Semakin aku aktif berorganisasi dalam jemaah PMIUM, kumerasakan cabaran demi cabaran datang menimpa-nimpa. Namun, kuredah ia dengan hati yang ihklas dan redha. Kukorbankan apa yang ada pada diriku untuk kepentingan Islam melalui wasilah jemaah. Kuinfaqkan sebahagian hartaku kepada jemaah sekiranya aku mempunyai wang. Kuhadirkan diri pada mesyuarat-mesyuarat yang tidak putus-putus hampir setiap hari sehingga kira-kira jam 1 pagi. Kepenatan menguasai diri, namun sangat bererti apabila bersusah senang bersama-sama sahabat sahabiah sefikrah di dalam melayari bahtera jemaah meredah arus ombak yang bergelombang. Kulatih diri untuk menjalani kehidupan yang luar daripada zon selesa dengan mengurangkan tidur, sentiasa berpuasa dan bangun malam bermunajat kepadaNya. Natijahnya sangat berbeza...! Semakin aku menyahut mehnah daripada Allah, semakin banyak nikmat dan limpahan rahmat yang dikurniakanNya kepadaku, semakin manis pula perjuangan ini apabila berada dalam kesusahan. Tidaklah dinamakan perjuangan sekiranya tiada mehnah dan tribulasi yang mendewasakan. Kehidupanku lebih bererti apabila memberikan jasa dan sumbangan pada orang lain, dan perjuangan ini lebih manis dirasai apabila berhadapan dengan keperitan yang mematangkan. Seolah-olah kesusahan dan keperitan yang dialami adalah lebih manis dan bermakna buat diri daripada duduk bergoyang kaki berpangku tangan, tanpa memikirkan peranan diri kepada masyarakat sejagat. Seakan kepelikan dan kegelisahan menikam hati sekiranya tidak terdapat satu pun gerak kerja atau liqa’ dalam sehari. Kerana yang susah itulah telah menjadi buah yang berasa manis, sebaliknya sekiranya tiada sebarang cabaran dan apa-apa tindakan, kepahitan pula yang menjelma di rona-rona hati. Sungguh Allah Maha Adil! Kesibukanku dalam gerak kerja khususnya ketika semester 4 dan 5 pengajianku menyebabkanku semakin cekap mengurus masa, melakukan gerak kerja dengan pantas dan tepat pada waktunya, serta mengurangkan rungutan yang sia-sia. Pada kedua-dua semester itu juga, aku berhasil memperoh 4 flat yang tidak kujangka. Hanya yang ada pada diri ini ialah ketekunan yang begitu tinggi pada seminggu terkhir sebelum menghadapi imtihan, dan tawakal kepada Allah di sepertiga malam hari pada hampir setiap hari di kala minggu-minggu peperiksaan berlangsung. Inilah kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya yang ikhlas melakukan kerja agama. Kasih sayangNya mendahului kemurkaanNya. Alhamdulillahi Rabbil `Alamin… Aku memanjat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadratMu, Ya Allah...
Keperhatikan dan aku telah melaluinya, bahawasanya sesiapa yang melakukan amal kerja Islami dengan tulus serta mengorbankan apa saja demi kepentingan Islam, maka Allah membalasnya dengan sesuatu yang lebih baik, malah imbalan tersebut tidak terjangkakan oleh kita. Aku memerhatikan, hal ini telah berlaku juga kepada sahabat sahabiahku yang lain. YDP PMIUM ketika itu, Ust. Haafizuddin yang juga merupakan sahabat sejabatan dan sekuliahku memperoleh 3.65 dalam penggal kelima pengajian. Begitu juga sahabat-sahabat yang lain, Ustazah Salsabil yang sejabatan juga denganku memperoleh 3.95, Ust. Izzat Amin 3.85, Ust. Qayyum, 3.85, Ust. Sobri, 3.9, Ust. Hafez Ilyas, 3.75, dan lain-lain lagi menjadi dalil bahawa perjuangan bukanlah sesuatu yang membebankan dan mengganggu pembelajaran. Mereka juga sibuk, mereka juga antara barisan pimpinan, namun mereka tetap juga mampu berjaya seperti mahasiswa API yang kurang berorganisasi. Rata-rata di kalangan mereka memperoleh pointer yang tinggi pada semester 4 dan 5 ketika dalam fasa kesibukan berorganisasi, namun apabila tidak menyibukkan diri dengan kerja-kerja amal, kelihatan juga pointer mereka tidaklah setinggi mana seperti yang mereka perolehi ketika dalam gerak kerja. Kehidupan ini ibarat bangkai bernyawa sekiranya kita tidak memberikan sebarang bentuk sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Perlu diingat bahawa kesemua harta, pakaian, nyawa dan segala-galanya hanyalah pinjaman daripada Allah semata-mata. Tidak boleh tidak manusia tetap juga akan kembali kepadaNya pada suatu hari yang telah dijanjikan kelak, kerana ianya pasti kembali kepada Pemiliknya yang hakiki. Firman Allah s.w.t. berbunyi, maksudnya:
10. Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: "Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?"
11. Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.
Surah al-Munafiqun (63): 10 - 11
Rangkap ayat al-Qur’an di atas sangat memberikan satu rangsangan kepada insan yang bertadabbur memahami maksud tersirat di sebaliknya. Janganlah diri ini mempunyai sikap yang bertangguh-tangguh kononnya tangan ini akan menghulurkan bantuan kepada insan-insan yang memerlukan. Kelak apabila menemui ajal yang datang secara tiba-tiba, maka usah dikesal kerana tidak membelanjakan harta di jalan yang diredhaiNya. Sungguhpun dilanjutkan ajal mereka, Allah s.w.t Maha Mengetahui bahawa mereka tetap juga akan bertangguh mengeluarkan harta. Lembut gigi dari lidah, seakan seorang munafiq yang berjanji kosong ingin mengeluarkan harta, namun dibelanjakan hartanya pada jalan yang melalaikan sahaja tanpa mengambil kira orang-orang yang lebih berhak menerimanya. Teringat daku kepada falsafah ungkapan Ust. Hasrizal yang merupakan motivator Malaysia yang terkenal, “Erti hidup kepada yang memberi…” Maka seharusnya aku berusaha mencurahkan segala yang ada pada diriku kepada orang lain untuk kebaikan bersama… Wallahu A'lam...
0 comments:
Post a Comment