Siapakah aku..? (2)

Aku perlu nyatakan di sini, bahawa aku masih belum mengenali diriku sepenuhnya lagi… Aku terkapai-kapai dalam mencari identiti diri yang sebenar, sungguhpun telah nyata bagiku kelebihan dan kekurangan yang terdapat pada diriku. Maka, benarlah madah yang dituturkan oleh tokoh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali di dalam karya agungnya, Ihya’ `Ulumudin, “Barangsiapa yang mengenali dirinya, maka dia mengenali Tuhannya…” Justeru, kudapat konklusikan di sini bahawa aku masih belum mengenali Tuhanku sepenuhnya… Masih bertatih dalam menggapai keampunan daripadaNya… Masih termangu-mangu dalam ujian dunia dan wanita… Ya Allah… Siapakah diriku sebenar…??! Ingin sahaja aku menjerit, namun sekiranya aku menjerit, jeritanku hanya didengariNya kerana tidak terdaya bagiku melontarkan kata-kata dalam getaran suaraku… Jeritanku itu hanyalah jeritan batin yang sering meronta-ronta untuk menjejaki kebenaran sebenar sebagai seorang yang bergelar HAMBA… Aku tidak mampu melontarkan hasrat tersembunyi yang terdapat di dalam hatiku dalam bentuk kata-kata, kerana kupasti manusia tidak akan dapat memahami hakikat diriku ini melain Allah s.w.t sahaja, Sang Pencipta… Keterbatasan manusia memikirkan hasratku sangat terhad. Mereka tidak mampu menterjemahkan naluriku dalam bentuk irama yang dapat difahami oleh semua sungguhpun aku telah menjelaskan pada mereka, apatah lagi membaca bisikan-bisikan hati yang tersembunyi di dalam jiwaku.

Oleh hal yang demikian, sejak kebelakangan ini, aku sering merenung kedudukan, peranan, dan kondisiku sebagai insan yang bergelar HAMBA dan DA`IE, khususnya di kala bermunajat pada hampir setiap malam hari. Ya.. pada jam 5 pagi… Hatta kadang-kala fikiranku melayang menyatakan aku ini satu-satunya insan yang benar-benar hidup sahaja untuk diuji di dunia ini bersama boneka-boneka robot yang begitu ramai yang bernama manusia… Kadang-kala, kutakut sendirian, menyepi diri, bersimpuh hina di kegelapan malam, berbicara pada Rabbi melalui titipan doa taubah dan mawaddah. Kumengerti, sungguh janggal pemikiranku ini, dan aku mengetahui, pastinya ramai manusia berasa aneh dengan lontaran pandanganku… Bahkan boleh jadi ada segelintir manusia yang menganggapku seorang yang gila. Namun, perkara itulah yang kadang-kala berlegar di kotak pemikiranku yang pastinya hanya dimengertikan Allah sahaja. Ya Allah, tunjukilah daku jalan yang lurus…

Aku kerap kali berasa bimbang, andai ujian dunia berupa kemewahan, kebendaan, pangkat, kejayaan, dan sebagainya memenjarakanku daripada memperoleh taufiq hidayah yang hakiki… Aku turut bimbang sekiranya aku diperdayakan oleh nafsu serakah dan fitnah wanita apatah lagi kini usiaku menjangkau 22 tahun, walhal aku masih belum bernikah, bahkan masih belum berpunya. Aku bimbang didustakan oleh perkara-perkara sedemikian daripada mengingati Allah, Tuhan sarwa alam. Itulah ujian, itulah mehnah, itulah tribulasi, yang bagiku sekiranya seseorang dapat menghadapinya dengan tenang serta mengembalikan segalanya kepada Allah berlandaskan al-Qur’an dan sunnah, pastinya mereka tidak akan tersesat, serta dinaikkan tingkatan iman mereka, bertepatan firman Allah di dalam surah al-`Ankabut, ayat 2 dan 3:

Maksudnya:

2. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?

3. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

Wallahu a'lam...

0 comments: