Indahnya bertahajjud...

Alangkah kelu dan hinanya lidahku, menutur nama-Mu yang Maha Suci, disebabkan banyaknya dosa lisanku yang tidak tertanggung diri ini… Namun, ku tetap basahi ia dengan riadah zikrullah. Kuharus berusaha, setiap gerak geriku, setiap hela nafasku, setiap tindak-tandukku, setiap bicara hatiku, setiap denyutan nadiku, hanya mendambakan RahmatMu, kerana kutahu, bahawa sesungguhnya kulangsung disaksikan olehMu, dan segala tindakanku itu, akan juga dipersaksikan di hadapanMu. Allah… Allah… Allah… Allah… Allah… Allah… Allah… Lafaz agung itu meresap lantas mengusap serta menyusup setiap relung jiwaku, menebarkan dhauqnya ke anggota menyebabkan liang-liang roma ini berdiri, diiringi qudrat yang membangkitkan kekhusyukan luar biasa di malam qiamullail, memusnah noda hitam yang masih menempel.

Sungguh kutahu, itulah kehebatan berjaga malam, meskipun hanyalah 2 3 jam sahaja anggota ini tidur. Maka memang ternyatalah bahawa, kekuatan pejuang-pejuang Allah adalah ketika berjaga malam. Malamnya bagai rahib merintih sayu, dihiris dosa air mata… Siangnya bagaikan singa di rimba, memerah keringat meluah tenaga. Tidakkah engkau saksikan bahawa tokoh pejuang Salehuddin al-Ayubi yang telah berjaya menawan kota Jerussalem, tidak pernah meninggalkan solat tahajjud sejak beliau aqil baligh? Ku semakin mengerti, dengan tahajjud ini dapat menanamkan sifat tawaduk, rendah diri, tenggelam dalam limpahan rahmat-Nya, bertasamuh dan zuhud, redha apabila diuji dengan ujian, bersyukur apabila diberi nikmat…

Alhamdulillah, kuselami semua itu di dalam lautan kebesaran-Nya. Kusulami ia dengan manik-manik iman dan taqwa untuk membentuk sejadah kecintaan kepada-Nya yang hakiki dan abadi. Maka sahabat-sahabatku, kalian harus mengerti bahawa kehidupan ini hanya berkunjung sementara di bumi yang fana, dan Dia sering memerhati, segala intensi dan gerak hati. Tidakkah kau sedari hal ini, wahai manusia yang alpa… Kuamati maksud yang tersingkap di sebalik kalimah al-Ihsan di dalam hadith Nabi yang berbunyi: “al-Ihsan an ta’buda Allah kaannaka tarahu fa in lam takun tarahu fainnahu yaraka..” (Ihsan ialah engkau mengabdikan diri kepada Allah seperti engkau melihatNya, sekiranya engkau tidak juga melihatNya, sesungguhNya Dia melihat engkau). Satu konotasi ilmu yang cukup tinggi buatku sebagai hamba di dunia ini. Wallahu a’lam…

0 comments: