Selangkah aku di UM...

Pengajianku pada tahun pertama 2006 bermula seperti biasa. Aku sudah memasakkan beberapa matlamat untuk dicapai sebelum menamatkan pengajian di UM. Antaranya aku ingin menguasai perbualan Bahasa Arab dan bergiat aktif di dalam persatuan agar aku dapat meningkatkan softskill khususnya dalam pengurusan dan kepimpinan. Hatiku sering tidak merasa puas dengan apa yang telah ditakdirkan… Terlintas juga di hatiku pada mula-mula pengajian di UM untuk berpindah ke UIA disebabkan pembelajaran kursus di API kebanyakannya di dalam Bahasa Melayu. Aku merungut saja, meskipun hatiku sedikit terubat ketika belajar di bawah subjek jabatanku sendiri kerana kebanyakan subjek tawaran jabatanku di dalam Bahasa Arab. Pernah juga aku mandi begitu lama di bilik air kolej kediaman sambil memikirkan keberadaanku di UM seolah-olah sia-sia belaka. Air mandi terus-menerus menghujani air mukaku sambil kupejamkan mata, dalam usaha memahami hikmah yang ditentukan Allah untuk aku terus berada di UM, namun masih tidak ketemu... Mungkin sahaja Allah tidak memberi sesuatu perkara yang kita impikan, namun Dia megurniakan sesuatu perkara yang sangat diperlukan… Selang beberapa minggu, ketika minggu promosi persatuan, aku tertarik untuk meninjau-ninjau kalau-kalau terdapat persatuan yang memenuhi citarasa dan hala tujuku. Dari jauh, sayup-sayup kedengaran dendangan nasyid kumpulan In-Team di satu booth… Nasyid tersebut amat menarik perhatianku dengan lirik yang menekankan kecintaan kepada Ilahi. “Jika engkau mencintai…… Cintailah Ilahi…”Demikianlah sebahagian potongan lirik tersebut. Aku teruja untuk mendekati booth yang kurasakan terdapat nilai-nilai Islam di dalam persatuan tersebut, lalu aku mendaftarkan diri sebagai AHLI PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM). Aku membaca setiap inci artikel-artikel yang tertampal pada booth PMIUM merangkumi sejarah, aktiviti persatuan, barisan pimpinan, dan sebagainya. Dapat kusimpulkan bahawa PMIUM merupakan persatuan yang cukup berpengaruh dan aktif di persada UM dan nasional.

Hati dan fikiranku masih lagi berlegar-legar memikirkan keberadaanku di UM. Aku masih lagi tidak berpuas hati. Namun, aku terus dan terus bersabar berada di UM pada semester pertama sehingga hadir kepadaku seorang sahabat sejati yang baru dikenali ketika itu, bekas barisan pimpinan Pengajian Islam UM Nilampuri yang punya wibawa tinggi melangit dan berjiwa besar menggunung mendengarkan isi hatiku. Seterusnya dia melontarkan pandangannya kepadaku sehingga menyebabkan aku tersentuh, tersentak, tergamam, dan tersedar dari lamunan rungutanku sebelum ini… Kata-kata yang bisa memberikan satu tamparan yang cukup hebat buatku sehingga menjadikanku beriltizam dengan gerakan mahasiswa yang membawa agenda Islam di UM… SubhanaAllah… Maha Suci Allah yang mempertemukanku dengan dia. Butir-butir taujihatnya menyebabkanku sentiasa berazam dan beriltizam, dengan satu semangat yang bersungguh-sungguh melalui kehidupan di UM, iaitu…

“Segala yang ditentukan Allah mempunyai sebab dan hikmah yang sangat indah tanpa kita ketahui. Terimalah hakikat, kuatkan semangat, bulatkan tekad, tabahkan hati, bersihkan jiwa, lapangkan dada… Kita akan menemuinya dan merasai kemanisannya. Pilihan enta oleh Allah untuk belajar di UM bukanlah pilihan yang sia-sia. Enta perlu optimis, tanamkan keyakinan setinggi-tingginya kepada Allah… Allah memilih enta untuk belajar di UM disebabkan Dia memberikan satu anugerah berupa amanat yang sangat besar buat enta untuk bawa Islam di UM. Allah menganugerahkan amanat tersebut hanya bagi insan-insan terpilih yang dikasihiNya sahaja. UM berbeza dengan UIA. UIA hanya menerima kemasukan pelajar Islam. UM pula mengumpulkan mahasiswa berbilang bangsa dan agama. Inilah medan dakwah kita yang sebenar. Enta perlu kuat dan tabah, serta perlu hadapi realiti dalam masyarakat Malaysia. Inilah cabaran kita… Apabila kita melihat sesuatu kemungkaran di dalam lingkungan kita, bukannya kita melarikan diri dan keluar dari lingkungan tersebut, sebaliknya kita menghadapinya dengan kekuatan sinar Iman yang terbit dari hati. Fahamilah bicara Tuhan… Bawalah seruan dakwah kepada mereka tanpa ada rasa untuk melarikan diri dari medan juang… Siapa lagi kalau bukan kita yang seharusnya bertanggungjawab memikul beban amanah ini… Ingatlah... Enta adalah insan pilihan Allah. UM adalah tempat yang terbaik buat enta menyahut cabaran dan menggapai keredhaanNya… Fikirkanlah… Mudah-mudahan Allah memberi taufiq dan hidayah kepada kita…” (Badrunnaim)

Seusai mendengarkan butir-butir kata yang dilontarkan oleh sahabatku itu, aku membisu seribu bahasa, memikirkan serta merenung kembali niatku sebenar sebagai seorang da`ie dan hamba. Teringat pula daku pada bicara Tuhan `Azza wa Jalla yang berbunyi, maksudnya:

216. Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Surah al-Baqarah (2): 216

Kalam Allah yang Maha Halus gaya bahasanya di atas terus menerus menusuk kalbuku lantas ia menjadi ayat azimat dan mottoku yang paling utama dan kupegang ia sampai bila-bila. Kemudian, kami berjalan bersama-sama pulang ke kolej kediaman. Perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit sekiranya berjalan kaki dari API ke kolej kediaman, jadi masa-masa yang tersisa kami penuhi dengan perkenalan, perbualan agama, serta tazkirah membina. Ya Allah, berikanlah daku petunjuk... Bersambung....

0 comments: