad. Mereka tidak mampu menterjemahkan naluriku dalam bentuk irama yang dapat difahami oleh semua sungguhpun aku telah menjelaskan pada mereka, apatah lagi membaca bisikan-bisikan hati yang tersembunyi di dalam jiwaku.

Oleh hal yang demikian, sejak kebelakangan ini, aku sering merenung kedudukan, peranan, dan kondisiku sebagai insan yang bergelar HAMBA dan DA`IE, khususnya di kala bermunajat pada hampir setiap malam hari. Ya.. pada jam 5 pagi… Hatta kadang-kala fikiranku melayang menyatakan aku ini satu-satunya insan yang benar-benar hidup sahaja untuk diuji di dunia ini bersama boneka-boneka robot yang begitu ramai yang bernama manusia… Kadang-kala, kutakut sendirian, menyepi diri, bersimpuh hina di kegelapan malam, berbicara pada Rabbi melalui titipan doa taubah dan mawaddah. Kumengerti, sungguh janggal pemikiranku ini, dan aku mengetahui, pastinya ramai manusia berasa aneh dengan lontaran pandanganku… Bahkan boleh jadi ada segelintir manusia yang menganggapku seorang yang gila. Namun, perkara itulah yang kadang-kala berlegar di kotak pemikiranku yang pastinya hanya dimengertikan Allah sahaja. Ya Allah, tunjukilah daku jalan yang lurus…

Aku kerap kali berasa bimbang, andai ujian dunia berupa kemewahan, kebendaan, pangkat, kejayaan, dan sebagainya memenjarakanku daripada memperoleh taufiq hidayah yang hakiki… Aku turut bimbang sekiranya aku diperdayakan oleh nafsu serakah dan fitnah wanita apatah lagi kini usiaku menjangkau 22 tahun, walhal aku masih belum bernikah, bahkan masih belum berpunya. Aku bimbang didustakan oleh perkara-perkara sedemikian daripada mengingati Allah, Tuhan sarwa alam. Itulah ujian, itulah mehnah, itulah tribulasi, yang bagiku sekiranya seseorang dapat menghadapinya dengan tenang serta mengembalikan segalanya kepada Allah berlandaskan al-Qur’an dan sunnah, pastinya mereka tidak akan tersesat, serta dinaikkan tingkatan iman mereka, bertepatan firman Allah di dalam surah al-`Ankabut, ayat 2 dan 3:

Maksudnya:

2. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?

3. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

Wallahu a'lam...

Alangkah alpanya diri ini...

Ya Allah, kumemohon setinggi-tinggi pengampunan dan pengharapan… Hinanya diriku ini yang sering mengerjakan solat fardu bukan pada awal-awal waktu… Aku merasa berdosa… Sehinggakan kumenunaikan solat tanpa khusyuk dan sering bersegera… Entah apa yang kukejarkannya, atau terpedaya dengan hasutan syaitan semata-mata… Sedangkan waktu itu juga merupakan ketetapan Engkau… Engkaulah penentu waktu… Maka, seharusnya tiada masa yang terhad untuk kuberdamping denganMu… Yakni, tiadalah nilaian masa apabila mengabdikan diri kepadaMu, setiap masa sewajarnya bagiMu, kembali kepadaMu, dan untukMu. Bahkan adakalanya aku lebih bersungguh-sungguh mengerjakan solat sunat dengan khusyuk berbanding solat fardu, sedangkan solat fardu lebih wajib ditunaikan dan diutamakan… Jadi, haruskah kuterburu-buru sedangkan segala kehidupan dan kejadian mendatang itu di dalam rahsia-Mu… Subhana Allah… Jadi, usahlah dirisaukan tentang keterbatasan masa ketika bersama al-Khaliq, tempat kita mengadu, di dalam solat, berzikir, bermunajat, bertilawah, dan lain-lain… Kerana Dialah yang Maha Mengetahui setiap rahsia dan kunci perkara ghaib serta mendatang. hayatilah Firman Allah s.w.t: (al-An`am, ayat 59) mafhumnya: Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)". Wallahu waliyyut taufiq...

Alam Maya yang dicipta Allah... sungguh kukagumi...

Terbitnya mentari di pagi hari, kumenyaksikan keagungan ciptaan Allah… Terbitnya sang suria itu membuktikan bahawa bumi beredar pada paksinya dengan takdirNya, di samping kicauan burung yang bersahut-sahutan, kokokan ayam, desiran angin segar yang menghidupkan hembusan kedamaian pada jiwa, diiringi geseran dedaunan menghijau yang menyerikan kenyamanan dan ketenangan. Kuberfikir dan terus berfikir, merenung alam ciptaan Allah yang Maha Besar, lalu menambahkan rasa kagumku yang tidak terhingga pada kebesaran Pencipta. Tidak kurang juga, ia menambah rasa kekerdilanku yang teramat juga pada Penguasa Semesta, Rabbul `Izzati. Teringat pula daku pada sabda Nabi yang dinyatakan di dalam tafsir Ibn Kathir di dalam tafsiran ayat al-Qur’an dari surah al-Najm, ayat 45 - 55, akan tetapi tidak kupasti darjat hadith marfu’ tersebut, namun bagiku ia amat bermakna: “Berfikirlah mengenai penciptaan Allah, dan janganlah engkau berfikir tentang (zat)Nya.” Subhana Allah… Sungguh kumerasai keagungan ciptaanNya dalam usaha untuk mendekatiNya. Bahkan, seakan kesemua makhluk tersebut berzikir, namun aku tidak pula memahami, dan barangkali memang benar ia berzikir, bertasbih, dan mengingati Allah. Firman Allah s.w.t: (al-Isra’, ayat 44)... Wallahu a'lam.