Assalamualaikum w.b.t…
Buat saudara-saudara seaqidahku, teman seperjuanganku…
Pada entri kali ini, suka untuk saya berkongsi secara ringkas mengenai 10 pesanan al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna sebagai suatu peringatan berguna buat kita semua yang bercita-cita menyahut seruan sebagai abna’ al-Harakah fi Sabilillah…
10 Pesanan al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna:
- Apabila mendengar azan, maka bangunlah solat serta-merta walau dalam keadaan apa jua sekali pun.
- Bacalah al-Quran, tatapilah buku ilmu, pergilah ke majlis ilmu, dan amalkan zikrullah serta jangan membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.
- Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab kerana bahasa Arab yang betul (fusha) itu adalah satu-satunya syiar Islam.
- Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekali pun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi sebarang kebaikan.
- Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
- Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
- Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah perkara yang sia-sia, malah ia akan menyakiti hati orang lain.
- Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan janganlah bercakap melainkan yang memberi kebajikan.
- Berkenal-kenalanlah dengan setiap muslimin yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
- Kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu, gunakan masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.
Perlu untuk saya ingatkan kembali kepada diri saya dan sahabat-sahabiah sekalian agar menjana kembali pembinaan fard al-muslim dalam kehidupan kita. Walaupun barangkali ada dalam kalangan kita yang telah membaca atau mendengar 10 pesanan al-Imam al-Syahid yang telah saya kemukakan di atas, tetapi peringatan-peringatan sebegini perlu dilazimi agar ia benar-benar memberkas di hati kita seterusnya kita dapat mengamalkannya secara istiqamah… Mungkin saja pesanan di atas agak ringan untuk kita fahami, namun pada hakikatnya, ia seakan agak sukar untuk diaplikasi… Sama-samalah kita melakukan transformasi menuju Ilahi… Aslih nafsak qabla an tuslih ghayrak… Firman Allah s.w.t:
وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ (55)
Maksudnya:
55. Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan manfaat kepada orang-orang yang beriman.
Al-Dhariyat (51): 55
Renung-renungkan……. Hayyakumullah…
Wassalam.
Akhukum,
## ribbiyyun ##
== ukhwah menyemai wehdah dalam amal ==
Selasa,
26 Oktober, 9.20pm,
Jabatan Al-Qur’an dan Al-Hadith,
APIUM.
0 comments:
Post a Comment